Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 81

Kepulangan Safi disambut dingin oleh abah. Abah tahu, Safi pasti menyebelahi maknya seperti selalu. Sejak kejadian Mat meludah dan meletakkan puntung rokok dalam periuk, mak dah tak masak untuk abah dah, kerana mak tahu, makan itu pasti akan disia-siakan lagi.

Abah sepenuhnya mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Belanja dapur hanya untuk dirinya, Mat dan Usop saja. Mak tepaksa mengeluarkan belanjanya sendiri untuk membeli keperluan harian. Bilik tidur bertukar menjadi tempat makan mak dan anak-anak lain sehingga menimbulkan bau yang tak menyenangkan. Hidup mereka macam banduan di dalam rumah sendiri. Safi kesal dan dia tahu dia perlu segera mencari jalan penyelesaian.

Dengan mata kepalanya sendiri dia melihat Mat merancang untuk manganiaya mak. Tengah haritu, sebelum solat Zohor, dia segera bekejar ke tandas kerana urusan kecemasan. Perut yang memulas-mulas segera minta dirawat. Pintu dibuka dan serentak dengan itu juga kakinya terus tergelincir, namun mujurlah dia sempat menopang tangan pada dinding, kalau tak? Tak tahulah.

Bila diperiksa, rupa-rupanya permukaan jubin lantai tandas telah dipenuhi dengan minyak, bukan sahaja di bahagian bawah, tapi di bahagian atasnya juga. Melihat keadaan itu angin puting beliungnya terus naik mencanak.

“Celaka!” marahnya berteman rasa sakit di jiwa.

 

“Kerja siapa tu ha? Siapa yang sengaja letak minyak dalam tandas?” soal Safi keras pada Mat dan Usop yang sedang baring terlentang di biliknya.

“Kenapa kau ni? Terjerit-jerit macam orang gila? Nak apa?!” soal Usop sambil tersenyum sinis padanya. Mat pun sama, nampak gembira sahaja.

“Tu! Orang tanya! Siapa yang sengaja letak minyak dekat dalam bilik air tu?!”

“Siapa yang buat? Kalian ni memang dasar setan kan?” balas Safi dah melupakan batasan bila hati rasa sengsara tak tertahan. Namun yang diperolehinya hanyalah kekehan dan gelakan dan itu sudah cukup untuk dapat ditafsirkan sebagai jawapan.

“Takpa, buatlah apa yang kalian nak buat! Buatlah sebanyak mana pun…” tuturnya kesal sebelum segera menyeka air mata yang datang dengan sendirinya.

“Sampai hati kalian kan? Sampai hati kalian buat macam tu. Kalau mak yang masuk tandas tu tadi macam mana? Tapi mujurlah…” bisiknya perlahan berteman rasa kekesalan yang tak berkesudahan.

“Dah dasar anak buluh betung! Tak tahu nak menghormati orang langsung!” gerutunya demi memujuk hati yang kesakitan.

 

Berat hati, namun berat lagi tekad mak dalam mencari secebis ketenangan. Setelah lama berfikir, mak membuat keputusan untuk keluar daripada rumah, rumah yang mak sayang dan dah banyak duit dilaburkan untuk mencantikkannya. Rumah yang mak harap akan jadi pelindung mak dari hujan dan panas, rupanya bertukar menjadi neraka dunia baginya yang dicipta abah. Keputusan yang sangat berat, namun harus dilakukan untuk mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku.

 

“Angah, macam mana sekarang ni? Minggu depan Safi dah kena balik belajar. Kalau Safi tak ada nanti siapa yang nak tengokkan mak dan Ina?” tutur Safi pada angah. Angah di hujung talian terdiam. Dia juga jauh dan tak mampu berbuat apa-apa.

“Beberapa hari lepas, entah siapalah punya kerja. Ada ke patut disimbahnya jubin tandas dengan minyak, saja nak buat orang jatuh agaknya. Bila Safi tanya, Mat yang masuk air tu senyum-senyum je. Usop pun sama, dua-dua ketawa. Sakit betul hati dibuatnya.”

“Lepastu, haritu dahlah takut-takutkan mak dengan asid. Tak tahulah apa nak jadi dengan orang dalam rumah ni.”

“Paling sakit hati, abah! Abah senyum suka bila semua tu jadi. Bukannya nak menasihat. Rumah ni dah tak macam rumah dah rasanya!” tambahnya lagi, memarahi.

“Dah tu Safi nak suruh angah buat macam mana?” soal angah kesal. Kepalanya berserabut dengan masalah yang tak ada titik penamatnya itu.

“Semalam Safi ada temankan mak ke mahkamah syariah, mengadu dekat sana. Mereka suruh mak pindah keluar dulu buat sementara waktu ni. Angah rasa macam mana? Patut ke mak pindah? Cuti Safi sampai minggu depan je, lepas ni siapa lagi yang nak tengokkan mak?”

“Safi risau sebenarnya. Angah tengok sendirikan macam mana mereka layan mak. Mak dah jadi macam orang menumpang, semuanya dicatu. Makan minum mak tak payah cakaplah, semuanya mak kena sediakan sendiri, nak memasak pun tak senang. Sampai merasa dapur dengan tangan, nak tahu panas ke tak, punyalah tak nak berkongsi apa yang dia ada dengan mak.”

“Kenapa keluarga kita boleh jadi macam ni angah? Sedih. Semuanya mak dah buat, tapi kenapa layan mak macam ni?”

“Paling Safi tak tahan, bila Usop halau mak. Katanya rumah ni dia yang beli, dia nak buat pusaka. Abah pulak dengan senang hati suruh mak keluar, pergilah ke mana pun yang mak nak pergi.”

“Abah kata…”

“Kalau dah tak ada tempat nak duduk sangat, duduklah dekat tepi-tepi longkang…”

“Sampai hati abah cakap macam tu dengan mak. Apa abah ingat mak ni apa? Hina sangat ke?”

“Safi dah tak tahan! Safi takut hilang sabar, nanti entah apa pulak yang Safi buat pada budak-budak celaka tu!” tuturnya. Air mata yang keluar tanpa dipaksa pantas diseka.

“Dah la jangan nangis. Angah ikut je apa yang baik. Kalau mak nak pindah, pindahlah. Tapi, mak nak pindah ke mana?” soalnya.

“Tak tahu lagi. Nanti kalau jadi, Safi call angah semula ya. Betul ke angah tak kisah Safi bawak aak pindah?” soalnya kembali.

“Kalau itu yang terbaik, angah reda’. Besarnya ujian Allah pada mak. Patutnya sekarang, mak dah boleh hidup senang, tak payah nak susah-susah, tak sangka perkara macam ni boleh jadi dalam keluarga kita. Kat mana silapnya pun angah tak tahu. Sama-samalah kita doa, minta Allah permudahkan segalanya.” balas angah. Suaranya mula serak. Safi tahu angah juga sepertinya, sedih bila memikirkan tentang mak dan keadaan keluarga.

 

Mat dan Usop bergegas ke rumah kampung dengan chop sawit di tangan. Tanpa ada rasa bersalah, mereka merobohkan dinding papan yang sudah sedia usang itu. Hanya dengan sekali hentakan, bebarapa keping daripadanya jatuh terdampar ke tanah. Mereka memandang satu sama lain sebelum ketawa berdekah-dekah. Usaha merobohkan rumah terbabit dilakukan dengan senang hati, tanpa langsung menghargai jasanya yang pernah menjadi tempat mereka tumpang berteduh daripada panas dan hujan sebelum ini.

“Kalian buat apa tu ha?!” jerit mak. Bunyi papan yang dihentak kuat dapat didengari sampai ke hujung jalan. Safi nampak mak berlari menuju ke rumah pusaka berkenaan dan mak nyaris tersadung pada akar kayu yang terjenggil di tanah dalam usahanya itu.

“Kalian nak buat apa sebenarnya ni?!”

“Ya-Allah…”

“Sampai hati kalian robohkan rumah pusaka ni? Kalian nak jadi apa ha?” ucap mak dalam kesedihan. Mat dan Usop menghentikan perbuatan mereka sebelum menghampiri mak.

“Abah kata rumah dapur ni dia yang buat! Jadi, suka hatilah kami nak buat apa pun!” balas Mat dengan nada yang betul-betul menjengkelkan. Usop di sebelah tersenyum puas hati.

“Kenapa kalian boleh jadi macam ni! Apa salah mak? Apa yang mak buat sampai kalian layan mak teruk macam ni?” soal mak lagi sebelum dia terduduk di tanah.

“Mak derhaka! Mak tak dengar cakap abah!”

“Ha, inilah balasannya pada isteri yang derhaka!” balas Usop sambil membuat muka.

“Hanya disebab tanah tu?”

“Hanya sebab tu, Mat dengan Usop layan mak macam ni?”

“Insaflah kalian, jangan ikut bisikan syaitan. Bawa mengucap!” tutur mak memberikan panduan.

“Hah! Ikut sukalah nak buat apa pun!” ucapnya sebelum meninggalkan mak yang masih terjelepok di tanah. Usop turut meninggalkan kawasan kejadian. Sempat mereka menjeling ke arah Safi yang sedari tadi tegak berdiri di belakang mak dengan senjata di tangan. Parang panjang yang kemas digenggam bergetar hebat. Safi terus dan terus juga beristigfar dalam hati, minta diberikan pedoman dan kesabaran.

 

 “Kalau akak nak, Ha tak ada masalah. Tapi rumah tu dah usang, akak tak kisah?”

“Dulu memang ada kami sewakan pada orang, tapi dululah. Sekarang ni jadi tempat kami berehat bila selesai menoreh je.”

“Takpa. Akak tak kisah. Asalkan akak dan anak-anak ada tempat berlindung. Ina masih sekolah. Ateh tak dapat tukar ke Pekan lagi. Masih tak ada kekosongan jawatan guru di sana. Akak dah cukup bersyukur kalau dapat tempat nak berteduh.”

“Rumah kampung tu katanya dia punya, dia nak buat kerja di situ juga katanya. Mereka tak nak beralah Ha. Akak dah tak ada jalan lain.” terang mak berteman mata bengkak kerana sentiasa menangisi nasib diri.

“Rumah ni pulak Usop kata di yang punya, dia yang beli. Akak betul-betul dah tak ada arah ha. Nak tak nak, terpaksalah akak mencari rumah sewa. Tak pernah terdetik perkara macam ni akan jadi. Tak pernah ha.”

“Disepak terajang orang dan dibuang oleh darah daging sendiri…”

“Belumpun akak menumpang hidup dengan mereka lagi, macam ni layanan mereka pada akak.” tutur mak sayu. Tangisannya kembali menyapa.

“Sabarlah kak. Ini ujian Allah. Ha pasti, satu hari nanti Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Akak sabar ya. Biar Ha ajak Cunya ke sana sekarang. Bersihkan apa yang patut. Akak kemas-kemaslah. Dah ada lori nak angkut barang?” soal Cu Leha prihatin.

“Alhamdulillah, Majid sanggup tolong. Dah selesai nanti dia datang jemput.”

“Takpa, akak siap-siaplah. Kami ke sana dulu.”

“Terima kasih Ha, terima kasih banyak-banyak.”tutur mak menghargai jasa yang diberikan kepadanya.

“Sama-sama.” balasnya sebelum masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan suaminya.

Previous: Bab 80b
Next: Bab 82

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.