Abah menggaru-garu kepala yang mula terasa gatal. Sekali lagi gubok duit dibuka dan isinya dikira sebelum dia mengeluh, menandakan ketidakpuasan hati. Mak baru balik daripada tandas dan sambil berjalan, sempat juga dia memandang jam yang tersarung di tangan untuk memastikan hari, takut terlewat.
“Saya dah nak balik ni.” tutur mak sebelum memasukkan benang kait dan alatan-alatan lainnya ke dalam beg kertas, tempat kebiasaan ianya disimpan. Kain baju panas yang belum sempurna itu turut sama tak ketinggalan disertakan.
“Hmm.” balas abah sepatah, tak menoleh langsung ke arahnya sebelum mencapai surat khabar harian yang sudah mula lunyai akibat terlalu kerap dibaca.
“Bagi seringgit, saya nak beli belacan.” pinta mak bila teringatkan keperluan yang dah kehabisan.
“Duit! Duit! Duit! Awak tahu kan yang hari ni kena bayar duit Ah Fatt! Tak tahu lagi awak?” tengking abah sambil mecerlung marah pada mak. Mentang-mentanglah dah tak ada peniaga lain di situ, mulalah abah menunjukkan taringnya.
“Duit yang ada ni pun tak cukup lagi nak buat bayar hutang hari ni! Awak nak mengurangkannya lagi? Kalau Ah Fatt tanya, apa yang saya nak jawap dengan dia nanti?” tambah abah, masih belum mengendur lagi membuatkan mak sunyi sendiri.
“Ni, ayam ni pun masih banyak lagi yang tak habis, ni semua ni duit tahu! Tahu tak awak? Tapi awak tak habis-habis nak memintak! Nak memintak, nak memintak!” gerutu abah sambil menyelak helaian surat khabar berkenaan dengan kasar, mencerminkan kegusaran hatinya.
“Saya mintak salinan kad pengenalan awak nak buat pinjam ceti, awak tak bagi! Itulah, inilah kata awak! Ha, dah sekarang ni, nak apa lagi?” bebelnya semula.
“Awak..” belumpun dapat mak nak mencelah abah menambah.
“Bil eletrik pun dah bergantung berapa bulan masuk bulan ni! Along dengan angah pun nak guna duit. Situ nak duit, sini nak duit, semua nak duit! Ke sanggup awak nak kita bergelap sepanjang malam?”
“Apa awak tahu? Semua masalah tu atas kepala saya ni, bukannya awak!” herdik abah sebelum menjeling ke arah mak, membuatkan mak terus mati hati.
“Saya minta seringgit pun awak nak marah…kalau dah tak nak bagi, takpalah, tak perlulah nak marah-marah…” balas mak kecewa akibat herdikan yang tak di sangka-sangka itu, tapi dia dah biasa, kerana itulah asam garam dalam rumah tangganya. Walaupun dah biasa, tapi, entahlah kenapa, hatinya tetap rasa sedih juga, dan tanpa berlengah dia akhirnya melangkah meninggalkan abah.
Sesampainya di jalan belakang, jalan kecil yang tersorok dan kurang dilalui orang, mak akhirnya kecundang. Air mata yang cuba ditahan sejak tadi mula juga datang. Teresak-esak mak menangis, dah tak mahu menahan lagi kerana dia rasa betul-betul sengsara. Dia sedar dia tak punya apa, tapi perlukah dia dilayan sebegitu rupa.
“Mak…” rintihnya, mengadu pada yang telah diambil terlebih dahulu. Kenangan bersama dengan mak segera datang mengiring setiap kali dia perlukan teman.
“Mak…” rayunya lagi, perlahan, namun sudah cukup untuk menggegarkan hati dan perasaan. Sambil berjalan mak menundukkan kepala, tak mahu keadaanya itu diperasan oleh sesiapa, pengguna-pengguna jalan yang lain terutamanya. Sepanjang jalan basah dengan air mata mak yang tak henti bertitisan, kerana hanya itulah teman.
“Mak balik, mak balik! Mak dah balik! Makkkk…!!!” teriak Safi, Man dan Ina serentak bila ternampak kelibat mak jauh di hujung jalan, gembira dipertemukan sejak seharian ditinggalkan. Tanpa membuang masa, mereka berlumba-lumba berlari untuk mendapatkan. Mak yang masih dihambat kehibaan cepat-cepat menyapu air mata yang setia menemaninya sejak mula.
“Yey yey! Mak balik! Mak balik!” sorak mereka sebelum mengerumuni, dah tak ubah macam anak ayam, mengekor kesana dan ke sini.
“Kenapa berlari-lari ni? Jatuh nanti.” tutur mak sebelum mengusap kepala Ina dan Man perlahan dan serentak dengan itu dia mula rasa sebak lagi. Safi terus memerhati sebab dia sangat percaya pada hati dan hatinya kata macam ada yang tak kena.
“Huh?” tuturnya tak percaya setelah wajah mak diteliti lagi.
“Kenapa mata mak merah?” soalnya, tak boleh menyimpan lama. Segera mak menyental matanya.
“Merah? Ye ke merah? Iyalah tu agaknya, sebab mata mak tadi masuk habuk.” balas mak tak mahu membesar-besarkan perkara yang berlaku lagipun anak-anaknya itu masih terlalu kecil untuk dibebankan dengan tekanan.
“Mana habuk? Mana? Biar Safi tengok.” tutur Safi pula, segera ingin membantu.
“Dah tak ada dah, mak dah keluarkan tadi.”
“Ni kalian ni dah makan ke belum?” soal mak, dah tak mahu memikirkannya dengan lebih lama.
“Dah!” jawap ketiga-tiganya serentak sebelum sama-sama tergelak, sentiasa gembira bila ada bersama…walaupun kebanyakan daripada masa, mereka hanya akan bertekak sahaja.
Mak menepuk-nemuk dada Ina lembut selesai memberikan ubat deman berbentuk cecair yang dibeli di kedai mamak, abang saudaranya itu. Selimut perca kain yang ada di hujung kepala segera di capai sebelum ditebarkan dengan harapan demam anaknya itu akan segera kebah dan tak terlalu lama berlarutan.
Safi dan Man memandang ke arah Ina yang dah beberapa hari terbaring sebab demamnya masih belum hilang. Bila ada yang sakit, amanlah sedikit dunia, manataknya dah hilang satu geng, jadi ahli-ahli yang lainnya mulalah rasa hilang sorang, sampai riuhnya pun dah berkurang.
Mak menuang air soda yang baru dibelinya ke dalam cawan plastik sebelum disuakan pada mulut Ina, minta dia menghabiskannya, namun baru beberapa teguk, Ina dah menggeleng. Safi dan Man yang ada di sebelah setia menunggu giliran kerana mereka pun ingin merasa barang seteguk dua.
Bila cawan ditinggalkan, Man cepat-cepat mencapainya sebelum meminum baki yang ada tanpa pengetahuan mak yang masih menguruskan Ina. Bila Man selesai, Safi pula meneruskan, namun tindakan mereka itu berjaya ditangkap mak.
“Ya-Allah! Jangan kongsi cawan, berjangkit demam tu nanti!” tegah mak, tapi dah terlambat kerana dah tak ada sisa yang tinggal.
Safi, Man dan Ina yang sedang terlena ditatapi. Sejak beberapa hari ni rumah rasa sunyi bila tiga anak kecilnya itu dah serupa hilang kaki, natijah daripada demam yang dihidapi.
“Itulah sebabnya, dah berapa kali mak dah cakap, jangan kongsi...” bisik mak setelah melihat sendiri apa yang terjadi kerana ianya bukan pertama kali. Dengan berhati-hati bekas ubat nyamuk yang ada di hujung kaki mak alihkan jauh daripada situ, tak mahu perkara tak baik berlaku.
Safi, Man dan Ina duduk berlonggok di hadapan pintu sambil menyaksikan Mat dan Usop memproses ayam. Bila dah mula bosan mereka kembali semula ke ruangan depan. Mak yang baru balik mandi daripada sungai segera merapati ketiga-tiga anaknya itu sebelum memeriksa semula suhunya dengan belakang tapak tangan.
“Tulah sebabnya kan dah banyak kali mak dah pesan pada kalian, jangan main korek-korek pasir kat sungai tu waktu-waktu tengah hari tegak, tapi kalian degil. Tengoklah apa yang jadi. Jangan-jangan kalian ni keteguran.” tutur mak sebelum tangannya beralih pula ke hidung Ina yang sedang dilelehi dengan hingus.
“Seh cepat!” arah mak sambil menanti dengan telapak tangan kiri dan Ina segera mengeluarkan bunyi.
“Hembus! Bukannya sedut!” tegas mak lagi, setia juga menanti dan Ina akhirnya berjaya mengeluarkan kelompok yang pertama, mukus likat yang dah lama bermaharajalela. Bila dah berjaya mak segera melantingkan bahan buangan berkenaan ke luar tingkap sebelum dia bangun dan bergerak ke dapur untuk membersihkan tangannya pula.
“Kalau sehari dua ni tak sembuh lagi, kita ke klinik.” tutur mak setelah sedar segala usaha yang dicurah belum mendatangkan hasil seperti yang diharapkan.
“Minum air ni.” arah mak yang sudah datang semula dengan jug air berisi campuran biji selasih bersama dengan kembang semangkuk dan beberapa ketul gula batu yang dah didiamkan semalaman. Rawatan yang berkesan untuk mengurangkan kepanasan di dalam badan. Safi, Man dan Ina bersusun sambil menunggu giliran, kerana mereka percaya pada mak dan cara mak, sebab mereka nak cepat sembuh, lagipun dah lama sangat rasanya tak dapat bermain ke tanah.
“Ingat ya! Jangan turun tanah! Duduk senyap-senyap atas rumah. Tak payah mandi sebab badan tu masih panas sangat lagi, takut panas tu masuk ke badan pulak nanti. Kalau mak tahu kalian merayau-rayau ke tanah, siaplah kalian nanti.” ugut mak, hanya itu cara yang ada untuk mendisiplinkan anak-anak, dah tak ada cara lain, itupun ada kala tak berguna kerana anak-anaknya itu seringkali mengingkarinya. Serentak dengan itu, Safi, Man dan Ina menganggukkan kepala dah tak mahu dileteri lebih lama.
“Dahlah, baring, rehat elok-elok. Mak dah nak pergi pasar ni.”
“Ateh, nanti dalam pukul 11, ulang lagi bagi adik-adik minum air selasih ni. Biar cepat sikit kurangnya. Dah pukul berapa dah ni?” soalnya pula takut keciciran hari.
“Dah dekat pukul 8.” jawap ateh yang baru sampai membuatkan mak segera memeriksa.
“Ya-Allah, dah terlambat lah mak ni. Kalau terlepas bas, maknanya tak ada ikanlah yang nak dijual nanti. Dahlah mak nak bersiap, ingat apa yang mak pesan tadi ya. Jangan merayau-rayau.” tutur mak sebelum bergegas menukar baju. Baju kurung kedah bercorak bunga putih dan bertanah hijau pucuk pisang yang sudah agak lusuh itu dirapikan seadanya sebelum dia mencapai kain tudung oren gelap yang ada berhampiran. Segera mak lipat dan mengenakannya ke atas kepala dengan mencerut kedua bucunya untuk membuat ikatan yang teguh di bahagian dagu.
“Mak nak pergi pasar dah ni. Kalian duduk rumah elok-elok.”
“Ateh tengok-tengokkan adik. Air tu jangan lupa bagi adik-adik minum nanti.” tambah mak lagi sambil menuruni anak tangga yang licin akibat hujan yang berpanjangan.
“Iya!” balas Ateh dah mula naik bosan bila dah terlalu kerap sangat diingat.
“Bai bai mak…” tutur Safi, Man dan Ina yang dah beralih ke arah tingkap, masih mahu menghantar mak pergi sambil melambai-lambai kan tangan.
“Bai bai…assalammualaikum.” balas mak sebelum beredar seraya menolak basikal yang ada dipakir di bawah rumah.
“Waalaikummussalam…” jawap semuanya.
Mak termengah-mengah sambil terus juga meneruskan langkah. Sesekali jam ditangan diperiksa lagi untuk memastikan dia tak ditinggalkan, dan bus yang dinanti masih tak melewati. Saat matanya terpandangkan beberapa susuk tubuh yang sedang menanti di perhentian bus berkenaan, mak lantas tersenyum tanda syukur.
“Alhamdulillah…mujurlah.” tuturnya perlahan menzakirkan kesyukuran. Selesai memakir basikal di tempat yang agak tersorok di bahagian tepi kedai makan berkenaan, mak terus bergegas menuju ke perhentian bus. Dalam keadaan terkejar-kejar, mak sempat juga memeling ke arah kedai makan berkenaan, sebelum mak terpandangkan kelibat abah yang masih leka menghirup teh bersama dengan beberapa orang rakannya.
“Ya-Allah…dekat sini lagi? Ingatkan dah pergi ke kebun. Waktu dah macam ni pun ada di kedai lagi, dah tu nanti pukul berapa baru nak balik?” bisik mak berteman dengan perasaan kekesalan.
“Nampak gayanya, lambat lagilah Mat ke sekolah nanti.” tambah mak menyatakan kebimbangan pada kesan. Sedang mak berfikir-fikir, dia akhirnya terpandangkan kelibat bus yang baru melepasi selekoh yang terletak tidak berapa jauh.
Mat mundar-mandir di tingkap tinggi sambil sesekali memerhatikan jam yang tergantung di dinding lagi.
“Mana abah ni? Kenapa tak balik lagi?” soalnya yang sudah lama bersiap. Beg sekolah segera dicapai dan disandang ke bahu sebelum dia bergerak ke pintu rumah depan sambil mengenakan stokin dan kasut sekolah pula. Safi, Man dan Ina hanya memandang ke arahnya, tak tahu nak buat apa.
“Mat, Mat pergi jelah sekolah. Tinggal je kami kat rumah. Safi boleh jaga Ina dengan Man.” tutur Safi tak berapa lama kemudian, bersedia untuk bertugas.
“Betul ke ni? Tapi tadi mak pesan, tunggu abah balik dulu. Dah tu macam mana ni?” soalnya sambil memikirkan apa yang harus dilakukan.
“Pergi jelah. Mat pergi, biar kami duduk rumah.” tutut Man pula, memberikan Mat sedikit keyakinan.
“Betul ni? Betul kalian boleh duduk rumah?” soalnya semula dan serentak dengan itu ketiga-tiga adiknya menganggukkan kepala.
“Ok, kalau macam tu Mat pergi dulu. Kalian ingat ya, jangan main api.” pesannya sebelum segera beredar.
“Ok!” jawap Safi, Man dan Ina, patuh.
“Awak lambat!” tutur Cikgu Samsul yang sudah mula menutup pintu pagar utama untuk sesi petang persekolahan.
“Maaf cikgu! Maafkan saya.”
“Ayah saya lambat balik menoreh hari ni. Sebab tulah saya lambat.” tutur Mat menyatakan punca apa yang berlaku padanya, namun balasannya hampa.
“Dah dah! Saya dah tak nak dengar alasan awak! Dah kerap sangat awak lambat dan sekarang saya arahkan awak balik!” tutur Cikgu Samsul, tegas dan bersahaja membuatkan Mat terus terpaku mendengarnya.
“Tapi cikgu, saya..” belumpun Mat menghabiskan kata-kata dia ditempelak pula.
“Awak jangan nak menipu saya! Saya tahu awak memang sengaja beri alasan dan alasan awak ni dah basi. Jangan haraplah yang saya akan percaya lagi.”
“Sekarang awak boleh balik!” tegasnya semula membuatkan Mat mematikan segala hasratnya.
“Apa yang awak tunggu lagi? Kan saya kata balik! Baliklah!” arah Cikgu Samsul semula, hampir terjerit dibuatnya, marah dengan gelagat pelajar-pelajar yang tak tahu menghargai masa. Mat segera beredar dengan langkahan berat berteman air panas yang mula rasa bergenangan, tapi tak lama sebelum dia segara menyapunya.
Penyakit mengecek Safi memang tak pernahnya nak berkurang. Safi memang tak boleh tengok mak mengunyah. Bila nampak mak mengunyah mulalah dia datang menjengah dan mak mesti akan bagi apa yang dia ada pada Safi, walaupun dah sampai ke anak tekak sendiri.
“Buat apa tu?” soal Safi pada mak yang sedang mengunyah, menghabiskan gigitan yang terakhir. Hampir tersedak mak dibuatnya kerana awalnya dia telah memastikan tak ada sesiapa yang ada berdekatan.
“Apa?” soal mak kembali masih mahu menyembunyi.
“Tu, mak makan apa tu?” soalnya lagi kerana dia pasti sangat yang mak sedang menikmati sesuatu. Bulat matanya memerhati dan keadaan itu telah membuatkan mak rasa geli hati, tanpa dipaksa senyumnya datang sendiri.
“Hee…Safi ni, dah habis baru nak datang. Ni, ni je lagi yang tinggal ha…” terang mak sambil mengeluarkan sedikit baki kuih kaswi yang masih bersisa di dalam mulut, kudapan sampingan yang diperolehinya ketika musyuarat pekebun kecil sebentar tadi.
“Nak!” pintanya dengan mulut yang ternganga, minta disuap.
“Hmm, nah.” balas mak selesai mengeluarkan semula sebahagian kuih yang masih berada di pangkal mulutnya, mujurlah masih ada. Kalau dah tak ada takut ada yang kempunan pula. Safi menghabiskan kuih berkenaan hanya dengan satu kunyahan, nasiblah Safi bukan jenis yang penggeli, semua yang mak bagi, semuanya ditelan dengan rasa suka hati.
“Mak nak pergi mana tu?” tegur Safi pada mak yang sudah bersiap-siap dengan kain penutup kepala dan parang panjang.
“Mak nak pergi sungai cari pucuk paku. Safi nak temankan mak?” soal mak pula sambil mengemaskan gulungan kain di kepala.
“Nak!” jawap Safi sebelum bergegas turun.
“Mak nak bawak sayur tu pergi jual kat pasar ke?” soal Safi semula sambil berlari-lari membuntuti.
“A’ah, mak nak bawak jual kat pasar. Nanti kalau dah laku, bolehlah mak guna untuk beli barang duit tu.” balas mak sebelum meneruskan perjalanan mereka menuju ke tebing sungai. Kenangan dia dimarahi suami hanya kerana seketul belacan datang lagi dan sejak itu mak bertekad untuk berusaha mencari duitnya sendiri untuk membeli apa yang dihajati.