Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 99b

“Macam mana keadaan kakak saya doktor?” soal Safi pada doktor perempuan yang ada datang membuat rondaan.

“Susah nak cakap. Semua test dah dibuat, tapi kami masih tak dapat kesan di mana punca pendarahan tu.” balasnya selesai membaca fail pesakit yang ada diletak di hujung katil angah. Safi dan mak saling berpandangan tanda kecewa pada jawapan kerana sudah berbulan-bulan.

“Bawak-bawaklah bacakan Yasin.” cadangnya sebelum beredar meninggalkan Safi dan mak yang bertemankan kebuntuan.

 

“Macam mana you punya kakak hari ni? Kakak you kan? Hari tu sudah buat MRI kan?” soal doktor muda berbangsa tionghwa berkenaan, ke belakang dan ke hadapan, masih gagal mengingati profile pesakit di bawah jagaan, walaupun sudah ‘berkurun’ lamanya mendapatkan rawatan.

“Ha, dah.” jawap Safi ringkas. Betul-betul malas nak berbahas.

“Hmm…daripada test ni, masih tak dapat jumpa apa-apa…”

“Ct scan yang terbaru pun sama, tak tahu dekat mana.” tuturnya menyatakan apa yang Safi dah dengarkan, sebelumnya, juga sebelum-sebelumnya dan serentak itu Safi menghela nafas dalam.

“Saya rasa, baik awak bawak dia balik. Bawak jumpa bomoh.” tambahnya lagi, membuatkan Safi jadi pasti, mereka dah tak ‘mahukan’ angah lagi.

 

Sudah hampir seratus hari…seratus hari sejak dia dimasukkan ke sini. Hospital yang pernah menjadi nadi pada diri. Tempat dia menimba ilmu, juga tempat dia mencari rezeki, demi memenuhi keperluan keluarga yang disayangi. Tangan yang hanya tinggal kulit berteman tulang, digayang-gayangkan di hadapan mata, sebelum dia jadi pasti, dia dah tak berdaya lagi. Tanpa dipaksa, air mata hangat yang cuba untuk ditahan, akhirnya gugur juga.

 

Dulu dia pernah ada satu impian dan impiannya adalah untuk membesar, dan tua bersama dengan semua adik-beradik, angah terutamanya, sebab perangai angah lebih kurang sama dengan dia. Tak suka buang masa dan tak minat nak ambil tahu tentang terlalu banyak benda, cuma hal yang penting-penting saja. Sampingan? Tidak perlu terlalu nak diendahkan.

Dia suka cara pemikiran begitu, kerana dengan cara itu, dia dapat kurangkan masalah yang perlu disesakkan ke dalam kepala dan dia ada memasang satu angan-angan, iaitu untuk menjelajah dan melancong ke seluruh pelusok dunia bersama-sama dengan angah satu masa nanti, bila dia dah kaya, tapi, itu semua nampak makin…pudar.

Wajah angah yang masih terlena ditatap sepenuhnya sebelum air mata mula menjadi peneman.

“Angah…” bisiknya sebelum merebahkan kepala di birai katil kakaknya itu.

 

“Safi…” tutur angah perlahan pada Safi yang sedang memegang Al-Quran mini.

“Ha, kenapa? Angah nak minum? Ke angah lapar? Nak makan?” soal Safi ingin memudahkan.

“Angah…”

“Angah nak balik…” balasnya memberitahu isi hati.

“Nak balik? Tapi nanti macam mana? Doktor bagi ke?” soal Safi sebelum memikirkan keperluan untuk menunaikan.

“Angah, nak balik…”

“...angah nak balik kampung...” jawab angah terus menyatakan permintaan. Safi jadi tak sampai hati nak menyatakan bantahan saat matanya ditekan bebola mata angah yang nampak sangat terdesak untuk mendapatkan.

“Ok, ok. Kalau macam tu, nanti Safi pergi tanya dengan doktor.” jawap Safi sebelum menggenggam erat tangan angah, berjanji.

 

Selesai menimbangkan semua dan mendengar pendapat daripada Fizah, Cen dan Imah, mereka akhirnya membuat keputusan untuk menjaga angah di rumah. Atas bantuan Hospis Malaysia yang bersedia menyediakan kelengkapan seperti katil dan mesin oksigen untuk memudahkan, secara percuma, permintaan angah untuk pulang ke rumah akhirnya tercapai.

 

Pakaian pada tubuh angah yang sedang terbaring dikemaskan seadaanya. Safi sempat terpandangkan rombongan rakan-rakan angah, yang ramai tak terjumlah, melintasi jambatan menuju ke rumah kampung, tempat mereka berada kini, seketika cuma, sebelum matanya tiba-tiba terbuka dengan sendiri. Sekarang, barulah dia sedar yang dia sedang bermimpi.

“Astargfirullah hal adzim…”

“Astargfirullah hal adzim…astargfirullah hal adzim…” bisiknya sambil meraup muka.

Suasana ruang tamu yang masih gelap, membuatkan dia pasti yang hari masih jauh lagi untuk ke pagi. Sempat dia menoleh ke arah mak yang ada terbaring di sisi sebelum dia menuju ke katil angah yang ada di tepi.

“Angah…” bisiknya perlahan, melempiaskan perasaan berteman segunung harapan agar angah akan sembuh seperti sedia-kala dan mendapatkan dirinya semula.

Previous: Bab 99a
Next: Bab100a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.