Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 20a

Abah mengirai-ngirai daun dan batu-batu kecil yang ada terlekat di dalam jala. Sambil membersih dia turut memeriksa mata jalanya untuk memastikan tiada yang terkoyak. Sisi demi sisi diteroka sampailah dia terkejut akhirnya.

“Ni siapa punya kerja ni? Siapa yang pakai jala ni?!” soal abah marah saat terlihat lubang sebesar penumbuk yang ada di situ.

“Siapa punya kerja ni? Siapa yang pakai jala abah?!” soalnya lagi betul-betul tak puas hati, serentak dengan itu tangannya pantas memeriksa lagi, mencari.

“Kalian tahu siapa yang pakai jala abah?” soalnya semula sambil menjeling pada Safi, Man dan Ina yang sedang mengintai dari pintu tinggi dan dengan pantas ketiga-tiga anaknya itu menggeleng-gelengkan kepala. Melihat keadaan itu abah jadi lebih marah pula.

“Takkanlah kalian tak tahu, kalian yang duduk di rumah!” tutur abah kasar membuatkan anak-anaknya itu segera menyondokkan diri, dah tak nak terlibat dalam hal itu lagi.

“Tak habis-habis nak menyusahkan orang!” gerutu abah, masih nak menyambung sebelum menyedut rokok yang ada di tangan dan menghembuskannya kasar, tanda ketidakpuasan hatinya. Safi, Man dan Ina yang sedang duduk saling berpandangan sesama sendiri.

“Safi, kenapa Safi tak bagitahu pada abah?” soal Man berbisik, gaya perisik.

“Kenapa Man dengan Ina tak bagitahu abah?” soalnya pula, mahu meminta pandangan semua dalam nada yang sama, kekal berbisik.

“Kalau bagitahu, nanti mesti Mat kena marah.” balas Man pula sambil menjengukkan kepala ke rumah depan, manalah tahukan, tiba-tiba sahaja abah naik.

“Kesian Mat, nanti dia kena marah.” tambah Ina pula menyatakan pendapat, membuatkan Man menjeling saja kearahnya. Iyalah, kenapa setiap kali, Ina suka sangat ulang apa yang dia cakap. Menyampah betul! Bisiknya di dalam hati.

“Ha, kenapa pulak Man pandang Ina macam tu? Nak bergaduh? Ha, gaduhlah kalau berani. Tak tahu ke yang abah tu ada lagi kat bawah. Nanti kalau abah dengar, makin mengamuk la abah tu nanti.” tutur Safi mengingatkan akan akibat daripada perbuatan.

“Iya ke abah ada lagi kat bawah? Tak dengar pun suara abah. Ke abah dah pergi pasar balik?” soal Man tak percaya kerana sejak tadi abah senyap sahaja.

“Nanti Safi pergi check, jangan bising-bising tau.” tuturnya perlahan, mengarahkan. Dengan berhati-hati kepalanya dijulurkan pada palang tingkap dapur setinggi tiga kaki itu untuk memasti. Lokasi yang dicari, kawasan jala digantung…abah tiada, sebelum matanya beralih pula ke arah bakul ayam, tempat abah mencari ilham malam-malam…juga tiada dan dengan itu dia jadi pasti abah dah pergi.

 

“Mat Mat, tadi kan abah tanya kami, siapa yang koyakkan jala dia.” tutur Man menceritakan apa yang terjadi pada Mat yang baru balik daripada pasar.

“Dah tu kalian bagitahu, Mat yang buat?” soal Mat dah mula rasa takut. Safi dan Ina turut sama mendekat, tak mahu ketinggalan memberitahu maklumat.

“Tak, kami tak cakap, tapi Usop, Usop pun tahu kan? Macam mana kalau Usop bagitahu pada abah nanti?” soal Safi pula, setelah memikirkan kemungkinan yang bakal terjadi. Mat lantas meneguk air liur sendiri kerana dia tahu dia perlu menyiapkan diri untuk dimarahi.

“Kenapa kalian tak bagitahu abah siapa yang buat?” soal Mat pula mahu mengetahui alasan adik-adiknya itu menyembunyikan apa yang diketahui mereka.

“Kan Mat yang suruh jangan bagitahu. Lagipun kalau abah tahu Mat yang buat, mesti abah mengamuklah. Kalau along dengan Usop takpa lagi, abah tak marah sangat.” balas Man pula setelah memikirkan keadaan yang biasa dilihat kerana mereka sendiri perasan perbezaan layanan yang abah berikan. Serentak dengan itu Mat menundukkan kepala tanda kecewa, kerana dia turut sama merasa. Kenapa? Dia sendiri tak tahu puncanya.

“Dahlah, tak nak cakap tentang hal ni dah. Biarjelah, kalau abah nak marah, biarlah dia marah, lagipun bukan tak biasa.” tutur Mat sambil mencapai sehelai kertas surat khabar dan membentangkannya di tengah-tengah untuk dijadikan tempat alas makanan, supaya dapatlah mengurangkan sedikit tugasan kemudian.

“Jomlah kita makan. Ni, mak ada kirim roti canai. Ada tiga je, Man dengan Ina kena kongsi.” tambah Mat lagi sebelum membahagi serentak Man memuncung, sedikit tak puas hati kerana dia nak lebih lagi.

“Kalau Man tak cukup, Man boleh ambil yang Safi, kita kongsi. Lagipun besar roti ni. Tengok, lagi besar daripada muka Man.” tutur Safi sambil membanding-bandingkannya di hadapan muka Man, membuatkan adiknya itu ketawa senang hati sedang Mat dan Ina sudah memulakan suapan.

“Dah dah dah, makan, jangan main main lagi. Tak elok main-main dengan makanan.” tegas Mat, mahu rezeki dilayan selayaknya, kerana ia bukan datang sendiri, sebaliknya atas perkenan Dia, Pentadbir Sekalian Alam.

 

“Usop tahu siapa yang koyakkan jala abah?” soal abah pada Usop yang baru sampai ke sungai dengan baldi-baldi yang terjinjing di tangan.

“Mat bah, dia yang guna semalam. Jala tu lekat dekat batu tengah jeram, sebab tak dapat nak selam, Mat tarik je jala tu, habislah koyak.”

“Usop dah cakap dah, jangan jala kat situ, tapi Mat tak nak dengar.” jawap Usop menceritakan segala yang ada didalam pengetahuannya.

“Abah dah agak dah Mat yang buat, sebab dah selalu sangat!” balas abah, berapi semula setelah mengetahui kebenaran. Segera api rokoknya dihidupkan dalam usaha untuk mengurangkan tekanan.

 

Mat terus menghitung dan menghitung kerana masuk hari ni, dah empat hari abah langsung tak bercakap, walaupun sepatah dengan dia. Sebaliknya yang ada hanyalah jelingan-jelingan tajam yang menikam. Pedih rasa hati setiap kali, tapi dia tahu dia dah tak boleh nak kembali ke masa sebelum kejadian itu berlaku, dan perkara itu tak henti dimain-mainkan didalam mindanya saban waktu, tapi dia tahu dia tak mampu, kerana dia tidak mempunyai kuasa pembalik waktu.

 

Safi dan Man bergilir-gilir bermain dengan basikal tua abah yang ada di halaman rumah. Lepas seorang,seorang, berkali-kali tak tahu nak berhenti, lagipun abah tak ada, sebab abah pergi menjala dengan Usop. Berpusing-pusing mereka mengelilingi rumah yang sudah lapang tanahnya setelah dibersihkan mak beberapa hari sudah. Mat yang memerhati daripada tingkap tinggi sesekali melauh, meminta mereka berhenti.

“Safi, Man, dahlah. Dah lama sangat dah kalian main, nanti abah balik!” tuturnya memberikan peringatan, namun tak diendahkan.

“Sekejap la…sekejap je lagi.” balas Safi dan Man, seperti kebiasaan.

“Daripada tadi, asyik sekejap, sekejap. Dah berapa lama dah sekejapnya. Dah dah! Berhenti!” arahnya tak putus asa lagi, tambahan pula abah dah lama pergi dan kalau diikutkan, sekarang abah pasti dalam perjalanan pulang.

“Sekajap la…sekali je lagi.” balas Safi sambil tersenyum puas hati kerana dia tak mahu ketinggalan menunjukkan bakat yang ada dalam mengimbangi basikal yang separa dengan ketinggiannya itu, sedang pedal pengayuhnya pun baru cecah di hujung jari, tapi kerana usaha, dia dah berjaya menunggangnya.

“Kan Mat dah cakap jangan lalu kat situ…kat situ ada banyak paku!” tegas Mat lagi saat terpandangkan Safi melalui kawasan yang jarang dilalui kerana bahayanya, tempat mak membakar segala bahan-bahan yang dah tak diguna.

Selesai Mat memberikan arahan, perkara yang paling tak diingini itu akhirnya berlaku. Cepat-cepat Safi berhenti bila tayar basikal dirasakan mula hilang lantunannya, dan tanpa berlengah dia memeriksa. Man yang masih menanti turut segera merapati.

“Safi? Dah pancit ke???” soal Man tak percaya sampai bulat matanya, dah tak boleh nak kata apa. Serentak itu Safi mengangguk, membenarkan.

“Ha! Kan Mat dah cakap tadi. Dah pancit dah kan?” soalnya kesal, tak menyangka perkara terburuk itu tetap berlaku, walaupun telah beberapa kali peringatan diberikan dan tanpa berlengah dia turut sama mendapatkan adik-adiknya itu. Ina yang sedang leka menggentel botol susu segera menjengukkan kepala ke lubang tingkap yang luas terbuka, tak nak ketinggalan menyaksikannya.

“Mat, nak buat macam mana ni? Tolonglahhh…” rayu Safi minta pertolongan daripada yang lebih berpengalaman bila Mat dah ada berhampiran. Man segera menggaru-garu kepala, dah tak tahu nak buat apa.

“Eee…kalian ni. Itulah, dah berapa kali dah Mat cakap tadi? Jangan lalu kat sini, bahaya, tapi kalian tak percaya. Tengok, sekarang apa dah jadi.” balas Mat sambil memeriksa tayar basikal berkenaan. Keadaan tayar yang separuh mengempis itu membuatkan dia pasti lubang yang terhasil mungkin berskala kecil sahaja.

“Pergi ambik pam cepat!” gesanya pula. Berlari Safi dan Man pergi mencari kerana mereka perlukannya segera bila telinga seperti tertengkap bunyi suara abah daripada arah sungai. Mat pun apa lagi, dengan pantas basikal diusung ke tempat asal abah meletakkannya.

“Cepatlah! Mana pamnya?” soal Mat tak percaya, kerana alatan yang diminta masih tak berjaya dijumpai mereka.

“Sekejap-sekejap, dah jumpa dah!” jawap Safi setelah kalut mencari sebelum mereka berlari-lari lagi dalam usaha untuk menyelamatkan diri.

“Biar Man pergi tengok abah!” tegas Man senelum berlari ke arah sungai untuk mengintai. Tanpa berlengah Mat mencapai pam tangan tersebut dan mula menambah isiannya. Selesai beberapa puluh kali pengepaman, dia memeriksa untuk memastikannya. Dipicit-picit tayar berkenaan untuk mengetahui tahap kekerasan sebelum dia berhenti seketika sambil menantikan perubahan. Setelah beberapa saat berlalu, tayar yang sama dipicit lagi, begitulah keadaannya berulang kali.

“Cepat-cepat! Abah dah sampai dah! Abah dah sampai kat sungai.” tutur Man yang baru siap memeriksa. Berpeluh-peluh dahinya, entah kerana penat atau sebaliknya. Safi hanya mampu meneguk air liur sendiri, sambil di dalam hati kekal berharap yang Mat dapat melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mereka. Pucat lesi kulit coklat kuningnya sedang bibirpun dan hampir kebiruan akibat ketakutan. Dalam kekalutan, sempat juga dia mengesat peluh dingin yang hadir di kening jendulnya itu. Mat yang melihat, akhirnya tersenyum sebelum menggeleng-gelengkan kepala kerana situasi begitu memang dah menjadi lumrah di rumah.

“Mat…tolonglah…” rayu Safi, meminta lagi.

“Kan Mat tengah tolong ni, tunggulah kejap lagi. Kita tengok dulu macam mana. Mat rasa tak teruk sangat, tengok. Sampai sekarang pun anginnya masih ada lagi.” balas Mat sambil memeriksa tayar berkenaan semula.

“Dah, Safi dengan Man pergi naik atas rumah, duduk senyap-senyap. Mat nak tambah sikit lagi angin dia ni. Pergi naik cepat!” gesa Mat lagi tak mahu adik-adiknya dilihat di situ, dan tanpa membantah Safi dan Man terus berlari naik ke rumah. Mat kembali mencapai pam dan menambah kembali isiannya. Usop yang baru tiba segera menyondok di belakang batang pokok, saat terlihatkan Mat yang sedang terbongkok-bongkok.

“Kenapa pulak tu? Ke…” bisiknya perlahan sebelum dia tersengeh sendirian.

 

“Hish, entah apalah malangnya hari ni! Usop tahu, sampai je abah kat atas bukit rumah Cikgu Roslin, basikal abah pancit. Kena pulak menolak. Hei, malang betul.”

“Kena abah bayar 5 ringgit untuk ganti tiub baru. Dahlah lama kena menunggu. Tukang pulak tak ada, pergi bandar beli barang-barang dia, yang ada anaknya. Tuck tu bukannya pandai sangat lagi membuat kerja-kerja tukang ni, sampai berjam-jam abah menunggu.” bebel abah menyatakan ketidakpuasan hatinya sambil ‘mengasap nyamuk’ lagi.

“Ha? Tayar abah pancit? Patutlah…” balas Usop yang sedang tertongeng-tonggeng mencebok air sungai ke dalam baldi.

“Patutlah apa?” soal abah bila mengesan ada yang tak habis di situ.

“Abah nak tahu tak apa yang Usop nampak pagi tadi masa balik daripada menjala? Masa tu abah kat sungai lagi, kan Usop balik dulu.” tutur Usop memulakan gosip, segera baldi air yang sudah penuh diletakkan ke tepi.

“Apa yang Usop nampak?” soal abah, segera ingin tahu.

“Usop nampak Mat tengah pam tayar basikal abah. Usop ingat sebab apa, rupanya dia dah buat tayar tu pancit.” jelas Usop menyatakan apa yang dilihat mata, tanpa langsung menyelidiki apa yang sebenarnya terjadi.

“Betul ke ni Usop? Usop jangan tipu abah!” tutur abah marah sebelum tergesa-gesa menghabiskan hisapan.

“Betullah, buat apa Usop nak tipu abah. Usop nampak sendiri dengan mata Usop ni, nasiblah Usop sempat menyorok kat belakang pokok cempedak tu, kalau tak mesti ada yang nampak.” balas Usop, bersungguh-sungguh meyakinkan.

“Tak guna! Rupanya ada yang dah merosakkannya, betul-betul menyusahkan orang!” gerutu abah lagi dengan perasaan marah yang semakin lama semakin kuat menghentam pintu hati, sambil mengemas-ngemaskan buku limanya sendiri, lalu menyedarkan Usop tentang apa yang bakal terjadi.

“Tapi, abah jangan bagi tahu yang Usop bagitahu, sebab kalau Mat tahu Usop yang bagitahu, mesti Usop kena.” tutur Usop mahu melindungi diri sendiri, tak langsung cuba untuk mengerti kemungkinan lain yang boleh terjadi, kerana acapkali, apa yang tersurat tak menzahirkan apa yang tersirat. 

Previous: Bab 19b
Next: Bab 20b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.