Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 27

Mak membelek-belek fail yang menempatkan segala dokumen penting keluarga, termasuk surat beranak, surat-surat sumpah dan geran-geran tanah untuk memastikan keadaan. Sambil memeriksa, sesekali mak memandang ke arah abah yang masih tekun menelaah surat khabar dalam keadaan tertiarap dilantai, posisi kegemaran bila membaca.

“Saya dah tanya dengan Dauyah, dia kata, baik pergi adukan ke pihak sekolah, tapi kalau dah tak tahan sangat pindah. Pindah ke sekolah dia mengajar.” tutur mak mula berbicara.

“Huh! Kalau sekolah di bandar, banyaklah pulak belanjanya nanti. Duit tambang bus hari-hari…”

“Ni, sedang nak menyelesaikan hal buku ni pun tak tentu hala lagi.” balas abah, malas.

“Kalau itu yang terbaik, kita usahakanlah sama-sama. Takkan awak nak biarkan anak tu berhenti sekolah? Tak rasa bersalah awak?”

“Hal tambang tu tak perlu nak dirisaukan sebab Dauyah dah setuju dah nak tumpangkan Mat setiap hari. Dapatlah lapang sikit kita.” tambah mak menceritakan janji.

“Awak je lah yang pergi esok ya? Saya tak tahu apa yang nak dicakap dengan cikgu tu nanti.” tutur mak kekal mengganggu konsentrasi dan serentak dengan itu abah membetul-betulkan badan.

“Lagipun…” belumpun sempat mak menambah abah dah mencelah.

“Awak nak suruh saya basuh semuanya nanti!”

“Takpalah, kalau awak nak tengok saya ajarkan semua budak-budak tu, takpa, awak jangan pergi, biar saya yang pergi! Silap hari bulan, dengan cikgu-cikgu tu semua saya basuh sekali!” balas abah setelah mendengus marah.

“Janganlah sampai bergaduh-gaduh. Bercakap biar elok-elok, tak boleh?”

“Awak memang macam nilah, benda kalau masih boleh dibuat bincang, kita berbincang. Mulut tu pun nak kena juga dijaga, janganlah sampai terlalu lantang, nanti apa kata orang.” jawap mak pula tak sedia mahu mendengar masalah lain yang datang terkemudian, tambahan pula pendidikan Mat yang perlu diutama, hal-hal yang lainnya? Berserah sahaja pada Yang Maha Kuasa.

“Senangnya awak bercakap! Ha, kalau dah senang sangat, awak jelah yang pergi. Malas saya nak sakitkan hati ni!” gerutu abah, tak tahan diarah-arah.

“Tapi awak abahnya, bukan seelok-eloknya…”

“Dahlah! Dah malas saya nak memikirkan. Lagi difikir, lagi sakit kepala saya ni. Awak yang sabar sangat kan? Kalau macam tu awak jelah yang pergi!” tutur abah mengarah sebelum dia bergegas bangun dan turun ke tanah berteman kotak rokok merah dan pasangannya, pemancis api berbelerang di tepi.

Mak hanya mampu menarik nafas dalam, untuk cuba menenangkan hati agar jadi lebih tenteram. Sedaya-upaya dia mencuba, tapi entah kenapa kekesalannya bermukim juga dan tanpa sedar air matanya mula bergenang. Mat yang memasang telinga sejak mula hanya mampu tertunduk lemah sambil mengajar hati untuk cuba pasrah.

 

“Assalammualaikum cikgu.” tutur mak pada Cikgu Bazli, cikgu disiplin sekolah menengah berkenaan, setelah agak lama dia menanti di situ.

“Waalaikummussalam…Ya puan, ada apa yang boleh saya bantu?” balasnya yang baru masuk ke bilik, selesai sesi pembelajaran di blok kelas yang berhampiran setelah dapat mengesan sesuatu, bila penjaga itu datang bersama-sama dengan anaknya. Mat yang berada disebelah mak segera menundukkan kepala, masih belum betul-betul besedia untuk bercerita, kerana sesekali terdetik juga di hati, adakah perlu semua ini terjadi?

“Saya..saya nak bagitahu cikgu. Anak saya ni cikgu, dia kena buli dekat sekolah.” tutur mak setelah berjaya mendapatkan ayat yang bersesuaian, kekal menjaga peradaban, walaupun seksa yang tertenggung di dalam hati, hanya Allah yag dapat mengerti.

“Kena buli? Oleh siapa?” soalnya, antara percaya dan tidak.

“Dengan geng-geng Kojek, anak Cikgu Mat.” terang mak lagi.

“Maksud puan, anak pengetua?” soalnya semula sambil di dalam kepala menghubungkaitkan semuanya, kerana sudah kerap kali aduan seperti itu diutarakan, dan setiap kali juga, keadaan itu dapat diredakan. Sebagai guru disiplin, dia bertanggungjawap untuk memastikan reputasi seolah dijaga, dan tak dicanag sewenang-wenangnya. Kerana apa? Kerana sebarang kegagalan dalam mendisiplinkan pelajar adalah kekagalan baginya juga.

“Ya, Kojek anak pengetua! Dah banyak kali sangat perkara macam ni jadi. Selama hari ni saya tak pernah tahu yang budak-budak tu memeras anak saya ni.”

“Setiap hari mereka minta duit daripada anak saya, dah bertahun-tahun, tapi saya langsung tak tahu tentang perkara ni. Paling teruk, anak saya bagitahu, bukan dia sorang, tapi ramai lagi yang kena macam dia. Kenapa boleh jadi macam ni cikgu?” tutur mak menzahirkan kekesalan.

“Semalam mereka buat lagi teruk pada anak saya. Cikgu tahu apa yang mereka buat? Mereka buang beg sekolah anak saya dekat atas kedai lama yang ada dekat tepi jalan sana, dan yang paling saya kesal, bila kami datang nak ambil beg tu semula, beg tu dah tak ada. Entah kemana perginya.”

“Dalam beg tu ada banyak buku teks yang pihak sekolah pinjamkan, dah tu macam mana? Macam mana kami nak buat sekarang?” tambah mak dihambat kebimbangan bila memikirkan. Cikgu Bazli sedar yang dia takkan boleh menyembunyikan hal berkenaan lagi bila melihat penjaga itu benar-benar bertegas kali ini.

“Takpa, puan tunggu saya sekejap. Saya pergi panggilkan mereka.” tuturnya sebelum keluar bagi mendapatkan pelaku-pelaku yang mungkin terlibat.

“Mak…” tutur Mat yang sedari tadi kekal sunyi, sebelum dia tak jadi nak menyambung apa yang terdetik di hati, saat terpandangkan mata mak yang dah mula berkaca.

“Kenapa?” soal mak pula sebelum mengesat air mata yang deras jatuh dengan sendirinya dan sepantas itu juga Mat menggelengkan kepala.

“Mat takut?” balas mak, memahami apa yang Mat rasai kerana dia juga turut sama berkongsi rasa.

“Takpa, Mat tak payah takut, sebab mak ada.” bisik mak memberikan galakan pada si anak yang sudah belasan tahun dibesarkan, daripada sekecil-kecil tapak tangan, sehinggalah sebesar-besar insan, berbekalkan harapan agar di hari muka dia akan menjadi seorang yang berjaya, di sini dan di sana, tapi nampaknya jalan ditempuhi penuh dengan onak dan duri. Serentak dengan itu Mak beristigfar dengan sendiri, meminta pertolongan daripada Ilahi.    

 

“Nuar, Syuk! Duduk!” arah Cikgu Bazli pada pelajar-pelajar yang berjaya dicari. Nuar dan Syuk segera patuh dan dengan kepala yang kekal ditunduk, tanda baik lakunya. Baik…sebelum menjadi jahat.

“Cikgu nak awak berdua jawap dengan jujur. Betulke awak ada buangkan beg sekolah Muhammad Haspidallah semalam?” soal Cikgu Bazli jelas, mahu segera menyelesaikan segala-galanya, tak suka ditangguhkan terlalu lama. Nuar dan Syuk tetap menunduk, tak berani nak mengangkat muka. Mak tengok sahaja wajah pesalah-pesalah itu, satu demi satu, sebelum dia rasa lebih sedih dengan apa yang berlaku.

“Bukan seharusnya ada tiga? Tapi kenapa hanya dua?”

“Kenapa? Kenapa mereka memilih cara hidup yang sebegitu, pada usia semuda itu? Tak bolehkah mereka berkawan elok-elok? Kalaupun tak suka nak berkawan, perlukah sampai nak berlawan?” bisik mak di dalam hati dengan rasa kecewa, sebelum dia mendapatkan jawapannya. Kehidupan setiap manusia sememangnya berbeza. Coraknya bergantung pada didikan dan penerapan yang diberikan di dalam keluarga berkenaan.

“Saya tanya awak berdua ni? Betul ke awak yang buangkan beg sekolah Muhammad Haspidallah semalam?” soal Cikgu Bazli lebih tegas kali ini kerana perlu mengulangi pertanyaan yang sama buat kali kedua. Tanpa menunggu lama, kali ini Nuar dan Syuk menganggukkan kepala perlahan,  mengesahkan.

“Jadi, di mana beg sekolah tu sekarang? Di mana awak letakkan?” soal cikgu disiplin itu semula, ingin mengetahui kedudukan sebenar untuk setiap perkara yang didengar.

“Kami tak tahu cikgu. Sepatutnya adalah dekat situ, atas bumbung kedai tu.” balas Nuar sedikit tak percaya sampai berkerut-kerut keningnya.

“Mak cik cakap dah tak ada di situ. Betul awak tak tahu?” soal Cikgu Bazli semula, mencari kepastian dalam isu yang sama, tentang apa dan dimana.

“Betul cikgu, betul! Betul kami tak tahu!” tegas Nuar dan Syuk serentak dalam percubaan untuk mengelak kerana kebenaran, hanya ada pada mereka. Mak hanya mampu mendengar sahaja, sambil memikirkan tentang kesahihannya, samada benar atau sebaliknya.

“Puan dah dengar pengakuan mereka kan? Saya sebagai wakil pihak sekolah, memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.” tuturnya pada mak yang sedia menanti keputusan yang bakal dikeluarkan.

“Sekarang, saya nak kamu berdua minta maaf pada Muhammad Haspidallah, tapi ingat, selepas ini saya tak nak awak berdua mendekati dia lagi. Kalau saya dapat aduan tentang kamu lagi nanti, tindakan paling tegas akan saya jalankan. Mungkin kamu akan digantung atau dibuang terus daripada sekolah ni.” tuturnya dalam nada tegas.

“Baik cikgu, kami janji, kami takkan buat lagi.” balas Nuar dan Syuk lancar, cuba meyakinkan.

“Mat aku minta maaf. Mak cik, kami minta maaf.” tambah mereka pula sedaya-upaya mempamerkan kekesalan demi meraih sebuah kemaafan. Mak dan Mat yang mendengar tak tahu nak kata apa, tetapi tak seharusnya perkara sebesar itu berakhir dengan cara yang sebegitu. Sebaliknya tindakan paling tegas perlulah dilakukan, kerana itu bukanlah kesalahan yang pertama, dan yang paling mendukacitakan, Kojek langsung tak dilibatkan, sedang dialah ketua pada mereka semua.

“Nuar dan Syuk, saya arahkan kamu berdua membayar pampasan untuk buku-buku yang Muhammad dah kehilangan. Esok kamu berdua perlu membayar 10 ringgit seorang pada Muhammad, supaya dia boleh dapatkan semula buku teks dia yang dah hilang tu.”

“Ingat, esok kamu berdua kena langsaikannya!” arah cikgu Bazli, mengulangi, demi melancarkan segala kekusutan yang terjadi. Mak yang mendengar hanya mampu terlopng sahaja, kerana jumlah yang ditetapkan langsung tak masuk akal jika dibandingkan dengan kerugian yang mereka lalui, dan ia dilihat amatlah tak setimpal! Bagaimana mungkin duit 20 ringgit mampu membeli tiga buku teks yang baru? Bisik mak di dalam hati ditemani rasa tak puas hati, kerana dia rasa dianiyai.

“Tapi..tapi cikgu..” tutur nak tersekat-sekat, sebelum segera dipatahkan oleh Cikgu Bazli pula dalam usaha mencantikkan luarannya.

“Puan, saya harap puan dapat beri kerjasama dalam hal ini. Lagipun mereka masih terlalu muda lagi, dan kami seboleh-bolehnya tak mahu memusnahkan masa depan mereka.”

“Saya rasa puan sendiri pun tahu betapa besarnya kesan pada masa depan mereka andai mereka mempunyai rekod yang tak baik, paling teruk seandainya mereka dibuang sekolah, tak mungkin mereka dapat meneruskan pelajaran di mana-mana sekolah lain nanti.” tambahnya untuk mempengaruhi pemikiran dan pendirian mak dan setelah mendengar semuanya, mak hanya mampu menghela nafas dalam, untuk memujuk hatinya.

“Tapi cikgu...” tutur mak semula, namun segera terhenti tadkala terasa kehangatan genggaman tangan Mat, yang masih kekal tertunduk.

“Baiklah cikgu, kalau itu apa yang cikgu rasa terbaik untuk semua, saya ikutkan sahaja. Tapi harapan saya hanya ada satu…” tutur mak sambil membalas genggaman tangan Mat, erat.

“Tolonglah pastikan perkara macam ini tak berlaku lagi.” balas mak sebelum bangun kerana dia sudah mendapatkan jawapan bagi segala-gala, walaupun keputusan dilihat tak begitu memihak padanya.

“Baik puan, kami akan usahakan. Sekali lagi saya pohon maaf atas kesulitan yang berlaku.” balasnya sambil turut sama bangkit untuk menghormati tetamu dan tanpa banyak bicara mak akhirnya beredar. Nuar dan Syuk menghantar pemergian mak dengan senyuman yang mereka sendiri tahu akan maknanya.

 

“Mak Long? Kojek mana?” soal Nuar yang baru sampai di muka pintu pada Normah, ibu saudaranya itu.

“Ada dekat dalam bilik. Pergilah tengok.” balasnya sebelum menyambung tontonan rancangan yang disiarkan.

“Kojek!” seru Nuar pada Kojek yang sudah mula menguap besar, minta melayan mata.

“Kenapa? Apa yang tak kena?” soalnya kembali, mencurigai, kerana mereka baru sahaja bertemu tadi.

“Wei…” balas Nuar sebelum memikirkannya semula.

“Kenapa kau ni? Kau nak apa?” soal Kojek lagi makin bertambah sangsi.

“Kojek, jomlah teman aku pergi kedai tu.” tuturnya sambil menggaru-garu dagu.

“Kedai mana?” balas Kojek pula sambil barusaha memikirkannya.

“Kedai mana lagi, kedai kita campak beg si Mat lembik tulah.”

“Tiba-tiba terfikir pulak aku, apa jadi kalau dia bagitahu dengan mak bapak dia nanti? Lepastu mereka pergi ambil sendiri, jadi mesti teruklah kita kena nanti!” jelas Nuar setelah berjaya memikirkan kesannya.

“Dah tu kau nak buat macam mana?” soal Kojek mahu mengetahui rancangannya.

“Takpa, itu kau jangan risau. Tahulah aku nanti.”

“Jomlah!” gesa Nuar minta diteman, kerana dia perlukan sokongan.

 

“Kau biar betul Nuar, jangan buat pasal, jatuh nanti!” tutur Kojek sambil terbuntang matanya saat terpandangkan Nuar yang sudah mula mendaki.

“Takpa, aku boleh. Kau tengok je orang kat bawah.” balasnya perlahan sebelum berhati-hati meniti atap yang sudah ditutupi akar-akar yang bejalaran menuju ke tempat beg sekolah Mat berada bersama dengan sebatang kayu panjang yang sedia dipegang.

“Kau jangan salahkan aku Mat…semua ni jadi sebab kau.” tuturnya perlahan sebelum menunjal beg tersebut dengan kayu berkenaan. Jatuh menjunam beg itu kedalam lurah yang dipenuhi semak dan samun setinggi kepala orang dewasa, tempat habitat binatang, dan tak mungkin dihuni orang. Selesai menjahat, Nuar segera menuruni bumbung yang dipanjat. Kojek menyambut sepupunya itu dengan tepukan di bahu tanda kejayaan.

“Cepat gila kau buat!” tuturnya memberikan penghargaan.

“Tengoklah siapa? Si lembik tu memang saja nak cari maut. Aku percaya, lepas ni dia mesti akan berhenti!” tutur Nuar membuat kesimpulan kerana itulah yang diidam-idamkan.

“Kalau si lembik tu dah tak ada, barulah senang hati aku.” tambahnya sambil tersenyum puas dengan segunung rasa bangga.

“Macam mana kau tahu yang dia akan berhenti? Dah banyak tahun kita kacau dia, tapi dia masih ada lagi dekat sini. Tengok, sampai sekarang pun kau masih duduk dekat bangku simpanan lagi. Cikgu Khairul, tetap nak gunakan dia sebagai tekong utama, dan kau kat mana?”

“Kau kekal di bangku simpanan je.” balas Kojek sambil turut ketawa, membuatkan Nuar rasa makin tercabar pula.

“Takpa, kalau masih tak berjaya, kita cuba cara terakhir yang ada.” jawap Nuar pula sambil mengangguk-anggukkan kepala berbekalkan senyuman yang hanya dia tahu akan maknanya.

“Cara terakhir? Apa?” soal Kojek mahu mengetahui tentangnya.

“Itu? Nantilah baru aku cerita. Sekarang ni kita tunggu dan tengok je apa yang akan jadi nanti.” balasnya sambil ketawa senang hati.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.