Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 29

Mak sedang bersiap-siap untuk ke bandar bagi mencari buku teks yang Mat dah kehilangan. Suasana petang yang kering dan hangat, ditambah pula dengan ketiadaan kipas untuk menyejukkan, membuatkan badan yang baru sahaja disegarkan berpeluh semula. Cepat-cepat mak menyeka peluh yang turun di bahagian kening dan sisi pipi sebelum meratakan bedak air yang sudah menjadi kemestian ke bahagian muka yang baru dikeringkan.

Abah yang sedang berlunjur di pintu depan, berteman hobi kegemaran, menelaah akhbar Utusan sempat mengalihkan pandangan, sebelum dia meneruskan urusan, membaca setiap satu helaian.

“Betul awak taknak ikut saya pergi cari?” soal mak pada abah sambil terus meratakan bedak asas kegemaran.

“Ah! Malas la saya. Awak jelah yang pergi.” balas abah tegas sebelum meneruskan pembacaan. Mak yang mendengar terus senyap, dah tak tahu nak menambah apa, tapi di dalam hati ada juga terdetik rasa sedih dengan beban yang tergalas di bahu.

“Duitnya?” soal mak, sekadar mahu melihat akal abah, manalah tahu yang suaminya itu sudah berubah.

“Awak pakai jelah mana-mana yang ada!” jawap abah pula lalu mendengus, bukti ketidakpuasan hatinya.

“Mana-mana yang ada? Yang mana?” soal mak pula, sudah mula rasa terdera.

“Duit mana lagi! Duit yang budak-budak tu bagi! Ha, duit awak pun ada kan? Pakailah sekali!” balas abah kasar tak suka bersoal jawap seperti itu sebelum bangun dan bertindak untuk turun. Kepalanya dah tak dapat nak fokus lagi pada pembacaan. Mak hanya mampu menghantar pergi kelibat abah dengan rasa kecewa, kerana apa yang diharap, nampaknya masih belum berjaya, dan suaminya itu tetap sama seperti dulu.

Safi, Man dan Ina yang ada berhampiran hanya mampu melihat dengan mata yang membulat, sambil mempelajari setiap satu tindak-tanduk kedua-dua orang tuanya itu.

“Safi nak ikut mak?” soal mak dalam usaha meredakan hati yang kesakitan.

“Nak! Nak! Nak!” balas Safi, Man dan Ina serentak, seronok bila ada yang mengajak.

“Mak tanya Safi. Man dengan Ina kan dah pergi minggu lepas. Hmm, kali ni giliran Safi.”

“Safi kalau nak ikut, cepat siap.” tutur mak menerangkan dan dengan serta-merta Man dan Ina hilang keceriaan. Segera kepala ditunduk dengan muka terperosok. Safi apa lagi, terus terlompat, seronok dapat melepaskan hajat.

“Yey yey! Safi dapat ikut mak!” tuturnya gembira sebelum mencari pakaian yang perlu. Mendengar ungkapan itu, Man dan Ina yang sudah lama dijeruk rasa segera memulakan koir tangisan dalam kesunyian. Berderai-derai air mata, tanda kesedihan kerana mereka bakal ditinggalkan.

“Kan Man dengan Ina dah ikut mak minggu lepas…minggu ni, giliran Safi pulak. Takkanlah setiap kali Man dengan Ina je yang dapat pergi.” tutur mak menegaskan, selebihnya dia mahu menerapkan erti keadilan di dalam kehidupan. Adil, saksama, dan itulah pegangannya. Man dan Ina yang mendengar makin rasa sebak setelah sedar air mata yang dicurah takkan dapat membawa mereka ke mana-mana bila mak dah bulat dengan keputusannya, dan mereka takkan dibawa bersama.

“Huhuhu…” tangis keduanya kekal minta dibawa.

“Dah, jangan nangis! Kalau menangis lagi, mak dah taknak bawak Man dengan Ina keluar lain kali. Sudah!” arah mak tak suka melihat ada yang berduka, tapi dia takkan mampu nak membawa kesemuanya bila memikirkan tentang tambang bus yang terpaksa dibayar nanti, bukan kerana kedekut, sebaliknya dia lebih memilih perbelanjaan berhemat.

“Man dengan Ina nak mak belikan apa?” soalnya pula mahu memancing minat anak-anak terkecilnya itu untuk berbicara namun Man dan Ina tetap memilih untuk meyepikan dirinya.

“Man dengan Ina tak ada nak beli apa-apa?” soal mak semula, sambil merapikan tudung kepala. Melihat mak yan sudah hampir selesai membuatkan Man pasrah sahaja.

“Man nak robot…” balas Man perlahan berserta dengan pilihan.

“Robot? Buat apa nak beli robot? Robot bukannya boleh buat makan.” balas mak sambil menyarungkan keronsang di bahagian tudung depan. Mendengarnya, membuatkan Man seperti tak percaya, kerana pilihan hatinya tak diperkenankan pula.

“Ina nak cokelat!” balas Ina pantas dah tak sanggup menunggu lama, takut tak sempat.

“Man pun nak! Man nak cokelat katberi!” balas Man pula, tak mahu kalah.

“Cokelat apa? Katberi?” soal mak kembali sambil di dalam kepala terus mencari apa yang anak-anaknya itu hajati.

“Cokelat katberi…” ulang keduanya kembali.

“Cokelat yang ada iklan kat dalam tv tu, ha, cokelat yang tualah.” sampuk Safi yang sudah selesai merapi.

“Safi tahu yang mana?” soal mak pula, mahu memudahkan kerja.

“Tahu tahu!” balas Safi sambil mengangguk-anggukkan kepala mengesahkannya.

“Ha, takpa, kalau Safi tahu eloklah tu. Nanti Safi tunjuk pada mak yang mana satu.”

“Sini, sayang mak sikit.” tutur mak sambil menggamit, mahu mendakap kedua-duanya. Dengan pantas Man dan Ina meluru ke pangkuan mak seperti yang diarah.

“Dah, kalian tinggal ya. Nanti mak belikan apa yang kalian nak. Duduk rumah jangan nakal-nakal. Sekejap nanti mak balik.” tuturnya sebelum mengucup ubun-ubun kedua-dua anak yang terakhir, kerana nak menambahpun dah tak mungkin ada rasanya.

“Hmm.” balas Man dan Ina yang sudah dipujuk laranya.

“Ingat ya, duduk rumah jangan nakal-nakal. Dahlah, mak dah lambat ni, takut tertinggal dek bus nanti.” tutur mak menyampaikan pesan. Tanpa berlengah beg sandangnya dicapai.

“Safi, pergi ambil plastik.” arah mak bila teringatkan bekal tambahan yang perlu dibawa, dan tanpa berlengah Safi segera mengikut perintah.

“Bai-bai…assalammualaikum.” tutur mak sebelum bergegas turun bersama-sama Safi yang turut sama melambai-lambaikan tangan.

“Safi ingat! Jangan lupa cokelat!” jerit Man mengingatkan, tak mahu pesanannya dilupakan.

“Ok!” balasnya sambil kekal berbalas-balas lambaian, tak berkesudahan, selagi mata dapat melihat kehadiran.

 

Pergerakan bus terasa melambong-lambong dan begitu jugalah rasa segala isi di dalam perutnya. Perjalanan belumpun sampai separuh, tapi Safi dah merasakan kesan. Kemunculan peluh dingin di kening, menandakan kemabukan. Seboleh-bolehnya dia bertahan, tak mahu memalukan diri, lebih daripada itu, mak yang duduk di sisi. Perut mula rasa memulas-mulas, betul-betul rasa tak selesa, sama macam rasa nak membuang je, cuma berbeza tempatnya.

Puas menahan, akhirnya dia mengalah dan menyerah kalah bila gas yang terhasil di dalam perut sudah mula naik membuak-buak sampai ke tekak dan terus bergerak sampai ke kepala.

“Mak! Nak plastik!” gesanya perlahan dah tak mampu bertahan, tapi itu sudah cukup untuk memadamkan rekod semasa, kerana sebelumnya dia hanya mampu bertahan kurang daripada 10 minit lamanya.

“Ha? Dah nak plastik?” balas mak tak percaya sebelum bergegas mencari plastik beg yang disimpan tadi.

“Kejap-kejap! Tunggu sekejap!” tambah mak lagi sambil mengorek-ngorek perut beg, kalut bila Safi dilihat sudah mula melangkupkan tangan di mulut. Wajah Safi yang kepucatan menambahkan lagi kebimbangan.

 

Beg plastik kecil yang dah memberat digenggam erat dan dengan berhati-hati dia menuruni mata tangga besi bus henti-henti yang sudah agak berusia itu. Kaki terasa longlai dan tak bermaya, mematikan seluruh keseronokan yang dirasa pada mulanya. Selesai mencari tong sampah mereka mulalah melangkah, menuju ke kedai yang seharusnya dituju, tapi baru sahaja beberapa langkah, perutnya mula meragam lagi.

“Mak nak muntah!” tutur Safi, membuatkan mak menggeleng-gelengkan kepala tak percaya.

“Nak muntah lagi? Biar betul Safi ni!” balas mak bercampur baur antara terkejut dan marah, tapi tak lama sebelum dia terus memimpin Safi dan membawanya ke belakang blok kedai, tempat yang dirasakan sesuai.

“Muntah! Muntah kat sini.” arah mak pada Safi yang masih kemabukan. Melihatkan bibir Safi yang dah kepucatan membuat kan mak sedar yang anaknya itu dah berusaha semampunya.

“Hmm…Safiii..Safi. Sampai bila nak macam ni? Susahlah nanti kalau Safi nak pergi jauh daripada rumah. Macam mana nak belajar jauh kalau asyik mabuk je macam ni?” tutur mak sambil menggeleng-gelengkan kepala, sukar untuk mempercaya.

“Safi kata Safi nak jadi macam angah, dah tu macam mana nanti?” soal mak lagi membuatkan Safi mula meragui apa yang diimpi, tapi nak buat macam mana, bukannya dia sengaja, sebaliknya perut dia yang tak suka.

“Dah? Dah sudah?” tambah mak, sambil mengusap-usap belakang Safi, memberikan dorongan padanya. Buat seketika Safi hanya terdiam sebelum dia akhirnya menganggukkan kepala setelah pasti dah tak ada apa yang boleh dikeluarkan lagi.

“Ha, kalau dah, jom kita jalan. Kita tak boleh lambat-lambat sangat, nanti tak sempat nak naik bus pukul 5. Kalau tak sempat, maksudnya kena pulak kita naik bus pukul 6. Lambat pulak kita sembahyang nanti.”

“Dahlah, jom!” arah mak sebelum memimpin tangan Safi dan segera menuju ke kedai buku yang dihajati kerana dia tak punya banyak masa untuk diisi.

 

“Dah puas saya cari, tapi masih tak dapat lagi. Dah merata saya pergi, semua kedai buku yang ada asyik beri jawapan sama. Buku tu tak ada.” tutur mak pada abah yang ada terbaring sambil menonton berita dan serentak dengan itu abah menggaru-garukan kepala, tanda kematian akalnya.

“Dah tu awak nak saya buat macam mana?” soal abah, merengus marah tak gembira bila hatinya rasa tak selesa.

“Awak tanya saya? Kalau awak tanya saya, jawapnya saya nak awak ke KL. Carikan buku tu di sana, sebab dekat sini memang tak ada, buku tu tak sampai. Lagipun itu buku teks, buku daripada kerajaan, bukannya buku rujukan.” balas mak kekal mengawal suara, tak mahu mengundang bencana, kerana dia faham benar dengan sikap suaminya itu. Dia tak suka diarah-arah.

“Senang la awak cakap! Carikan buku tu di KL, tapi di mana? Entah di mana letaknya kedai buku tu pun kita tak tahu. KL tu bukannya kecik!”

“Malaslah saya nak memikir! Kalau awak nak, awak pergi…tapi kalau dah tak ada juga, maksudnya tak payah jelah!” bentak abah sedikit kuat, mujur suara TV agak gamat, kalau tak mesti semua jadi terperanjat.

“Awak ni memang susah sangat nak diajak berbincang. Awak suruh saya, lagilah saya tak tahu. Tak berani saya nak ke KL tu. Seumur hidup saya ni, yang dah masuk 40 lebih ni, pernahlah sekali saya jejakkan kaki ke sana, itupun sehari dua. Dah tu sekarang macam mana?”

“Sanggup awak nak tengok anak tu berhenti sekolah? Sanggup awak?” soal mak dah mula rasa tertekan setelah mendengarkan jawapan kerana dia hanyalah seorang wanita yang lemah, dan ada masanya dia mendambarkan sokongan juga dorongan, lagipun bukankan itu tujuan manusia dipasangkan? Rintih mak sedih memikirkan nasib diri yang berteman di pandangan, tetapi hakikatnya…dia seperti keseorangan dalam menempuh liku-liku kehidupan. Bebanan, tekanan, semuanya diserap sendiri, bila dah tak ada yang lain mahu mengambil tanggungjawap untuk memikul cabaran itu.

“Ikutlah mana yang baik! Saya dah malas dah nak memikirkan semua ni. Awak uruskanlah!” tutur abah tegas sambil bangkit daripada perbaringan setelah mood menonton rancangan kegemaran hilang disebabkan gangguan yang isterinya itu hasilkan. Sebelum turun, sempat juga abah mencapai kotak rokok dan mancis api yang ada di atas meja, kerana dia memang tak dapat nak berenggang dengannya.

Mak dah tak tahu nak buat apa dan tak menyangka yang abah boleh buat lepas tangan sahaja. Semudah itu? Adakah masa depan Mat tak penting baginya? Tapi kenapa? Kenapa tak pada anak-anak yang lain? Kenapa mesti hanya Mat? Soalan yang datang bertali arus, kekal di minda dan masih gagal untuk diurus.

Mat yang ada duduk bersandar di dinding dapur rasa lemah, bila semangat yang ada hilang dengan sendirinya saat terdengarkan apa yang abah kata. Entah kenapa, air mata yang mahal dipamerkan pada sesiapa itu akhirnya tumpah juga, namun tak lama sebelum dia menghela nafas dalam untuk mententeramkan hatinya.

 

“Baik, murid-murid. Buka buku teks muka surat 67. Hari ni kita masuk bab baru.” tutur Cikgu Samsul, cikgu matapelajaran sejarah itu, mahu meneruskan sesi pembelajaran. Mat tertunduk sambil meraba-raba beg sekolah yang ada di bawah meja sebelum mengeluarkan buku latihan sahaja.

“Awak Muhammad! Mana buku awak?” soal cikgu Samsul tak gembira bila terpandangkan meja Mat yang kosong itu.

“Tak ada cikgu.” balas Mat takut-takut.

“Tak ada awak kata? Macam mana boleh tak ada? Kenapa awak tak bawa?” soalnya bertalu dengan perasaan ingin tahu.

“Buku saya hilang cikgu.” balas Mat perlahan, sambil mendongak, minta belas kasihan.

“Hilang?!! Awak ni memang selalu sangat buat masalah! Dahlah selalu datang lambat, sekarang ni awak nak buat alasan buku awak hilang pula? Dah tu awak ingat saya nak percaya?” balas cikgu berkenaan sambil mencekak sebelah pinggang, cuba mengembalikan kepercayaan yang dah lama hilang. Ernie yang ada di sebelah turut sama tercengang.

“Betul cikgu! Saya tak tipu! Buku saya..” belumpun sempat Mat menerangkannya dia dah dipangkas terlebih dahulu.

“Dah dah dah! Saya dah tak nak dengar apa-apa alasan daripada awak! Sekarang saya nak awak keluar. Saya arahkan awak duduk luar kelas sampai loceng bunyi.” arahnya sambil menuding jari ke arah yang dimaksudkan, dah malas nak melayan. Mat bangun juga ditemani perasaan sedih yang tak tertahan, kerana perkara itu memang tak disengajakan.

“Cikgu buku dia memang hilang. Saya sendiri..” tutur Ernie yang sudah bangun, ingin membela Mat, namun terhenti saat Mat memberikan isyarat. Renungan dan gelengan perlahan yang Mat berikan sudah cukup mematah segala yang bakal dihujah dan dengan rasa lemah, Mat melangkah menuju ke tempat dia diarah. Lagipun itu bukanlah pertama kali terjadi, dan kini dia sudah lali.

Daripada luar bilik darjah, Mat mendengar dengan teliti apa yang cikgu ajarkan. Sesekali kepalanya terangguk-angguk dan mulutnya terkumat-kamit mengulangi fakta-fakta yang dirasakan penting untuk diingati, terutamanya tentang tarikh, tempat dan peristiwa, maklumat penting dalam mengenali sejarah dan peradaban manusia keseluruhannya.

Setiap kali ada point-point yang dirasakan penting, cepat-cepat di mencatat di dalam buku latihan yang ada di tangan kerana dia tak mahu ketinggalan dalam pelajaran. Tak kisahlah apa yang orang nak cakap, dan apa pandangan orang yang lalu-lalang pada dia, yang penting baginya, dia mahu turut serta dalam menimba ilmu pelajaran, biarpun terasaing daripada yang lain.

Sesekali Ernie memanjangkan tengkok memeriksa keadaan Mat yang tercegat di luar kelas. Bila mata mereka bertemu, segera dia melemparkan senyuman, sebagai bukti yang sahabatnya itu tak keseorangan, dan Mat yang melihat turut sama membalas keihlasan.

 

Lama Mat duduk atas jambatan, sambil memerhatikan air sungai yang tak berhenti mengalir, bergerak dan terus bergerak, berkejar-kejaran sesama sendiri. Bukan pemenang yang dicari, tapi demi memenuhi tuntutan Ilahi, bagi setiap yang mendahulu dan yang mengakhiri. Penat berdiri, dia akhirnya duduk bersila berteman basikal yang ada di sisi.

Satu demi satu peristiwa yang berlaku disusun dan diingati, demi mencari keputusan yang baik untuk diri. Perlukah dia berhenti? Soalnya pada hati, sebelum segera dia menggeleng-gelengkan kepala, tak sanggup hanya untuk memikirkannya.

“Tak! Kau tak boleh berhenti! Kau kena teruskan. Kalau kau berhenti, kau nak jadi apa nanti?” tuturnya dalam usaha menjernihkan kecelaruan fikiran.

“Kau kena terus berjuang Mat, jangan mudah putus asa. Memang tak ada benda yang mudah…tapi tak ada juga yang begitu susah! Mesti ada cara untuk selesaikan semua ni, mesti ada!” bisiknya, ingin memujuk hati yang terluka sebahagiannya.

 

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.