Safi duduk bersandar di muka pintu dengan mata yang masih melekat sambil memerhatikan mak menumis bawang dan lada kecil. Selesai menumis mak memasukkan kubis yang dah sedia dihiris sebelum selejang kemudian memasukkan pula nasi putih. Keenakan nasi goreng yang mak sediakan seperti sudah dapat dirasakan hanya dengan baunya sahaja. Lemak, pedas sampai yang menghidu baunya turut sama terbersin, berdas-das.
“Aa..ashiem!” Safi terbersin juga akhirnya setelah sedaya-upaya menahan lubang hidungnya dan mak yang melihat hanya mampu tersenyum.
“Safi, nanti Safi tolong mak boleh?” soal mak, sambil terus meratakan nasi di dalam kuali.
“Hmm, boleh.” balasnya yang masih menutup hidung dan mulut.
“Dah siap masak ni, mak nak jerang air. Safi tolong mak tunggu api ya, sebab mak nak pergi mandi, nanti lambat pulak mak pergi beli ikan. Kalau lambat, tak sempat bus, maksudnya tak adalah ikan yang nak dibuat jual nanti.” terang mak lagi sambil terus tekun memaling dan meratakan nasi berkenaan, biar sama warna, sama rasa.
“Ok.” balas Safi segera memahami sambil mengangguk-anggukkan kepala beberapa kali.
“Safi, Safi…nanti bila abah pergi mandi, lepas siap sembelih ayam, Safi tolong Mat sikit boleh?” tutur Mat yang tiba-tiba menghampiri Safi, sedang dia leka menunggu api.
“Mat nak Safi tolong apa?” soalnya kembali, sambil tangan berusaha untuk memasukkan beberapa tongkol dahan kecil ke dalam dapur kayu arang berkenaan.
“Safi tolong ambik sebatang rokok abah, boleh?” balasnya takut-takut.
“Uish! Biar benar Mat ni! Tak marah ke abah nanti?” jawap Safi terkejut dengan bahu yang turut sama terhenjut.
“Itulah sebabnya Mat suruh ambil masa abah tak ada, kalau abah tahu habislah kita.” balas Mat perlahan, tak mahu rancangan mereka diketahui sesiapa, Usop terutamanya kerana Usop adalah tali-barut abah dan mulutnya memang besar, betul-betul tak ubah macam tempayan yang dah pecah.
“Ok!” balas Safi melancarkan beberapa saat kemudian.
Mak sedang bersiap-siap untuk ke pasar, dan seperti biasa sebelum keluar bekerja di akan meninggalkan pesanannya.
“Mat, tengok adik-adik. Jangan bagi adik-adik merayau sendiri-sendiri kat tanah tu. Takut ada benda tak elok jadi nanti. Lagipun sekarang ni dah nak dekat raya cina, manalah tahu nanti ada yang datang berburu.” tutur mak sambil memasukkan bekal makan yang sudah siap diisikan. Botol air minuman juga tak ketinggalan untuk sama-sama dimuatkan dalam beg kertas yang kelihatan sudah lusuh, tinggal menanti masa sahaja untuk roboh.
“Ok.” balas Mat ringkas sambil duduk tersidai separuh badan di tingkap bilik tidurnya, membiarkan tubuh yang tak berbaju dijamu bayu pagi yang mendamaikan, selepas kerja memproses ayam selesai.
“Nanti sebelum pergi sekolah, jangan lupa makan nasi dulu. Mak dah masakkan sambal ayam, ada kat bawah tudung saji. Duit belanja ada dekat atas meja ni.” tambahnya lagi, meninggalkan saki-baki amanat yang mampu untuk diingat sebelum memulakan langkahan kaki menuruni anak-anak tangga kayu yang sudah begitu uzur itu akibat daripada tindakbalas dengan alam semulajadi.
“Ha, satu lagi! Ingat, jangan bagi adik-adik main api, takut tak berumah kita nanti.” tambah mak yang sudah menyonsong basikal merah bersaiz kecil miliknya itu.
“Ok, jalan elok-elok.” balas Mat mendoakan keselamatan.
“Iyalah, mak pergi dulu. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum memulakan perjalanannya ke pasar yang terletak 10 minit perjalanan daripada tempat tinggal mereka.
“Waalaikumussalam…” ucapnya sebelum kepala mula memikir dan merencana rancangan yang seterusnya kerana hari ni giliran dia untuk menjaga adik-adik. Sekolah dua sesi diperlukan bagi menampung jumlah pelajar yang tinggi berbanding dengan jumlah kelas yang dimiliki. Dia bersekolah pada waktu petang, bergilir dengan angah yang kelasnya dilakukan pada waktu pagi dan begitulah rutin harian untuk tahun persekolahannya kerana bilangan pelajar yang ramai tak mungkin membolehkan persekolahan dijalankan dalam satu sesi sahaja.
Suasana rumah yang terletak jauh tersorok di dalam tanah kampung, sunyi sepi, hanya ada bunyi ayam jantan berkokok yang dapat sekali-sekala didengari, memudahkan kegiatan yang ‘menakutkan’ itu dilakukan.
“Safi, mana?” soalnya pada Safi yang sedang bermain batu seremban dengan Ina dan Man.
“Apa?” balas Safi tak tahu.
“La…yang Mat suruh ambil tadi, mana?” jawap Mat sambil menghampiri adik-adiknya yang masih leka bermain.
“Ooo…yang tu. Tu, ada kat belakang tiang.” balasnya sambil memuncungkan bibir ke arah yang dimaksudkan, serentak Mat tersenyum puas hati dengan prestasi Safi. Gembira kerana adiknya itu memang boleh selalu diharap.
“Nak pergi mana tu?” soal Safi pula saat melihat Mat sudah bergerak menjauhi mereka.
“Turun tanah. Nak ikut tak?” balasnya mempelawa.
“Nak!” balas Safi, Man dan Ina serentak, tak mahu ketinggalan menyaksikan apa yang bakal Mat buat.
Sambil menyangkung, sebuah kotak mancis yang sudah kemek dikeluarkan daripada kocek seluarnya sebelum sebatang mancis lagi berusaha untuk dihidupkan, tapi malang cubaan pertama langsung tak membuahkan hasil, tak kurang juga untuk percubaan yang kedua kalinya. Mat mula rasa gabra, tak selesa berlama-lama, manataknya, bimbangkan abah. Takut abah balik tiba-tiba macam hari yang sebelumnya.
Dalam keadaan tergesa-gesa, sebatang lagi mancis cuba untuk dihidupkan sebelum dia jadi lega kerana akhirnya dia berjaya. Perlahan-lahan api yang berjaya hidup disuakan pada batang rokok yang telah sedia terlekat di bibir, meniru aksi yang biasa dilakukan oleh abah, bulat-bulat.
Setelah sedutan pertama diambil, Mat terus tersenyum gembira kerana matlamatnya tercapai. Asap yang berkepul-kepul keluar daripada mulut berjaya membuatkan hatinya berbunga ceria. Safi, Man dan Ina yang melihat ketawa senang hati, suka melihat kabus yang terhasil dengan tangan yang dihayun ke kiri dan ke kanan, cuba menangkap asap yang kelihatan.
“Hik hik hik!” gelak Man dan Ina suka hati, terhibur dengan liburan yang Mat pamerkan.
“Tengok yang ni pulak!” ucap Mat ingin menunjukkan teknik yang seterusnya, sebelum satu hisapan kuat dilakukan untuk membuktikan kepakaran.
“Hak hak hak hak!” terkekeh-kekeh Man dan Ina ketawa bila kedua-dua lubang hidung Mat dilihat mampu untuk mengeluarkan asap pula, betul-betul tak ubah macam serombong kapal.
“Itu tak habis lagi, ni, tengok ni pulak!” tutur Mat sebelum mengeluarkan asap yang menyerupai gelang, berlubang.
“Nak, nak! Nak cuba pulak!” pinta Man dan Ina yang sudah berebut-rebut ingin bermain dengan rokok.
“Man dengan Ina tak boleh, sebab Man dengan Ina kecik lagi. Rokok ni untuk orang besar je.” balas Mat memberi alasan, kerana kedua-dua adiknya itu masih terlalu kecil untuk dilibatkan.
“Safi nak cuba?” soal Mat pada Safi yang masih duduk menyangkung di sebelah, bila melihat mata Safi tak berkelip daripada memandangnya.
“Nak!” balas Safi pantas, dengan perasaan penuh ingin tahu. Serentak batang rokok yang disuakan kepadanya dicapai sebelum disedut sekuatnya.
“Ohok ohok! Ohok ohok!” serta-merta dia terbatuk.
“Kenapa rasa macam ni? Ohok! Ohok ohok!…” tuturnya terkejut dengan biji mata yang luas terbuka, tak pernah menyangka itulah rasanya. Tekak, hidung dan mata terus jadi pedih dan sakit, betul-betul rasa...tak berguna.
“Ha ha ha…memang macam tu la rasanya, tapi janganlah sedut kuat-kuat macam tu, tak ingat macam mana abah buat?”
“Kan abah sedut pelahan-pelahan je, macam ni.” jelas Mat sambil tangan segera mencapai batang rokok yang masih berada di tangan Safi dan menyambung hisapannya semula.
“Ha, macam ni! Mula-mula sedut, tahan dekat tekak, lepastu hembus keluar kat hidung.” tambah Mat lagi, memberi sedikit panduan.
“Macam ni, ha macam ni.” ucapnya sebelum membuat ujian sekali lagi, berkepul-kepul asap keluar daripada hidung menunjukkan kejayaan.
“Nah, ambil cuba.” galaknya lagi sambil menyuakan semula rokok yang ada di tangan pada Safi.
“Taknak taknak, Safi tak nak! Kalau Mat nak hisap Mat hisap la, tapi Safi tak nak, tak sedap pun.” jawap Safi pasti, sambil dalam hati mula sangsi apa sebenarnya tujuan rokok diadakan? Adakah sekadar untuk memakan asap?…gilalah! Bisiknya sendiri bila jawapan akhirnya diperolehi.
“Tapi ingat ya, ini rahsia kita berempat je. Jangan bagitahu siapa-siapa, Usop terutamanya, sebab dia kan tali barut abah. Boleh janji dengan Mat tak?” soalnya ingin membuat perjanjian dan tanpa ragu-ragu, ketiga-tiga adik terkecilnya itu menganggukkan kepala tanda setuju.
Abah memeriksa kotak rokoknya sekali lagi sebelum dia seperti menyedari sesuatu.
“Saya rasa budak-budak ni ada yang dah pandai merokok. Saya perasan rokok saya ni banyak yang kurang, padahal baru saya buka malam semalam.” tutur abah yang masih sibuk menghitung baki batang rokok yang ada di dalam kotaknya. Mak hanya mampu senyap, tak mahu komen apa-apa sebab takkan ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, bisiknya sendiri.
“Awak dengar ke tak apa yang saya cakap ni?” soal abah pula bila melihat mak seperti tak mahu memberikan perhatian padanya.
“Awak tanya saya? Dah tu apa yang saya nak kata? Awak yang suka sangat merokok, lepastu merokok depan anak-anak, paling tak elok suruh anak tu ke kedai beli rokok awak, bila rokok awak habis, padahal mereka tu masih budak-budak.”
“Dahtu apa lagi yang awak harap kita dapat? Memang tak ada lainlah, inilah yang kita dapat.” balas mak memulangkan paku buah keras. Abah mula naik angin, segera kotak yang berada ditangan disimpan semula ke dalam kocek baju kemeja lusuhnya itu.
“Dahlah! Awak tunggulah Ah Fatt! Bayar mana yang ada pada dia, yang lebihnya masuk buku dulu. Saya nak balik rumah jenguk budak-budak.” tutur abah memberi alasan sebelum mula melangkah daripada kawasan gerai yang dirasakan semakin panas dan tak mendamaikan.
“Ya-Allah, saya lagi ke yang kena mengadap Ah Fatt hari ni? Dah cukup dah ke duit tu untuk bayar hutang yang ada? Tak cukup kan. Nampak gayanya kena marah lagilah saya dengan dia hari ni.” tutur mak kecewa.
“Awak selalu macam ni, mudah lepas tangan dan biar semua masalah dibebankan pada saya. Awak memang…”
“Dahlah! Dah malas saya nak mendengar. Awak bayarkan jelah dengan mana-mana yang ada nanti!” tutur abah mencelah, bila telinganya sudah mula merah menahan marah, meninggalkan mak yang masih minta diramah, dan serentak dengan itu mak menggeleng-gelengkan kepala lemah.
Along duduk di mata tangga, kekal berdoa agar dia mendapat peluangnya, sambil minda ditemani dengan gambaran perancangan yang bakal dilakukan. Visual kotak rokok abah yang berada di mata tangga tak dapat untuk dihapuskan. Terasa kecur air liur saat melintasinya sebentar tadi, mahu dicopek, tapi masanya macam tak kena, takut kegiatan yang biasa dilakukannya itu berjaya ditumpaskan.
Sesekali dia menoleh pada abah yang masih duduk di bawah pokok langsat sambil melepaskan gian mencurutnya. Berasap-asap sampai nyamuk pun tak ada yang berani nak mendekat.
“Along tolong abah cuci ayam hari ni boleh? Abah nak pergi tengok tajo/kail yang abah dah pasang semalam, untung-untung ada yang mengena, dapatlah kita buat gulai nanti. Semalam tak ada yang mengena, mana tahu ada rezeki, lagipun hari ni along dah nak kena balik kan?” tutur abah sambil mencapai dan mengibas-ngibaskan tuala nipis yang ada tersidai pada dahan pokok koko ke arah badan.
“A’ah, dah kena balik dah hari ni, sebab esok dah mula kelas. Takpa abah pergilah tengok tajo tu, along boleh mesinkan ayam ni. Abah tak payahlah risau.” balas pelajar tingkatan 3 yang bersekolah di sekolah sains itu, sekadar menunjukkan karisma, kononnyalah sebaliknya hanyalah sebahagian daripada perancangan yang membolehkan dia mendapat apa yang dihajat.
“Iyalah, kalau macam tu abah ke sungai dulu.” jawap abah lega. Bila kelibat abah sudah melebihi pertengahan jalan, along terus bergerak dan memulakan operasi demi mendapatkan apa yang diingini.
Usop, terkendap-kendap mendaki tangga rumah yang tak berpenghuni sebelum dia tersenyum senang hati, saat terpandangkan kotak rokok yang ditinggalkan sendiri dan dengan sepantas kilat, kotak rokok yang terdampar dicapai sebelum sebatang isinya dikeluarkan dan dimuatkan ke dalam kocek seluar yang sedia terpakai di badan.