Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 70

Perjalanan majlis kenduri yang dirancang berjalan lancar. Pak Musa, gembiranya dah tak terkata, sampai tergambar di muka setiap masa. Sambil berjalan, dia mengeluarkan nota senarai barangan yang telah dicatat oleh isterinya sejak awal-awal lagi.

“Abang Musa, nak beli apa?” soal mamak pada pelanggan tetapnya itu.

“Banyak yang nak dibeli. Beras sahaja dah nak 60 kg. Boleh hantarkan terus ke rumah nanti?” soalnya kembali.

“Boleh! Tapi, beli banyak-banyak, ada nak buat kenduri?”

“Ya. Nak buat kenduri kahwin anak perempuan tunggal saya tu.”

“Dengan siapa? Maaflah, tak terdengar pulak saya.”

“Dengan anak Cikgu Ali, bekas guru besar sekolah rendah dulu.”

“Oh…dengan anak Cikgu Ali. Memanglah ada saya dengar, tapi tak tahu pulak saya pasangnya anak abang. Alhamdulillah kalau macam tu. Benda baik, tak perlu nak ditangguh-tangguh. Takpa, abang beritahu saya barang-barangnya, biar saya buatkan senarai.” pintanya memudahkan cara. Mat yang sedari tadi memasang telinga tertunduk sepi, berteman rak-rak barangan sebelum mata serta-merta rasa panas pula. Rangkap-rangkap ayat cinta yang pernah disulam bersama terbayang di hadapan mata. Perjanjian dan luahan hati, bukti pengabdian sebuah ikatan, ternyata hanya akan tinggal sebagai kenangan yang takkan dapat untuk dijelmakan.

“Ernie!” sepatah nama yang sentiasa menjadi peneman hatinya, diungkap lagi.

“Ernie…maafkan Mat…” bisiknya sebelum segera menghapus air mata yang terbit dengan sendirinya.

“Mat, Mat!” laung mamak selesai mengambil pesanan.

“Ha, ya, mamak.” jawapnya yang sudah datang menghampiri.

“Ni, ambik senarai ni. Siapkan semuanya, lepastu hantar barang-barang tu ke rumah Pak Musa. Nanti, mamak sediakan invoisnya. Bila Mat pergi nanti jangan lupa bawa sekali.”

“Hujung minggu ni, dia ajak kita semua datang kenduri. Mat jangan lupa pergi.”

“Ha? Ha.” jawap Mat seringkaskannya.

“Takpalah mamak, Mat pergi siapkan semua barang-barang ni dulu.” tambahnya sebelum berlalu ditemani rasa pilu dan ngilu.

 

“Mat! Sudah-sudahlah tu. Jom kita pergi.” tutur mamak yang sedang merapikan kemeja batiknya.

“Nak kemana kita?” soal Mat semula.

“Kemana lagi? Pergi kenduri! Mat dah lupa? Kenduri rumah Pak Musa.”

“Dahlah tu. Kita pergi makan dulu. Nanti petang baru sambung semula.” arahnya sebelum mencapai kunci kereta yang ada bergantungan di bahagian belakang kaunter pembayaran.

“Takpalah mamak. Mat tak nak pergilah. Mat…”

“Kenapa tak nak pergi? Kalau Mat tak pergi, tak bertemanlah mamak nanti sebab Aciknya tak boleh nak pergi. Tak sihat badan. Kalau…”

“Takpalah mamak, jom! Jomlah kita pergi.” balas Mat dah tak nak memanjangkan.

 

“Mat!” bisik Ernie, hampir berteriak saat terpandangkan Mat yang ada di kalangan tetamu jemputan. Langkahan kaki baru ingin dibuka, namun, belum sempat kemana, lengannya dikunci erat.

“Kau nak pergi mana?” soal Lutfi, tak gembira pada apa yang dilihat mata. Serta-merta Ernie menundukkan pandangannya, kecewa.

“Ernie…” seru Mat sayu saat terpandangkan wajah itu sebelum dia mengambil keputusan untuk beredar daripada situ.

 

Ernie yang ada duduk di hujung kaki diperhati dengan mata helangnya sebelum dia meneguk air liur yang rasa makin ketat. Puntung rokok yang baru dihisap segera dimatikan bila dia dah mula hilang minat. Tak dapat nak menunggu lama, dia akhirnya datang mendekat.

“Kau dah jadi milik aku, dan aku nak kau tahu tentang itu…” tuturnya sebelum memeluk erat sekujur tubuh itu untuk melempiaskan segala yang terbuku. Dalam amukan badai cumbuan yang tak berkesudahan, Ernie hanya mampu untuk bertahan, bertahan dan terus bertahan. Bau asap rokok yang mencucuk-cucuk, membuatkan dirinya tambah tersiksa.

“Mat…” hatinya berbisik sambil mengingati setiap satu bait-bait lagu rindu yang pernah dicipta bersama. Curahan hati dan perasaan dua insan yang pernah merasai makna percintaan. Kejujuran yang dibalas kejujuran tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, melainkan keikhlasan. Air mata yang cuba ditahan awalnya, tumpah juga, bila diri mula lemas dalam lautan kenangan.

 

“Ernie…” bisik Mat berteman gambar kesayangan. Walau dalam kesamaran, wajah kekasihnya itu tetap jelas kelihatan. Bila hatinya makin tak tertahan, dia mengubah iring tubuh menghadap ke arah dinding.

“Ernieee…” rintihnya lagi sebelum mendekatkannya ke dada tanda cinta yang sentiasa ada dan tak sebegitu mudah untuk dilupa. Air mata yang sudah kering awalnya terbit semula bila seraut wajah itu terbayang dimata dan bersuara dihati, kerana hanya ada Ernie yang bertakhta di jiwanya.  

 

“Mana Mat ni?”

“Kenapa asyik balik lambat je sejak dua menjak ni? Kemana dia pergi?” soal mak selesai memeriksa jam yang ada di dinding. Laungan azan maghrib yang terang membuatkan dia kembali tenang.

 

“Keluar jap mak!” tutur Mat yang sudah siap berpakaian. Beg selimpang kecilnya itu sempat dikemaskan sebelum dia menghadiahkan mak dengan seulas senyuman.

“Mat nak ke mana malam-malam macam ni?” soal mak sedikit tak merestuinya.

“Jumpa Rie jap. Dia hantar message ajak keluar minum.” balasnya yang sudah membuka engsel pintu.

“Iyalah, kalau nak pergi, pergilah. Tapi, jangan balik lambat-lambat sangat nanti.” pesan mak pula dah tak dapat nak menghalangnya.

“Ok, kejap je. Jap-pap lagi Mat baliklah.”

“Iyalah. Bawak motor tu elok-elok.”

“Ok, assalammualaikum mak.”

“Waalaikummussalam…” jawap mak berbalas doa.

 

“Ke mana pulak perginya duit yang ada dekat dalam ni? Bukan memang letak dekat sini ke?” soal ateh tak percaya pada apa yang dilihatnya.

“Ina! Ina ada nampak tak siapa-siapa ambik duit dekat dalam ni? Ni dekat dalam laci mesin jahit ni? Ateh ingat! Ateh yang letak dekat situ, semalam pun ada lagi.” bebel ateh tak berhenti.

“Entah, tak tahu. Kalau tak ada, siapa pilak yang ambik? Sebab Ina tak ada ambik.” balas Ina seadanya.

“Siapa punya kerjalah ni! Man mana? Man? Cuba pergi tanya Man.” arah ateh pula sambil tangan terus juga melakukan pemeriksaan untuk kali yang penghabisan.

“Memang betul-betul tak ada. Takkan…”

 

“Awak, kemana perginya Mat ni? Bila telefon tak diangkat, dicaripun tak berjumpa. Kemanalah dia?”

“Masuk hari ni, dah berapa hari dah dia tak balik rumah. Di mana tidurnya? Entah makan ke tidak dia? Entah-entah…” kata-kata mak terhenti di situ, dah tak mampu nak diaju saat terpandangkan riak muka bercuka suaminya itu.

“Dah! Dah malas saya nak ambil tahu tentang budak tu!”

“Kalau awak risau sangat, awak pergilah cari dia!” balas abah geram sambil meggulung bantal alas kepalanya tinggi.

“Tapi…”

“Dah dah dah! Dah malas saya nak mendengar! Saya nak tidur!” marah abah sambil bertindak memalingkan wajahnya ke arah lain meninggalkan mak yang masih tidak datang lenanya, atau takkan mungkin dapat terlena, sama seperti malam-malam yang sebelumnya.

 

Satu demi satu lipatan kain diperiksa untuk kali yang kedua. Selesai di tingkat bawah, mak meneruskan pencariannya di tingkat yang paling atas sebelum dia meneguk air liur, deras.

“Ya-Allah, kemana pulak perginya? Siapa pulak yang mengambil?” tuturnya perlahan menzahirkan kebimbangan.

“Safi! Sini kejap!” lauhnya pula. Tak berapa lama, Safi sudah ada di sebelahnya.

“Ha, kenapa mak?”

“Safi, Safi ada nampak kerongsang emas lama yang mak simpan dekat dalam bekas ni? Kerongsang baju kebaya tu? Kan dah lama mak simpan dekat situ. Dah? Kemana pulak perginya?” soal mak sambil kekal juga mencari.

“Iya ke tak ada? Cuba cari betul-betul dulu. Entah-entah ada terselit dekat mana-mana?”

“Dah! Mak dah cari dah! Semua tempat mak dah cari. Dekat atas dekat bawah, semua mak dah cari, tapi memang dah tak ada. Siapa pulak yang mengambilnya?” balas mak, masih sukar untuk mempercaya, manataknya, itulah satu-satunya peninggalan arwah emak yang masih ada padanya, diam-diam disimpan di tempat persembunyian, sebagai tanda peringatan pada yang telah menurunkan. Safi mengambil tempat dan mula memeriksanya pula. Setelah selesai memeriksa dia memandang ke arah mak yang sudah berwajah gundah-gulana.

“Memang tak ada kan?” soal mak padanya.

“Hmm.” balas Safi sambil menganggukkan kepala.

“Mak, takkan Mat yang ambik?”

“Tapi, Mat nak buat apa dengan kerongsang tu?” soal Safi, bukan menuduh, tetapi setelah menilai keadaan dengan terperinci kerana perkara sebegitu tak pernah terjadi. Peristiwa ateh kehilangan duit di dalam laci, dan mak kini, membuatkan dia pasti ada yang sedang terdesak sampai sanggup mencuri.

“Kerongsang emas tu, kalau dijual, laku.” balas mak sebelum tertunduk pilu.

 

“Mat! Mattt…” panggil mak pada Mat yang berjaya ditemukannya. Melihat mak yang ada dihadapan, Mat terus memalingkan badan dan bertindak melarikan diri daripada pandangan.

“Mat! Tunggu mak Mat!”

“Mat, tunggu!”

“Mat tolonglah…tolong jangan buat mak macam ni…” rayu mak tak berhenti, namun Mat tetap juga melajukan langkahan kaki.

“Nanti Mat, nanti! Mak nak tanya Mat ni!”

“Kerongsang tu? Kerongsang tu Mat bagi pada siapa?” tutur mak, tapi Mat sudah mula berlari dan meninggalkannya sendiri.

“Mat…kenapa Mat boleh jadi macam ni…” tangisnya tak berlagu sebelum datang ilhamnya untuk mengadu.

“Allah…ampunkanlah aku…” rintihnya di dalam sendu.

    

Mak menapak laju mendaki bukit menuju ke mahkamah Seksyen bila sampai di tengah, mak dah mula termengah-mengah. Sambil mengurut dada, mak memikirkan tentang nasibnya.

“Mat…kenapa Mat? Kenapa Mat mungkir janji…” rintihnya sedih sambil menyapu air mata yang terbit tak terjangka.

Mat ditahan lagi atas kesalahan yang sama kali ini. Baru berberapa bulan Mat dibebaskan dan dia dilihat tidak mampu untuk menahan diri dari terjerumus ke lembah yang membinasakan itu semula. Sengaja ditempa, kini musibah kembali melanda. Mak yang paling terkesan kerana abah dah malas nak memikirkan masalah anak-anak yang tak berkesudahan.

Sesampai ke mahkamah, kes Mat dan rakan-rakan sedang dibacakan. Mak cepat-cepat mengambil tempat. Matanya melilau mencari kelibat Mat yang lengkap berpakaian lokap. Air mata mak menitis laju tadkala ternampak sekujur tubuh yang amat dikenalinya itu. Setiap butir bicara peguamcara didengar dengan telitinya. Nafas seperti terhenti bila mengetahui Mat akan dikenakan hukuman buang daerah, malah, lebih jauh kali ini.

Namun, mak berikrar, walau sejauh manapun Mat pergi, mak tetap akan menjengahnya nanti. Tak rela dia biarkan Mat sendirian berteman rasa tak diperlukan. Memang Mat salah kerana mengambil dadah, tapi menyisihkannya tidak sekali kerana Mat darah dagingnya sendiri. Tambahan pula, tak pernah sekali pun Mat berkasar padanya selama ini. Dia anak yang taat, cuma kesilapan Mat, hanyalah tewas pada godaan dunia yang bersifat sementara.

 

Previous: Bab 69
Next: Bab 71

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.