“Jom makan. Ayah lapar.” Ajak Dato Darwish.
“Qisha kan dah masak kat rumah. Tak payah membazir.”
Qisha Delisa membebel.
“Eh, bila masa ayah cakap nak makan kat luar? Ayah
kata macam tu sebab nak balik rumah teruslah!” Dato Darwish tersenyum. Anaknya
ini.
“Ayah!” Qisha Delisa rasa malu. Aku asyik terkena je
hari ni. Tadi dengan Hadif, ni dengan ayah pula.
Hadif Fayyadh ketawa kecil.
Qisha Delisa menjeling tajam ke arah Hadif Fayyadh
yang sedang ketawakan dirinya. Belum sempat dia mahu bersuara untuk memarahi
lelaki itu, Hadif Fayyadh bercakap dahulu.
“Ayah, mari!” Hadif Fayyadh berlari berjalan
beriringan bersama Dato Darwish.
“Ish!” geram Qisha Delisa. Mereka bertiga terus pulang
ke rumah.
“Mari makan bersama, Hadif.” Ajak Dato Darwish. Orang
dah berbudi, kita berbahasa la. Walaupun masak yang ringkas-ringkas, kita jemput
juga.
“Tak apa ke ayah? Qisha tak marah ke?” Sempat Hadif
Fayyadh menjeling ke arah Qisha yang sudah keluar dari keretanya. Gadis itu
terlebih dahulu masuk ke dalam rumah.
“Tak apa, jom!” Dato Darwish turun dari kereta. Pada
masa yang sama sesuatu terkeluar dari poket seluarnya dan jatuh di bahagian
tempat duduk penumpang.
“Ayah!” Pantas tangan Hadif Fayyadh mengambil ubat
tersebut. Coralan? Ini ubat sakit jantung kan? Walaupun dia tak tahu sangat
tetapi dia yakin itu ubat sakit jantung.
“Ayah…” Seru Hadif Fayyadh lagi sekali untuk mendapat
penjelasan daripada Dato Darwish.
“Shhhh!” Dato Darwish mengambilnya dan menyimpan
elok-elok dalam poketnya. “Hadif, diam-diam je. Jangan bagi tahu Qisha fasal
ni. Ayah tak nak dia risau.”
“Tapi, tak baik buat macam ni ayah. Nanti Qisha lebih
kecewa.” Tak dapat Hadif Fayyadh bayangkan wajah kecewa Qisha Delisa apabila
mengetahuinya nanti.
“Tak apa. Ayah tak nak dia risau je. Itu je…” Dato
Darwish terus masuk ke dalam rumah. “Mari, Hadif!”
“Kenapa lama sangat kat luar tu?” sapa Qisha Delisa.
Dia sudah siap panaskan lauk. Dia hanya masak ikan sardin tin dan telur dada
sahaja. Mereka makan di lantai sahaja. Meja makan tak ada. Lantai pun selesa
asalkan bersih.
“Tak ada apa-apa. Hadif ni, ajak ayah keluar esok.”
Bohong Dato Darwish. “Ayah dah lapar ni. Ayah makan dulu!” Sudu di ambilnya.
Dia sudah biasa makan mesti menggunakan sudu.
“Makanlah…” jemput Qisha Delisa sambil memandang Hadif
Fayyadh. Lelaki itu sudah membantu dia menjimatkan kos pada hari ini. Jimat
lima puluh ringgit je. Aku lupalah nak singgah kedai, banyak barang dapur dah
habis. Ini gara-gara ayah lapar. Sekarang ni ayah tak boleh lapar, tangannya
akan menjadi menggigil. Aku kasihan melihat ayah begitu. Jadi aku akan masak
tepat pada masanya.
“Terima kasih, Qisha…” ucap Hadif Fayyadh sambil
mencapai pinggan yang sudah terisi nasi.
“Aku tak tahu yang kau makan atau tak makanan murah
macam ni.” Sinis Hadif Fayyadh. Perut orang kaya. Manalah tahu tak boleh terima
makanan seperti ini.
“Apa yang kau masak, aku makan. Kau jangan risau la…”
Hadif Fayyadh ceduk sardin tin itu dan merasanya. Okey je rasanya. Sedap!
Dato Darwish hanya diamkan diri. Fikirannya masih
memikirkan kata-kata doktor. Aku kena buat pembedahan? Mesti perlukan duit yang
banyak. Aku nak buat atau tak?
“Ayah…” panggil Qisha Delisa. “Ayah nak tambah nasi
lagi ke?” soalnya lagi. Dia merenung wajah Dato Darwish. Macam termenung je.
“Ayah…” lembut nada suaranya.
“Ayah…” Hadif Fayyadh tolong panggilkan sambil
menyentuh lembut tangan Dato Darwish. Dia tidak mahulah bakal ayah mertua
terkejut. Manalah tahu penyakit jantungnya menyerang. Naya nanti!
“Apa Hadif?” tersentak Dato Darwish. Lama aku
termenung. Tenang Darwish. Demi Qisha. Demi anak kau, kau bertahan sampai
akhirnya. Hidup gembira bersama anak kau… Dia memandang Qisha Delisa pula.
“Qisha panggil ayah. Dua kali dah. Ayah okey?” soal
Hadif Fayyadh.
Qisha Delisa memandang Dato Darwish penuh sangsi.
Yakin ada sesuatu yang mengganggu fikiran Dato Darwish. Adakah kerana
masalahnya dengan Hadif Fayyadh? Tak kan sampai begitu sekali? Tak kan aku kena
korban maruah aku demi melihat ayah gembira? Kahwin dengan Hadif secara paksa
demi ayah? Qisha buntu.
“Ayah minta maaf Qisha. Kepala ayah sakit. Ayah masuk
berehat sekejap.” Tangan Dato Darwish basuh. “Hadif, terima kasih tolong ayah
hari ni. Ayah masuk dulu ye?” Dia terus berlalu ke bilik.
“Ayah, makan ubat dulu.” Jerit Qisha Delisa.
“Nanti ayah makan…” Balas Dato Darwish.
Tinggallah Qisha Delisa dan Hadif Fayyadh di lantai.
Nasi Hadif Fayyadh sudah lama habis. Dia segan mahu menambah. Manalah tahu
Qisha Delisa marah padanya.
“Kau nak tambah lagi ke?” soal Qisha Delisa. Dia
perasan pinggan Hadif Fayyadh sudah kosong. Lelaki itu masih setia kat situ
maknanya dia masih mahu menambah.
“Boleh juga.” Hadif Fayyadh tersenyum malu.
Dup… Dap… Dup… Dap…
Jantung Qisha Delisa berdebar. Senyuman itu yang aku
rindukan. Senyuman itu yang ada dalam gambar perkahwinannya yang setiap pagi
menjadi tatapan matanya.
Perlahan Qisha Delisa ceduk nasi.
“Cukup Qisha! Banyak dah tu.” Hadif Fayyadh menghalang
dengan tangannya. Perutnya mahu makan sedikit sahaja lagi. Mahu habiskan lauk
dalam pinggan sahaja.
“Okey…”
Mereka selesai makan. Qisha Delisa mula mengemas.
Hadif Fayyadh membantu mengangkat pinggan untuk di bawa ke dapur.
“Lauk ni ada lagi, nak letak mana?” soal Hadif
Fayyadh. Dia hanya memandang belakang Qisha Delisa yang asyik membasuh pinggan.
“Letak saje kat almari yang ada saji tu.” Arah Qisha
Delisa. Dia membasuh beberapa pinggan yang digunakan untuk makan tadi.
“Ini cawan. Letak mana?” Hadif Fayyadh menghampiri
Qisha Delisa. Dia begitu hampir sehingga bahu mereka berlaga. Pada masa yang
sama mata mereka saling merenung antara satu sama lain.
Qisha Delisa mula tidak sedap hati dan melarikan
pandangannya. Mestilah aku tak sedap hati. Hati ni asyik berdebar laju sahaja.
Perlahan sudahlah. Ini laju lain macam.
“Letak kat singki ni je.” Arah Qisha lagi. “Aku nak
nak basuh ni. Kau baliklah!” halau Qisha Delisa. Kau dah buat hati aku berdebar
laju, dah tak reti-reti nak balik ke? Nak aku hempuk kau dulu ke baru nak
faham? Geramnya.
“Ye la. Aku balik dulu. Apa-apa telefon je aku? Mana
telefon kesayangan kau tu?” soal Hadif Fayyadh apabila dia melihat telefon
cikai sahaja yang Qisha Delisa guna.
“Aku dah jual.”
“Kereta?”
“Aku dah jual.”
“Butik?”
“Aku dah jual. Semua aku dah jual. Aku tak nak ada
kaitan dengan semua benda itu.” Qisha Delisa sedikit angin. Bukan apa, terlalu
banyak kenangan dia dengan Hadif Fayyadh. Tak sanggup nak ingat tiap-tiap hari.
“Kenapa jual? Butik tu… Butik tu paling berharga untuk
kau kan?” Hadif Fayyadh tidak suka apa yang dilakukan oleh Qisha Delisa.
“Memang berharga. Aku ada terbaca, kalau kita bagi
orang barang yang paling kita saying dan hargai, pasti Allah berikan kita
barang yang berlipat kali ganda harganya.” Alasan Qisha Delisa. Padahal dia
jual kerana dia perlukan wang.
“So?” Hadif Fayyadh tidak faham.
“Dahlah! Cakap dengan kau ni pening. Pergi balik!”
Qisha Delisa membasuh tangannya. Dia menolak belakang Hadif Fayyadh agar keluar
dari rumahnya. Dia berharap tidak akan jumpa lagi Hadif Fayyadh.
“Qisha…” panggil Hadif Fayyadh dengan nada lembut.
Perbuatan Qisha Delisa terhenti. “Apa dia?”
“Aku cintakan kau.” Hadif Fayyadh mempamerkan senyuman
paling manis.
Dup… Dap… Dup… Dap…
Qisha berdebar. Hatinya seakan mahu meletup mendengar
kata-kata itu. Ditambah dengan senyuman yang sentiasa membuat dia rasa tak
senang duduk.
“Terima kasih. Lepas rindu aku pada masakan kau. Lain
kali aku datang lagi…” Hadif Fayyadh sudah berada di tepi keretanya. Pintu
kereta dibukanya. Sempat dia memandang Qisha Delisa yang menanti di pagar.
“Tak payah datang pun tak apa. Aku tak nak jumpa kau
dah!” geram Qisha Delisa. Dia geram sebab tiap kali melihat senyuman Hadif
Fayyadh, hatinya berdebar hebat. Dia tidak suka. Tidak suka apabila berperasaan
begitu.
“Aku pasti akan datang.” Hadif Fayyadh menghidupkan
enjin dan terus berlalu pergi.
Qisha Delisa hanya melihat pemergian kereta yang
dipandu Hadif Fayyadh. Baru sahaja Hadif Fayyadh pergi, dia mula rasa rindu
pada lelaki itu.
Gila ke aku? Bila dia ada depan mata, kau benci gila.
Ini bila tak ada, rindu gila pula. Memang kau sewel. Lebih baik masuk dalam,
menjahit. Ada faedah juga daripada ingat mamat tu!
Qisha Delisa menutup pintu pagar dan terus masuk ke
dalam rumah.
p/s: maaf lambat update...my laptop rosak...semua kerja penulisan terpaksa dihentikan. inipun baru sahaja elok...harap semua bersabar...bab 27 adalah bab terakhir. jadi, jangan la bersedih sebab tinggal satu bab lagi utk sy update...terima kasih menyokong karya saya...