Home Novel Cinta PLAYBOY PALING ROMANTIK
Bab 27 (final update)

Wan Firaz yang memerhati dari jauh Hadif Fayyadh bersama Qisha Delisa mula sakit hati. Ingatkan apabila mereka bercerai dan bergaduh, mereka tidak akan berjumpa lagi tetapi lain pula jadinya. Dia tidak berpuas hati.

“Farisya kena mulakan operasi menggoda mamat tu. Kalau tidak, dia akan kacau Qisha aku.” Dia tidak kisah lagi. Walaupun yang menggoda itu adalah isterinya sendiri. Aku peduli apa? Aku nak Qisha!

Selama tiga bulan dia mencari Qisha Delisa, kebetulan dia ke klinik dan ternampak Qisha Delisa bersama Hadif Fayyadh sedang berbual. Dia ke klinik kerana Farisya mengandung dua minggu. Masih awal kandungannya. Dia mahukan anak. Dia mahu pewaris. Dia memang semua perempuan dia pernah merasa tetapi dia mahu anak yang menjadi zuriatnya adalah hasil dari hubungan yang halal. Dia mahu anak yang halal sahaja.

“Aku nak kau mulakan operasi menggoda Hadif.” Kata Wan Firaz sebaik sahaja dia bertemu dengan Farisya. Dia tidak sabar mahu memiliki Qisha Delisa pula.

“Boleh! Tapi kau ceraikan aku dulu.” Pinta Farisya. Hanya itu sahaja jalan untuk dia lepas daripada cengkaman lelaki gila ini. Dia tahu ini suaminya tapi kalau perangai macam setan, siapa yang boleh tahan.

“Apa kau cakap!” Wan Firaz memang rasa mudah mengamuk apabila soal penceraian disebut-sebut. Dia mencengkam mulut Farisya dengan sebelah tangannya dengan kuat. “Kau cakap lagi sekali.”

“Aku nak cerai! Aku nak cerai, setan!” geram Farisya.

“Kau kata aku setan?” Wan Firaz ketawa terbahak-bahak. “Kau sedar tak kau pun setan. Kau pernah minum arak kan? Kau pernah berzina dengan lelaki lain kan? Kau sembahyang ke? Tak kan? Kau tutup aurat ke? Kau baca Al-Quran ke? Kalau kau asyik buat kejahatan, kau pun tak ubah seperti setan!” cengkaman tangannya di mulut Farisya di lepaskan dengan kasar.

Farisya rasa mulutnya sakit. Kata-kata Wan Firaz benar. Dia tidak pernah buat suruhan Allah. Satu kebaikan pun tidak pernah dia lakukan. Hanya ego dan angkuh sahaja dalam hatinya. Aku insaf.

Dia memandang Wan Firaz. Lelaki itu sedang merenungnya. Wan Firaz yang sedarkan aku? Dia yang tegur aku? Kenapa dia? Kenapa dia? Aku macam tak percaya pula.

“Apa yang kau tengok? Betul kan kata-kata aku! Kau pun setan macam aku!” Wan Firaz berkata lagi apabila Farisya hanya diam sahaja.

“Lepas itu, anak kau dalam perut ni pun setan la?” Lancar Farisya berkata-kata. Dia tidak tahan lagi untuk hidup seperti ini. Ini bukan kehidupan. Ini neraka.

Pang!

Wan Firaz menampar pipi Farisya. Memang aku jahat tapi aku nak zuriat aku tak kan jadi macam aku. Aku nak dia jadi anak-anak yang baik. Aku juga ada keinginan sebegitu.

Farisya memegang pipinya yang terasa perit.

“Kau akan goda Hadif. Tapi aku nak jangan sampai kau mencederakan kandungan kau. Aku nak anak tu selamat.” Wan Firaz menghampiri Farisya yang telah ditamparnya. Air mata mula mengalir di tubir mata Farisya. Pantas disapu dengan tangannya.

“Sya, abang pun sayang Sya. Sya kan tengah mengandung anak abang.” Perwatakan Wan Firaz berubah. Dia gembira dengan berita yang Farisya sedang mengandung. Sudah lama dia tunggu berita ini. Dulu kahwin dengan Julia bertahun-tahun masih tiada anak. Dengan Qisha Delisa, gadis muda pun juga tiada anak.

Mengenai Qisha Delisa, mungkin tekanan yang diberi oleh Wan Firaz membuatkan dia tidak mampu mengandung ketika itu.

Farisya diam membisu. Pipinya menjadi mangsa ciuman Wan Firaz. Dia terkaku.

“Sya tidur ye? Baby dalam perut tu pun nak berehat juga. Kalau Sya ada nak mengidam apa-apa. Bagi tahu sahaja abang okey?” Wan Firaz mencium pipi Farisya lagi dan terus keluar dari bilik itu.

Farisya merenung kosong ruang bilik ini. Sudah hampir enam bulan dia berkahwin dengan Wan Firaz. Dia tidak tahu apa yang membuat dia terus bertahan.

“Kau kata aku setan? Kau sedar tak kau pun setan. Kau pernah minum arak kan? Kau pernah berzina dengan lelaki lain kan? Kau sembahyang ke? Tak kan? Kau tutup aurat ke? Kau baca Al-Quran ke? Kalau kau asyik buat kejahatan, kau pun tak ubah seperti setan!”

Terngiang-ngiang suara Wan Firaz di telinganya. Berkali-kali kata-kata itu bergema.

Memang aku tak pernah sembahyang. Apatah lagi membaca Al-quran. Aurat? Jauh sekali aku nak tutup. Kalau aku tak tunjuk paha aku yang gebu ini memang tak sah. Apa yang aku mahu sebenarnya dalam hidup aku ini? Aku nak apa?

Air mata insaf mengalir.

“Aku kena berubah! Tapi aku tak pernah tahu macam mana mahu bersembahyang. Baca surah pun aku tak reti. Siapa yang nak ajar aku? Nak pergi kelas agama? Pasti Wan Firaz akan menyindirnya.”

Ligat otaknya memikirkan hal ini.

“Hah! Hadif!”

Dia yakin yang lelaki itu akan mengajar dia tentang agama. Dia yakin. Hanya lelaki itu sahaja harapannya. Pantas di ambil telefon pintar miliknya lalu menghubungi Hadif Fayyadh.

“Hello Hadif, ini aku, Farisya…”

“Kau? Buat apa kau telefon aku? Kalau kau niat nak goda aku? Tak payahlah. Aku tak tergoda langsung dengan perempuan plastik macam kau.” Hadif Fayyadh berkata.

Pedih hati Farisya mendengarnya. Memang dulu aku macam tu tetapi sekarang aku nak berubah. Salahkan aku nak berubah?

“Aku cuma…”

“Cuma apa?” Laju sahaja Hadif Fayyadh memotong kata-kata Farisya. “Cuma nak merosakkan hubungan aku dengan Qisha. Aku tahu yang Wan Firaz hantar kau suruh goda aku dan buat Qisha benci aku kan? Aku tahu sangat rancangan busuk kau. Tak pernah berniat baik!” geram Hadif Fayyadh.

“Ya. Memang aku isteri Wan Firaz tapi aku…” Farisya juga menjelaskannya tetapi lagi sekali Hadif Fayyadh memotong kata-kataya.

“Mengaku pun. Tak payahlah kau telefon aku lagi. Aku tak ingin bercakap dengan kau. Perempuan macam kau ni tak layak dilayan baik…” Sinis Hadif Fayyadh.

“Aku nak berubah!” jerit Farisya. Sudah lama dia menahan sendu di dada. Akhirnya pecah juga. Dia menangis teresak-esak. Dadanya rasa sakit dengan penghinaan Hadif Fayyadh terhadap dirinya.

Hadif Fayyadh terdiam seribu kata. Dia sendiri tidak menyangka yang Farisya ingin berubah.

“Tapi kenapa tiba-tiba? Kau jangan main-main?”

“Aku tak tahu Hadif Fayyadh. Aku rasa nak sembahyang tapi aku tak tahu. Aku nak baca Al-quran tapi satu huruf pun aku tak kenal. Tolong aku, Hadif! Rasa diri ini terlalu jahil. Tolonglah aku.” Rayu Farisya. Biarlah dia merayu pada Hadif Fayyadh demi mendapat kebahagian di akhirat.

“Betul ke ni?” Hadif Fayyadh masih tidak percaya. Inikah di namakan Hidayah? Hidayah yang hanya diperoleh oleh hamba-hamba yang dikehendaki-Nya? Hidayah untuk Farisya?

“Apa lagi yang perlu aku katakan pada kau, Hadif! Kita jumpa kat rumah kau boleh tak? Kalau kau rasa tak selesa.”

“Okey…” Hadif Fayyadh tidak kisah. Jika di rumah ada Datin Marissa. Jadi dia tidaklah rasa was-was.

“Terima kasih Hadif. Terima kasih. Aku akan balas jasa kau!”

Hati Farisya tenang selepas tamat bercakap dengan Hadif Fayyadh. Dia memang baik. Aku je silap menilainya sehingga menyebabkan dia marah pada aku.

Aku menyesal!

Disebabkan terlalu gembira, Farisya berdiri dan melihat wajahnya. Dia tidak sabar mahu memakai tudung di kepalanya. Tak sabar sangat. Dia rasa dahaga pula.

Dia menuju ke ruang dapur.

Tiba-tiba ada seorang lipas yang merayap di kakinya menyebabkan dia terkejut. Dia hampir tergelincir semasa ingin mengelak daripada lipas. Dia hampir jatuh menyembah bumi.

“Sya!” Pantas Wan Firaz menyambut tubuh Farisya. Dia tidak mahu isterinya jatuh dan mungkin akan keguguran zuriatnya. Tidak akan!

“Kau? Kau tak keluar lagi?”

Bahu Farisya dicengkam kuat oleh Wan Firaz. Wajah bimbang Wan Firaz tidak dapat disembunyikan. Perkahwinannya dengan Julia tiga tahun. Dia ceraikan Julia hari dia ceraikan Qisha Delisa. Selepas itu, lima tahun tidak berjumpa. Jadi dah lapan tahun aku hidup tanpa zuriat aku sendiri. Apabila berkahwin dengan Farisya, isterinya mengandung.

Dia tidak tahu cara apa untuk menggambarkan betapa dia gembira dengan berita itu.

“Tak. Aku risaukan kau. Mulai hari ni, aku nak kau cakap baik-baik dengan aku. Dan aku cuba berbaik dengan kau. Aku tak nak anak aku bila dia besar, dia cakap kasar. Aku tak nak!”

Wan Firaz terbayang zaman kecilnya dulu. Dia selalu didera ayahnya. Kesalahan yang bukan kesalahannya pun dia dipukul. Dari umur lima tahun sehingga lima belas tahun. Sangat terseksa. Aku jadi benci orang yang tak hargai kasih sayang aku! Julia tak buat hal sangat sebab dia sayang aku. Tapi Qisha. Sikit pun tak hargai apa yang aku buat. Itu sebab aku pukul dia! Aku dera dia! Aku benci dia yang tidak hargai kasih sayang aku.

“Apa maksud kau?”

“Dah! Panggil aku papa, aku panggil kau, mama.” Arah Wan Firaz.

“Papa? Mama?” berkerut dahi Farisya. Dah tak ada panggilan yang lagi sesuai ke? Geli la pula.

“Papa nak mama duduk kat kerusi ni. Datang dapur nak apa? Makan? Mama nak makan apa?” soal Wan Firaz dengan lembut.

Farisya hanya melihat Wan Firaz yang sibuk memasak di dapur.

“Kau…” Belum sempat Farisya habiskan ayatnya, Wan Firaz sudah menjeling tajam arahnya. Perbuatan lelaki itu juga terhenti. “Okey. Papa pandai masak ke?” terpaksa dia berkata begitu. Geli tekak bila cakap macam tu.

“Papa pandai masak. Masa kecil dulu, papa yang masak untuk ayah papa.” Nada suara Wan Firaz ceria tetapi berubah tiba-tiba ke nada yang sedih.

“Selagi papa tak pandai masak yang sedap-sedap, papa akan kena pukul dengan ayah papa. Tak sedap! Papa kena terajang. Tak sedap! Papa kena sepak!” Mata Wan Firaz merah menahan perasaan sedih. Dia tidak pernah cerita kisah hidupnya yang sedih ini.

Terperanjat Farisya mendengar kata-kata Wan Firaz. Adakah kerana kisah masa silamnya menyebabkan Wan Firaz berubah menjadi ganas? Padahal, dia dambakan kasih sayang yang tak terhingga?

Pantas Farisya memeluk tubuh Wan Firaz. Memujuk lelaki itu agar bertenang.

“Ayah papa jahat. Jadi papa pun jahat. Tapi bila papa tahu yang papa akan jadi ayah. Papa tak nak buat anak papa macam yang ayah papa buat. Papa tak nak….”

“Baby dengar tak papa cakap apa? Papa sayang baby. Jadi, baby kena bagi semangat pada papa okey?” kata Farisya sambil mengusap perutnya. Baru dua minggu kandungannya. Belum ada perubahan apa-apa.

Tersentak Wan Firaz mendengarnya. Hatinya jadi lembut. Tak kan semudah ini?

“Macam ni. Sya panggil abang je. Bila cakap dengan baby, kita bahasakan mama dan papa. Okey?” cadang Farisya.

Angguk Wan Firaz. Ini kali pertama Wan Firaz mengikut kata Farisya. Disebabkan Zuriat ini dia berubah? Betul ke ni? Hatinya makin berdebar-debar. Wajah bengis Wan Firaz tiada lagi.

“Esok, Sya akan jumpa dengan Hadif. Mulakan rancangan abang tu!”

“No! Tak boleh!” Wan Firaz berubah fikiran. Memang tadi dia suruh Farisya goda Hadif Fayyadh tetapi kali ini dia tidak rela. Dia akan jadi tak betul bila tengok Farisya dengan lelaki lain.

“Kenapa tak boleh. Sya okey je…”

“Tak boleh!” Wan Firaz berubah sikap menjadi pemarah. Dia mudah angin satu badan kalau arahannya dipersoalkan.

“Tapi kenapa?”

“Sya cintakan Hadif kan? Tak boleh! Sya kena cintakan abang. Abang! Hanya abang!” Wan Firaz memeluk tubuh Farisya.

Apa kena dengan Wan Firaz ni? Gila ke? Kejap macam tu. Kejap macam ni. Sekejap ya. Sekejap tidak. Apa semua ini? Farisya makin rasa pening.

Lagi pun aku nak jumpa Hadif sebab nak dia ajarkan aku agama. Bukan sebab aku masih sayangkan dia.

“Tak akan abang nak biarkan Qisha jatuh di tangan Hadif?” duga Farisya.

“Qisha! Biarkan sahaja dia. Nanti lepas baby ini lahir, abang akan kembali dapatkan dia semula.” Wan Firaz telah membuat keputusan.

Tanpa Wan Firaz sedari, keputusan itu sangat menyakitkan hati Farisya. Nampka dengan jelas yang Wan Firaz hanya perlukan zuriatnya sahaja tanpa menjaga perasaan Farisya.

“Kita akan pergi jauh dari sini. Abang tak nak ingat fasal Qisha sampai Sya bersalin.”

Farisya menahan rasa sebak di hati. Pasti Hadif Fayyadh dan Qisha Delisa akan gembira dengan berita ini.

“Kita akan ke luar negara. Kat sana kalau bersalin mudah.” Wan Firaz buat keputusan lagi. “Kita akan berangkat bulan depan. Tunggu kandungan Sya ni matang sikit. Bahaya naik kapal terbang nanti.”

Wan Firaz sambung memasak.

Farisya masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Wan Firaz layan aku macam puteri? Bahagianya!

Selepas memastikan Farisya sudah tidur, Wan Firaz keluar dari rumah. Dia mahu berjumpa dengan Qisha Delisa. Dia akui yang zuriatnya hampir membuat dia berubah tetapi keinginan mahu memiliki Qisha Delisa masih ada di segenap hatinya.

“Qisha!” pantas Wan Firaz menyambar pergelangan tangan Qisha Delisa. Ketika itu gadis itu membuang sampah ke tong sampah depan rumah. Kesempatan inilah di ambil olehnya.

“Wan Firaz!” terbeliak matanya. Macam mana dia tahu aku ada kat sini? Kepala Qisha Delisa terus terasa sakit. Menyebut nama lelaki itu pun boleh membuat dia demam. Inikan pula bersua muka seperti ini. “Lepaslah!”

“Aku akan kembali untuk memiliki kau semula!” Wan Firaz berkata.

“Aku tak kan jadi milik kau!” Qisha Delisa berusaha melepaskan tangannya dari terus dicengkam oleh Wan Firaz. Dia tidak suka!

“Aku beri kau tempoh masa sembilan bulan. Kalau masa tu kau tak kahwin, aku sumpah yang aku akan buat kau kahwin dengan aku. Aku sumpah!” keras suara Wan Firaz. Dia melepaskan tangan Qisha Delisa. Dia terus meninggalkan tempat tersebut.

Qisha Delisa terduduk di lantai. Kata-kata Wan Firaz terngiang-ngiang di telinganya. Kenapa sembilan bulan? Kenapa? Dia terus berlari dan masuk ke dalam rumah. Bimbang Wan Firaz kembali semula.

Dia tertekan. Tertekan gila.

“Kenapa ni Qisha? Berlari macam tak cukup tanah je?” Dato Darwish menegur.

“Wan Firaz, ayah! Wan Firaz datang!” kata Qisha Delisa.

Dato Darwish terkejut mendengar nama lelaki yang sudah memusnahkan hidup anaknya. Dadanya jadi sakit tiba-tiba. Tangannya mencengkam ke dada yang sakit. Dia rebah perlahan ke lantai.

“Ayah! Kenapa ni!” Qisha Delisa terkejut melihat keadaan ayahnya. “Ayah asma! Qisha ambil pam…” Dia berlari masuk ke dalam bilik. “Ayah, ini pam? Pam ayah!” rayu Qisha Delisa. Dia tidak mahu apa-apa terjadi padanya.

Dato Darwish menolak pam tersebut. Akhirnya dia pengsan.

Ruang kecemasan di hospital swasta sesak dengan pesakit. Dato Darwish salah seorangnya.

“Ayah! Ayah!” Qisha Delisa buntu mahu melakukan apa.

Hadif Fayyadh tiba. Dia terkejut apabila mendapat panggilan daripada Qisha Delisa.

“Sabar Qisha… Sabar…”

“Macam mana aku nak sabar? Baru pagi tadi check doktor, malam ni tiba-tiba masuk ICU. Apa ni? Siapa yang tak risau?” Air mata Qisha Delisa mengalir. Ayah sakit apa sebenarnya.

“Sabar. Kita tunggu apa kata doktor.”

Pintu ICU terbuka. Doktor Sarimah menghampiri Qisha Delisa dan Hadif Fayyadh. Dia bimbang yang pesakitnya ini tidak mahu membuat pembedahan.

“Macam mana dengan ayah saya, doktor.” Soal Qisha Delisa. Terburu-buru dia menghampiri Doktor Sarimah.

“Ayah, cik Qisha ni menghidap penyakit jantung. Pesakit jadi begini di sebabkan terkejut atau sesuatu yang memberi dia tekanan. Saya mahu menjalankan pembedahan tetapi pesakit tidak mahu di bedah.”

“Doktor bedah la. Buat apa saja yang boleh menyelamatkan ayah saya tu. Saya sanggup bayar berapa pun.”

“Baiklah. Dapatkan tanda tangan pesakit. Kami akan sediakan tempat pembedahan. Pesakit masih menggunakan alat pernafasan. Boleh bercakap baik-baik dengannya.”

“Ya…”

Qisha Delisa masuk ke dalam wad tersebut. Wajah Dato Darwish pucat. Di dada, kaki dan tangan di letakkan dengan klip yang disambung dengan wayar yang berselirat. Tidak sanggup dia mahu melihatnya. Apa pula yang akan berlaku? Ayah akan tinggalkan aku ke?

“Ayah…” panggil Qisha Delisa. “Ayah sign kat sini?” pintanya.

“Ayah hanya akan sign bila Qisha kahwin dengan Hadif…” kata dato Darwish perlahan. Nafasnya masih tidak teratur.

“Ayah…” Tiba-tiba Qisha Delisa menjadi marah. Ayahnya berperangai seperti budak-budak. Dia tidak suka permintaan ayahnya. “Apa ayah cakap ni? Ayah!”

Dato Darwish hanya pejamkan mata sahaja.

Qisha Delisa makin geram. Perkara yang melibatkan nyawa pun masih begini.

Qisha, maafkan ayah. Ayah hanya nak ada orang jaga Qisha. Itu sahaja. Tak lah ayah rasa susah hati nak tinggalkan Qisha. Dato Darwish rasa hatinya kosong.

“Baiklah ayah! Baiklah! Qisha Setuju.” Melihat mata Dato Darwish yang terpejam tiba-tiba membuatkan dia terkejut. Rasa macam nyawa dia pula yang melayan.

“Panggil Hadif!” arah Dato Darwish dengan perlahan. Dia benar-benar lemah.

“Ada apa ayah?” Hadif Fayyadh menghampiri katil Dato Darwish.

“Ayah nak Hadif kahwin dengan Qisha, boleh?” soal Dato Darwish. Dia rasa hidupnya tidak lama.

“Boleh ayah…”

Qisha Delisa menjeling tajam arah Hadif Fayyadh yang laju sahaja bersetuju.

“Lepas ayah buat pembedahan, kau orang kahwin. Buat yang wajib sahaja.”

“Baiklah ayah…”

Selepas itu, Dato Darwish membenarkan pembedahan ke atasnya. Pembedahan tersebut berjaya. Tetapi pesakit mestilah makan ubat pada masa yang tepat.

“Qisha, tunaikan janji Qisha pada ayah…”

“Qisha akan tunaikan selepas ayah sihat sepenuhnya. Qisha tak tipu.”

“Memang Qisha tak tipu tapi Qisha mengelak dari kahwin dengan Hadif kan?” Dato Darwish sudah faham sangat apa yang Qisha Delisa rasa.

“Ayah ni. Qisha ni tak puas lagi berbakti untuk ayah. Bagilah peluang pada Qisha. Qisha nak jadi anak yang baik.” Kata Qisha Delisa.

“Qisha memang anak yang baik. Jadi, tak payah nak risau.” Dato Darwish tersenyum.

“Ayah!” Pantas Qisha Delisa memeluk tubuh ayahnya yang beransur pulih. Dapat dia rasa kasih sayang seorang ayah. Hatinya tenang. Tenang setenangnya. Terima kasih ayah.


P/s : akhirnya tiba juga update bab final hihihih semoga terhibur membacanya... kahwin ke Qisha dengan Hadif ni? mesti macam-macam dia buat spy tidak payah berkahwin dengan hadif kan? macam mana pula dengan wan firaz... adakah anak dalam kandungan Farisya membuat dia berubah atau dia akan mengejar Qisha pada masa yang sama? pening-pening... manuskrip love game dah selamat di hantar ke BUKU PRIMA...doakan yang terbaik utk penerbitannya... semoga dipermudahkan urusan....doa2 kan je agar lulus penilaian....terima kasih..

Previous: Bab 26 - Part 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.