Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,469
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 31

Pagi-pagi lagi Zarra sudah bersilat di dapur. Satu persatu laci kabinet dibuka mencari bahan-bahan kering untuk memasak. Harriz pula masih terbongkang tidur di dalam bilik selepas solat subuh. Bukan main lagi Nadia menyuruh dia memasak nasi ayam untuk makan tengah hari. Mana dia tahu memasak nasi ayam. Makan saja yang dia tahu.

Puas juga dia melayari internet mencari resepi yang mudah dan cepat. Sedap atau tidak, dia malas mahu ambil tahu. Gasaklah apa nak jadi. Asalkan ada rupa nasi ayam di atas meja makan.

“Hish! Susah sebenarnya nak masak bagai ni. Mana aku tahu nak potong ayam macam mana. Nak masak sup? Lagi aku tak tahu.” Omelnya sambil mengetuk meja menggunakan sudip.

Harriz yang mendengar bunyi bising dari arah dapur mencelikkan mata. Berat sungguh rasanya untuk bangun dari katil yang empuk itu. Hujung minggu merupakan waktu yang sesuai untuk dia berehat dan menghabiskan masa dengan tidur.

Dia melangkah keluar dari bilik tidur dengan penampilan yang kusut masai. Terbeliak matanya apabila melihat Zarra yang duduk bersila di dapur dan terkial-kial memotong ayam. Apa mimpi budak Zarra sorang ni? Getusnya.

“Buat apa ni, Zarra?” tegurnya dari arah belakang. Dia menarik kerusi lalu duduk menopang dagu memerhati Zarra.

“Eh? Dah bangun rupanya intan payung Zarra.” ucap Zarra dengan nada menyindir. Jam sudah menunjukkan 11 pagi, baru Harriz menunjukkan muka. Seronok sangat agaknya membuat tahi mata.

Harriz tersengih. “Nak buat apa ni?” sekali lagi dia bertanya.

“Alaaa… Nadia nak datang rumah, nak lunch dekat sini.” Beritahu Zarra.

“Dia nak datang sini? Zarra bagi pula dia ke rumah kita? Bukan selama ni nak berahsia soal kita?” soal Harriz bertalu-talu.

“Zarra dah bongkar pun rahsia terbesar Zarra yang dah bertukar status menjadi puan ni. Terkejut beruk dia dibuatnya. Nasib baik aje dia tak pengsan.”

“Wow! Bravo isteri abang!” sorak Harriz dengan kuat. Dengan pantas dia memeluk Zarra dari arah belakang.

“Hoi! Busuklah, tak mandi.” Tolak Zarra dengan kasar.

“Amboi.. Sombongnya! Badan yang busuk nilah Zarra peluk macam bantal malam-malam.” Balas Harriz. Sempat dia mengusutkan rambut Zarra sebelum membuka peti sejuk.

“Biarlah…” jawab Zarra perlahan.

Jus oren Tropicana Twister dan kek keju diletak di atas meja. Perut sudah berbunyi minta diisi. Tak mengapalah, hari ini dia sarapan makanan ala-ala barat saja. Malas mahu keluar membeli sarapan. Lagi pula, sudah pukul 11 pagi. Para peniaga sudah tutup kedai agaknya dan sibuk menyediakan lauk-pauk untuk makan tengah hari.

“Potong ayam pun dah dekat satu jam. Tak masak lagi tu.” komplen Harriz.

“Banyak bunyi pula orang tua ni. Dah tahu perempuan comel depan awak ni tak pandai masak, ringan-ringan kan tangan tu tolong apa yang patut. Bukan kritik apa yang orang buat.” Bebel Zarra.

Ayam yang sudah dipotong diletak di dalam sink untuk dicuci. Tepung gandum serbaguna dikeluarkan untuk mencuci ayam. Nasib baik dia pernah tengok mama mencuci ayam. Kalau tidak, sampai ke sudah dia tidak tahu apa.

“Okey… Meh sini chef Harriz tunjukkan bakat memasak sup ayam.” Angkuh Harriz bersuara.

Zarra menjeling sekilas. Elleh.. Berlagak macam tahu masak. Selama enam bulan mereka duduk serumah, sekali pun Harriz tidak pernah memasak makanan yang agak rumit masakannya. Paling sedap pun, sambal sardin. Hari itu, bukan main poyo lagi Harriz beria-ia mengaku pandai memasak. Hakikatnya, hampeh!

Terkejut Zarra apabila periuk kecil terjatuh di atas lantai. Mengucap panjang juga dia gara-gara kaget. Terasa jantungnya seakan terhenti seketika. Terkocoh-kocoh Harriz mengambil periuk yang terjatuh dan tersengih memandang Zarra.

“Maaf, chef tak sengaja terjatuhkan periuk. Biasalah, manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan.” Ucap Harriz penuh sopan.

“Poyolah! Pergi mandi sekarang. Jangan kacau Zarra nak memasak. Resepi semua Zarra dah print daripada internet.”

Harriz mencebik. “Kalau tak sedap, lepas ni jangan berani nak masak lagi dah.”

“Eh! Suka hatilah.” balas Zarra. Kulit bawang yang penuh di dalam sink diambil lalu dilempar ke arah Harriz.

“Main kasar nampak.” Ucap Harriz sedikit kuat.

Zarra ketawa besar. Seronok melihat wajah Harriz yang kelat begitu. Terasa agaknya dengan kelakuan dia yang agak kasar. Dia memerhati Harriz berlalu dari dapur dengan sengihan lebar.

“Haih.. Ada saja yang menganggu waktu aku sibuk macam ni.” Rungut Zarra apabila telefon bimbitnya berbunyi nyaring.

“Hah! Kau nak apa? Aku tak siap masak lagi ni.” Hambur Zarra sebaik saja menjawab panggilan. Tidak sabar-sabar betul Nadia hendak datang ke rumahnya. Awal-awal pagi lagi sudah menganggu.

Bersungguh-sungguh Nadia ketawa mendengar omelan Zarra. “Lagi sepuluh minit aku sampai. Tolong sediakan karpet merah untuk aku. Eh, kejap. Nombor 36 kan rumah kau?”

Membulat mata Zarra. “Gila! Biar betul kau ni. Aku tak siap masak lagi ni. Kau jangan buat pasal.”

“Seriuslah, ngok. Alaaa… boleh aku tolong kau apa-apa. Takkan aku datang nak duduk goyang kaki je. Baiklah, bye.” Pantas Nadia mematikan panggilan.

“Waaa!!! Kau ni memang menyakitkan hati betullah, Nadia!” jerit Zarra sekuat hati. Dia sudah tidak peduli kalau-kalau ada jiran tetangga yang memanjangkan leher mengintai ke arah rumahnya. Dia mencapai pisau di tepi sink lalu kembali meneruskan tugasnya.

Harriz yang baru selesai membersihkan diri terus meluru ke dapur sebaik saja mendengar jeritan Zarra. Kelam kabut dia memakai baju. Sebaik saja dia berdiri di muka pintu dapur, dia melihat keadaan Zarra baik-baik saja. Hmmm. Musykil betul.

“Ada sundal bolong lalu depan tingkap ke tadi?” soal Harriz seraya mengusik.

“Hah? Mana sundal bolong? Mana? Mana?” Kelam kabut Zarra meninggalkan sayuran-sayuran yang belum dipotong lalu berganjak ke belakang.

Harriz menghamburkan tawa apabila melihat wajah Zarra yang pucat lesi. Adoi. Pagi-pagi buta sudah ada hiburan di depan mata.

Zarra mengetap bibir. “Gila punya suami. Ikutkan hati, dah lama aku ikat dalam stor.” Terkumat-kamit mulut Zarra mengutuk Harriz.

“Ewah, ewah. Sedap kutuk suami sendiri?” tanya Harriz tidak puas hati. Sup ayam di dalam periuk dikacau sebelum mengambil alih tugas Zarra memotong sayur. Zarra sudah tidak ada mood. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. Biskut di dalam balang diambil lalu disuap ke dalam mulut. Dia memerhati saja Harriz yang tekun dengan tugasnya.

“Assalamualaikum! Zarra ooo Zarra!” nyaring suara Nadia memberi salam. Langsung tidak ada sopan-santun.

Harriz mengerutkan dahi. “Kawan dah sampai ke?” Dia bertanya.

Zarra mengangguk. “Awal gila, kan? Dia dah tak sabar nak makan dekat sini katanya. Tak apa, kawan baik Zarra. Layankan saja.”

Dengan penuh lenggang lenggok Zarra berjalan ke ruang tamu. Dari jauh lagi dia sudah perasan lambaian Nadia. Tak sabar-sabar nak masuk ke rumah betul.

I miss you, Zarra!” terus dirangkul tubuh Zarra ke dalam pelukannya. Gembira sakan dia dapat berkunjung ke rumah baru Zarra.

“Ish, apa ni peluk-peluk.” Kasar Zarra menolak tubuh Nadia supaya melepaskan pelukannya. Rimas.

“Kau ni tak sporting langsung. Dah siap masak? Aku lapar dah ni. Sanggup tau aku tak breakfast sebab nak lunch dekat rumah kau.”

“Tak faham aku dengan perangai kau ni. Nasib baik nasi dan sup dah siap masak. Ayam je belum goreng. Kau tolong aku, okey?” Tangan Nadia ditarik supaya mengikutnya ke dapur.

“Eh, kenapa bawa kawan sampai ke dapur ni? Ajak dia duduk di depan, buatkan minuman.” Arah Harriz. Hairan dia melihat Zarra beria-ia mengajak Nadia ke dapur.

“Tak apa. Nadia bagitahu, dia nak tolong goreng ayam. Abang boleh tinggalkan dapur dan masuk ke dalam bilik. Kami nak privacy.” Zarra tersengih lebar.

Nadia cuma mampu tersenyum manis. Alahai. Kacak sungguh suami Zarra. Tapi, apa boleh buat. Hak milik kekal Zarra.

“Okey. Selamat memasak.” Dengan rela hati Harriz meninggalkan mereka berdua di dapur. Mujur dia sempat mengemas dapur yang bersepah. Entah apa lah yang Zarra buat. Berkecah dan bersepah semua barang-barang. Itu lah risiko jika jarang masuk ke dapur dan memasak. Tabik spring kepada Zarra kerana mampu memasak nasi ayam walaupun rasa, dia belum tahu.

“Pandai kau masak, Zarra. Tak tahu pula aku selama ni.” Nadia mula berceloteh. Melilau matanya melihat susun atur dapur. Hmm. Kemas dan rapi.

Zarra tersengih lagi. “Ini first time aku masak selepas dah berbulan-bulan aku duduk rumah ni. Semua ni disebabkan kau. Mengada-ada nak makan dekat sini. Tak sampai hati aku nak beli dekat kedai. So, aku gagahkan diri juga belek resepi.”

“Wow! Bravo, Zarra. Tak sia-sia aku datang sini. Ada hikmah kau kahwin muda kan. Mesti sejuk perut mama kau bila dapat tahu kau pandai masak nasi ayam sekarang ni.” Nadia memuji. Diam-diam ubi berisi juga Zarra ni.

“Dah, jangan banyak cakap. Ambil sudip ni, goreng ayam.”

“Aku tahulah. Tak payah nak sengih sangat.” Balas Nadia lalu merampas sudip yang dipegang Zarra.

Zarra tersenyum lebar. Kali pertama dia memecah rekod bersilat di dapur sepanjang dia hidup selama sembilan belas tahun. Pasti mama dan papa bangga dengan kejayaan anak bongsu mereka. Ini Zarra Arissa. Semuanya ditanggung beres.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.