Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,639
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

Riuh rendah bilik Zarra dengan suara mereka berempat. Nadia tidak habis-habis membuat loyar buruk yang entah apa-apa sehinggakan Zarra tidak mampu lagi untuk ketawa. Senak perut akibat ketawa terlalu banyak. Khairil dan Ikhwan sesekali menyampuk. Mereka lebih tertarik dengan siaran televisyen yang disiarkan.

Zarra terus menoleh ke sisi sebaik saja terdengar pintu bilik dibuka. Dia menelan liur sebelum tersengih. Harriz sudah pulang dengan membawa satu beg plastic KFC. Serta-merta perutnya berbunyi menandakan lapar. Tapi, ada satu perkara yang perlu dia selesaikan dulu. Kawan-kawannya sudah tentu hairan melihat Harriz di situ.

“Errr. Kenalkan sepupu aku. Harriz. “ Zarra bersuara terlebih dahulu. Anak matanya sengaja dilarikan daripada bertembung dengan anak mata Harriz. Dia berani jamin Harriz sudah tentu akan marah sebab dia sudah berbohong. Nak buat macam mana. Terpaksa. Takkan nak mengaku. Boleh riuh satu sekolah.

Khairil dan Ikhwan serentak berdiri dan bersalaman dengan Harriz sebagai tanda hormat. Nadia pula hanya tersenyum. Tiba-tiba saja dia terdiam. Tidak tahu lagi ingin bercakap apa dengan Zarra. Segan dengan kehadiran Harriz agaknya.

“Nak makan sekarang?” Harriz bertanya. Dia membantu Zarra untuk bangun dan bersandar pada kepala katil.

Zarra mengangguk. “Dekat dua jam abang keluar pergi beli makanan. Pekerja dekat KFC tu baru nak goreng ayam ke masa abang nak beli?” Dia cuba berseloroh.

Mereka ketawa kecil. “Gelong lah kau ni Zarra. KL ni jammed tau.” Nadia bersuara akhirnya.

Zarra menjeling sekilas. “Aku tahu lah. Saja je. Abang, nak coleslaw banyak-banyak tau.” Sempat lagi dia mengarah Harriz yang sibuk menghidangkan makanan untuknya. Sudah macam tuan puteri.

“Sabar saaaa…. Eh, Zarra.” ujar Harriz. Nyaris dia tersasul memanggil Zarra dengan panggilan sayang. Kalau terkeluar perkataan tu tadi, boleh gempak hospital ni agaknya.

Khairil sudah bising-bising mengajak mereka pulang. Mana tidaknya, sudah hampir satu jam mereka di situ. Nadia pula terjegil-jegil mata menyuruh Khairil bersabar dan mendiamkan diri buat seketika. Teruk betul perangai lelaki itu. Mujur Zarra tidak mendengar rungutan Khairil. Boleh merajuk dua hari dua malam kalau Zarra dapat tahu Khairil tidak sabar untuk pulang.

Zarra leka menjamu selera. Cuma sesekali saja dia menyampuk perbualan mereka. Harriz pula meminta diri ke surau untuk menunaikan solat Asar. Takkan dia nak solat di dalam bilik pula. Suasana riuh rendah bagaikan di pasar malam.

“Zarra.. Kami balik dulu eh. Kerja sekolah banyak sangat hari ni.” Ucap Nadia.

“Hah? Alaaa. Takkan nak balik dah.” Sayu Zarra bersuara. Boleh mati kutu dibuatnya. Bosan tahu duduk di dalam ward seorang diri.

“Esok petang kami datang lagi. Janji.” Ikhwan mencelah.

Nadia mengangguk mengiakan kata-kata Ikhwan. “Kau duduk diam-diam. Habiskan semua makanan ni okey. Kami balik dulu.”

Zarra mengangguk perlahan. “Bye korang. Cakap dekat cikgu aku dekat hospital.”

Nadia menunjukkan isyarat bagus. “Rehat cukup-cukup tau. Bye.”

Sebaik saja mereka bertiga keluar dari situ, Zarra terus menyambung suapannya. Fuh! Memang sedap. Sengkak perut dibuatnya. Suasana yang tadinya bising, sudah sunyi sepi. “Bosannya.” Getus Zarra.




Hari ini sudah masuk tiga hari Zarra di hospital. Kelam kabut Harriz dibuatnya. Mujur kakak iparnya menawarkan diri untuk menjaga dan menemani Zarra di hospital semalam. Pagi ini dia perlu melaporkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mahkota. Hari ini bermula lah tugasnya sebagai seorang guru di situ.

Rasa berdebar sudah semestinya ada. Walaupun dia pernah menjalani latihan praktikal sewaktu masih belajar dahulu, kali ini perasaannya lain. Takut pun ada. Nak mengajar pelajar sekolah menengah memang mencabar. Waktu begini lah mereka suka mencuba sesuatu. Pelajar ponteng sekolah lagi kerap.

Awal-awal lagi dia sudah maklumkan kepada Zarra dia akan melawat selepas selesai waktu persekolahan. Keadaan Zarra juga semakin membaik. Jadi, tidak lah dia berasa terlalu risau.

Hampir empat bulan dia menanam anggur di rumah. Mulai hari ini, dia sudah menjadi lelaki yang berkerjaya. Rasa bangga pun ada. Serta merta bibirnya mengukir senyum.

Dia melangkah masuk ke pejabat sekolah dengan penuh karisma. Sewaktu dia berjalan menuju ke pejabat, dia perasan ada banyak mata yang memandangnya. Tiba-tiba saja dia perasan diri dia kacak lagi bergaya. Sebab itu ramai pelajar yang memandangnya.

“Encik Harriz?” tegur seseorang.

Harriz spontan menoleh dan mengangguk. “Ya, saya.”

“Saya kerani sekolah ni. Boleh panggil Kak Iza. Pengetua nak berjumpa Encik Harriz sekarang.” Beritahu Kak Iza dengan penuh senyuman.

Harriz terus berdiri dan mengikut langkah Kak Iza menuju ke bilik pengetua. Serta merta dia mengukir senyum sewaktu melangkah masuk ke dalam bilik pengetua. Dengan penuh hormat dia menyapa dan melabuhkan punggung di kerusi.

“Tahniah ya sebab diterima untuk mengajar di sini. Melalui rekod yang sedia ada, cikgu akan mengajar tingkatan empat dan lima. Subjek Biologi. Betul kan?” Tegas Tuan Haji Hashim bertanya.

“Ye, betul.” Jawab Harriz ringkas. Buat penat saja dia tersenyum sampai kebas pipinya. Tuan pengetua langsung tidak mengukir senyum. Serius semacam saja.

“Baik lah kalau macam tu. Cikgu boleh ikut kerani ke bilik guru. Selamat bertugas.” Tuan Haji Hashim menghulurkan tangan untuk bersalam.

Harriz menyambut huluran tangan Tuan Pengetua dan menunduk sedikit sebagai tanda hormat. Lega betul dapat keluar dari bilik pengetua. Tidak ada suasana kemesraan langsung. Macam polis bertemu dengan pesalah saja.

Masuk saja ke dalam bilik guru, dia terus disapa oleh guru-guru yang berada di situ. Lega sedikit hatinya apabila ada juga beberapa orang guru lelaki yang boleh duduk melepak di tempatnya. Berbual dan bergelak ketawa. Amboi. Bukan main riuh lagi. Mujur hari ini dia tidak dibenarkan untuk mengajar lagi. Boleh juga dia mengemas tempat dan mengelilingi sekolah. Macam program orientasi saja.

“Harriz. Kalau ada apa-apa, bagitahu je aku. Aku sedia membantu.” Cikgu Ikmal bersuara. Dia juga baru berkahwin. Memang boleh ngam lah dengan Harriz.

“Okey! Terima kasih.” Balas Harriz lalu menunjukkan isyarat bagus.

Sebenarnya, ada sepasang mata yang memandangnya dari jauh. Cikgu Batrisya. Guru yang paling bergaya di dalam sekolah. Tidak bertudung dan gemar memakai kebaya. Nampaknya, Harriz menjadi sasarannya. Dahulu, dia tergila-gilakan Cikgu Ikmal. Tapi malangnya, cikgu itu sudah ada kekasih dan sekarang sudah berkahwin.

Tidak mengapa. Dia masih belum tahu status sebenar Harriz. Okey. Konflik bermula. Dia memandang saja Harriz yang tekun mengemas meja.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.