Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,650
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Nadia dan Ikhwan berbisik sama sendiri melihat Zarra yang leka menulis sesuatu di dalam diarinya. Panggilan mereka dari tadi langsung tidak dihiraukan. Ingin menarik diari itu, mana boleh. Berdosa kerana menceroboh hak privasi orang. Mereka memerhati saja Zarra yang sekejap tersenyum, berkerut dahi dan wajahnya menunjukkan ekspresi yang langsung mereka tidak boleh meneka.

Khairil yang baru masuk ke dalam kelas terus mendapatkan mereka berdua. Dia melihat Zarra yang tidak ikut serta berasa hairan. Satu tumbukan singgah di bahu Ikhwan dengan perlahan. Ikhwan yang rancak berbual spontan menoleh. Ingatkan siapa yang mahu mencari masalah dengannya.

“Apa pasal dengan kawan kita yang sorang tu?” Kerusi ditarik sehingga menimbulkan bunyi yang bising. Dengan kasar dia melabuhkan punggung dan duduk berhadapan Nadia.

Ikhwan menjongket bahu. “Kami panggil dia dah banyak kali. Dia buat tak tahu je. Entah apa yang dia buat pun tak tahu lah. Kau pergi la tegur.”

Nadia mengangguk tanda mengiakan kata-kata Ikhwan.

“Tak berani aku nak pergi sergah dia macam tu je. Tak pasal-pasal mengamuk Si Zarra tu. Bukannya korang tak tahu perangai dia kalau dah khusyuk buat sesuatu. Tak ada yang boleh kacau.” Khairil cuba untuk mengelak.

“Pengecut lah kau ni.” Ujar Nadia selamba.

“Zarra!” Laung Ikhwan dengan kuat. Semua pelajar di dalam kelas terdiam gara-gara terkejut mendengar jeritan Ikhwan.

“Cakap tu perlahan-lahan lah weh. Bukan kau je yang boleh bercakap.” Tiba-tiba ada satu suara mencelah. Fairuz menjeling tajam apabila melihat Ikhwan memandangnya.

“Eh kau ni Fairuz. Yang kau nak marah-marah tak tentu pasal kenapa? Ada aku jerit panggil nama kau?” bentak Ikhwan.

“Suka hati aku lah nak marah siapa pun. Kau tu ada jawatan dalam kelas ni ke? Tak ada kan?” Fairuz mula menunjukkan sifat gila kuasanya. Kalau tak disebabkan Cikgu Sharifah yang melantiknya menjadi ketua kelas, dia tak dapat menggunakan kuasa untuk memarahi orang sesuka hati walaupun jawatan itu sebenarnya untuk memantau keadaan kelas sahaja.

“Kalau tak ada jawatan tak boleh nak bercakap kuat-kuat lah maksud kau? Tak payah nak poyo sangat lah Fairuz. Sepatutnya Zarra yang jadi ketua kelas. Bukan budak perasan cantik macam kau ni.” Kata-kata Ikhwan disambut dengan gelak ketawa pelajar-pelajar lain di dalam kelas.

Siapa yang tidak kenal akan Fairuz Emilia. Gadis yang mempunyai ketinggian yang mencukupi untuk menjadi seorang model dan berwajah yang fotogenik. Sikapnya yang menjengkelkan membuatkan hampir semua pelajar di dalam kelas tidak suka. Dia suka mengarahkan orang sesuka hati. Kalau tidak dipatuhi arahannya, pasti dia akan mengamuk sehingga kan guru-guru ikut campur tangan.

“Zarra nak jadi ketua kelas? Mimpi je lah kau Zarra. Budak pendek macam kau ni patut duduk bawah kaki aku je.” Riana dan Fira ketawa besar. Mereka berdua sama sahaja seperti Fairuz. Gila kuasa dan sesuka hati nak bentak-bentak orang. Cuma karakter mereka lebih kepada nak menggedik-gedik dengan pelajar lelaki.

Zarra yang mendengar perbalahan Ikhwan dan Fairuz sejak tadi menutup diari dengan kasar. Ini sudah melampau. Dia ingat maruah dia boleh dipijak-pijak sesuka hati disebabkan ketinggian? Nadia menelan liur apabila melihat Zarra sudah bangun dari kerusi dan melangkah ke arah Fairuz. Lengan Khairil ditolak dengan buku ditangan.

“Kenapa?” soal Khairil.

“Nampaknya buku dah bertemu dengan ruas. Zarra dah ada dekat belakang Fairuz.” Jawab Nadia selaju yang mungkin.

Khairil terus menoleh ke belakang. Belum sempat dia memanggil nama Zarra, tangan Zarra terlebih dahulu hinggap di pipi kanan Fairuz. Bunyi tamparan yang kuat membuatkan semua pelajar terdiam dek tindakan spontan Zarra.

“Kau siapa nak kata aku ni layak duduk bawah kaki kau? Kau ingat diri kau tu hebat sangat macam raja? Setakat ketua kelas… Duduk celah gigi aku je. Kau fikir aku kisah dengan jawatan tak seberapa ni? Muka je cantik tapi perangai macam jin afrit!” jerit Zarra. Dia sudah tidak peduli kalau orang akan kata dia gadis yang tidak sopan kerana terjerit-jerit begitu. Asalkan dia dapat membela dirinya.

Pipi yang terasa perit dipegang. Fairuz bangun lalu berdiri tegak berhadapan dengan Zarra. Dia menghayunkan tangan untuk membalas tamparan Zarra. Namun, Zarra lebih cekap. Dia menepis tangan Fairuz dengan kasar.

“Jangan macam-macam dengan aku kalau tak nak sebelah lagi pipi kau lebam sebab aku. Selama ni kau ingat aku diam sebab takut dengan kau? Mimpi je lah kau, Fairuz. Aku malas nak kecoh-kecoh dengan sikap kau yang tak sepadan dengan muka. Malang siapa jadi suami kau.”

“Hey! Kau kena hormatkan Fairuz, Zarra. Dia tu ketua kita.” Fira menyampuk dengan nada suara yang sengaja dilembutkan. Geli Zarra mendengarnya.

“Kau jangan nak menggeletis dekat sini. Ketua? Kau hormat lah dia. Aku tak ingin nak hormat ketua kelas perangai macam ni.” Dengan kasar Zarra melangkah ke tempat duduknya.

Fairuz melepaskan keluhan keras. Geram dengan tindakan Zarra yang tiba-tiba. Dia memandang semua pelajar di dalam kelas yang berbisik-bisik sesama sendiri. Dia terasa mukanya membahang. Pasti mereka sedang berbisik mengenainya.

“Kau okey tak, Fairuz?” dengan lembut Riana bertanya.

“Diam lah!” ujar Fairuz dengan kasar.

Riana menikus. Sudahnya, dia membiarkan saja Fairuz bercakap seorang diri di belakang. Dia menarik tangan Fira supaya mengikutnya ke tandas. Fairuz dibiarkan duduk sendirian di dalam kelas. Baru dia tahu penangan daripada Zarra Arissa. Ini baru sedikit.

Mereka bertiga duduk mengelilingi Zarra. Zarra yang tidak henti-henti membebel sejak tadi dilayan sahaja. Apa saja yang Zarra katakan, mereka mengangguk tanda setuju. Nadia mengusap perlahan bahu Zarra untuk menenangkan hati Zarra yang tengah panas. Mujur tiada guru yang melewati kelas mereka. Kalau tidak, tak pasal-pasal pula jadi kes disiplin.




Bunyi kereta yang masuk ke kawasan rumah membantutkan kerja Puan Dayana di dapur. Tangan yang basah dilap menggunakan kain yang bersih. Api dapur gas diperlahankan supaya sambal yang dimasak tidak kering. Kereta Nissan Almera yang diparkir di garaj menimbulkan tanda tanya. Siapa pula yang datang? Bukan main lagi. Siap parker kereta di garaj.

“Assalamualaikum mama!” terpacul tubuh anak sulungnya, Zalikha yang baru keluar dari kereta. Satu senyuman terus terukir di bibir. Ingatkan siapa yang datang tengah hari begini. Leher dipanjangkan mencari seseorang.

“Suami kamu mana?” terpacul soalan daripada mulut Puan Dayana.

“Bukannya nak jawab salam Ika dulu. Menantu kesayangan juga yang dicari. Penat tau Ika drive dari Pulau Pinang ke sini.” Zalikha mencemberut. Tangan Puan Dayana dicapai lalu dicium.

“Itu pun nak cemburu ke? Suami kamu tu anak mama juga. Mesti lah mama tanya sebab kamu je yang datang rumah mama ni.” Puan Dayana melangkah masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke dapur.

“Ika gurau je lah, mama. Kenapa mama suruh Ika balik sini cepat-cepat? Nasib baik Ika dapat cuti.” Soal Zalikha.

“Tak suka ke mama suruh balik sini? Dah seronok sangat duduk dekat Pulau Pinang tu? Haa… Kereta baru lagi? Tahun lepas kan dah tukar kereta. Tahun ni tukar lagi. Membazir je lah Ika.” Puan Dayana sudah mula membebel. Tangannya lincah memotong sayur-sayuran.

“Firash yang nak sangat tukar kereta. Ika ikutkan aje kata suami kesayangan Ika tu. Dah pukul tiga setengah ni. Mana Zarra? Tak balik lagi?”

“Ada kelas tambahan katanya hari ni. Kejap lagi balik lah tu. Cakap pasal Zarra, mama nak bagitahu kamu satu rahsia besar.” Puan Dayana mempamerkan riak wajah yang serius.

Zalikha yang perasan akan perubahan riak wajah Puan Dayana, mengerutkan dahi. “Rahsia apa pula? Mama suruh Ika balik sebab nak bagitahu rahsia Zarra ke?”

Puan Dayana mengangguk. Zalikha menepuk dahi. Tudung yang menutupi kepala dibuka dan diletakkan di atas kerusi. “Ya Allah, mama. Penat tau Ika drive dekat lima jam. Dalam telefon pun mama boleh bagitahu Ika.”

“Menyesal la balik sini?” Puan Dayana menjeling.

“Ada lah sikit kesalan tu.” Jawab Zalikha dengan sengihan.

Kulit ubi kentang yang berterabur di atas lantai dikutip lalu dilemparkan ke arah Zalikha yang masih tersengih. “Main kasar mama ni.” Ujar Zalikha. Tidak pasal-pasal dia kena kutip kulit ubi kentang dan dibuang ke dalam tong sampah.

“Hujung bulan ni anak kesayangan mama dah nak kahwin.”

“Angah nak kahwin? Kerja pun belum ada hati nak kahwin?” soal Zalikha. Zafran baru berusia dua puluh tahun. Dengan siapa pula dia nak berkahwin? Yang anehnya, mama dengan papa seakan tidak kisah. Zalikha menggaru kepala yang tidak gatal.

“Bukan Angah… Zarra.” Jawab Puan Dayana selamba.

“Hah?” jerit Zalikha. Rasa nak luruh jantungnya.

“Hujung bulan ni mama dengan papa nak balik Jordan. Tok abah sakit. Zarra dekat sini tak ada siapa nak jaga. Kebetulan pula ada orang masuk meminang Zarra. Mama dengan papa setuju je.” Puan Dayana menjawab sambil tersenyum manis.

“Mengarut! Zarra tu baru tujuh belas tahun. Masak pun tak tahu, macam mana nak kahwin? Mama jangan nak buat lawak tengah hari macam ni. Angah tahu tak Zarra nak kahwin?”

“Mesti lah Angah tahu. Dia kan duduk dekat rumah ulang-alik pergi kolej. Dia pun sokong sangat keputusan mama sebab bulan depan dia nak kena praktikal dekat Pulau Pinang. Siapa nak jaga Zarra dekat sini.”

Zalikha meraup wajah. Memang sesuatu yang mengejutkan. “Apa gunanya Ika ni? Ika boleh duduk sini jaga Zarra. Tak pun, mama hantar dia ke asrama. Senang kan?”

“Tak akan sesekali mama nak hantar dia ke asrama. Memang dulu ada terfikir juga. Tapi, susah lah kalau duduk asrama. Dia mana reti nak basuh baju, lipat baju, kemas almari. Kamu tu ada suami yang nak kena jaga. Ada kerja. Takkan nak berhenti kerja nak jaga Zarra?”

“Kita boleh tukarkan Zarra ke sekolah lain.” Zalikha masih tidak setuju.

“Ingat senang nak tukar sekolah? Cakap tu fikir dulu, Ika. Mama dengan papa ni dah nak naik pecah kepala fikirkan buruk dan baik kalau Zarra tu berkahwin. Zarra pun dah setuju.” Jawab Puan Dayana. Dia masih mempertahankan keputusannya.

“Zarra setuju?” satu keluhan dilepaskan. Apa lagi yang dia boleh buat kalau tuan empunya badan pun sudah setuju. Rasa macam di alam fantasi cerita dongeng zaman dahulu. Sudahnya, Zalikha tersenyum. Tidak tahu lagi ingin berkata apa-apa.

“Ika kenal dengan bakal suami Zarra tu. Anak Aunty Naz.” Beritahu Puan Dayana.

“Harriz? Yang belajar dekat Dubai tu? Hmmm… Patut lah Zarra setuju. Lelaki kacak macam tu semua orang pun nak.” Zalikha menghamburkan tawa. Tiba-tiba saja hatinya berasa tenang sebaik tahu siapa bakal suami Zarra. Risau juga dia kalau Zarra akan berkahwin dengan lelaki yang entah macam mana sikap dan agamanya. Kalau anak Aunty Naz, memang sesuai sangat. Ada agama, ada pendidikan.

“Nak bagi dia setuju pun macam bagi sokongan dekat pasukan bola sepak. Riuh-rendah malam tu. Yang paling tak tahan, masa kami bagitahu dia pasal pinangan tu. Dia jatuh pengsan. Sudah lah masa tu ada Aunty Naz dengan Uncle Shakir. Harriz pun ada sekali.” Beritahunya panjang lebar. Sesekali tawa menghiasi suasana.

“Aduhai… Lega hati Ika bila tahu dengan siapa Zarra nak berkahwin. Dah besar adik Ika tu walaupun baru tujuh belas tahun.”

“Perangai tak macam dengan umur. Manja makin menjadi-jadi. Jenuh nanti Harriz nak melayan.”

Zalikha ketawa besar. Tak sabarnya menunggu Zarra pulang dari sekolah. Sebenarnya bukan apa. Dia cuma tak sabar ingin mengusik Zarra. Sudah lama dia tidak mencari pasal dengan Zarra. Kepalanya ligat memikirkan idea. Suruhan mama untuk menolongnya di dapur tidak dipedulikan. Sebaliknya dia melarikan diri ke tingkat atas.




“Kompang dipalu… Pengantin malu!” Zalikha menyanyi riang sambil menari di hadapan Zarra yang sibuk dengan komputer riba. Dia menari dengan pelbagai gaya namun satu pun tidak menarik perhatian Zarra.

“Direnjis-renjis, dipilis…Di tepungi lah tawar.. Hai beras kunyit di tabur… Disiram si air mawar…” Suaranya dikuatkan lagi untuk menarik perhatian Zarra. Apabila Zarra masih dia tidak berkutik, dia menari-nari lalu mencuit pipi Zarra berulang kali. Sengaja dibuat beberapa reaksi muka supaya keluar juga beberapa perkataan daripada mulut Zarra.

Zarra yang rimas dengan gelagat Zalikha yang terkinja-kinja menari bagaikan menyambut pasangan pengantin meramas kedua-dua tangannya tanda geram. Konsentrasi terhadap kerja kursus Prinsip Perakaunan hilang begitu saja.

“Diam lah Kakak!” jerit Zarra. Itu saja dia yang tahu. Menjerit, merajuk. Tiada yang lain.

Matanya dijulingkan. “Haaa. Macam tu lah adik kakak. Suka menjerit, terpekik-terlolong tak kira siang malam. Seronok nak kahwin?” usik Zalikha. Bahu Zarra ditolak perlahan.

“Sibuk je! Pergi balik layan suami kakak tu. Menyemak je kat sini.” Balas Zarra. Patung beruang hadiah yang diberi papa diambil lalu dipeluk erat.

“Ewah, ewah. Halau kakak suruh balik? Jangan harap! Lagi tiga hari adik kakak ni nak kahwin. Mesti lah kakak nak duduk sini luangkan masa dengan adik kakak yang comel ni. Esok lusa sampai lah suami kesayangan kakak di sini. So, tak payah susah-susah nak halau kakak. Ni rumah kakak juga tau.” Pipi Zarra dicubit kuat. Geram dengan pipi gebu Zarra. Itu lah, dulu dia sangat yang beria untuk menyertai pelbagai jenis sukan. Sekarang, kulitnya tidak seputih dan segebu Zarra. Sedang-sedang saja putihnya.

Pipi Zalikha ditolak dengan kasar. “Poyo! Ni rumah Zarra sebab Zarra je yang duduk sini dengan mama papa. Rumah kakak dekat Penang. So, behave please.”

Zalikha mengherotkan bibir mengejek Zarra. Dia dengan Zarra mana pernah bergurau baik-baik. Kasar memanjang. Itu memang sudah semula jadi sejak dahulu. Jarak umur mereka saja sepuluh tahun. Memang selalu tidak berlaga angin. Tapi, bila mereka berbaik, bagaikan belangkas lagaknya.

“Tak kisah lah Zarra nak cakap apa pun. Ready dah nak kahwin?” Zalikha tersengih.

“Tak ada soalan lain ke nak tanya? Kahwin, kahwin, kahwin. Bosan lah.” Rungutnya. Bibir dimuncungkan tanda tidak suka dengan soalan yang ditanya.

“Itu je soalan yang menarik sekarang ni. Harriz tu handsome kan Zarra?” ditolak pipi Zarra berulang kali.

Zarra memandang wajah Zalikha. “Kakak kenal Harriz?”

“Eh… Mesti lah kenal. Dulu Harriz tu junior kakak masa sekolah menengah. Jangan risau lah. Dia baik sangat. Sebab tu dulu dia jadi pengawas sekolah berturut-turut setiap tahun.”

“Kakak… Tu dulu. Kisah beberapa tahun yang lepas. Sekarang ni mana tahu kalau perangai dia teruk. Kesian Zarra sebab kena kahwin dengan lelaki yang tua sembilan tahun daripada Zarra. Kalau pernah jadi pengawas sekolah tu memang dijamin dia baik lah? Mengarut!”

Bahu Zarra dipaut erat. “Kita tak boleh menilai seseorang tu dengan pandangan mata kasar. Zarra tak kenal lagi kan Harriz tu macam mana. Lepas kahwin ni belajar kenal dia dari hujung rambut sampai hujung kaki. Sekali dengan dalaman dia Zarra kena tahu. Baru boleh nak menilai dia macam mana. Nasib baik sembilan tahun. Kalau dua puluh tahun?”

“Sekali dengan dalaman? Ewwww… Kakak ni otak kuning lah.” Zarra memukul lengan Zalikha dengan kuat.

Tawa Zalikha terburai. Zarra memanng kelakar. Boleh pula fikirannya menerawang perkara yang lain. Tidak pasal-pasal dia dituduh otak kuning. “Bukan tu lah maksud kakak. Zarra tu yang otak kuning sebenarnya. Maksud kakak, Zarra kena belajar faham sikap dia. Faham hati dia macam mana. Dia tu jenis yang hati lembut ke, keras ke.. Faham maksud kakak?”

Zarra tersengih. Wajahnya terasa membahang gara-gara malu. Macam mana lah dia boleh berfikir ke arah yang tidak senonoh begitu. Ini semua disebabkan dia tidak faham maksud Zalikha. Dengan perlahan dia mengangguk.

That’s my girl!” Zalikha memeluk erat tubuh Zarra. Banyak lagi sebenarnya yang perlu diajarkan kepada Zarra. Tapi, tak mengapa. Masa masih panjang. Perlahan-lahan dia akan mengajar Zarra mengenai ilmu rumah tangga.

“Sijil kursus kahwin ada dengan Zarra kan?” Zalikha bertanya.

“Tak… Mama tolong simpankan. Segan gila masa pergi kursus hari tu. Zarra sorang je budak belasan tahun. Nasib baik kakak-kakak dekat sana tak tanya umur Zarra.”

“Benda dah lepas pun kan. Zarra takkan jumpa dah kakak-kakak dekat dekat sana tu. Jom turun pergi dapur. Tolong mama masak.” Tangan Zarra ditarik.

Zarra mempamerkan riak muka yang bosan. “No excuse! Wajib!”

“Okey, fine!” jawab Zarra. Zalikha tersenyum kemenangan. Dengan malas Zarra bangun dari katil dan menurut langkah Zalikha ke dapur.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.