Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,667
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

Sampul surat di dalam laci meja solek diambil. Sejak bila pula ada surat di dalam ni. Getus Zarra. Kebiasaannya, surat-surat disimpan di dalam bekas yang terletak di atas kabinet di ruang tamu. Tanpa teragak-agak, dia membuka sampul surat itu lalu dibaca.

Perkataan Urusan Paduka Baginda dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mahkota memang membuatkan mata Zarra terjegil luas. Matanya laju dilirikkan pada tarikh surat itu. Sekali lagi matanya terjegil. Dua minggu lepas. Ini bermakna, sudah dua minggu Harriz menerima surat panggilan mengajar dan dia sama sekali tidak memberitahu Zarra soal ini.

Dia terasa sentap tiba-tiba. Berkecil hati dengan sikap Harriz. Fikirannya ligat memikirkan mengapa Harriz tidak memberitahunya mengenai surat ini. Apakah dia tidak berhak untuk tahu? Perut yang lapar sejak tadi tiba-tiba saja terasa kenyang. Terbantut terus seleranya.

Bunyi kereta yang masuk ke dalam halaman rumah membuatkan Zarra terus berdiri dan berjalan ke muka pintu. Tanpa perasaan, dia melihat saja Harriz yang membawa dua beg plastik berisi barang dapur. Langsung tidak ada niat untuk menolong.

“Tak nak tolong abang?” laung Harriz dari jauh.

Zarra menggeleng. Dia menunjuk surat itu kepada Harriz. Harriz yang masih tidak tahu apa-apa hanya tersenyum manis.

“Kenapa tak bagitahu Zarra tentang surat ni?” Zarra menarik lengan Harriz.

Harriz mengerutkan dahi. “Surat apa pula?”

“Buat-buat tak tahu. Zarra ni tak penting ke untuk tahu semua ni?” sekali lagi dia bertanya.

Harriz yang masih terpinga-pinga terus mengambil surat yang dipegang oleh Zarra. Sebaik saja membaca kandungan surat tersebut, dia pantas menepuk dahi. Sungguh dia terlupa ingin memberitahu mengenai surat ini kepada Zarra. Dia terlalu sibuk mengurus dan mengemas rumah.

“Abang betul-betul lupa pasal surat ni. Jangan marah abang, okey?” ujar Harriz lalu tersengih.

“Lupa? Benda penting macam ni pun abang boleh lupa? Nonsense!” Zarra memeluk tubuh. Masih tidak puas hati. Memang betul-betul tidak matang Zarra ni.

“Muka abang ni macam main-main ke? Serius abang terlupa. Dalam dua minggu ni kan kita sibuk urus rumah? Kan?”

Zarra mengangguk perlahan. Betul juga kata Harriz. “Betul abang terlupa? Bukan buat-buat lupa?”

“Ish. Penat cakap dengan budak tak korek telinga ni. Betul lah.” Harriz mula sebal.

“Telinga ni baru korek dua hari lepas. Cuma nak kepastian.” Jawab Zarra selamba. “Dah, jom makan. Lapar. Tadi tak makan lagi lepas balik sekolah.”

“Tak makan lagi? Dah dekat dua jam Zarra balik sekolah, langsung tak makan apa-apa?” soal Harriz agak terkejut. Mujur dia membeli dua set Prosperity Burger sebelum pulang ke rumah. Jika tidak, jenuh Zarra menahan lapar.

“Nak makan apa dekat rumah ni? Mana ada makanan. Mi segera je ada.” Dia terus melabuhkan punggung di kerusi dan membiarkan Harriz yang menghidangkan makanan di atas meja. Malas memang menguasai diri. Perutnya sudah berdondang sayang melihat burger di atas meja. Kalau diikutkan, dua biji burger pun dia boleh habiskan.

“Ini lah keburukan tak tahu memasak. Semua nak harapkan abang. Belajar goreng telur, buat sambal ke.. Tak pun, buat nasi goreng. Benda senang je tu. Nanti abang ajar Zarra masak. Tak boleh sangat nak berlembut dengan Zarra. Kalau tiba-tiba Zarra tercampak dekat Afrika sorang-sorang, siapa nak tolong masakkan? Kedai?” Harriz mula membebel.

Zarra mendengus perlahan. Apa punya tak logik bebelan Harriz. Mana mungkin dia tercampak di Afrika tanpa sebab. Nak membebel pun, biarlah logik sikit.

“Terkumat-kamit mulut tu. Mengutuk abang kan?” Harriz menyerkap jarang. Wajah Zarra dipandang sekilas.

“Mana ada…” jawab Zarra meleret. Kepala ditundukkan. Sudah lah menahan lapar sejak tadi, boleh pula suaminya yang mithali membebel sakan.

“Nah, makan.” Piring yang berisi burger diletak di hadapan Zarra. Tidak lupa, sos cili dan sedikit mayonis untuk menambahkan kelazatan. Memang itu kegemaran Zarra. Walaupun baru saja dua bulan mereka berkahwin, sudah banyak perkara mengenai Zarra ada di dalam genggaman.

Zarra tersengih. “Terima kasih daun keladi, esok boleh beli lagi.”

“Tak ada maknanya. Esok makan dekat rumah. Beli nasi bungkus.” Jawab Harriz tegas.

“Nasi bungkus tak sedap. Ada banyak kolestrol dan berminyak.” Petah Zarra menjawab. Jus oren dihirup sedikit. Leganya!

“Jangan banyak cakap. Cepat makan!” arah Harriz dengan suara yang sengaja ditegaskan.

Zarra mencebik. Pantas tangannya hinggap di bahu Harriz. Dicubit dan ditampar berulang kali.




Tanpa menunggu dengan lebih lama, Zarra bingkas bangun dari pembaringannya. Matanya masih lagi terpejam rapat. Dia sempat melelapkan mata seketika selepas selesai makan tengah hari. Itu pun setelah Harriz bising-bising menyuruhnya tidur. Alasan Harriz, Zarra tentu penat sebab baru pulang dari sekolah.

Tiba-tiba bunyi bising dari arah dapur membuatkan matanya automatik membulat. Dia menggosok mata dan melihat ke arah jam dinding. Baru pukul lima petang. Siapa pula yang berada di dalam rumahnya. Harriz? Tidak mungkin. Dia masih ingat lagi Harriz beritahu ingin ke rumah mama ingin mengambil barang yang tertinggal. Paling lewat, sebelum pukul enam dia akan sampai di rumah semula.

Dia sudah berasa tidak sedap hati. Kalau Harriz ada di rumah, sudah tentu bunyi televisyen memenuhi ruang rumah. Lelaki itu memang suka membiarkan televisyen dipasang. Padahal, dia bukannya menonton televisyen. Sebaliknya, membuat tahi mata.

Zarra melompat turun dari katil dan mengambil botol minyak wangi di atas meja solek. Dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Minyak wangi ditangan akan digunakan sebagai senjata untuk melawan jika ada pencuri yang masuk ke dalam rumahnya. Apa susah, sembur sahaja minyak wangi ke mata penjahat. Kemudian, berlari keluar dari rumah dan meminta pertolongan, masalah akan selesai. Bijak Zarra!

Dia membuka pintu bilik dan menuruni tanggan dengan berhati-hati. Minyak wangi yang dipegang, digenggam kemas. Pada anak tangga terakhir, dia melilaukan mata melihat sekeliling ruang tamu. Tidak ada apa-apa yang mencurigakan. Susun atur ruang tamu masih kemas dan sama seperti selalu.

Dia berjalan pula ke arah. Dia menutup mulutnya yang melopong melihat keadaan dapur yang berselerakan. Periuk, kuali dan sudu bersepah di atas lantai. Dia melihat ada seseorang yang menunduk seakan mencari sesuatu tetapi tidak dijumpai. ‘Takkan pencuri ni nak curi barang dekat dapur. Nak curi sayur? Ayam? Pinggan mangkuk? Tak mendatangkan hasil pun lah.’

Dia memberanikan diri untuk berdiri di hadapan lelaki yang disangkanya pencuri itu. Belum sempat dia memulakan serangan, lelaki itu sudah berpusing mengadapnya. Zarra tersentak. Satu keluhan dilepaskan. Harriz rupanya. Gaya persis macam pencuri masuk rumah.

“Lah. Abang ke? Kenapa lah macam pencuri masuk rumah ni. Bersepah semua barang. Zarra ingatkan pencuri yang masuk geledah rumah.” Botol minyak wangi diletakkan di atas meja makan.

Harriz mengerutkan dahi. ‘Aku yang handsome macam ni boleh dia kata macam pencuri? Melebih Zarra ni.’ Botol minyak wangi di atas meja makan menarik perhatiannya. Sekilas dia memandang Zarra yang duduk menongkat dagu memerhartinya.

“Minyak wangi ni nak buat apa? Perisai melawan pencuri?” sindir Harriz. Tawanya memenuhi ruang dapur yang luas itu.

“Ye lah. Minyak wangi ni ada alkohol yang boleh memedihkan mata orang. Kalau kena benda alah ni, confirmmeraung. Abang nak rasa ke pedih benda alah ni?”

“Usik sikit dah nak melenting. Cepat siap. Kita makan kat luar hari ni. Abang tak jadi nak masak.” Arah Harriz.

Baru sahaja dia berura-ura ingin melangkah keluar dari dapur, suara Adzra menyekat langkahnya. “Sepah-sepah semua ni siapa nak kemas? Abang yang buat sepah, abang yang kemas. Nak masak apa sampai dapur tunggang-langgang macam ni.” Zarra bersuara nyaring.

“Biar je dekat situ. Balik dari makan malam, abang kemas. Sekali-sekala dapur bersepah, apa salahnya.” Jawab Harriz selamba.

Zarra melopong. Ini merupakan pertama kali dalam hidup dia melihat dapur bersepah begini. Macam baru sudah berperang periuk dan kuali pun ada. Tiba-tiba dia berasa ada sesuatu yang tidak kena. Harriz tahu memasak atau pun tidak? Selama ini pun, tidak pernah Harriz memasak. Memang lauk kedai menjadi santapan harian mereka.

Dia akan selidik sampai dapat. Bukannya dia tidak tahu akan sikap Harriz. Suka sangat membangga diri. Dia saja lah yang hebat. Memasak, mengemas, mencuci pakaian, semua serah kepada Harriz. Kata Harriz, dia boleh diiktiraf sebagai suami mithali. Phewww. Rasa kembang tekak Zarra dengan sikap Harriz yang masuk bakul angkat sendiri.

Baru saja dia menoleh ke belakang, sekali lagi dia terkejut dengan kemunculan Harriz yang tiba-tiba. Mahu saja dia hempuk Harriz menggunakan kuali yang ada di tangan.

“Nak apa lagi? Nak sepahkan barang dalam kabinet lain pula?” tempelak Zarra.

“Ishh.. Bukan..” nafi Harriz seraya tersengih.

“Habis tu apa?” sergah Zarra pula.

“Saja nak intai isteri abang dekat sini.”

Zarra mengherotkan bibir. “Tak ada kerja lain ke? Pergi bersiap cepat sikit. Zarra ada banyak kerja sekolah yang nak kena buat. Tak payah pergi makan jauh-jauh. Kedai depan tu pun ada.”

“Tak ada class langsung makan kedai tepi jalan.” Harriz menjawab dengan penuh lagak.

“Alahai laki aku sorang ni. Sebelum ni melantak dekat warung nasi lemak tu pagi-pagi boleh pula?” nyaring Zarra bersuara. Persis seorang ibu memarahi anaknya.

Whatever!” jawab Harriz lalu beredar dari ruang dapur. Sesekali kedengaran suaranya yang tidak henti-henti membebel itu ini. Apa yang dia bebelkan pun Zarra tidak tahu.

“Baru dua bulan kahwin aku dah nak sakit jantung dengan perangai mamat ni. Memang jodoh aku dengan mamat jenis banyak mulut. Elok lah. Sesuai dengan aku.” Omel Zarra. Perkakas dapur yang bersepah di atas lantai dikutip lalu diletakkan di dalam sink.

Selesai mengelap tepung yang penuh di atas lantai, dia terus meluru ke bilik untuk bersiap. Memang mandi peluh dia hari ini.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.