Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,669
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 29

Zarra duduk di bangku batu di perhentian bas di hadapan sekolah dengan hati yang sebal. Sudah setengah jam dia menunggu, batang hidung Harriz langsung tidak kelihatan. Pengawal keselamatan sekolah sejak tadi memerhatinya sehinggakan dia berasa tidak selesa. Rimas.

Telefon bimbit pula tertinggal di rumah. Kelam-kabut pagi tadi gara-gara terlewat bangun. Nyaris dia terlepas solat subuh. Ini semua salah Harriz dengan Zafran. Beria-ia mengajak dia menonton filem tengah-tengah malam.

Pin!

Bunyi hon kereta yang kuat membuatkan Zarra terus melatah. “Hish! Siapa pula tekan hon dekat jalan yang lengang macam ni?” gerutu Zarra tidak puas hati.

“Tak nak balik ke puteri kayangan?” satu suara yang mennyapa membuatkan dia berpaling ke belakang.

“Angah? Kereta siapa angah ambil ni? Mana Harriz?” bertalu-talu soalan diberi sambil leher dipanjangkan mencari suami kesayangan.

“Kereta angah. Baru ambil tadi dekat kedai. Amacam? Lawa kan?” jawab Zafran dengan penuh lagak.

Zarra mencebik. “Soalan Zarra tadi angah belum jawab. Mana suami Zarra?“

Adik ipar angah tiba-tiba suruh angah ambil Zarra. Dia ada mesyuarat.” Balas Zafran lalu tersengih. Rasa kelakar pula menyebut perkataan adik ipar. Adik ipar yang tua enam tahun daripadanya.

Zarra menjuih bibir. Tiba-tiba dia terbayang guru perempuan yang pernah keluar dengan Harriz dahulu. Hatinya dipagut rasa cemburu. Pastu guru itu ada sekali. Ish! Tak boleh jadi.

“Hei! Termenung apa lagi? Jom!” sergah Zafran.

Terpinga-pinga Zarra dibuatnya. “Okey, okey. Jom. Kita pergi makan dulu. Lapar.” Adu Zarra.

Beg sekolah dilempar saja ke tempat duduk belakang. Langsung tidak ada sikap berhemah. Zafran hanya mampu menggelengkan kepala saja melihat kelakuan Zarra. Ingin ditegur? Pasti tidak akan makan saman.

Zafran memandu dengan tenang meskipun jalan raya sudah menunjukkan tanda-tanda kesesakan lalu lintas. Zarra terpandang sekilas beg kecil yang berwarna merah jambu miliknya di tempat duduk belakang. Pantas dia mengeluarkan telefon bimbit di dalam beg kecil yang berwarna merah jambu miliknya. Di dalam beg itu juga dia menyimpan segala khazanah yang ada untuk dibawa ke sekolah. Tisu, kad pengenalan, malah pencuci muka turut disumbat di dalam beg itu.

"Thanks Angah sebab tolong bawakan beg comel Zarra ni. Memang Zarra terlupa nak bawa tadi." ucap Zarra lalu tersenyum.

"Itu pun nasib baik Angah nampak beg Zarra ada atas meja makan. Kalau tak, mesti Zarra meroyan kan sebab tak ada handphone?" Zafran mengusik.

Zarra tidak menjawab. Malas mahu bertekak. Laju tangannya menari-nari di skrin telefon bimbit. Sesekali terjuih-juih bibir apabila melihat foto-foto kemesraan yang dimuat naik oleh rakan-rakannya di dalam laman sosial Instagram. Pelbagai aksi mesra mereka lakukan. Loya tekak Zarra melihat foto sebegitu. Berdosa sungguh dia.

Satu kiriman SMS yang masuk membuatkan dia tersenyum lebar. Mana tidaknya, sudah terang lagi bersuluh nama pengirim tertera di skrin telefon bimbit. “My Hunny Bunny”.

“Angah bawa lunch dekat mana? Kejap lagi abang datang.”

Zarra menjungkit kening. Mana dia tahu. Angah langsung tak beritahu. Laju saja tangannya menampar perlahan bahu Zafran.

“Kita nak pergi makan dekat mana?” tanya Zarra.

“Kenapa?” soalan Zarra dibalas dengan soalan.

Zarra mendengus. “Bagitahu jelah.”

“Hmm…. KLCC.” Jawab Zafran seringkasnya.

“KLCC? Jauh sangat tu. Makan dekat restoran tepi-tepi jalan ni pun boleh. Haih… KLCC dekat mana?” soalnya lagi separa merungut.

“KL. Dekat mana lagi yang ada KLCC?” jawabnya sedikit sebal. Fokusnya terhadap pemanduan sedikit terganggu.

Zarra menepuk dahi. Pasti Harriz tertunggu-tunggu balasan daripadanya.

“Angah! Zarra tahu KLCC tu dekat KL. Kita nak pergi makan dekat restoran apa di KLCC?” soal Zarra. Nafasnya sudah turun naik tanda kesabarannya hampir habis.

Zafran terus tersengih. “DOME, KLCC.”

“Hah! Kan senang.” Ucap Zarra dengan sebal.

SMS tadi dibaca semula sepintas lalu sebelum menjawab kiriman itu. Sesekali dia merungut perlahan tanda kesal dengan sikap Zafran yang lambat memahami soalan.

“Sorry, lambat. DOME, KLCC. :p”

Zarra memberi satu jelingan tajam kepada Zafran yang sesekali menoleh memandangnya. Geram sungguh dia dengan sikap Zafran yang kadang-kala terlalu lurus bendul.

Kebas punggung gara-gara duduk terlalu lama di dalam kereta. Mentang-mentang esok hujung minggu, sengaja Zafran membawanya ke KLCC.  Sudah berapa kali dia mengehala nafas panjang. Sudahlah uniform sekolah pun masih tersarung di badan. Tapi, tak mengapa. Mereka sekarang berada di dalam kompleks membeli-belah. Dia akan usung Zafran ke butik untuk membeli pakaian. Rimas dia berbaju kurung sekolah sehingga petang.

Zafran yang sejak tadi memandang Zarra mengerutkan dahi. Aneh barangkali dengan sikap Zarra yang tiba-tiba diam membisu.

“Kenapa diam?” tegurnya. Tangannya sudah memaut bahu Zarra.

“Letih. Penat.” jawab Zarra ringkas. Dia sudah malas mahu berjalan. Rasa ingin duduk bersila di atas lantai sekarang juga.

“Baru pukul tigat petang. Kita lepak-lepak dulu. Lepas makan, kita balik. Batang hidung Harriz pun angah tak nampak lagi ni.” Ujar Zafran selamba.

“Nak lepak? Zarra baru balik sekolah tau. Baju tak bertukar lagi, mandi pun belum. Perjalanan dari Shah Alam ke sini setengah jam. Paling awal Harriz boleh sampai sini dalam pukul empat. Sekarang baru pukul tiga. Zarra penatlah!” rungutnya. Kakinya sudah lenguh berjalan sejak tadi.

“Lagi satu jam kita kena tunggu? Kalau macam tu, jom kita masuk butik. Pilih baju mana yang nak pakai. Tukar baju tu. Tak apa kan sesekali tak mandi?” Zafran memberi cadangan. Tidak mahu Zarra membebel panjang.

“Hah! Memang Zarra nak ajak angah bawa Zarra beli baju. Bagus, bagus. Tak kisahlah tak mandi asalkan tak pakai baju sekolah ni. Dah masam tahu.” Beritahunya. Sedikit demi sedikit, anginnya sudah membaik.

Zafran tersengih. Tidak mahu berkata apa-apa. Khuatir anak dara seorang ini bising-bising. Nanti dia juga yang sakit telinga dan sakit hati. Dia menurut saja langkah Zarra masuk ke dalam butik pakaian Esprit. Aduh! Bankrap lagi dia kali ini. Apa-apa sajalah demi adik tersayang.

“Tadaaa! Dah siap!” Dia bersuara girang sebaik saja dress labuh berwarna mint green tersarung di tubuhnya. Beg plastik yang berisi uniform sekolah dihulur kepada Zafran. Malas dia mahu menjinjit beg plastik itu.

“Hmmm. Orang dah belikan baju, dia suruh kita bawa beg plastik pulak.” Rungut Zafran. Huluran Zarra disambut juga meskipun tangannya terasa berat.

Zarra tersenyum lebar. “Tadi Harriz ada SMS Zarra. Lagi sepuluh minit dia sampai. Jom, kita pergi order makanan dulu. Lapar sangat ni.” Ujar Zarra. Anak matanya fokus memandang skrin telefon bimbit.

Zafran mengangguk bersetuju. “Lagi dua bulan dah nak masuk bulan Ramadan. Puasa dah habis ganti belum?” Dia bertanya.

“Dah lama Zarra ganti. Lepas tu, raya puasa. Bestnya! Bila mama dan papa nak balik sini?” riak wajahnya tiba-tiba bertukar muram. Mana seronok kalau beraya tanpa mama dan papa.

“Tak tahu lagi. Tapi, papa ada beritahu angah yang mereka memang tak boleh balik dalam masa terdekat ni. Alaa. Kita raya adik-beradik jelah. Sesekali rasa macam mana suasana beraya tanpa mama dan papa.”

“Mana boleh! Tak lengkap raya tahun ni.” Dia sudah mula mahu mencebik. Nak menangis!

“Mulalah tu nak nangis. Cengeng. Harriz kan ada. Keluarga mertua Zarra tu nak letak mana? Berayalah dengan mereka. Sebab tu Zarra kena berkahwin dengan Harriz. Ada keluarga baru. Nanti tak sunyilah bila raya sebab ada keluarga baru. Mama dan papa dah tahu sangat anak dara diorang ni kuat menangis. Sebab tu kena paksa kahwin. Senang ada orang nak pujuk, nak jaga.” Ujar Zafran panjang lebar.

“Tazkirah bukan main panjang lebar. Dahlah, nak makan. Cepat sikit jalan.” Bentak Zarra. Tidak suka apabila dibebel meskipun bebelan baik-baik belaka.

Zafran menjungkit bahu. Memang kena ada sifat sabar yang tinggi kalau berhadapan dengan Zarra. Sedikit sebanyak dia panasaran juga. Bagaimana Harriz melayan Zarra? Jenuh lelaki itu perlu bersabar.

Harriz terus melabuhkan punggung di kerusi sebaik saja terpandang Zarra dan Zafran yang duduk berdekatan tingkap. Puas dia mencari parking untuk meletak kereta. Hampir lima belas minit juga.

“Kenapa lambat?” soal Zarra.

“Kejap, bagi abang tarik nafas dulu.” Ujar Harriz. gelas minuman Zarra dicapai lalu diminum jus itu sehingga habis. Membulat mata Zarra melihat Harriz seperti orang tidak minum dua hari.

Zafran ketawa kecil. Lucu melihat gelagat pasangan di hadapannya.

“Kejap lagi order lain minuman tu. Tengok Harriz macam nak telan tu dah kenapa?” tegur Zafran.

“Tak.... Terkejut sikit.” Sengih Zarra.

“Ni bukan dikira makan tengah hari lagi dah. Minum petang sekarang ni. Datang sini jauh-jauh kenapa, angah? Dekat Shah Alam tu tak ada restoran ke?” soal Harriz. Lega sudah tekaknya yang kering tadi. Cuaca sekarang amat panas.

“Saja nak tukar angin. Sesekali jalan jauh-jauh, seronok juga. Takkan selamanya nak terperap dekat Shah Alam.” Minuman di dalam gelas dicicip. Langsung tidak berasa bersalah membuatkan orang lain kepenatan begitu.

Harriz dan Zarra berbalas pandangan. Tidak mampu berkata apa-apa. Hanya mampu menjungkitkan bahu dan meneruskan suapan. Zafran bukannya tahu memahami orang lain. Apa yang dia lakukan, ikut kepalanya saja. Serba-serbi tidak teratur. Asalkan serba boleh dan hatinya senang.

Previous: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.