Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,648
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

“Aku rasa sangat best sebab hari ni tak ada subjek matematik. So.. Aku tak payah nak tengok muka Cikgu Sharifah yang terang-terangan tak suka dekat aku. Petang ni kau free tak Nadia?” Zarra mengambil buku di bawah meja lalu dimasukkan ke dalam beg. Tinggal sepuluh minit saja lagi sebelum loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan tamat.

“Aku pula bosan sebab tak ada matematik hari ni. Hmm… Aku memang sentiasa free. Nak ajak lepak ke?” tanya Nadia.

Zarra menjeling Nadia. “Kau jangan sebut pasal matematik depan aku. Fobia aku dengan subjek ni. Aku pergi rumah kau petang ni. Kita buat cupcake nak?” Zarra memberi cadangan.

“Okey, pukul empat petang. Jangan lambat tau. Tapi kat rumah aku tak ada bahan nak buat cupcake. Kau faham-faham je lah, mummy dengan daddy aku mana pernah lekat dekat rumah. Dulu mummy aku rajin lah buat cupcake ni semua. Sebab tu dulu rumah aku banyak bekalan tepung. Sekarang ni, bibik aku kat rumah tu mana reti buat cupcake. Buat bakso dia reti lah.” Terang Nadia panjang lebar. Sekali dengan tangan-tangannya bergerak menunjukkan dia bersungguh-sungguh bercerita.

“Yang kau melalut entah apa-apa ni kenapa? Soal tu kau jangan nak susah hati. Serahkan dekat aku. Aku boleh bawak barang dari rumah aku. Tapi kan... bakso pun sedap jugak. Suruh bibik kau buatkan petang ni, boleh?”

“Aku tak kisah. Boleh je nak suruh bibik aku buat. Asalkan bukan aku yang buat.” Nadia melepaskan tawa. Keadaan kelas yang sunyi sepi bertukar bingit dengan gelak tawa Nadia.

Khairil yang mendengar perbualan mereka terus mencelah. “Aku nak join sekali petang ni boleh?”

“Kau nak join kami buat cupcake?” tanya Zarra mendapatkan kepastian.

“Boleh je. Lagi pun duduk dekat rumah bukannya buat apa. Ikhwan! Sini kejap. Ada hal kitorang tengah bincang.” Khairil melaung dari tempat duduknya.

Ikhwan menolak kerusi ke belakang lalu berjalan ke tempat duduk Zarra. “Yes? Ada apa-apa ke yang aku tak tahu?”

“Petang ni kita lepak rumah Nadia, nak? Diorang plan nak buat cupcake. Boleh kita join sekali. Tapi, bukan tolong masak. Tolong makan.” Ajak Khairil.

“Buat cupcake? Beres… Aku memang tengah cari resepi cupcake yang sedap-sedap. Dah tak larat nak beli untuk adik aku. Hari-hari nak cupcake. So… boleh aku belajar dengan korang petang ni. Tak kisah kan?”

“Tak kisah asalkan korang hulur duit untuk aku.” Jawab Zarra selamba.

“Ceh! Kau memang mata duitan lah Zarra.” Balas Khairil dengan memek muka yang tidak puas hati.

“Ada aku kisah?” Zarra membalas.

“Aku nak duit jugak tau.” Tiba-tiba Nadia yang tadi sibuk menulis, mencelah.

“Sibuk lah kau, Nadia.” Sergah Zarra.

Nadia terkulat-kulat. Kemudian, dia memandang ke depan berbual dengan rakan yang lain. Malas mahu melayan Zarra.

Kereta Toyota Alphard yang diparkir di halaman rumah membuatkan dia hairan. ‘Siapa yang datang tengah hari begini?’ getusnya.

“Assalamualaikum”. Zarra membeli salam. Mereka menjawab salam. Zarra perasan semua mata memandang tepat ke arahnya. Tiba-tiba rasa segan dan malu menyapa diri. Baru sahaja dia berura-ura ingin memanjat tangga untuk ke bilik, suara mama menyapa halwa telinga.

“Zarra… Letak beg kat situ dulu. Tak nak salam dengan Aunty Naz?”

Zarra tersengih. Terlupa untuk bersalaman gara-gara malu dengan mata yang memandang ke arahnya tadi.

Harriz yang leka dengan telefon bimbit terus memanggung kepala apabila terdengar nama Zarra disebut. Dia ingin melihat siapa Zarra yang umi dan babah betul-betul berkenan untuk dibuat menantu. Sebaik matanya tertancap pada wajah Zarra, dia mengaku Zarra memang sangat cantik. Tapi, sayangnya.. Zarra baru berusia 17 tahun!

“Mesti Zarra penat baru balik dari sekolah. Tak apa. Zarra naik lah atas berehat. Aunty tak kisah.” Lembut Puan Sri Nazrah bersuara.

“Zarra naik dulu aunty. Jemput minum. Buat macam rumah sendiri.” Zarra tersengih lagi. Wajah mama yang tersenyum manis dipandang. Lain macam saja mama hari ni. Lelaki yang duduk di sofa langsung tidak dipandangnya. Segan! Sejak tadi lelaki itu memandangnya dari atas sehingga ke bawah.

“Zarra.. Kejap lagi turun duduk kat sini. Ada hal sikit mama nak bagitahu Zarra.”

Kepalanya diangguk. Kemudian, dia memanjat tangga dengan laju untuk ke bilik. Masih ada dua jam untuk ke rumah Nadia. Mungkin sempat untuk meluangkan masa dengan sahabat baik mama dan papa sebelum ke rumah Nadia.

Di dalam bilik, Zarra mencapai baju t-shirt berlengan panjang dan seluar tracksuit. Tudung bawal yang disangkut di belakang pintu di ambil dan digosok. Selesai berpakaian, dia keluar dari bilik dan turun ke ruang tamu mendapatkan mereka yang rancak berbual.

“Siap cantik-cantik ni nak pergi mana, Zarra?” tanya Encik Zaril. Dia bekerja separuh hari sahaja pada hari itu kerana sahabat baiknya datang berkunjung ke rumah. Mujur dia mengambil emergency leave. Rupa-rupanya ada hajat di sebalik kedatangan sahabatnya itu. Terkejut besar dia dan Puan Dayana.

Zarra melabuhkan punggung di sisi Puan Dayana. “Nak pergi rumah Nadia petang ni. Dah janji nak buat cupcake dengan dia. Ikhwan dengan Khairil pun join juga.” Jawab Zarra jujur.

Harriz mendengar sahaja bait-bait perkataan yang keluar dari mulut Zarra. Bagus juga Zarra kerana memberitahu dengan siapa dia akan keluar dan ke mana. Bisik hati kecilnya. Puan Sri Nazrah mencuit peha Harriz. Dia menjongket bahu tanda bertanya. Harriz menggeleng kepala tidak mahu memberi komen. Tan Sri Shakir yang perasan Harriz memerharti Zarra sejak tadi tersenyum simpul.

“Apa yang mama nak bagitahu Zarra?” dia bertanya.

Puan Dayana menelan liur. Tidak tahu bagaimana ingin memberitahu perkara sebenar bahawa Zarra dirisik oleh keluarga Tan Sri Shakir. Encik Zaril di sebelah dicuit. Encik Zaril mengangguk menyuruh isterinya memberitahu Zarra.

“Sebenarnya…” Puan Dayana jeda seketika.

“Apa dia?” Zarra menyoal tidak sabar.

“Aunty Naz dengan Uncle Shakir nak meminang Zarra untuk anak bujang mereka.” Fuh! Lega bila dapat memberitahu perkara sebenar kepada Zarra. Puan Dayana cuba menenangkan hati yang resah gelisah sejak tadi.

Adzra melopong. Perkataan meminang yang baru didengarinya membuatkan dia seakan-akan sedang bermimpi. Harriz yang duduk bertentangan dengan Zarra memerhati sahaja apa yang akan terjadi selepas ini. Mungkin gadis itu akan mengamuk dan membentak?

“Meminang Zarra? Zarra… So.. Memang betul aunty Naz meminang Zarra?” tanya Zarra mendapatkan kepastian. Tubuhnya terasa seram sejuk. Cuma tunggu untuk menggigil saja.

Yes… Meminang Zarra untuk Harriz, anak Aunty Naz dengan Uncle Shakir.” Encik Zaril mencelah.

“Zarra… Zarra okey kan?” Puan Sri Nazrah bertanya dengan intonasi yang lembut. Tidak sabar ingin mendengar jawapan yang akan diberi oleh Zarra. Zarra tersengih. Dia berdehem untuk menenangkan hati. Siapa tuan empunya nama?

“Anak aunty yang mana satu?” tanya Zarra. Dia sudah kelam-kabut. Mana tidaknya, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pun belum lepas, ada orang yang masuk meminang. Fuh! Mengalahkan drama swasta.

Puan Sri Nazrah tersenyum. Dia memegang bahu Harriz. “Zarra… Ni lah Harriz, anak aunty dengan uncle.”

Harriz menelan liur. Wajah Zarra yang pucat tidak berdarah dipandang. Tiada senyuman kerana dia tidak tahu dia ingin tersenyum, menangis atau pun meraung. Zarra memandang tepat wajah Harriz. Tidak semena-mena, dia terasa pandangannya kelam. Zarra pengsan!

“Zarra!” jerit Puan Dayana gara-gara terkejut melihat Zarra yang rebah. Mereka semua turut berdiri akibat kaget. Harriz lagi lah. Terkejut sungguh dibuatnya melihat Zarra rebah. Tiba-tiba dia terasa ingin ketawa. Lucu sungguh wajah Zarra sewaktu mendengar dirinya dipinang.

Puan Sri Nazrah meluru ke dapur dan mengambil segelas air. Dia tidak peduli jika dikatakan tidak sopan kerana masuk ke dapur rumah orang asalkan bakal menantunya sedarkan diri. Dia menghulur gelas berisi air kepada Puan Dayana. Puan Dayana menuang air pada tapak tangan dan dengan lafaz bismillah dia menyapu muka Zarra dengan air.

Tidak sampai seminit, Zarra sudah mencelikkan mata memandang ke sekeliling. “Kenapa dengan Zarra?” tanya Zarra.

“Awak pengsan, Zarra Arissa.” Tiba-tiba ada satu suara yang tidak dikenalinya menjawab. Dia menoleh ke tepi. Harriz yang sedang duduk di sebelahnya memang membuatkan dia terkejut. Terus dia bangun dan berdiri. Kepala yang terasa berat tidak diendahkan.

Puan Dayana dan Puan Sri Nazrah duduk di sofa bila melihat Zarra sudah berdiri di muka pintu. Encik Zaril pula menggeleng kepala melihat tingkah Zarra. Tan Sri Shakir sudah menghamburkan tawa. Anaknya pun satu. Sudah tahu Zarra masih terkejut, boleh dia menjawab pertanyaan Zarra dengan selamba.

“Mama! Zarra pergi dulu. Dah lambat.” Laung Zarra. Sandal di atas rak kasut diambil lalu dipakai. Dia berlari-lari anak menuju ke pagar rumah. Kemudian, dia berpatah balik ke garaj dan mengambil basikal. Tanpa berlengah, terus dia melompat ke atas basikal dan mengayuh keluar dari halaman rumah. Laungan mama dan papa langsung tidak diendahkan. Apa yang penting, dia perlu menyelamatkan diri daripada hal yang entah apa-apa itu.

“Naz.. Zarra dah keluar pergi rumah kawan dia.” Ucap Puan Dayana sebaik melangkah masuk ke dalam rumah.

Puan Sri Nazrah ketawa. Tingkah Zarra memang melucukan. “Tak apa. Dia terkejut lagi tu. Biarkan sampai dia tenang. Baru, kita bertanya lagi.”

Encik Zaril mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Puan Sri Nazrah.

“Harriz… Macam mana? Okey kan pilihan umi?” tanya Puan Sri Nazrah pada Harriz.

“Okey sangat tu umi.” Jawab Harriz selamba. Hatinya sudah tercuit dengan tingkah Zarra yang spontan dan bersahaja. Tidak kisah lah budak SPM pun. Tahun depan, dia habis SPM juga. Bisik hati kecilnya.

Mereka di situ ketawa mendengar kata Harriz. Puan Dayana tersenyum manis. Tak sangka, Zarra sudah membesar menjadi anak yang baik. Dia sangat berbesar hati jika Zarra berkahwin pada usia yang muda. Latar belakang keluarga Puan Sri Nazrah dan Tan Sri Shakir yang baik dari pelbagai aspek, membuatkan dia bersyukur. Bukan soal harta yang dia fikir. Sebaliknya, latar belakang agama keluarga sahabat baiknya itu memang bagus.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.