Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,645
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Dia membiarkan saja mukanya disolek oleh mak andam yang tidak berbayar merangkap kakaknya sendiri. Zalikha dengan penuh hati-hati merias wajah adiknya supaya solekan tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.

Harriz yang sedang berada di bilik sebelah, sejak tadi lagi sudah bersiap. Dia hanya menunggu Zarra untuk sama-sama pergi ke dewan. Lagi tiga puluh minit, majlis akan berlangsung. Sementara menunggu, telefon pintar dicapai. Bertalu-talu SMS yang masuk mengucapkan Selamat Pengantin Baru dan ada juga yang bertanya lokasi majlis resepsi kerana tersesat. Apa guna peta yang diberi kepada mereka sampaikan boleh tersesat.

“Dah siap?” Harriz bertanya sebaik saja pintu dibuka. Mereka sudah kesuntukan masa.

“Amboi.. Tak sabar-sabar. Tak lari ke mana lah Zarra ni. Kejap, lagi sikit.” Zalikha mengusik.

Harriz ketawa besar. Wajah Zarra mula memerah menahan malu. “Dah lah tu sikit-sikit. Tak payah nak make up beria sangat muka Zarra ni. Rimas lah kakak.” Dia mula merungut.

“Mana boleh! Raja sehari kena berseri-seri. Duduk diam-diam.” Bantah Zalikha.

“Zarra ni memang dah berseri-seri pun. Tak payah nak make up tebal-tebal sangat.”

Harriz melangkah masuk lalu mendekati Zarra. Diperhatinya wajah Zarra yang kelihatan sudah sempurna solekannya. “Kak Ika… Okey dah tu make up macam ni. Nanti ada orang tengok isteri saya ni lebih-lebih pula.”

“Haaa kan? Dah cantik ni, kakak. Tepi, tepi. Zarra nak bangun.” Lega bila dapat meloloskan diri daripada Zalikha. Secara tidak langsung dia berterima kasih kepada Harriz kerana menyelamatkan wajahnya supaya tidak menjadi seperti opera cina.

“Ye lah. Jalan tu baik-baik.” Akhirnya Zalikha mengalah. Dia sempat berpesan apabila melihat Zarra yang laju berjalan dengan kasut tumit tinggi empat inci supaya dia tidak kelihatan terlalu rendah di samping Harriz.

“Bak sini tangan tu nak pegang.” Tiba-tiba Zarra bersuara.

“Tadi nak pegang tak kasi. Sekarang minta pula.” Sindir Harriz dengan senyuman di bibir.

“Kasut ni tinggi sangat lah. Lenguh nak stabilkan diri. Tak kisah lah tak kasi ke apa ke.. Nak pegang jugak.” Zarra mencapai tangan Harriz lalu digenggam erat. Dia tidak peduli kalau dia dikatakan tidak tahu malu. Asalkan dia tidak terjatuh tergolek di dalam dewan.

Sebaik saja kaki melangkah masuk ke dalam dewan, lensa kamera tidak henti-henti untuk merakam foto mereka. Senyuman cuba diukir semanis yang mungkin. Zarra seakan tidak percaya apa yang dilaluinya sekarang. Selalunya dia yang datang ke majlis perkahwinan orang lain dan melihat mereka berpakaian cantik berjalan di atas karpet merah dan duduk bersanding di pelamin yang indah.

Hari ini dia pula yang menjadi perhatian orang ramai. Walaupun solekan yang menghiasi wajah membuatkan dia nampak lebih matang, ketinggian dia tetap menjadi perhatian tetamu yang hadir. Ada juga mulut-mulut yang bertanya berapa umurnya, bekerja apa, tetapi semua itu dapat ditangani dengan baik oleh mama, papa, umi dan babah.

Selesai majlis, mereka tidak akan mengambil peduli lagi mengenainya. Jadi, dia langsung tidak berasa hairan. Pegangan tangan dikemaskan. Harriz berjalan mengikut langkah kaki isterinya supaya Zarra dapat berjalan dengan baik dan tidak terjatuh.

“Zarra dah tak larat nak senyum.” Luah Zarra kepada Harriz di sebelahnya. Nak makan pun susah kerana ada saja tetamu yang datang di meja makan beradab untuk mengambil gambar.

“Tak payah senyum.” Balas Harriz selamba.

Zarra mengetap bibir. Lelaki ini memang ada saja jawapan yang menyakitkan hati. Bukannya nak menenangkan hatinya. Sebaliknya membuat dia bertambah geram. Zarra mencubit kuat peha Harriz. Harriz yang baru saja ingin menyuap makanan ke dalam mulut, terus meletakkan sudu yang dipegang lalu mengosok peha yang terasa perit.

“Tak sampai sehari kita kahwin, Zarra dah nak jadi ketam? Jenuh lah kalau hari-hari macam ni.” Harriz berbisik perlahan.

Zarra menjeling tajam. Pandangannya dialihkan terhadap pinggan yang dipenuhi makanan. Perut sejak tadi membuat orkestra, perlu diisi secukupnya. Tanpa menghiraukan lensa kamera, dia menyuap makanan ke dalam mulut. Lantak lah jika gambar-gambar dia sedang menjamu selera diambil. Asalkan perutnya kenyang.

Puan Dayana tersenyum manis melayan tetamu yang hadir. Dalam banyak-banyak soalan yang ditanya oleh tetamu, topik umur juga yang ditanya. Sudahnya dia terpaksa memberitahu Zarra sudah mencapai sembilan belas tahun. Tidak mengapa agaknya berbohong sunat. Lagi pula, kebanyakan tetamu yang hadir, rata-rata dia tidak mengenali mereka. Mungkin rakan-rakan suaminya.

Awal-awal lagi dia sudah berpesan kepada ahli keluarga yang lain supaya tidak memberitahu umur sebenar Zarra. Boleh jadi topik hangat nanti. Untuk menyelamatkan kedua-dua belah pihak, mereka memberitahu umur Zarra sembilan belas tahun. Zarra pula tersenyum manis apabila mereka mengucapkan selamat pengantin baru kepadanya. Seeloknya, dia mengambil keputusan mendiamkan diri supaya tidak terlepas cakap.

Zarra melabuhkan punggung di kerusi sebaik saja majlis selesai dan tetamu juga sudah beransur pulang. Kasut tumit tinggi dibuka lalu diletakkan di tepi. Lenguh sungguh.

“Mama dengan papa balik dulu. Jaga diri baik-baik ya sayang. Dengar cakap suami.” Pesan Puan Dayana. Kepala Zarra diusap perlahan.

“Ingat tu Zarra. Malam ni jangan kunci diri dalam bilik air pula. Kesian suami Zarra.” Zaklikha tersengih nakal. Zafran hanya ketawa besar mendengar kata-kata Zalikha.

“Mengarut! Pergi balik! Menyibuk je dekat sini.” Marah Zarra.

Mereka yang berada di situ ketawa melihat gelagat tiga adik-beradik itu. Harriz pula hanya tersenyum. Masih kekok berada dengan keluarga barunya.

Bye Zarra! Kami balik dulu.” Zafran melambai. Encik Zaril yang melihat wajah Zarra sudah mencuka terus mencuit Zafran supaya mendiamkan diri. Zarra memeluk tubuh Puan Dayana dengan erat. Kemudian, tubuh papa pula didakap. Selesai adegan bersalam-salaman, membalas pelukan, mereka meminta diri untuk pulang. Zarra memandang mereka dengan pandangan yang sayu.

Dia menepuk pipi berulang kali. Masih tidak percaya dia sudah berkahwin. Lima panggilan tidak berjawab daripada Nadia membuatkan dia menelan liur. Pasti banyak soalan yang akan ditanya Nadia mengapa dia tidak menjawab panggilan. Satu keluhan dilepaskan.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.