Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,670
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Di rumah Nadia, suasana riuh-rendah mengalahkan di pasar malam. Padahal hanya mereka berempat saja yang rancak berbual. Maklum lah, suara masing-masing amat kuat. Zarra memerhati saja Nadia yang tekun membuat kek cawan. Khairil dan Ikhwan pula bukannya membantu, sebaliknya menganggu konsentrasi Nadia.

Wajah lelaki yang bernama Harriz terbayang-bayang di ruang mata. Masih tidak percaya lelaki itu sanggup datang bersama keluarga semata-mata untuk meminangnya yang masih belum lepas SPM. Memasak pun dia tidak tahu. Macam mana nak mendirikan rumah tangga? Ini semua mengarut.

Zarra memang tidak dapat menafikan Harriz memang kacak. Tinggi boleh dikatakan lebih tinggi daripada abangnya, Zafran. Harriz mempunyai susuk tubuh yang bias mencairkan semua perempuan. Tidak kurus dan tidak terlalu tegap. Sedang-sedang sahaja. Tapi, mana boleh dia terima lelaki itu untuk menjadi suami. Mama pun satu. Tiba-tiba saja tidak kisah dengan pinangan tersebut. Padahal awal-awal lagi mama sudah berpesan supaya dia tidak bercinta di bangku sekolah.

Satu tamparan singgah di bahu Zarra. Dia tersentak dari lamunan lalu memandang tepat wajah Nadia di sebelah. Zarra tersenyum hambar.

“Kenapa kau lain macam je petang ni? Ada benda yang aku tak tahu ke?” Nadia bertanya. Kek cawan sudah selamat dimasukkan ke dalam ketuhar untuk dibakar. Aneh juga dia kerana Zarra tidak berceloteh seperti selalu. Cuma sesekali saja dia menyampuk perbualan mereka bertiga.

“Ha’ah lah Zarra. Kau PMS ke?” tanya Ikhwan lalu tersengih.

Zarra menampar kuat belakang Ikhwan. Dia menjeling Ikhwan yang menyeringai kesakitan. “PMS apa benda kau ni? Gatal sangat kan kau sekarang.”

“Mana lah tahu kalau betul kan.” Khairil pula menyampuk. Dia tersenyum meleret.

Zarra menjeling tajam pada mereka berdua. Gatal semacam je budak dua orang ni. Getusnya. “Korang tak payah nak mengarut. Ada juga yang balik rumah kejap lagi.”

“Ish! Duduk diam-diam boleh tak? Buatnya si Zarra ni mengamuk tak pasal-pasal esok ada yang datang sekolah dengan mata lebam.” Nadia mencubit perlahan lengan Ikhwan yang galak ketawa. Apa yang kelakar pun dia tidak tahu.

Zarra sudah naik angin. Dia sudah lah ada masalah sekarang ni. Kawan-kawannya boleh sesedap hati gelak ketawa. Dia bangun dari kerusi dan beg sandang yang diletak di atas meja diambil.

“Nak pergi mana Zarra?” Nadia mengejar Zarra yang laju melangkah ke muka pintu. Ikhwan dan Khairil diam tidak berkata apa-apa.

“Aku nak balik. Sakit hati je aku duduk sini lama-lama. Cupcake tu esok kau bawa pergi sekolah. Jangan bagi budak dua orang tu makan banyak sangat. Dah la tak menolong. Memekak je lebih.” Zarra bersuara kasar. Mood nya memang sudah melayang dibawa angin.

“Awal lagi lah Zarra. Baru pukul 5.30 petang. Temankan lah aku kat sini.” Nadia menarik tangan Zarra supaya masuk semula ke dalam rumah. Ini semua gara-gara mamat dua orang tu lah. Tak pasal-pasal Zarra naik angin.

“Esok kita jumpa dekat sekolah. Jangan lupa suruh budak dua orang tu balik. Buat menyemak rumah kau je diorang tu ada. Aku balik dulu. Assalamualaikum.” Zarra menapak dengan laju ke arah basikal yang diletak di garaj rumah Nadia. Sekejap sahaja, kelibat Zarra sudah tidak kelihatan. Laju sungguh dia mengayuh basikal pulang ke rumah.

Nadia mendengus. Dia bercekak pinggang. Dipandangnya Ikhwan dan Khairil silih berganti. Kalau boleh dimakan, sudah lama dia panggang dua orang kawannya hidup-hidup. Gara-gara mereka juga lah Zarra tidak dapat menjamah bakso buatan bibik. Memang menimbulkan kemarahan sungguh.

“Puas hati buat Zarra balik macam tu je?” tanya Nadia dengan kasar. Telefon bimbit yang dipegang diletak di atas meja. Sempat dia menolak perlahan kepala Ikhwan dan Khairil. Geram sungguh.

Sorry lah babe. Mana nak tahu mood dia memang zero hari ni.” Jawab Ikhwan dengan perlahan. Takut dimarahi Nadia.

“Korang ni memang dah lama tak makan tangan aku agaknya. Korang tunggu sini sampai cupcake ni siap. Lepas tu aku nak korang hantar cupcake dengan bakso ni ke rumah Zarra. Kesian kawan kita tu tau. Entah apa lah masalah dia.” Arah Nadia. Dia mengambil bekas untuk mengisi bakso untuk dihantar ke rumah Zarra. Bagus juga ada mamat berdua ni.

“Baik lah.” Hampir serentak Ikhwan dan Khairil menjawab.

Nadia tersenyum puas. Dia mengangguk tanda berpuas hati dengan jawapan yang diberi. Bukan senang dia dapat mengarah mereka berdua sesenang begini. Selalunya dia yang dibuli. Biar mereka tahu rasa.




“Zarra tak nak kahwin. Mama dengan papa ni dah kenapa? Dulu mama juga yang tak bagi Zarra berkawan serius dengan lelaki disebabkan nak SPM hujung tahun ni. Sekarang? Mana pergi kata-kata mama yang serius tu? Dah dibawa angin?” bentak Zarra. Sejak dia pulang dari rumah Nadia, mama tak habis-habis bertanya jawapan daripadanya sama ada dia menerima peminangan itu atau pun tidak.

Puan Dayana memandang suaminya dengan muka yang kelat. Zarra memang benar-benar mengamuk malam ini. Encik Zaril membetulkan duduk sebelum membalas kata-kata Zarra.

“Papa dengan mama pun tak sangka semua ni jadi macam ni. Ada sebab kenapa kami terima pinangan dari Aunty Naz. Hujung bulan ni mama dengan papa kena balik ke Jordan. Tok Abah tak berapa sihat. Kami kena jaga Tok Abah dekat sana. Takkan Zarra nak ikut kami ke Jordan sedangkan Zarra ada peperiksaan besar tahun ni. Dah lama papa fikir macam mana nak pastikan Zarra tinggal dekat sini tanpa kami. Bila petang tadi mereka datang nak masuk meminang Zarra, mama dan papa dah berbincang. Ada bagusnya Zarra kahwin dengan Harriz. Ada orang akan jaga Zarra sepanjang mama dengan papa di Jordan.” Terang Encik Zaril panjang lebar.

Puan Dayana mengangguk membenarkan kata-kata yang keluar dari mulut suaminya. Wajah Zarra yang merah menahan marah dipandang lama. Dia sangat berharap Zarra dapat menerima apa yang suaminya terangkan sebentar tadi. Bukannya mereka ingin menghancurkan masa depan Zarra. Ini semua sudah ketentuan yang ditetapkan Allah. Mereka pun tidak menyangka semua ini akan berlaku secepat ini.

Zarra kebingungan. Bila masa pula Tok Abah sakit? Kenapa dia langsung tidak tahu semua mengenai Tok Abah dan rancangan mama dan papa untuk ke Jordan. “Lama sangat ke mama dengan papa nak pergi Jordan? Setahun? Dua tahun? Masa depan Zarra panjang lagi, mama. Ada tujuh bulan lagi nak SPM. Takkan Zarra dah kena jadi isteri orang. Mengarut!” Zarra menjawab lalu tersenyum sinis. Entah apa yang rasuk mama dan papa pun dia tidak tahu.

“Kami akan pergi selama tiga bulan. Papa pun sebenarnya ada hal yang nak kena selesaikan dekat sana. Mama pun tak sanggup nak lepaskan Zarra secepat ni. Tapi, apa yang mama boleh buat? Kita tak ada keluarga dekat sini. Semua nya jauh-jauh.” Puan Dayana menjawab. Sakit kepala memikirkan semua ini.

Zarra menggeleng tanda tidak setuju dengan kata-kata Puan Dayana. Senang sungguh mama menyuruhnya berkahwin. Dia memasak pun tidak reti? Ini pula ingin menguruskan rumah tangga dan suami.

“Zarra boleh duduk rumah Nadia. Tiga bulan bukannya lama mana. Pejam celik, pejam celik dah sampai tiga bulan. Tak payah lah suruh Zarra kahwin. Angah kan ada? Takkan Angah nak ikut mama dengan papa ke Jordan?” Zarra masih tidak berpuas hati.

Encik Zaril melepaskan keluhan. Zarra memang keras kepala tidak mahu mempercayai cakap mereka. Ada saja soalan yang dia bertanya. “Papa tak suka Zarra duduk rumah orang. Takkan nak ganggu Nadia pula? Angah kena praktikal di Pulau Pinang dua bulan. Memang dia tak akan balik ke rumah selalu. Ini saja penyelesaian yang ada. Zarra kena tahu, semua ni bukan untuk bebankan Zarra. Papa dan mama dah banyak kali fikir hal ni.” Dia cuba memujuk Zarra yang mempamerkan riak wajah yang bosan. Memang perlu banyak bersabar dengan tingkah puteri yang satu ini.

“Ni bukan zaman dulu papa, mama. Zarra boleh duduk sorang-sorang dekat rumah. Sesekali boleh minta Nadia temankan. Zarra bukannya budak kecil lagi yang kena ikut cakap papa dengan mama. Zarra ada hak untuk tentukan masa hidup Zarra. Bayangkan budak berumur tujuh belas tahun berkahwin dan bersekolah. Tak kelakar ke? Nanti orang label Zarra ni gatal sangat nak bersuami.” Hambur Zarra. Geram bila alasannya tidak diterima mama dan papa. Apa lagi yang dia boleh buat?

Puan Dayana sudah tidak ingin berbuat apa. Wajah suaminya dipandang sekilas. Kelihatan suaminya juga buntu bagaimana mahu memujuk Zarra. Memang ini soal yang serius. Apa salahnya budak berusia tujuh belas tahun berkahwin? Dia dulu pun berkahwin sebaik saja tamat peperiksaan SPM. Kemudian, dia menyambung pelajaran di peringkat diploma. Boleh pun dia mengurus rumah tangga dan pelajaran dalam masa yang sama. Tiada masalah sama sekali. Perkahwinannya juga diatur keluarga. Dia pernah merasa bagaimana perasaan Zarra sekarang ini.

“Mama tahu Zarra dah besar panjang. Sebab tu mama dengan papa buat keputusan ni. Kami tak mahu Zarra duduk sorang-sorang dekat sini. Tak ada siapa yang nak jaga. Zarra tu perempuan. Nak jaga anak perempuan ni bukannya senang. Kami nak yang terbaik untuk Zarra. Bukannya nak membebankan Zarra. Lagi pun kalau Zarra dah kahwin, suami Zarra boleh jaga Zarra dengan baik. Silap hari bulan dia boleh ajar Zarra dalam subjek yang Zarra tak faham.” Ucap Puan Dayana.

Zarra menghamburkan tawa. Terbahak-bahak dia ketawa sebaik mendengar kata-kata yang keluar dari mulut mama. Encik Zaril kaget melihat Zarra yang tiba-tiba ketawa bagaikan mereka sedang membuat lawak.

“Kenapa ni Zarra? Mama kan tengah serius. Behave please.” Ujar Encik Zaril tegas.

“Suami Zarra nak ajar Zarra dalam subjek yang tak faham? Kalau macam tu baik mama dengan papa cari cikgu tusyen je. Lagi bagus.” Zarra cuba lagi untuk mengelak.

Puan Dayana beristighfar. Susah betul nak meyakinkan anak dara bongsunya. Dia bukannya suka-suka mengenai soal ini. Dia benar-benar serius. “Mama dah tak boleh nak berkrompomi lagi dah dengan Zarra. Zarra kena setuju untuk berkahwin. Zarra kena ingat. Mama dan papa akan ke Jordan selama tiga bulan. Berkemungkinan besar kami akan duduk dengan lebih lama dekat sana untuk jaga Tok Abah disebabkan Mak Ngah Lisa kena habiskan pengajian dia dulu. Kemudian, baru kami akan balik ke sini. Silap hari bulan, Zarra dah habis SPM pun, kami tak balik lagi ke sini.”

“Papa… Mana boleh buat Zarra macam ni. Ingat ni drama swasta ke? Tak logik dek akal betul.” Zarra memeluk tubuh. Wajah mama dan papa dipandang silih berganti.

“Kenapa pula tak logik? Setahu papa, dekat sekolah Zarra dah ada pelajar yang berkahwin kan? Zarra sendiri yang bagitahu papa. Semua ni dah normal.” Jawab Encik Zaril ringkas tetapi tegas.

Zarra terdiam. Memang betul ada beberapa orang pelajar di sekolahnya sudah berkahwin. Tapi mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Bukannya macam dia. Dipaksa berkahwin disebabkan mama dan papa ingin ke Jordan. Stress! Macam mana dia akan berhadapan dengan kawan-kawan dan guru-guru di sekolah jika mereka tahu dia akan berkahwin? Malunya. Bukannya dia tidak tahu sikap pelajar-pelajar di SMK Seri Kiara yang suka bertanya dan menyebar cerita dengan sekelip mata.

Tapi.. Apa lagi yang dia boleh lakukan? Mama dan papa berkeras mahu dia berkahwin. Sedegil-degil dia, dia tidak sanggup melawan cakap mama dan papa. Boleh jadi anak derhaka nanti. Bila difikir-fikir, kalau dia duduk sendirian di rumah siapa yang mahu memasak untuknya? Dia nak memasak? Kirim salam saja lah. Kalau dapat menjadi menantu Puan Sri dan Tan Sri, alangkah senangnya hidup.

“Zarra kena kahwin juga ke? Tak kahwin tak boleh?” Zarra cuba berkompromi.

“Zarra kena kahwin. Muktamad.” Puan Dayana memberi kata putus. Encik Zaril di sebelah mengangguk tanda setuju.

Zarra menundukkan kepala. Oh my! Kena kahwin juga hujung bulan ni. Ini bermakna lagi dua minggu dia akan berkahwin dengan anak aunty Naz yang bernama Harriz. ‘Harriz? Takkan tu je nama dia. Umur dia pula berapa? Kalau muda, boleh lagi aku pertimbangkan. Kalau tua? Ish.. Takkan dah tua sebab muka dia muda lagi.’ Getus Zarra di dalam hati. Fikirannya lancer berfikir.

Spontan dia memanggung kepala. “Apa nama penuh dia? Umur? Kerja apa? Dekat mana?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Zarra. Wajahnya diseriuskan.

Encik Zaril rasa ingin ketawa melihat Zarra yang seakan risau sangat mengenai lelaki yang akan berkahwin dengannya. Bukan tidak pernah jumpa. Baru petang tadi mereka berjumpa. Dia mencuit lengan Puan Dayana. Puan Dayana yang sibuk membalas SMS rakan sekerjanya menoleh. “Kenapa?” dia bertanya.

“Anak awak tanya pasal Harriz tu. Awak dengar ke tidak?”

Puan Dayana tersenyum. “Mestilah dengar. Bertanya macam peluru berpandu yang keluar. Tak ada noktah langsung. Betul Zarra nak tahu?”

Zarra mengangguk dengan laju. Dia tak peduli sama sekali jika mama dan papa mengatakan dia gelojoh asalkan dia tahu latar belakang bakal suaminya. Bakal suami? Zarra rasa ada tulang yang terlekat di tekak apabila menyebut bakal suami. Meremang bulu roma.

“Nama bakal menantu mama, Harriz Afham bin Shakir. Tak tua sangat.. Tak muda sangat.. 26 tahun. Sebenarnya kalau Zarra nak tahu, dia baru pulang dari Dubai lepas habiskan master dalam jurusan Sains dan Biologi di sana. Bakal cikgu ni. Sesuai sangat dengan Zarra.” Ucap Puan Dayana sambil tersenyum manis.

“26 tahun? Perbezaan umur Zarra dengan dia sembilan tahun. Tak tua mama cakap?” Zarra spontan bangun dari sofa. Boleh dikatakan macam bapa saudara dan anak saudara. Bayangkan kalau dia sudah berumur tiga puluh tahun. Sudah tentu umur lelaki itu mencecah 39 tahun. Hampir ke angka 40-an. Stress nya!

“Zarra dah setuju kan? So… Hujung bulan ni kahwin ya sayang...” Puan Dayana tersenyum meleret. Encik Zaril menunjukkan ibu jari tanda syarat bagus kepada Zarra. Dia bangun dari sofa untuk ke dapur. Kering tekaknya kerana gigih berdebat dengan Zarra. Puan Dayana turut mengekori langkah suaminya ke dapur.

Iphone 5s di dalam genggaman di lempar ke atas sofa. Remote TV dan Astro di atas meja diambil. Dengan kasar dia menekan butang power. Sekejap sahaja ruang tamu sudah bingit dengan suara dari rancangan yang disiarkan di Astro. Sengaja dia menaikkan volume suara tanda protes. Laungan mama menyuruhnya memperlahankan volume tidak dihiraukan.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.