Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,654
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

Zalikha membantu Zarra mengemas beg pakaian. Lima hari Zarra berada di hospital. Hari ini baru dia dibenarkan pulang. Harriz pula awal-awal lagi sudah beritahu tidak dapat menjemput Zarra kerana ada mesyuarat di sekolah. Pada awalnya, merajuk juga Zarra. Mujur Harriz pandai memujuk. Selesai satu masalah.

“Kakak….” Panggil Zarra.

Zalikha memanggungkan kepala. Dia memandang tepat wajah Zarra yang masih cemberut. “Kenapa? Lapar?” tanya Zalikha.

“Bukan laa. Harriz tu sejak dah mula mengajar bukan main sibuk lagi. Dulu dia layan Zarra siang malam. Sekarang, malam baru nampak muka.” Rungut Zarra.

“Suami Zarra tu kena cari nafkah. Dia kena la berusaha. Lagi pun dia baru mula mengajar dekat sekolah tu. Banyak kerja dia kena buat. Tak akan dia nak ambil cuti jaga Zarra. Baru mula kerja tak sampai seminggu dah nak cuti? Apa pula kata cikgu dekat sekolah tu.” pujuk Zalikha. Dia mengusap kepala Zarra dengan penuh kasih sayang.

Zarra termenung sejenak. Macam mana kalau nanti Harriz sudah tidak layan dia macam dulu? Risaunya!

“Termenung apa lagi? Tak nak balik?”

Teguran Zalikha mencantas lamunannya. Zarra melepaskan keluhan.

“Kakak, singgah KFC dulu. Teringin nak makan coleslow.” Pinta Zarra.

“Coleslow lagi? Dasar hantu sayur!” usik Zalikha lalu tertawa kecil.

“Kakak jangan usik Zarra. Mood Zarra tak baik ni.” Tiba-tiba saja dia terasa hati melihat Zalikha ketawa begitu.

“Opss. Sorry.” Jawab Zalikha perlahan. Zarra sudah merajuk nampaknya. Oh Harriz! Cepat lah pulang. Isterimu sedang merajuk dan naik angin! Getus Zalikha di dalam hati.

Dia berjalan laju mengejar Zarra yang sudah jauh di hadapan. Memang marah benar nampak gayanya. Tidak pandang kiri kanan. Laju saja Zarra berjalan meninggalkan Zalikha yang terkial-kial mengusung beg pakaiannya.

Zarra menutup pintu kereta dengan kasar. Boleh jahanam pintu kereta dek kelakuan Zarra yang tidak semenggah itu. Zalikha menarik nafas cuba bersabar dengan kerenah Zarra. Entah angin monsun apa yang melanda Zarra pun dia tidak tahu. Berangin semacam saja.

Let’s go! Kita pergi makan. Nyum! Nyum!” ucap Zarra seraya menghidupkan enjin kereta.

“Tak payah. Zarra nak balik.” Dingin Zarra menjawab. Pandangannya difokuskan melihat di hadapan. Langsung tidak memandang wajah kakaknya.

Automatik dahinya berkerut. Tadi bukan main beria-ia lagi Zarra mahu ke KFC. Sekarang, bertukar angin pula. “Okey… Kita balik.” Zalikha memberi persetujuan akhirnya.

Tidak lama kemudian, laju kereta milik Zalikha meluncur di jalan raya. Sesekali dia memandang ke tempat duduk sebelah. Zarra masih dengan wajahnya yang masam mencuka mengalahkan orang baru lepas makan cuka.

“Balik rumah mama nak?” ajak Zalikha.

Kedengaran Zarra mengeluh keras. “No! Balik rumah Zarra. Rumah mama tak ada orang pun kan.” Tegas dia menjawab.

“Tak payah lah nak berangin sangat. Dah kenapa kau ni dik?” tegur Zalikha. Nada suaranya juga sedikit meninggi.

Zarra memandang tepat wajah Zalikha yang serta merta bertukar menjadi serius. “Turunkan Zarra dekat tepi jalan ni.” Pintanya serius.

“Hah? No way! Kakak akan hantar Zarra sampai depan pintu rumah.”

“Zarra cakap turunkan Zarra tepi jalan ni! Susah sangat ke kakak nak faham?” bentaknya kasar. Memang mood dia sudah melayang terbang di bawa angin. Teruk betul angin Zarra. Datang bulan agaknya.

“Kenapa degil sangat ni? Nak merajuk apa sampai macam ni sekali? Takkan sebab

Harriz tak datang jemput, Zarra nak naik angin.”

“Cepat lah! Kakak tak payah nak membebel. Lepas ni silakan terus balik Penang.” Ujar Zarra lagi. Nafasnya sudah turun naik dengan laju.

Zalikha mengalah akhirnya. Sikap Zarra yang satu ini memang sejak dari dulu lagi tidak boleh diubah. Kalau merajuk, disuruhnya turunkan dia di tepi jalan. Ikut perangai siapa lah agaknya. Zalikha memberhentikan kereta betul-betul di hadapan tempat menunggu teksi supaya mudah Zarra menggunakan perkhidmatan itu untuk pulang ke rumah.

Dengan pantas Zarra membuka pintu kereta lalu melangkah keluar. Beg pakaian diambil lalu terus menapak ke tempat duduk yang disediakan di tempat menunggu teksi. Dia langsung tidak memandang Zalikha yang sejak tadi memanggilnya. Memang marah benar Zarra.

“Sakit jantung aku dengan budak Zarra ni. Apa aku nak jawab dengan si Harriz ni. Nasib kau lah Harriz kahwin dengan budak tak cukup umur macam ni. Tak matang. Ikut suka dia je nak buat apa.” Omelnya sendirian. Dia masih belum beredar dari situ untuk memastikan keadaan Zarra baik-baik saja. Sudahlah gadis itu baru keluar dari hospital.

Pantas dia mendail nombor telefon Harriz untuk memaklumkan keadaan yang tidak berapa bagus ni. Sekejap saja, panggilannya sudah dijawab.

“Assalamualaikum Harriz. Dekat sekolah lagi ke sekarang ni?” terus dia bertanya. Tidak ada basa-basi.

“Baru sampai rumah. Masuk dalam rumah pun belum. Kenapa?” kedengaran suara Harriz di hujung talian.

“Alaaa…. Macam mana nak bagitahu ek..Macam nil ah. Zarra buat hal. Merajuk teruk sangat sebab awak tak datang jemput dia kat hospital. Memang sangat teruk dia merajuk. Sampaikan suruh kakak turunkan dia dekat tepi jalan.” Perlahan saja suara Zalikha sewaktu menyebut ‘tepi jalan’.

“Hah? Apa pelik sangat dia merajuk. Kakak tinggalkan dia dekat mana sekarang ni?” kuat Harriz bersuara. Bingit telinga Zalikha dek penangan suara Harriz.

“Dekat perhentian teksi. Area rumah korang juga ni. Tapi jauh lagi dari rumah. Ada la dalam lima belas minit. Datang sekarang ambil Zarra. Petang macam ni nampak gaya macam tak ada teksi je.” Beritahu Zalikha seraya menggesa.

“Eh budak bertuah ni. Boleh dia letak telefon waktu aku tengah bercakap. Laki bini perangai dua kali lima. Elok sangat lah tu.” omelnya apabila Harriz mematikan talian. Memang dia perlu bersabar banyak hari ini.

Sebal sungguh hati menunggu seorang diri di tempat menunggu teksi yang berhadapan mini market. Sejak tadi ada saja orang yang keluar masuk mini market itu. Beli apa pun Zarra malas mahu ambil tahu. Bukannnya dia tidak perasan ada saja mata yang memandangnya dengan pandangan yang aneh. Mungkin mereka pelik melihat dia duduk di situ sendirian. Tambahan pula ada beg pakaian di sisi. Jangan orang fikir dia lari dari rumah sudah lah.

Hampir dua puluh minit dia menunggu di situ. Kelibat teksi yang lalu langsung tidak kelihatan. Macam mana dia nak pulang ke rumah. Jam pula sudah menunjukkan hampir lima petang. Terbit pula rasa kesal merajuk dengan Zalikha. Kalau dia tahu hari ini tidak ada teksi yang lalu, memang dia tidak akan merajuk.

Nak hubungi Harriz? Lagi lah dia tidak mahu. Nanti apa pula kata lelaki itu. Tak pasal-pasal kena marah. Tak sanggup rasanya. Sudah lah dirinya sudah penat. Mana tidaknya, baru saja keluar dari hospital selepas hampir seminggu berkampung di situ.

Bunyi hon kereta memang membuatkan jantungnya seakan mahu terlompat keluar. Kus semangat! Dia mendengus geram. Macam ni lah orang yang tak mementingkan sekeliling. Ikut suka hati saja dia hon bila-bila masa. Kawasan itu bukannya sibuk pun. Geram betul!

“Jom balik.”

Tiba-tiba dia mendengar suara dari belakang. Macam kenal saja suara itu. Spontan dia berpaling ke berapa. Jantungnya seakan terhenti buat beberapa saat. Macam mana pula Harriz boleh berada di sini. Oh! Jadi, Harriz lah yang menekan hon sesuka hati tadi.

“Macam mana abang boleh ada dekat sini?” tergagap dia bertanya. Macam pesalah bertemu dengan polis lagaknya.

“Abangkan banyak spy. Buat apa beria-ia nak turun dari kereta dan tunggu tepi jalan ni sorang-sorang? Teringin nak kena culik?” terus saja Harriz bertanya. Geram pun ada dengan tingkah Zarra. Memang dia tidak fikirkan benda lain lagi selain Zarra. Risau di hati hanya Tuhan saja yang tahu.

Zarra menjeling. Ini pasti lain tidak bukan kakak yang beritahu. Memang nak kena kakak ni dengan aku! Getusnya.

“Kakak mengadu apa lagi dengan abang?” sinis dia bertanya.

“Tak mengadu apa pun. Kakak suruh abang datang sini ambil Zarra. Jom, kita balik. Dah lewat petang ni. Abang penat sangat. Baru balik sekolah terus datang ambil Zarra dekat sini.” Keluh Harriz seraya memujuk.

“Zarra tak suruh abang ambil Zarra dekat sini pun kan? Kalau penat, abang balik lah. Biar Zarra naik teksi je balik rumah.” Angkuh dia menjawab. Tidak perasan agaknya raut wajah Harriz yang lesu.

Apabila menyedari dia tersalah kata, lidah terus terasa kelu. Macam mana pula dia boleh merungut penat di hadapan isteri yang sedang merajuk. Lagi teruk lah merajuk Zarra.

“Jom, sayang. Intan payung emas pertama. Berlian dan mutiara. Kita balik ya. Nanti sambung merajuk dekat rumah pulak ya.” Terus dipaut lengan Zarra dan menarik perlahan gadis itu supaya masuk ke dalam kereta.

Makin kuat Harriz menarik Zarra, lagi kuat gadis itu mengeraskan tubuh. Degil! Sudahnya, Harriz mencempung Zarra lalu dibaringkan Zarra di tempat duduk belakang. Puas hati. Biarlah apa orang sekeliling nak kata. Kalau tak dipaksa, sampai subuh pagi esok pun merajuk Zarra tidak sudah-sudah.

Di dalam kereta, Zarra tidak henti-henti mengomel. Sekejap dia kata lapar, kemudian, dia mengamuk semula. Pening Harriz melayan kerenah Zarra yang tidak ubah seperti anak kecil.

“Zarra ni PMS ke? Mengamuk tak tentu pasal ni.” Tegur Harriz apabila bebelan Zarra tidak henti-henti sejak tadi. Bingit telinganya.

“PMS?” Zarra bertanya semula. Suasana sepi seketika. “Ha’ah lah… Esok 25 Julai kan? Dah dekat tarikh bulan mengambang.” Dia menyambung semula kata-katanya.

“Oh… Patut lah…” perlahan Harriz bersuara.

“Ah! Tak peduli. Abang kena bawa Zarra pergi makan KFC malam ni. Tak peduli!” tiba-tiba Zarra membentak semula. “Tadi Zarra ajak kakak, tapi tup, tup.. Mood nak makan dah hilang. Sekarang ni, mood nak makan tu dah datang semula.” Tegas dia bersuara. Lagaknya persis ahli bahas mempertahankan hujah.

“Allahuakbar! Sabar je lah dengan budak tak cukup umur ni.” Kuat Harriz membalas kata-kata Zarra. Sudahnya, dibiarkan saja Zarra meroyan sendirian. Malas mahu melayan Zarra yang tidak henti mengomel.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.