Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,657
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Kelihatan Zarra sedang fokus menulis sesuatu. Lagu yang dipasang menerusi Iphone 5s memenuhi ruang bilik. Sesekali dia mengetuk pen di atas meja sebelum menyambung menulis. Hampir penuh satu muka surat kertas bersaiz A4 mempunyai hasil tulisan Zarra.

Setelah berpuas hati dengan apa yang ditulis, Zarra mendapatkan Harriz yang berbaring di katil yang leka menonton rancangan National Geoghrapic. Dia melabuhkan punggung di birai katil.

“Ehem!” sengaja dia berdehem dengan kuat.

Harriz memandang Zarra dengan pandangan yang kosong. Kemudian, dia memberi semula tumpuan terhadap rancangan yang ditonton. Zarra berdehem sekali lagi. Kali ini lebih kuat. Harriz menoleh lalu mengangkat kening tanda bertanya.

Sehelai kertas dihulur kepada Harriz. Dengan penuh tanda tanya Harriz mengambil kertas yang dipegang Zarra. Harriz memandang Zarra. Zarra membalas pandangan Harriz dengan mengerdip mata berulang kali.


SYARAT-SYARAT PERJANJIAN ZARRA DAN HARRIZ

1. Jangan ganggu hak privasi Zarra sebaik saja berpindah ke rumah mama pada esok hari bersamaan 28 Mac 2013.

2. Jangan kejut Zarra pada hujung minggu untuk disuruh mandi pada waktu pagi melainkan untuk menunaikan solat subuh.

3. Kita boleh tidur sekatil asalkan Encik Harriz tidak menganggu lena Puteri Zarra yang nyenyak. Jika Encik Harriz didapati menganggu ketenteraman Puteri Zarra, lantai atau pun sofa yang akan menjadi teman setia pada waktu malam. (Macam dalam drama petang-petang)

4. Pastikan hidangan yang berunsurkan sayur-sayuran dihidang setiap kali waktu makan. Tak ada hidangan wajib ini, Zarra mogok makan.

5. Hujung minggu diwajibkan membawa Zarra keluar membeli-belah atau pun bersiar-siar ke mana saja yang Zarra suka.

6. Perjanjian boleh diubah pada bila-bila masa di atas persetujuan Puteri Zarra.

7. Perjanjian nombor tiga akan dibatalkan setelah Puteri Zarra tamat sekolah.

Isteri mithali yang comel,

Zarra Arissa


Harriz menggeleng kepala setelah selesai membaca apa yang terkandung di dalam kertas. Sejak tadi dia cuba menahan tawa. Akhirnya, tawanya terburai. Sungguh-sungguh dia ketawa sehingga mata berair. Zarra melopong melihat Harriz yang beria-ia ketawa.

“Apa yang kelakar?” Zarra menyoal.

“Perjanjian nombor tiga dan tujuh paling kelakar.” Tawa Harriz masih bersisa.

Merah muka Zarra menahan amarah. “Hishh!” Zarra menjegilkan mata.

“Macam-macam lah Zarra ni. Nasib abanglah kahwin dengan budak kecik. Tak matang serba-serbi.”

Zarra mengajuk kata-kata Harriz dengan membuat memek muka yang entah apa-apa. “Simpan kertas ni elok-elok. Penat tau Zarra menulis dan memerah idea nak tulis semua ni. Buat homework pun tak susah macam ni.”

“Baik Puan Zarra. Tepi, tepi. Abang nak sambung tengok cerita ni. Kacau aja lah Zarra ni. Ambil ipad ni, main game.” Harriz menghulur ipadnya pada Zarra. Dia menolak Zarra supaya ke tepi.

Zarra mendengus. Dia melompat ke atas katil lalu berbaring di sebelah Harriz. Nak turun duduk melepak di ruang tamu pun masih ada sisa segan di dalam diri. Dia masih belum terbiasa. Sudahnya, dia mengikut saja kemana Harriz pergi waima ke dapur sekali pun.




Nadira yang baru pulang dari London mengipas-ngipas wajah menggunakan tangan. Bagasi diletakkan di muka pintu. Lehernya dipanjangkan mencari isi penghuni rumah. Senyap sunyi saja. Kereta semua ada di garaj. Dia menjongket bahu.

“Mak Siti!” laung Nadira. Kasut yang dipakai dibuka dan dibiarkan saja di hadapan pintu.

Terkedek-kedek Mak Siti berjalan ke ruang tamu sebaik mendengar ada yang memanggil namanya. Ganggu tugasan dia di dapur saja.

“Eh, Nadira dah balik. Er… Mana tudung Nadira?” tanya Mak Siti apabila melihat Nadira yang tidak bertudung. Sebelum ini dia langsung tidak pernah menanggalkan tudungnya. Serta-merta senyuman di bibir Mak Siti mati.

“Tak payah sibuk nak bertanya pasal saya. Umi dengan babah mana? Kenapa senyap-sunyi je rumah ni. Saya tengok kereta Harriz parkir dekat tempat lain. Dia balik ke?” Nadira melabuhkan punggung di sofa melepaskan penat.

Mak Siti mengeluh. Mengapa Nadira berubah terlalu dastik. Padahal tidak sampai setahun pun dia berada di luar negara. Nada percakapannya juga semakin kasar. Mana Nadira yang dulu? Macam mana penerimaan Puan Sri dan Tan Sri? Semua itu berlegar di benak fikirannya.

“Puan Sri ada dekat atas. Tengah berehat. Tan Sri awal-awal lagi dah keluar pergi jumpa kawan katanya. Harriz ada dalam bilik dengan….” Tiba-tiba Mak Siti terdiam. Nasib baik dia belum menghabiskan kata-katanya. Dia tidak boleh beritahu sendiri yang Harriz sudah berkahwin. Boleh kecoh nanti. Sudah lah Nadira langsung tidak dihubungi dan diberitahu soal ini. Biar Puan Sri dan Tan Sri saja yang beritahu.

“Boleh tolong ambilkan saya jus? Haus sangat-sangat ni. Malaysia sangat panas.” Nadira memberi arahan.

“Kejap ye. Mak Siti ambilkan.”

Puan Sri Nazrah yang terdengar suara orang berbual-bual di tingkat bawah menutup televisyen dan terus turun ke bawah. Sebaik saja anak kaki dipijak pada anak tangga terakhir, lidahnya kelu tiba-tiba. Nadira yang sedang duduk membaca majalah dipandang. Kemudian, baru dia tersedar sesuatu. Rambut Nadira berwarna keperang-perangan dan tudung juga tiada di kepala anaknya.

“Dah lama sampai?” tegur Puan Sri Nazrah.

Nadira memanggung kepala lalu tersenyum manis. Terus didakapnya tubuh Puan Sri Nazrah. Rasa rindu yang menebal dapat juga diubati. “Ada lah dalam sepuluh minit. Umi sihat?”

“Tadi sihat lah. Sekarang dah tak berapa nak sihat. Mana pergi tudung kamu? Kenapa rambut ni dah berkarat macam ni?” tanpa membuang masa, terus Puan Sri Nazrah bertanya. Hati nya terasa sakit melihat anak yang selama ini diberi didikan agama yang secukupnya berubah menjadi seperti ini.

“Umi… Dekat London tu tak ada langsung kawan-kawan Dira yang bertudung. Takkan Dira nak bertudung juga kot. Kolot lah umi. Dekat sana semua nya bebas. Bila pakai tudung, orang akan pandang lain macam. Jadi… Dira buat keputusan untuk tak bertudung. Lagi pun, bukannya salah besar. Dira tak tinggal solat macam orang lain walaupun tak bertudung.” Jawab Nadira selamba. Jus oren dihirup untuk menyegarkan tekak.

Puan Sri Nazrah beristighfar panjang. “Umi tak ajar Dira buat macam ni. Memang Dira solat cukup lima waktu. Tapi, menutup aurat tu wajib. Kenapa dengan kamu ni, Dira? Tak malu ke berubah macam ni?”

“Nak malu buat apa? Diri Nadira sendiri. Bukannya Dira guna diri umi pun.” Nadira bersuara lantang.

“Jangan tinggi suara dengan umi. Baru balik sini tak sampai sehari, kamu dah berani nak bentak-bentak umi. Suka hati kamu lah. Apa-apa yang jadi, jangan libatkan umi dengan babah. Dah pandai sangat buat keputusan kan? Terserah kamu.” Puan Sri Nazrah bangun meninggalkan Nadira yang bereaksi selamba mendengar bebelannya.

Ingatkan boleh lah dia berbual panjang dengan anak sulungnya yang baru pulang ke Malaysia. Sekarang, buat dia sakit hati pula. Bagaimana Nadira ingin mengurus semula butik-butik miliknya di Kuala Lumpur? Malu dia ingin berhadapan dengan semua orang. Anak yang dulunya bertudung litup sekarang sudah tidak bertudung.

“Kolot.” Getus Zarra. Dia menjeling Puan Sri Nazrah yang berlalu menuju kedapur. Majalah dicapai lalu diselak dengan kasar.




Tekak yang kering meminta-minta air sejak tadi untuk disegarkan. Zarra memandang Harriz yang sudah lena. Bukannya dia yang menonton televisyen, sebaliknya televisyen yang menontonnya. Digaru kepala yang tidak gatal. Ingin turun seorang diri ke dapur, segan pula.

“Encik Harriz… Bangun lah. Dah pukul tiga petang ni.” Zarra mencucuk-cucuk pipi Harriz dengan jari telunjuknya. Bahu Harriz, ditepuk perlahan supaya lelaki itu bangun. Namun, masih tidak berhasil.

Sudahnya, digeletek pinggang Harriz dengan kuat sehingga Harriz menjerit terkejut. “Zarra buat apa ni?” soal Harriz dengan mata yang masih belum terbuka.

“Bangun lah… Teman Zarra pergi minum dekat dapur.” Lengan Harriz ditarik supaya suaminya bangun.

“Pergi je lah. Bukannya ada hantu siang-siang macam ni. Mak Siti kan ada dekat dapur tu.” Harriz membalas. Ditarik comforter sehingga paras pinggang. Dia membetulkan pembaringan supaya lebih selesa.

“Tak kira! Abang kena temankan Zarra. Zarra tak biasa lagi dekat rumah besar ni. Kalau ada orang culik Zarra macam mana?” Zarra masih tidak berputus asa.

“Siapa pula yang nak culik Zarra. Rumah ni tak ada penculik pun.” Jawab Harriz.

“Tak peduli abang nak cakap apa pun. Bangun cepat!” Dengan sekuat tenaga Zarra menarik tangan Harriz supaya dia bangun dari tidur.

“Ye lah, ye lah. Nak tidur pun tak senang dapat isteri yang tak reti nak diam lima minit. Ada je benda yang nak bercakap. Sepanjang abang tidur, dah berapa kali Zarra kacau.” Bentak Harriz. Comforter dicampak ke tepi. Dia masuk ke dalam bilik air untuk mencuci muka.

Zarra mengikut Harriz sehingga ke dalam bilik air. Dia setia menunggu Harriz mencuci muka dan menggosok gigi. Diperhati saja perbuatan Harriz sehingga selesai.

“Abang masuk toilet pun Zarra ikut. Macam-macam lah. Kalau abang lepaskan hajat tadi macam mana? Nak tunggu juga dalam toilet tu?” ujar Harriz. Wajah yang basah dilap menggunakan tuala.

“Zarra ni bukan lah tak cerdik. Zarra keluar lah kalau abang nak melampiaskan hajat yang terpendam tu.” Jawab Zarra selamba.

“Menjawab, menjawab.” Balas Harriz.

“Dah abang tanya, Zarra jawab lah. Nanti kata Zarra bisu pula.” Dia tersengih lagi.

“Tadi kata haus kan? Boleh pula pot pet pot pet. Tak haus dah?”

“Eh… Mana boleh tak haus. Cepat lah..” Dia menarik tangan Harriz supaya keluar dari bilik. Dengan malas Harriz melangkah menuruni tangga. Rasa mengantuk yang masih bersisa, cuba dilawan.

“Harriz!” tegur Nadira.

“Eh, kakak. Bila balik?” soal Harriz sebaik melihat Nadira yang duduk di sofa. Zarra disebelah dipandang sekilas. Mudah-mudahan kakak tak banyak soal. Getus Harriz.

“Siapa kat sebelah tu? Mesra semacam je? Dah pandai bawa balik perempuan ke rumah?” Nadira tersenyum sinis. Tadi bukan main lagi umi marah apabila dapat tahu di sudah tidak bertudung. Takkan lah Harriz bawa balik perempuan, umi tak berkata apa-apa.

“Ni Zarra. Isteri Harriz.” Jawab Harriz ringkas tetapi mampu membuatkan Nadira mencerlung tajam ke arah mereka. Zarra menelan liur melihat Nadira yang memandangnya tanpa berkelip.

Nadira bangun dari sofa dan melangkah mendekati mereka. Dia memeluk tubuh dan memandang Zarra dari atas hingga ke bawah. “Dah kahwin? Kenapa kakak tak tahu? Dah pandai nak rahsiakan semua ni dari kakak? Umi pun tak bagitahu apa-apa. Hebat adik kakak sekarang ni.”

“Nak bagitahu kakak? Dah berpuluh kali Harriz call, tapi langsung tak berjawab. Kakak pun apa kurangnya. Kenapa rambut ni berkarat? Air dekat London tu dah tak bersih?” Harriz menjawab sambil tersenyum sinis. Dipaut bahu Zarra supaya isterinya itu bertenang. Dia sudah perasan riak wajah Zarra yang muram apabila kakak nya memandang Zarra seolah-olah ingin ditelannya Zarra.

“Wow! Harriz pun dah pandai nak marah-marah kakak. Hmmmm. Wife Harriz ni kerja apa? Umur berapa?” Nadira bertanya.

Harriz tersenyum seketika memandang Nadira yang kelihatan begitu berminat untuk mengetahui semua tentang Zarra. “Tujuh belas tahun.” Jawabnya ringkas.

Nadira terpempan. Matanya membulat memandang Harriz dan Zarra. “What? Hey, jangan buat lawak lah Harriz. Tak ada perempuan lain ke nak dijadikan isteri. Takkan budak sekolah macam ni. Entah-entah budak ni saja nak gunakan Harriz. Kau nak duit ke? Sebab tu kahwin dengan adik aku?” tiba-tiba Nadira menyergah Zarra.

Zarra yang kaget dengan sergahan Nadira terus memaut lengan Harriz. Mengalahkan singa betina perempuan di hadapannya sekarang ini.

Behave yourself, kakak. Zarra bukannya dari keluarga yang miskin yang macam kakak fikirkan. Dia dah cukup serba-serbi. Itu lah pasal. Sebab tak datang wedding Harriz, kakak dah ketinggalan semua pasal ni. Lain kali, orang call tu jawab. Harriz minta, jangan nak tuduh melulu isteri Harriz. Kakak pun dah makin tak betul sekarang ni. Tudung hilang entah ke mana.” Balasnya tegas. Rasa hormat yang dulunya menebal terhadap Nadira, kian menipis apabila melihat Nadira yang sudah berubah seratus peratus.

Pada awalnya, dia teruja melihat Nadira sudah pulang ke Malaysia. Tapi, semua itu hilang setelah melihat nada percakapan kakaknya itu tidak selembut dahulu. Gaya pakaian juga sudah berubah. Kakaknya sudah pandai memakai skirt dan baju yang singkat. Tak sanggup rasanya ingin memandang Nadira yang berpakaian begitu. Dia berasa malu.

“Jom Zarra. Jangan layan orang macam ni.” Ajak Harriz.

Zarra mengangguk laju. Lengan Harriz masih belum dilepaskan pautannya. Gerun melihat kakak ipar yang merenungnya tajam sejak tadi. Tapi, sama sekali dia tidak peduli. Asalkan Harriz membelanya, itu sudah cukup. Tiba-tiba dia teringat akan mama dan papa. Kenapa lah dia perlu berkahwin. Kalau tidak, tak perlu dia menghadap Nadira yang umpama harimau ingin menerkam mangsanya. Dia ingatkan, Harriz anak tunggal. Ternyata sangkaannya salah sama sekali.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.