Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,666
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Kelam-kabut Zarra memakai kasut. Ah! Sudah lambat sepuluh minit. Lagi dua puluh minit saja lagi, pintu pagar sekolah akan ditutup sedangkan dia masih berada di rumah. Perjalanan ke sekolah pula memakan masa tiga puluh minit. Entah kenapa dia sanggup untuk bersekolah sejauh itu pun dia tidak tahu.

Mahu berjalan masuk ke kawasan sekolah lagi. Ini semua gara-gara dia terlajak tidur. Nasib baik mama mengetuk pintu bilik. Sekali dengan Harriz tidak terjaga.

“Cepat sikit pakai kasut tu Zarra. Dah lambat ni.” Tegur Harriz seraya masuk ke dalam kereta.

“Ye… Dah siap! Mama! Zarra pergi dulu. Tengah hari ni masak sedap-sedap. Byema!” laung Zarra. Dia berlari anak menuju ke kereta.

Puan Dayana menyahut saja dari dalam rumah. Dia juga sibuk menguruskan Encik Zaril yang perlu ke pejabat. Menyiapkan sarapan, menggosok baju dan macam-macam lagi yang perlu dia bereskan.

Drive laju sikit. Tekan minyak kuat-kuat. Zarra dah lewat sangat ni.” Gesa Zarra. Dia mengerling jam di tangan. Harap-harap sempat sampai ke sekolah sebelum loceng pertama berbunyi. Kalau tidak, ini kali pertama dia berjaya memecah rekod datang lewat ke sekolah. Pheww! Tak sanggup rasanya.

Sebaik saja kereta berhenti tepat di hadapan pagar sekolah, Zarra terus keluar berlari masuk ke dalam kawasan sekolah. Dia sama sekali terlupa untuk bersalaman dengan Harriz dan mengambil duit belanja. Harriz pula tidak sempat melaung nama Zarra apabila melihat Zarra sudah jauh berjalan meninggalkan kereta.

Bahu dijongket lalu satu keluhan dilepaskan. Pandai-pandai lah Zarra ikhtiar meminjam duit daripada sesiapa. Sekejap saja, kereta sudah meluncur laju ke satu kawasan perumahan.

Misi hari ini adalah mencari rumah baru. Lokasi perlu hampir dengan sekolah Zarra supaya mereka tidak perlu lagi tergesa-gesa seperti tadi jika terlewat. Perjalanan yang jauh untuk menghantar Zarra ke sekolah memang penat. Kalau ulang-alik, dah satu jam. Tak ke rugi masa?




Rumah banglo setingkat di hadapannya dipandang dengan perasaan yang puas hati. Setelah empat jam dia mencari kawasan perumahan yang berdekatan dengan sekolah Zarra, dia jumpa juga rumah yang memang menepati cita rasanya. Keluasan halaman banglo ini memang luas. Berbaloi dengan harga yang hampir mencecah setengah juta.

Tak kisah lah berapa pun harganya. Anak Tan Sri kan.. Petik jari je dapat duit. Setelah kunci rumah ada di dalam genggaman, baru Harriz dapat menarik nafas lega. Banglo ini ada lima bilik kesemuanya. Jenuh dia mengemas nanti. Nak harapkan Zarra? Sepanjang tiga hari usia perkahwinan mereka, sudah bermacam perangai yang Zarra tunjukkan. Naik pusing kepalanya melayan kerenah Zarra.

Petang nanti, dia akan mengheret Zarra ke kedai perabut. Biar Zarra sendiri memilih apa yang dia suka. Lagi pun, dia bukan tahu bab memilih barang-barang rumah. Kalau ikutkan hati, diambil saja yang mana dirasakan sesuai. Langsung tidak ada cita rasa.

Telefon bimbit yang berbunyi nyaring menyentakkan Harriz. Nama mama tertera di skrin telefon. Tidak sampai dua saat, suara mama mertuanya sudah kedengaran.

“Harriz dekat mana? Zarra call mama tadi. Mengamuk dia Harriz tak datang ambil.”

Dahi dikerutkan. Jam tangan dipandang sekilas. Baru pukul dua belas tengah hari. Awal lagi. “Bukan Zarra balik pukul dua ke?”

“Tak.. Hari Isnin memang balik awal sebab selalunya cikgu-cikgu ada mesyuarat. Zarra tak pesan dekat Harriz?” Puan Dayana bertanya lagi.

“Langsung tak ada pesan apa-apa. Okey lah, ma. Harriz pergi sekarang.” Telefon bimbit ditutup. Kelam-kabut dia keluar dari rumah dan mengunci pintu. Minta-minta lah Zarra tak buat perangai. Kereta dipecut selaju yang boleh ke sekolah Zarra. Dia tidak peduli lagi soal saman polis atau apa pun, asalkan Zarra tak tarik muka.

“Lambat lagi ke Zarra? Aku kena balik awal. Mummy dengan Daddy aku balik hari ini.” Nadia menopang dagu memandang Zarra. Sudah setengah jam mereka berada di sini. Zarra pun langsung tak beritahu siapa yang mengambilnya. Tak pernah Zarra balik lewat macam ni.

“Mana aku tahu lambat ke tak. Tunggu lah sekejap. Kau ingat aku tak nak balik ke? Muka aku ni dah rasa macam kena lumur dengan cili. Panas sungguh aku tunggu orang yang ambil tak muncul-muncul.”

“Siapa datang ambil kau? Selalunya mama kau tak pernah lewat kan?” Nadia bertanya lagi.

Zarra menjeling sekilas. Gila kalau dia beritahu hal yang sebenar. Boleh kecoh satu sekolah. Nadia bukannya boleh diharap sangat. Nampak saja lurus bendul. Tapi kalau bab bergosip, cekap sungguh.

“Sepupu aku. Dia duduk dekat rumah aku sekarang ni.” Tergagap-gagap Zarra menjawab.

“Kenapa kau gagap pulak ni? Ye ke sepupu?” Soal Nadia tidak percaya. Sejak bila pula Zarra rapat dengan sepupu sepapat dia. Setahunya, Zarra langsung tak pernah rapat dengan orang yang digelar sepupu. Tak sebulu katanya.

“Gagap? Er… Tersedak sikit tadi. Ha’ah sepupu. Kenapa? Tak boleh sepupu aku nak ambil aku kat sekolah?” Zarra cuba bermain tarik tali. Sengaja ingin melihat reaksi Nadia.

Nadia mencebik. “Apa-apa je lah Zarra.”

Seketika suasana menjadi sunyi sepi. Hanya bunyi kenderaan saja yang menemani mereka berdua. Zarra rasa ingin menjerit sekarang juga kerana geram dengan Harriz. Sudah lah cuaca panas. Tidak ada tanda-tanda hujan akan turun. Sungguh bahang.

Bunyi hon kereta menyentakkan lamunan Zarra. Dia tegak berdiri apabila kereta Harriz berhenti betul-betul di hadapan tempat menunggu bas sekolah. Minta-minta Nadia langsung tak perasan akan wajah Harriz. Itu lebih bagus untuk dia menyelamatkan diri.

“Nadia.” Zarra memanggil Nadia yang khusyuk membaca novel. Memang itu pun tabiat Nadia kalau sedang bosan.

Nadia memanggung kepala memandang tepat wajah Zarra dengan kerutan di dahi. Tanda tidak senang tumpuannya terganggu.

“Aku nak balik dah ni. Sepupu aku dah sampai. Jumpa esok. Bye!” tergesa-gesa Zarra berjalan meninggalkan Nadia yang masih duduk di bangku.

Terkulat-kulat Nadia melihat Zarra yang berjalan laju ke kereta. Dia memandang sekeliling. Tinggal dia seorang saja di sini. Kurang asam punya Zarra. Sempat dia mengutuk Zarra. Dengan pantas basikalnya dicapai. Takut duduk sendirian di sini lama-lama.

“Kenapa lambat? Tahu tak Zarra dah tunggu dekat situ dekat satu jam. Berpeluh satu badan. Dah lah panas terik. Nasib baik Nadia sudi temankan Zarra. Kalau dia balik macam mana? Tak pasal-pasal Zarra kena tunggu sorang-sorang dekat situ. Kalau kena culik? Kena rompak? Kena ragut?” hambur Zarra sebaik saja kereta bergerak meninggalkan kawasan sekolah.

Harriz memandu dengan tenang. Dia sudah menjangka Zarra memang akan mengamuk habis. Sebenarnya, semalam lagi mertuanya berpesan supaya jangan lambat mengambil Zarra di sekolah. Boleh jadi ribut taufan kalau Zarra sudah mengamuk. Tapi, mana dia tahu Zarra pulang awal hari ini.

“Kenapa diam? Zarra tengah marah ni.” Dengan kuat lengan Harriz dicubit.

“Sakitlah!” jerit Harriz. Perit sungguh cubitan Zarra. Mujur dia sedang memandu. Jika diikutkan hati, dicekik-cekiknya leher Zarra. Sudah lah tak bagitahu apa-apa, boleh pula dia marah-marah.

Zarra menjeling tajam. Puas hati dapat buat Harriz menjerit kesakitan begitu. “Kenapa lambat?”

“Zarra tak bagitahu abang pun yang hari Isnin balik awal. Semalam Zarra bagitahu balik sekolah pukul dua petang. Tak ada pun Zarra cakap, abang… esok Zarra balik pukul dua belas tengah hari.. Ha! Tak ada kan?”

Zarra tidak menjadi untuk membalas kata-kata Harriz. Dia berfikir sejenak. Biar betul dia tak beritahu Harriz? Boleh jadi juga dia tidak beritahu Harriz. Mana dia ingat semua tu. Semalam dah mengantuk sangat. Terbit rasa malu apabila menyedari tidak wajar dia memarahi Harriz tadi.

“Zarra lupa nak bagitahu..” Dia bersuara perlahan.

Harriz menjeling. Nasib baik Zarra mengaku. “Tak nak marah lagi dah?” sindir Harriz.

Perlahan Zarra menggeleng. Malunya dia! Baru tiga hari berkahwin dengan Harriz, dia sudah menunjukkan perangai yang tidak senonoh. Apa lah yang Harriz kutuk tentang dirinya nanti.

“Sampai rumah, terus bersiap. Lepas tu baru turun makan. Ikut abang pergi beli barang sikit. Sebelum tu, ada homework tak?” Harriz bersuara.

Zarra menoleh. Harriz nak bawa dia keluar? Waaahhhh! Seronoknya! “Tak.. Cikgu tak bagi homework. Kita nak pergi mana?”

“Ikea.” Jawab Harriz sepatah.

“Ikea? Tu kan kedai perabut. Nak beli perabtt nak letak mana lagi? Bilik Zarra dah penuh dengan barang. Bilik abang pun dah banyak sangat barang.”

“Ikut je lah mak cik. Pot pet pot pet. Cuba diam sekejap.” Ucap Harriz.

Zarra menjuih bibir. Sesuka hati je Harriz panggil dia mak cik. Mak cik yang banyak cakap ni lah isteri awak, Encik Harriz. Getusnya.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.