Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,647
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“Zarra Arissa binti Zaril Mikhail!” lantang suara Cikgu Sharifah memanggil Zarra yang leka berbual di belakang. Siapa yang tidak kenal dengan Zarra. Suka sangat berbual sewaktu guru sedang mengajar. Tetapi, apabila keputusan peperiksaan bulanan dikeluarkan, dia pasti mendapat keputusan yang cemerlang.

“Ya cikgu!” sahut Zarra. Dia pantas berdiri tegak lalu memandang ke hadapan. Tudung yang dipakai sempat dibetulkan supaya lebih kemas.

“Kamu berbual apa dengan Nadia sampaikan tak beri perhatian terhadap subjek saya?” tegas Cikgu Sharifah menyoal. Wajahnya yang jarang mempamerkan riak yang manis semakin kelat.

Zarra mencuit Nadia di sebelah. Dia menjongket bahu meminta pertolongan Nadia. Kenapa pula dia seorang sahaja yang kena sedangkan Nadia juga terlibat sekali. Nadia turut bangun dari kerusi dan memandang tepat wajah Puan Sharifah.

“Siapa suruh kamu bangun, Nadia? Duduk!” arah Cikgu Sharifah pula.

Nadia kembali melabuhkan punggung di kerusi. Zarra di sebelah dipandang dengan penuh simpati. Entah apa pula denda yang akan diberikan kepada Zarra kali ini.

“Cikgu. Kenapa saya seorang je yang kena? Nadia pun terlibat sekali.” Protes Zarra. Nadia yang mendengar namanya disebut Zarra menganggukkan kepala.

“Saya nampak kamu yang ajak Nadia berbual. Jadi, saya simpulkan bahawa kamu yang tak berminat dengan kelas saya. Kamu boleh keluar dari kelas saya sekarang juga. Silakan.” Jawab Cikgu Sharifah.

Zarra terpempan. Apa kesalahannya begitu besar sehinggakan dia diminta keluar dari kelas? Cikgu Sharifah memang sudah keterlaluan. Bukan dia seorang sahaja yang berbual. Masih ramai lagi. Fairuz? Liana? Tak akan mereka terlepas. Ini memang tidak adil.

“Saya rasa Zarra tak melakukan kesalahan yang besar, cikgu. Tak patut cikgu suruh dia keluar dari kelas.” Tiba-tiba ada satu suara yang mencelah. Ikhwan rupanya. Memang Ikhwan yang selalu menyelamtkannya setiap kali dia didenda.

“Tapi, saya rasa dia melakukan kesalahan yang besar. Zarra, get out from my class. Saya gantung kamu dari kelas saya selama dua minggu. Selepas dua minggu, baru kamu boleh masuk semula sewaktu subjek saya,” balas Cikgu Sharifah lalu tersenyum sinis.

Zarra menolak kerusi kebelakang dengan kasar. Cikgu Sharifah memang dari dahulu tidak suka dengannya sejak abangnya memutuskan hubungan dengan cikgu mata pelajaran matematik ini. Macam mana lah abangnya ingin bertahan dengan Cikgu Sharifah kalau hampir setiap hari abangnya dimarahi sesuka hati. Lelaki mana pun tak akan tahan.

Zarra melangkah dengan laju ke muka pintu. Sebelum keluar, sempat dia berkata sesuatu. “Terima kasih banyak-banyak cikgu.”

Dia melihat Cikgu Sharifah tidak mengendahkannya. Perhatian Cikgu Sharifah kembali tertumpu kepada rakan-rakannya yang lain. Zarra mendengus kasar lalu beredar dari situ. Langkahnya diatur ke arah belakang bangunan makmal komputer.




Zarra menapak ke pondok yang disediakan bertentangan kolam ikan yang dibuat oleh tukang kebun sekolah. Memang cantik. Punggung dilabuhkan di kerusi. Dia menongkat dagu dan membuang pandangan kepada kolam yang jernih airnya.

“Ikan oh ikan. Kenapalah malang sangat nasib aku? Apa yang aku buat tu teruk sangat ke?” Zarra mengeluh kecil.

Shafiq terpandang Zarra yang sedang duduk mengelamun di pondok. Tanpa berlengah lagi, dia terus menghampiri gadis itu. Kebetulan dia baru keluar dari makmal komputer. Secara tidak langsung dia amat berterima kasih kepada guru kelasnya kerana menyuruhnya ke situ. Kalau tidak, pasti dia tidak akan terserempak dengan Zarra.

Sebenarnya sudah hampir dua tahun dia memendam perasaan terhadap Zarra. Ingin diluahkan perasaannya kepada Zarra, dia memang tidak berani. Dia cuma berkesempatan memerhati Zarrra dari jauh. Boleh dikira dengan jari berapa kali mereka berbual sejak masuk ke sekolah pada tahun ini. Sangat susah untuk berbual dengan gadis berdarah kacukan Melayu-Arab ini.

Dia melabuhkan punggung di kerusi. Zarra masih tidak sedar akan kedatangan Shafiq kerana terlalu leka melihat ikan-ikan berenang bebas di dalam kolam. Terhibur juga hatinya selepas diperlakukan sebegitu oleh Cikgu Sharifah.

“Buat apa dekat sini sorang-sorang?” tegur Shafiq. Suaranya cuba dikawal supaya tidak gentar. Jantungnya sudah dup dap dup dap sejak tadi.

Zarra tersentak lalu menoleh ke belakang. Ada sahaja lah yang menganggu pada saat-saat mood nya hampir ke angka kosong. Dia melihat Shafiq tersengih memandang ke arahnya. Alahai. Mamat Selenga plus mamat skema ni ke?. Getus Zarra.

“Aku tengah bagi kucing makan ikan.” Jawab Zarra loyar buruk. Sudah tahu, lagi mahu bertanya. Sudah terang lagi bersuluh dia duduk di situ termenung menghadap kolam ikan. Tak akan dia sedang menggoreng ikan pula.

“Pandai kau buat lawak kan Zarra. Aku tanya elok-elok, kau loyar buruk pula.” Balas Shafiq dengan muka yang selamba. Seronok sungguh dapat berbual begini dengan Zarra. Berdua-duaan lagi.

Zarra menjongket kening. Dia memandang Shafiq yang masih tersengih-sengih seperti kerang busuk. Bila masa pula dia buat lawak? Kalau iya pun mahu berbual, jangan lah buat muka gatal begitu. Seram sejuk dibuatnya.

“Kau tak ada kelas ke sekarang ni Shafiq? Boleh pula datang sini kacau aku.” Soal Zarra. Masa dirasakan bergerak terlalu lambat. Dia sudah tidak sabar untuk melarikan diri daripada budak lelaki yang paling skema pada abad ini. Loceng pula bila hendak berdering menandakan waktu untuk subjek Matematik tamat?

“Mesti lah ada. Sekarang ni waktu Pendidikan Islam. Alah, aku datang sini nak temankan kau je. Aku tengok kau sorang-sorang dekat sini macam ada masalah. Kau boleh cerita dekat aku masalah kau.” Jawab Shafiq mengambil berat. Kaca mata yang dipakai dibetulkan supaya lebih selesa.

Tawa Zarra terburai. Buat lawak agaknya mamat ni. “Aku nak ada masalah? Muka macam aku ni memang muka selalu ada masalah ke?” tanya Zarra lagi.

“Eh, tak.. tak.. Aku cuma tanya je. Aku risau kalau kau ada masalah. Sebab mana ada orang lepak dekat pondok ni sorang-sorang. Selalunya lepak ramai-ramai angkut geng.”

“Buat apa kau nak risau kan aku? Tak ada faedah pun kau nak rasa risau or whatever dengan aku. Dah, kau pergi balik kelas. Nanti Ustaz Ridhwan cari kau. Kau kan pelajar kesayangan dan cemerlang Ustaz Ridhwan.” Ujar Zarra.

Shafiq mencebik bibir. Buruk sungguh Zarra melihat lelaki itu mencebik bibir. “Tak apa lah kalau kau halau aku. Aku tahu lah aku tak handsome macam Ikhwan dan Khairil. Aku balik kelas dulu.”

Shafiq berdiri dan mengambil buku-buku yang dibawanya tadi. Dia memusingkan badan lalu berjalan meninggalkan Zarra yang terpinga-pinga. Zarra menggaru kepala yang tidak gatal. Apa kena pula dengan si Shafiq ni? Tak payah lah nak touching lebih-lebih. Dia bukannya menghalau Shafiq. Tetapi, cuma menyuruhnya balik ke kelas. Aduh! Zarra menepuk dahi.




Kring!!!

Bunyi loceng berbunyi nyaring menandakan waktu persekolahan sudah tamat. Masing-masing tidak sabar untuk pulang ke rumah. Perut juga sudah mula berkeroncong tanda lapar. Zarra mengemas buku-buku dan dimasukkan ke dalam beg. Nadia yang sudah berdiri menunggu Zarra mempamerkan riak muka yang bosan.

“Cepat lah Zarra. Berapa jam lagi kau nak duduk sini. Perut aku dah berdondang sayang sejak tadi lagi.” Nadia menarik-narik hujung tudung Zarra.

“Jangan tanya kenapa kalau tangan ni lekat dekat hidung kau. Cakap je tak boleh? Ini tidak. Sekali dengan tangan-tangan nak bergerak. Tak lari lah makanan dekat rumah yang mak kau masak tu.” Zarra mendengus.

“Garang tak bertempat lah kau ni Zarra. Malang siapa yang jadi suami kau.” Nadia menjelir lidah. Matanya dijulingkan.

“Kau fikir muka kau lawa buat macam tu? Biar lah aku ni garang ke, gangster or whatever. Asalkan aku tak hipokrit macam kau yang selalu nak control ayu sana-sini. Suami aku tak akan malang sebab dapat aku yang cantik ni walaupun perangai aku agak hazabedah.” Zarra bangun dari kerusi dan sekali lagi tudungnya dibetulkan.

Nadia mengerutkan dahi. Perkataan apa pula yang diguna pakai oleh Zarra kali ini? Setiap tahun ada sahaja perkataan baru yang dicipta Zarra. Tahun lepas dia gunakan perkataan ‘senoi’ yang bermaksud lembap atau pun lambat.

“Hazabedah? Apa pula maksud bagi perkataan baru kau kali ni?” tanya Nadia.

“Kau tak tahu? Kau memang senoi lah Nadia.” Balas Zarra selamba.

Nadia menelan liur. Tidak pasal-pasal pula dia dikatakan senoi. Apa-apa saja lah Zarra.

“Hazabedah tu bermaksud sikap yang terlampau teruk dan orang kampung kata, perangai yang azab. Kau tahu kan maksud azab?” ucap Zarra. Dia berjalan mendahului Nadia yang terkial-kial mengatur langkah di belakang.

“Oh..” Nadia mengangguk tanda mengerti. Ada bagusnya juga berkawan baik dengan Zarra. Dia dapat mengetahui perkataan-perkataan baru yang dicipta Zarra. Tapi, ada kontra nya juga. Bahasa Melayu juga boleh rosak gara-gara Zarra.

“Jalan macam Mak Limah patah tulang. Terhegeh-hegeh kau berjalan. Dari kiri cepat jalan!” Zarra ketawa seusai berkata. Dah serupa ketua kawad kaki dia memberi arahan begitu.

“Kiri, kanan, kiri, kanan.” Nadia bersuara lantang. Pelajar-pelajar sesi petang yang berada di dewan terbuka memandang Nadia dengan hairan. Apa kena pula dengan senior mereka ni?

“Kau jangan buat malu aku dekat sini. Cakap tu perlahan-lahan.” Bisik Zarra. Lengan Nadia dicubit dengan agak kuat. Menyeringai Nadia dibuatnya.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.