Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,660
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

Zarra melepaskan nafas lega. Sepanjang tiga hari, dia tidak berhenti melakukan pelbagai kerja. Menyapu sampah, mengemop lantai dan menyusun pakaian di dalam almari. Bilik tidur utama sudah selesai dikemas. Memang bilik itu dihias mengikut cita rasa bersama. Rasa nak tercabut pinggang. Lenguh ditambah pula rasa letih.

Dia memerhati saja Harriz yang sibuk mengangkat kotak berisi pinggan mangkuk dan barang dapur ke ruang tengah. Lain tidak bukan, memang dia lah yang perlu mengemas semua barang di dalam almari. Langsir masih belum dipasang. Memang hari ini hari paling memenatkan. Baru dia tahu bagaimana rasa penat berpindah rumah.

Telefon berbunyi menandakan ada panggilan yang masuk. Dengan pantas Zarra mencapai telefon di atas meja. Panggilan daripada Nadia membuatkan dia menelan liur. Jangan Nadia hendak datang ke rumah, sudah lah. Dia belum beritahu Nadia bahawa dia tidak lagi tinggal di situ.

“Kau kat mana? Kenapa rumah kau berkunci bagai ni?” nyaring suara Nadia bertanya.

“Tak reti bagi salam? Mama dan papa aku dah ke Jordan. Memang lah aku tak duduk situ.”

“Habis tu kau duduk mana?” Nadia bertanya lagi.

Zarra terdiam. Ah! Sudah. Apa alasan yang dia nak bagi. Kelentong saja lah untuk menyelamatkan diri. “Haa. Err… Aku duduk dengan Mak Cik aku dekat Putra Height. Aku tengah sibuk sikit ni. Kejap lagi aku call kau semula. Aku letak telefon dulu okey.”

“Amboi! Sejak bila pula kau kenal istilah sibuk? Buat penat je aku datang sini panas-panas macam ni. Okey lah, nak balik. Bye.”

Talian dimatikan. Terpinga-pinga Zarra. Dia jamin Nadia merajuk dengannya. Tak apa lah, malam nanti saja dia menghubungi Nadia. Takkan dia nak berbual dengan Nadia sedangkan Harriz sibuk mengemas rumah.

“Siapa call?” Harriz bertanya. Tangannya ligat mengeluarkan barang-barang dari dalam kotak dan disusun di atas lantai dengan penuh hati-hati.

“Nadia. Dia datang rumah mama. Mengamuk dia sebab tak ada orang.” Zarra tersengih.

“Kenapa tak bagitahu dah pindah sini?” soalnya lagi.

“Bagitahu dah. Tapi, tipu sunat sikit. Zarra cakap pindah sini dan duduk dengan Mak Cik.” Sekali lagi dia tersengih.

Harriz menjegil mata. Sampai macam tu sekali Zarra nak mengelak. “Tipu sunat tu pun dikira berdosa. Lepas ni minta maaf dengan kawan tu. Beritahu je lah benda betul. Tak ada salahnya.”

Zarra menikus. Tak pasal-pasal kena ceramah.

“Nanti-nanti lah Zarra bagitahu. Ingat senang ke? Benda ni kalau kecoh dekat sekolah memang habis lah. Zarra jamin memang ke mana je Zarra pergi, mesti ada mulut-mulut yang mengusik. Lepas SPM lah Zarra bagitahu.”

Wajah Zarra dipandang lama. Ada benarnya kata-kata Zarra. Akhirnya dia mengalah.

“Okey lah. Tapi, kalau Zarra memang percayakan Nadia, beritahu. Dia kawan baik Zarra. Macam mana kalau dia terkilan sebab Zarra tak beritahu hal sebenar? Fikir baik-baik.”

Zarra mengeluh panjang. Malas mahu menjawab, dia bangun dan berjalan ke dapur. Peti sejuk dibuka. Sebotol jus oren Tropicana Twister diambil dan diletak di atas meja. Pizza yang dibeli dihidang di dalam pinggan. Perut sudah berkeroncong minta diisi.

“Berhenti lah dulu buat kerja tu. Meh makan.” Ajak Zarra.

“Tak lapar lagi.” Jawabnya ringkas.

“Jangan nak tipu. Kita makan pukul lapan pagi tadi. Sekarang dah pukul empat petang. Sini cepat.”

Melihat Harriz yang masih tidak berganjak dari duduk, Zarra bangun dari kerusi dan mendapatkan Harriz. Telinga Harriz ditarik agak kuat.

“Eh, apasal ni?” terkial-kial Harriz cuba menepis.

“Bangun, bangun. Makan dulu. Lepas ni nak susun barang sampai pagi esok pun tak apa.” Tangan Harriz pula menjadi sasaran. Ditarik Harriz ke meja makan. Sebenarnya dia tak sabar nak merasmi kerusi dan meja makan yang baru.

“Tak baik buat suami macam ni, Zarra.” ucap Harriz. Sekeping pizza disuap ke dalam mulut. Hmm. Sedap.

Zarra tidak jadi meneguk jus oren sebaik mendengar kata Harriz. Apa yang sudah dia buat?

Bahu dijungkit. “Zarra buat apa dekat abang?”

“Tarik telinga.” Jawabnya ringkas.

Zarra merenung Harriz dengan renungan yang tajam. Tarik telinga suami pun dikira perbuatan tak baik? Bukannya dia potong telinga Harriz. Niat untuk menjamu selera ditolak ke tepi. Hatinya tercuit melihat Harriz yang bersungguh-sungguh mengunyah pizza. Nampak sangat kelaparan. Tadi bukan main lagi tidak mahu makan.

Lima minit sudah berlalu. Zarra masih leka memandang Harriz. Hairan melihat Zarra begitu, Harriz berdehem dengan kuat. Masih tiada respon.

“Zarra!” panggilnya. Kali ini dia mengetuk pula meja makan.

“Hah?” Zarra kaget.

“Syok tenung muka abang?” usik Harriz dengan senyuman di bibir.

“Errr.. Dah habis makan? Pergi sambung buat kerja.” Zarra berpura-pura serius. Padahal dia sedang menahan malu. Pinggan diangkat dan meja dikemas. Pura-pura sibukkan diri.

Harriz ketawa besar. Wajah Zarra yang serius memang melucukan. Sebenarnya dia suka Zarra memandangnya begitu. Rasa diri dia kacak pun ada. Ceh. Perasan.




Zarra yang tidur nyenyak di sofa dikejut perlahan. Agak lama juga Zarra tidur di situ. Penat sangat agaknya. Bahu Zarra digoncang lembut.

“Zarra… Dah maghrib ni. Bangun cepat.” Kali ini tapak kaki Zarra menjadi sasaran. Sengaja dia menggeletek supaya Zarra membuka mata.

“Jangan la kacau. Mengantuk lagi ni.” Dia merungut. Matanya masih terpejam rapat.

“Lepas solat maghrib sambung tidur. Bangun, bangun.” Harriz menarik Zarra supaya bangun dari pembaringannya. Kali ini, kalau Zarra tak bangun juga, dia akan angkat Zarra ke bilik air. Bagi Zarra mandi sekaligus.

Zarra menggeleng. “Lima minit lagi.”

“Okey. Malas sangat nak bangun kan.” Harriz terus berdiri dan mengendong Zarra. Terjerit gadis itu dibuatnya.

“Turunkan Zarra!” Zarra menggelupur minta diturunkan namun tidak dihiraukan Harriz. Dia menampar kuat belakang Harriz.

“Gayat lah! Turunkan please.” Rayu Zarra. Dia cukup takut dikendong. Takut jatuh. Mahu patah riuk tulangnya.

Harriz tidak mengendahkan rayuan Zarra. Dia menendang pintu bilik air lalu melangkah masuk. Kemudian, baru dia turunkan Zarra.

Zarra mengurut dada. Lega bila dia selamat berdiri di atas lantai. Rasa mahu pecah jantungnya.

“Mandi.” Arah Harriz.

Zarra mengangguk. “Keluar lah. Takkan nak tengok Zarra mandi.” Dia menolak tubuh Harriz supaya keluar dari bilik air.

“Boleh juga.” Harriz tersenyum nakal. Sempat dia mengenyitkan mata.

Matanya membulat. “Gila!” ujar Zarra lalu menutup pintu bilik air. Dia mendengar Harriz ketawa dan berkata sesuatu. Tapi, dia tidak dapat menangkap apa yang dikatakan Harriz kerana bunyi deruan air paip lebih kuat daripada suara lelaki itu.

Rambut yang basah dilap kering menggunakan tuala. Kelibat Harriz langsung tidak kelihatan sejak dia keluar dari bilik mandi. Mungkin Harriz keluar membeli makanan untuk makan malam. Lagi pula, dia mana tahu memasak. Harriz pun dia tidak tahu sama ada lelaki itu tahu memasak atau pun tidak.

Buku-buku di atas meja diambil lalu dimasukkan ke dalam beg sekolah. Kerja rumah yang diberikan oleh Cikgu Sharifah langsung tidak disentuh gara-gara sibuk berpindah masuk ke rumah baru dan mengemas rumah. Dia jamin esok dia akan dihalau keluar dari kelas buat sekian kalinya.

Telefon berbunyi menandakan ada kiriman SMS yang masuk. Sepantas kilat telefon bimbit dicapai.

Kenapa aku rasa kau macam pelik sejak dua menjak ni? Ada apa-apa yg aku x tahu?

Zarra menelan liur. Adakah kelakuan dia sangat aneh sehinggakan Nadia sudah syak bukan-bukan? Dia tergaru-garu kepala buat seketika.

Pelik?Hehe.. Kau ni macam2 la Nadia. Jumpa esok ok. Aku nk siapkan hw. Bye.

Dia melempar telefon bimbit ke atas katil. Niat ingin menggosok baju terbantut gara-gara kiriman SMS daripada Nadia. Hatinya berasa gelisah tiba-tiba. Sekali lagi telefon berbunyi. Dia yakin. Pasti daripada Nadia. Untuk tidak mengambil risiko, dia membiarkan saja SMS itu tanpa dibaca.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.