Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,671
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

“Zarra!” panggil Nadia. Sejak tadi dia memanggil nama gadis itu tapi tidak diendahkan. Hairan pula melihat Zarra diam begitu. Selalunya, kelas pasti riuh-rendah dengan suara Zarra yang tidak henti-henti mengomel.

“Aku panggil kau ni. Dengar tak?” Nadia menarik lengan Zarra pula.

Zarra mengeluh. Perut dia sejak tadi terasa sakit. Nadia pula tidak henti-henti memanggilnya. “Aku sakit perut ni. Jangan lah kacau. Bagi aku tidur sekejap.” Beritahu Zarra perlahan.

Nadia spontan menarik tubuh Zarra supaya duduk dengan tegak. “Weh, muka kau pucat sangat ni. Kau tak sarapan ke sampai boleh sakit perut?” soal Nadia prihatin.

Zarra menggeleng. “Tak sempat nak sarapan. Aku datang lewat kan tadi. Nanti kau bagitahu cikgu aku tak sihat. Aku nak tidur waktu subjek Sejarah ni.”

“Kau tunggu sini. Aku belikan makanan untuk kau dekat koperasi.” Nadia bingkas bangun dari kerusi dan melangkah ke tempat Ikhwan.

“Jom teman aku beli makanan untuk Zarra. Dia tak sarapan sampai sakit perut.” Ajak Nadia.

Ikhwan menoleh ke belakang untuk melihat Zarra. Pantas saja Zarra tidak banyak bercakap hari ini. “Okey, jom!”

Tergesa-gesa mereka berjalan menuju ke koperasi. Masuk sahaja di dalam koperasi, Nadia mencapai beberapa pek biskut, roti dan sebotol air mineral. Macam nak belanja satu kelas pun ada. Punya lah banyak.

“Kau nak bagi siapa makan banyak macam ni?” soal Ikhwan sebaik saja Nadia selesai membeli makanan.

“Untuk Zarra.” jawabnya ringkas.

“Kau ingat Zarra tu ada perut macam kau ke? Bagi aku sikit biskut tu kejap lagi.” Balas Ikhwan selamba.

“Nanti aku fikir sama ada nak bagi ke tak dekat kau.” Jawab Nadia.

Mereka berjalan tanpa memandang kiri kanan. Guru-guru yang lalu di sebelah mereka pun tidak dihiraukan. Zarra lebih penting sekarang ni.

Nadia tersenyum lebar sewaktu masuk ke dalam kelas. Nampaknya, guru subjek Sejarah mereka tidak hadir. Buktinya, sehingga sekarang belum masuk ke kelas. Selalunya, tepat saja loceng berbunyi, Cikgu Jannah sudah muncul di muka pintu.

Khairil yang melihat Nadia menjinjit satu beg plastik, terus bersuara. “Weh.. Pergi koperasi tak ajak aku.”

Nadia menjuih bibir. “Kau menghilang ke mana tadi? Aku beli banyak makanan ni. Jom lepak tempat aku.” Ajaknya.

Kharil menepuk tangan dengan kuat. Jimat duitnya hari ini dapat makan percuma.

“Nah, Zarra. Makan sikit.” Sebungkus roti bun dihulur kepada Zarra.

Dengan lemah Zarra menyambut huluran Nadia. Memang dia tidak berdaya lagi untuk bersuara sekarang ni. Hanya mampu mengangguk dan menggeleng. Dengan susah payah dia cuba mengoyak plastik itu.

“Kau okey tak Zarra? Meh aku tolong koyakkan plastik tu.” Ikhwan bertanya.

Zarra hanya mengangguk. Dengan perlahan dia memakan roti dan diselang seli dengan air mineral. Perutnya terasa sebu.

Belum sempat perutnya menghadam roti yang dimakan, Zarra berasa loya. Nadia yang sedang rancak berbual dipanggil.

“Jom pergi tandas. Aku nak muntah.” Ujar Zarra.

Mata Nadia membulat. Kelam kabut dia membantu dan memimpin Zarra ke tandas dengan bantuan rakan sekelas yang lain. Memang keadaan Zarra agak teruk. Selepas ini, dia akan menyuruh Zarra pulang.




Kelam kabut Puan Sri Nazrah sebaik saja mendapat panggilan daripada guru kelas Zarra. Harriz pula satu hal. Telefon tidak berjawab. Entah ke mana anak lelakinya merayau pun dia tidak tahu. Kata Cikgu Linda, sudah banyak kali Zarra muntah-muntah dan berulang-alik ke tandas. Risau juga dia akan keadaan menantu kesayangannya.

Langkah kakinya laju menuju ke bilik guru. Rasa mahu luruh jantungnya melihat Zarra yang duduk bersandar di sofa dengan wajah yang pucat. Kalau ditoreh, umpama tidak ada darah yang akan keluar. Memang pucat.

“Puan Nazrah?” tanya Cikgu Linda sebaik saja Puan Sri Nazrah melabuhkan punggung di sofa.

Laju Puan Sri Nazrah mengangguk. “Dah lama ke Zarra macam ni? Kenapa tak maklumkan kepada saya?” Serius Puan Sri Nazrah bersuara.

“Sejak pagi tadi. Tapi waktu rehat tadi baru kawan Zarra bawa dia ke sini. Dah banyak kali mereka pujuk suruh dia balik. Tapi dia tak nak.” Ujar Cikgu Linda dengan tenang.

“Tak apa lah kalau macam tu. Saya minta izin bawa Zarra pulang awal hari ni. Boleh kan, Cikgu?” Puan Sri Nazrah bertanya lagi.

Cikgu Linda mengangguk. “Puan tunggu di sini sekejap. Saya nak ke pejabat isi borang keizinan pelajar untuk pulang awal.”

Sebaik saja Cikgu Linda beredar ke pejabat, Puan Sri Nazrah terus bertanya kepada Zarra. Memang tidak sabar betul. “Zarra tak suruh cikgu call Harriz?”

Lemah Zarra menggeleng. “Zarra nak jawab apa nanti kalau cikgu tanya siapa abang Harriz? Nak jawab suami Zarra?”

“Zarra boleh jawab Harriz tu uncle Zarra.” laju Puan Sri Nazrah menjawab.

“Umi… Muka abang Harriz tu tak layak jadi uncle budak umur tujuh belas tahun. Nampak kelakar.”

“Kelakar? Haaa. Umi nak tanya ni. Zarra muntah-muntah kan? Kenapa? Zarra mengandung ke?” Puan Sri Nazrah berbisik.

Terbeliak mata Zarra mendengar pertanyaan Puan Sri Nazrah. Mengandung apa bendanya kalau ehem ehem pun belum lagi. Lagi pun, pesanan mama masih segar dalam ingatan. Umi ni memang tak patut betul tanya soalan macam tu.

“Mana ada…” Laju Zarra menjawab. “Zarra masih mempertahankan kesucian Zarra tau, ummi. Perjalanan Zarra menuju ke SPM masih lama. Tak boleh bayangkan Zarra ambil SPM dengan perut memboyot.”

Tersengih Puan Sri Nazrah mendengar jawapan Zarra. Lega sikit hatinya. Risau juga dia kalau-kalau Harriz dan Zarra terbabas. Segala kemungkinan boleh terjadi. Lebih-lebih lagi apabila tinggal sebumbung. Berdua pula tu.

Automatik mereka terdiam apabila Cikgu Linda masuk semula ke ruang rehat di dalam bilik guru. Beberapa keeping kertas dihulurkan kepada Puan Sri Nazrah.

“Zarra dibenarkan pulang ke rumah sekarang. Surat-surat ni Puan kena serahkan kepada pengawal yang bertugas. Memang peraturan sekolah ni kalau pelajar dibenarkan pulang awal, surat ini perlu sebagai bukti.” Lancar Cikgu Linda bersuara.

“Terima kasih, cikgu. Boleh tolong saya pimpin Zarra ke kereta? Dah lembik semacam saya tengok Zarra ni.”

Laju Cikgu Linda mengangguk. Dengan penuh hati-hati dia memimpin Zarra ke ruang menunggu di hadapan pejabat sementara Puan Sri Nazrah ke tempat meletak kereta. Tidak mahu Zarra berjalan jauh, Cikgu Linda menyuruh Puan Sri Nazrah mengambil Zarra di hadapan pejabat.

Masuk saja ke dalam kereta, Zarra terus memejamkan mata. Perutnya memulas-mulas sejak tadi. Memang sakit.

“Hello, Harriz. Kamu ada dekat mana ni?” Laju Puan Sri Nazrah bertanya sebaik saja panggilannya dijawab.

Zarra terus membuka mata sebaik saja mendengar nama Harriz disebut, Ummi memang seorang yang tidak sabar. Buktinya, tidak sampai dua minit di dalam kereta, ummi sudah menghubungi Harriz.

“Pavillion?” nyaring suara Puan Sri Nazrah. Memang dia betul-betul geram dengan Harriz. Isteri sedang sakit, dia boleh pergi membeli-belah di Pavillion.

“Pergi Hospital Tawakal sekarang. Umi nak bawa Zarra ke sana. Dari pagi tadi lagi dia sakit perut. Cepat! Jangan lambat.” Tegas Puan Sri Nazrah memberi arahan.

Selesai bercakap dengan Harriz, Puan Sri Nazrah fokus dengan pemanduan. Zarra disebelah dibiarkan saja. Tidak mahu menganggu Zarra yang sudah mahu terlelap.

Harriz terus meluru ke kereta Puan Sri Nazrah sebaik saja terpandang kereta BMW W Series itu diparkir di tempat meletak kereta. Sudah lima belas minit dia menunggu di situ. Risau bukan main dibuatnya.

“Angkat Zarra. Dalam kereta tadi sempat lagi dia muntah. Mujur ada beg plastik dalam beg tangan ummi.” Beritahu Puan Sri Nazrah.

“Teruk sangat dah ni. Jom, cepat. Orang bukan main ramai lagi dekat dalam tu.” Penuh hati-hati Harriz mengangkat Zarra yang sudah tertidur. Pucat sunggu wajah Zarra. Terbit rasa kasihan terhadap Zarra. Siapa tak sayang isteri kan?

Puan Sri Nazrah terus ke kaunter untuk menguruskan urusan pendaftaran. Nasib mereka memang baik. Zarra terus dibenarkan masuk untuk menjalani rawatan disebabkan dia sudah terlalu lemah. Berdiri pun tidak boleh. Memang teruk lah.

Punggung dilabuhkan di kerusi sementara menunggu Zarra menjalani rawatan. Sengaja dia tidak mahu masuk sekali. Biar Harriz saja yang menemani Zarra supaya anaknya itu lebih bertanggungjawab selepas ini. Selama ini, sibuk menguruskan sakit sendiri saja. Kali ini, biar dia uruskan Zarra sekali. Masa ini lah perlu ditunjukkan kasih sayang yang sepenuhnya kepada isteri.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.