Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,678
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Tangannya sejuk umpama baru memegang ais batu. Dia sudah siap berpakaian dan wajahnya juga sudah disolek. Lain benar wajahnya. Nasib baik masih cantik. Getusnya. Sekejap saja lagi, dia akan diijabkabulkan dengan lelaki yang langsung dia tidak kenal hati budi. Apa yang dia tahu, mama dan papa selalu memuji Harriz. Baik, sopan santun, tak tinggal solat dan macam-macam lagi. Semuanya baik-baik saja.

Pintu bilik dikuak. Terpacul wajah Zalikha di muka pintu. Puan Dayana pula sejak pagi sibuk menguruskan urusan di dapur. Mujur ahli keluarga sanggup datang membantu walaupun semuanya tinggal jauh dari Kuala Lumpur. Paling jauh, dari Perlis.

“Zarra okey?” Zalikha mendekati adiknya lalu duduk di birai katil. Zarra kelihatan sungguh manis dengan persalinan berwarna putih.

“Nampak muka Zarrra ni okey ke?” Soalan dibalas dengan soalan.

“Sikit tak okey. Jangan fikir benda negatif. Buang jauh-jauh semua tu. Zarra mesti tak tahu lagi apa yang mama bagitahu dekat kakak.” Zalikha tersenyum manis.

“Tak.. Zarra tak tahu. Apa dia?”

Aunty Naz bagitahu mama, Zarra tak payah susah hati soal nak urus rumah tangga semua tu. Serah dekat pembantu rumah je. Zarra cuma fokus dekat SPM dan jaga Harriz. Bukannya Zarra kena masak. Cuma pastikan suami Zarra tu makan tepat pada waktu. Zarra akan jalani hidup Zarra macam biasa. Tak ada apa yang berubah sangat pun. Itu yang mama bagitahu kakak.”

“Serius? Kakak tak tipu kan?” Zarra seakan tidak percaya. Takkan semudah itu hubungan dia dengan Harriz.

“Buat apa kakak nak tipu. Tapi, kalau Harriz ajak Zarra pindah rumah lain, Zarra wajib ikut. Soal masak memasak, serah dekat Harriz. Tapi, Zarra kena tolong dia juga. Jangan malas-malas. Masa ni lah belajar berdikari.”

Zarra mencebik. Apa-apa saja lah.




Harriz cuba menenangkan jantung yang berdegup kencang sejak tadi. Jurunikah di hadapannya sedang menulis sesuatu. Papa di sebelah dipandang. Senyuman papa langsung tidak boleh menenangkan hatinya.

Puan Sri Nazrah duduk bersimpuh di sisi Puan Dayana. Masing-masing tersenyum manis dan kelihatan gembira sekali. Zarra memandang Harriz dengan perasaan yang gundah gelana. Dia berharap sangat Harriz tidak tersasul menyebut namanya. Boleh malu nanti!

“Boleh kita mulakan sekarang?” suara jurunikah membuatkan suasana yang tadinya agak bising menjadi sepi. Harriz mengangguk.

“Harriz Afham bin Shakir.”

“Ya, saya.” Harriz menyahut.

“Aku nikah akan dikau dengan Zarra Arissa binti Zaril Mikhail dengan mas kahwinnya RM250 tunai.”

“Aku terima nikah Zarra Arissa binti Zaril Mikhail dengan mas kahwinnya RM250 tunai.” Lancar Harriz melafazkan akad.

“Sah?” jurunikah bertanya kepada dua orang saksi di sebelahnya. Apabila mereka mengangguk dan melafazkan kata sah, Harriz melepaskan nafas lega. Lega kerana dengan sekali lafaz, dia dan Arissa sah menjadi suami isteri.

Puan Dayana terus memeluk Zarra dengan erat. Air mata kegembiraan mengalir di pipi. Zarra pula seperti tiada perasaan. Tidak tersenyum, tidak menangis.

“Terima kasih Zarra. Selamat datang ke keluarga umi.” Ujar Puan Sri Nazrah.

“Sama-sama umi.” Kaku rasanya ingin memanggil wanita yang selama ini dipanggil aunty dengan panggilan umi.

Selesai menunaikan solat sunat, Harriz menghampiri Zarra yang diapit umi dan mama mertuanya. Wajah Zarra yang tenang dipandang. Puan Dayana memberi ruang kepda Harriz untuk duduk di sisi Zarra. Zarra menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Harriz. Itu saja yang dia tahu untuk lakukan sekarang. Itu pun sebab dia selalu mengikut mama ke majlis akad nikah saudara-mara. Kalau tidak, pasti dia tidak tahu untu berbuat apa.

Dahi Zarra dikucup. Lensa kamera sejak tadi merakam foto mereka berdua. Zarra berasa kaget yang amat sangat saat bibir Harriz singgah di dahinya. Waaa! Ini merupakan kali pertama dia dicium oleh lelaki melainkan papa dan abangnya. Rasa malu menyerbu dalam diri.

Puan Sri Nazrah memberi cincin kepada Harriz untuk disarungkan pada jari manis Zarra. Sekejap saja, cincin emas putih bertatahkan berlian menghiasi jari manis milik Zarrra. Zalikha dan Zafran tersenyum manis melihat adik mereka yang sudah menjadi milik seorang suami. Rasa sebak bertandang ke dalam diri. Perlahan diseka air mata yang bertangkung di kelopak mata.

“Alhamdulillah. Selesai majlis akad nikah Harriz dan Zarra. Terima kasih sebab sudi berbesan dengan kami.” Tan Sri Shakir memeluk erat Encik Zaril. Gembira sungguh rasanya.

“Sama-sama. Dapat lah kami pergi ke Jordan dengan hati yang tenang minggu depan.” Ucap Puan Dayana.

“Tak sangka kan kita dapat berbesan. Bila Allah mengkehendaki sesuatu, pasti akan terjadi. Seronok saya tengok Harriz dapat memperisterikan Zarra.”

“Dulu sahabat baik, sekarang dah jadi besan.” Kata-kata Puan Dayana disambut dengan ketawa. Mereka melangkah ke ruang tengah untuk menjamu selera. Tiada satu pun khemah yang dipasang atas permintaan Zarra kerana tidak mahu rakan-rakannya bertanya. Mana tahu kalau ada rakan-rakannya yang melewati rumah mereka. Tidak ada yang mustahil.

“Tak ada sayur ke mama?” Zarra bertanya. Terbantut seleranya untuk menjamu selerea jika tiada hidangan sayur-sayuran untuknya. Harriz di sebelah memanggung kepala sebaik mendengar soalan yang terbit dari mulut Zarra.

Puan Dayana yang leka berbual dengan ahli keluarga besannya memandang Zarra. Kemudian, baru dia tersedar sesuatu. Dia lupa ingin memasak sayur campur untuk Zarra. Zalikha yang perasan akan perubahan riak pada wajah Zarra mencelah menyelamatkan keadaan.

“Tak apa. Biar Ika tolong masakkan. Mama layan tetamu.” Dengan sepantas yang boleh, Zalikha mengeluarkan sayur-sayuran di dalam peti sejuk dan dicuci dengan sebersihnya. Tangannya laju memotong bawang dan mengeluarkan bahan-bahan untuk memasak sayur campur.

“Zarra memang tak akan makan kalau tak ada sayur?” Puan Sri Nazrah bertanya.

“Itu lah perangai anak Zarra. Dia memang hantu sayur. Tak ada sayur, memang dia takkan makan.” Puan Dayana menjawab.

Puan Sri Nazrah mengangguk tanda mengerti. Zarra yang setia menunggu dipandang sekilas. ‘Suka makan sayur rupanya. Pantas saja kulitnya cantik.’ Getusnya.

Harriz yang menjadi pendengar setia terus menjamu selera. Perut yang berkeroncong sejak tadi pagi perlu diisi dengan secukupnya. Zarra pula setia menunggu sayur campur yang sedang dimasak. Udang galah di depan mata langsung tidak membuka seleranya. Dia memerhati semua tetamu merangkap ahli keluarganya sendiri yang tekun menjamu selera.

Jumlah semua orang yang hadir boleh dianggarkan tidak kurang tiga puluh orang benar-benar memuaskan hati Zarra. Cuma fikirannya sejak tadi memikirkan soal majlis resepsi yang akan berlangsung malam ini. Tetamu yang dijemput hampir mencecah lima ratus orang.

Dia cuma khuatir kalau ada mulut-mulut yang melabel dia gatal berkahwin muda. Bukannya dia nak sangat untuk berkahwin. Dia menurut kata mama dan papa supaya tidak menjadi anak derhaka. Itu yang paling penting.

“Sayur campur kegemaran adik kakak dah siap!” pinggan yang berisi sayur campur diletak di hadapan Zarra. Dia sempat berpesan supaya Zarra tidak terlalu gelojoh. Malu kalau orang tengok pengantin makan dengan gelojoh.

“Zarra memang suka sangat-sangat makan sayur? Kalau tak ada, memang langsung tak boleh nak makan benda lain?” Harriz bertanya sebaik saja Zalikha beredar melayan tetamu yang lain.

Zarra tersenyum lebar lalu mengangguk. “Ini makanan wajib. Sampai bila-bila pun sayur kena ada selalu dengan Zarra.”

“Kalau macam tu, lepas ni abang tanam sayur banyak-banyak dekat belakang rumah. Bila nak makan, Zarra petik je. Jimat duit.” Balas Harriz dengan selamba. Dia mencedok sayur lalu diletak di dalam pinggan.

Zarra yang mendengar Harriz membahasakan dirinya sebagai abang terus berasa seram sejuk. Sudah tentu dia perlu memanggil Harriz dengan panggilan abang sebagai tanda hormat. Kalau dia tidak mahu, apa lagi panggilan yang sesuai? Baby? Darling? Zarra menelan liur.

“Tanam sayur belakang rumah? Nanti kita fikir sama-sama. Makan lah cepat.” Balas Zarra sambil tersengih. Sayur sawi dimasukkan ke dalam mulut lalu dikunyah perlahan. Lelaki ni memang lain tidak bukan, mesti perli dia tadi. Kurang asam betul.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.