Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,660
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Runsing hatinya melihat Zarra terbaring di atas katil hospital. Tidak pasal-pasal malam ini mereka terpaksa menginap di hospital. Doktor mengesahkan gastrik Zarra semakin teruk. Sejak bila Zarra kena gastrik pun dia tidak tahu. Zarra pun langsung tidak memberitahunya soal itu. Ummi awal-awal lagi sudah pulang ke rumah. Malam ini dia akan ke sini semula bersama baba.

Mujur ada Wifi sebagai peneman tatkala dia sedang bosan yang terlampau. Mengantuk jangan cakaplah. Tak akan dia nak tidur pula sedangkan dia perlu menjaga Zarra. Sudah banyak kali kakak iparnya menghubunginya bertanya keadaan Zarra. Dia jamin, sekejap lagi pasti Zalikha akan terpacul di muka pintu hospital.

Walaupun Zalikha sekarang tinggal di Pulau Pinang, itu tidak mustahil untuk kakak iparnya datang ke sini dengan cepat. Kemudahan kapal terbang kan ada. Tidak sampai satu jam boleh berada di Kuala Lumpur.

Zarra membuka mata apabila terasa ada sesuatu yang mencucuk-cucuk perutnya. Memang sakit. Pantas dia menoleh ke sebelah. Lega hatinya melihat Harriz ada situ.

“Nak air.” Sepatah dia bersuara.

Tersentak Harriz sebaik saja mendengar suara Zarra. Sejak bila gadis itu terjaga. Dengan pantas dia menuang air ke dalam gelas dan dihulurkan kepada Zarra.

“Nak makan apa-apa tak?” tanya Harriz. Dia membantu Zarra untuk berbaring.

“Tak lalu nak makan. Perut ni sakit.” Zarra merengek. Alahai. Manja sungguh.

“Kena lah makan kalau perut tu sakit. Sejak bila Zarra ada gastrik?” Harriz bertanya lagi.

Zarra terdiam seketika. Dia berfikir sejenak. “Haaa. Dah lama pun. Dekat setahun dah. Tapi, sebelum ni tak teruk pun.” Lemah dia menjawab.

Harriz mengeluh. “ Kenapa tak bagitahu abang? Benda ni serius tau. Zarra duduk sini sekejap. Abang belikan makanan dekat kafe.” Pantas Harriz berdiri dan mencapai dompet yang diletakkan di atas meja sisi katil.

“Main Ipad ni diam-diam okey. Jangan gatal bangun nak berjalan. Kalau makanan dekat kafe tak sedap, abang keluar cari kat tempat lain. Kebarangkalian untuk membeli makanan agak lama. So, abang bagi sekali handphone abang ni. Main lah game apa yang Zarra nak main. Kalau ada siapa-siapa call, jawab je.” Laju Harriz bercakap. Macam kereta api bergerak pun ada.

“Abang cakap macam peluru berpandu. Laju sangat.” Sempat Zarra mengusik Harriz.

“Ada hati lagi tu nak mengusik abang. Dah, dah. Abang pergi dulu.” Laju dia mengatur langkah keluar dari bilik Zarra. Sempat dia mengenyit mata kepada Zarra.

Apa lagi, ketawa besar Zarra dibuatnya. Hilang terus rasa sakit. Hebat betul penangan Harriz.

Zarra merenung Ipad yang dipegang sejak tadi. Nak main game macam mana kalau sebelah tangan kirinya penuh dengan wayar. Nak angkat tangan pun dia tak berani. Dibiarkan saja tangan kirinya mendarat dengan elok di atas bantal sisi.

Tiba-tiba perutnya berbunyi. Agak kuat juga. Mujur dia ditempatkan di bilik VVIP. Tidak perlu berkongsi dengan orang. Boleh juga dia buat sesuka hati tanpa memikirkan orang lain. Alat kawalan jauh Astro diambil lalu ditekan berulang kali. Sudahnya, dia memilih untuk menonton Sinetron di Astro Ria. Layan saja lah.

Ini kelebihan berkahwin dengan anak orang kaya. Masuk hospital pun dapat duduk di dalam bilik mewah macam ni. Sudah macam di dalam hotel saja. Cuma bezanya, cadar katil ada tanda hospital. Siap ada peti sejuk kecil lagi. Kalau macam ni, duduk sini lama-lama pun dia suka.

Deringan telefon bimbit memang menyentakkan lamunannya yang baru saja mahu bermula. Oh! Ada SMS yang masuk. Laju saja dia membuka mesej tersebut untuk melihat siapa gerangannya.

Okey. Nadia! Zarra menarik nafas. Pasti gadis itu ingin bertanya bagaimana keadaan dia sekarang. Confirm!

Hai Zarra. Kau dah ok? Ada dekat mana sekarang?

Laju jari Zarra menari di skrin telefon bimbit untuk membalas kiriman SMS Nadia. Kalau lambat, pasti Nadia bising-bising. Itu yang dia sedikit rimas.

X berapa nak ok. Hosp Tawakal. Datang lah sini. Aku bosan. :(

Hampir lima belas minit Zarra menunggu balasan daripada Nadia. Entah apa lah anak dara itu buat. Lambat sungguh. Oh! Telefon berbunyi lagi.

Aku otw. Hehe. Nak gi ambil Ikhwan & Khairil. Pastu terus gi tgk kau. Tunggu ok.

“Amboi! Cepat lagi pantas budak ni. Itu tandanya dia caring dekat aku. Sayang juga diorang dekat aku.” Omel Zarra seraya tersengih. Berbunga-bunga hatinya. Macam sedang berbaring di taman bunga pun ada. Dia memejamkan mata seketika. Sinetron yang ditayangkan pun membosankan. Baik dia tidur. Lagi bagus.




Harriz tergesa-gesa keluar dari Restoran Makanan Segera KFC sebaik saja selesai membeli makanan untuk Zarra. Niat di hati ingin membeli nasi untuk Zarra. Tapi, tidak jadi. Zarra awal-awal lagi mengirim SMS meminta dibelikan KFC.

Baru saja dia ingin masuk ke dalam kereta, pergerakannya terhalang. Yaa. Kakak kesayangan sedang berdiri tercegat di tepi keretanya. Entah bila dia ada di sini pun tidak tahu.

“Boleh ke tepi? Harriz nak cepat ni.” Harriz malas untuk berbasa-basi dengan Nadira. Pemakaian Nadira membuatkan matanya sakit. Ketat dan singkat sehingga menampakkan segala yang tidak patut ditunjuk.

“Kakak nak jumpa Harriz. Takkan tak boleh? Dulu kita selalu lepa sama-sama. Sekarang ni, nak nampak batang hidung Harriz pun susah. Jom teman kakak makan dekat Old Town.” Nadira menarik tangan Harriz.

“Harriz nak cepat. Isteri Harriz terlantar sakit dekat hospital tu. Tepi sikit.” Harriz menolak perlahan Nadira ke tepi. Bukannya dia mahu bersikap biadap. Tapi, memang dia perlu cepat.

“Sekarang ni lebih pentingkan budak tu daripada kakak? Kakak baru balik Malaysia tau. Layan lah kakak pula. Biar la dia dekat hospital tu. Ada nurse jaga kan?” Nadira bersuara. Sengaja dia menunjukkan memek muka yang menjengkelkan.

“Baru balik Malaysia? Dah dekat dua bulan kan. Baru lagi ke? Memang Harriz pentingkan Zarra sebab dia isteri Harriz. Tanggungjawab Harriz. Apa kata kakak ikut Harriz pergi hospital?” sengaja dia mengajak Nadira. Walhal dia tahu Nadira pasti tidak mahu. Nadira memang sudah berubah. Dulu kakaknya tidak begitu. Sekarang sombong bagaikan dunia ini dia yang punya.

“Kakak nak pergi hospital tengok si Zarra tu? Pleaselah. Kahwin pun tak jemput kakak kan. So, kakak tak anggap pun Zarra tu adik ipar. Orang asing ada lah.” angkuh dia menjawab.

Harriz tersenyum sinis. “Ikut suka kakak lah.” Harriz terus meloloskan diri di dalam kereta.

Nadira mengetuk cermin tingkap berulang kali. Geram sungguh melihat Harriz yang sanggup membiarkan dia seorang diri di situ. “Harriz! Takkan nak tinggal kakak dekat sini?”

Harriz melambai tangannya dan tersenyum sekilas. Sekejap saja, keretanya sudah meninggalkan Nadira yang masih tercegat berdiri di tempat parkir kereta.

“Hish! Siap kau, Harriz. Makin biadap kau dengan kakak sekarang ni. Tanggung lah dosa sebab kurang ajar dengan kakak sendiri.” Dia mengomel seorang diri.

Bukan main lagi. Tahu pula berdosa. Dia pakai ketat sana sini tak ingat dosa pula? Alahai Nadira. Manusia memang boleh berubah. Daripada baik bertukar jahat. Daripada jahat bertukar baik. Cuma iman di dalam diri saja yang boleh mempertahankan akidah seseorang.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.