Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,640
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Sebaik saja kereta diparkir, Zarra terus melompat keluar dari kereta. Naik kematu punggungnya duduk di dalam kereta hampir tiga jam sedangkan perjalanan dari rumah mertua ke rumah ibu bapanya mengambil masa cuma satu jam. Harriz sengaja membawa dia ronda-ronda di sekitar Kuala Lumpur. Kata Harriz, sudah lama dia tidak melihat Bandar Kuala Lumpur. Banyak perubahan yang berlaku di Bandar itu.

Lagi satu, dia rasa ingin termuntah menghadap kesesakan jalan raya walaupun bukan dia yang memandu. Harriz pula kelihatan tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku. Hampir maghrib juga mereka tiba di rumah. Sudah lah dia tidak menyiapkan lagi kerja rumah yang diberi oleh guru di sekolah. Baju pun belum digosok.

“Mama! Zarra dah balik.” Jerit Zarra sambil masuk ke dalam rumah. Beg tangannya dibiarkan saja Harriz membawa masuk ke dalam. Malas mahu membawa beg tangan yang penuh isinya. Bukan setakat barang-barang miliknya yang disumbat di dalam beg tangan. Dompet, telefon bimbit, jam tangan dan pelbagai lagi barang milik Harriz turut disimpan di dalam beg tangannya. Sudah macam stor menyimpan barang.

Harriz hanya mampu menggeleng kepala melihat Zarra terjerit-jerit memanggil Puan Dayana. Baru dua hari tidak bersua muka, sudah rindu bagaikan tidak berjumpa dua tahun. Beg pakaian di dalam but kereta diambil lalu melangkah masuk ke dalam rumah setelah mengunci kereta.

Bunyi bising di ruang tamu membantutkan kerja Puan Dayana di dapur. Dia menjenguk sedikit untuk melihat siapa yang datang ke rumah waktu Maghrib begini. Apabila melihat Zarra berjalan laju menuju ke dapur, dia terus tersenyum. Dilihatnya Zarra gembira lain macam.

“Tak reti bagi salam?” sindir Puan Dayana apabila Zarra terus merangkul tubuhnya dari arah belakang.

“Assalamualaikum mama!” ujar Zarra. Pelukannya dirungkaikan.

“Waalaikumussalam.” Jawab Puan Dayana. Lehernya dipanjangkan mencari Harriz. Tak akan Zarra pulang sendirian ke rumah.

“Cari menantu lah tu?” tegur Zarra lalu mencebik.

Puan Dayana tersengih. Kepalanya diangguk laju sebelum tawanya meletus. Zarra menjulingkan mata malas mahu melayan mamanya.

“Haaa! Tu pun menantu mama. Abang, meh sini. Mama dari tadi sebut-sebut nama abang. Sampai nak tercekik Zarra dengar.” Zarra memanggil Harriz yang baru melangkah masuk ke ruang dapur. Dia memerhati saja Harriz bersalam dengan ibunya. Nampaknya, Harriz seperti tiada masalah dengan keluarganya. Bagus! Cuma di saja yang ada masalah dengan keluarga Harriz. Nadira!

“Dah, pergi naik atas. Mandi, solat. Lepas tu kita boleh makan sama-sama lepas papa balik dari surau.” Ucap Puan Dayana. Sambal yang ditumis memang memberi bau yang semerbak. Kecur liur dibuatnya.

“Beres madam! Jom Encik Harriz. Zarra tunjukkan bilik kesayangan Zarra yang penuh dengan warna merah jambu. Tak macam bilik abang yang warna merah campur biru. Pening Zarra tengok. Cita rasa abang memang fail!” Harriz ketawa saja mendengar komen daripada Zarra. Apa nak buat, nasib badan lah dapat isteri perangai yang belum matang. Masih berjiwa keanak-anakan.

Puan Dayana galak ketawa melihat gelagat Zarra yang menarik Harriz supaya mengikutnya ke bilik. Lega sungguh rasanya melihat Zarra yang dapat menerima Harriz dengan cepat. Baru tenang hatinya untuk ke Jordan. Ada sudah yang dapat menjaga anak bongsunya dengan baik.

Usai menunaikan solat Maghrib, Zarra turun terlebih dahulu ke dapur untuk membantu mama. Itu pun disebabkan arahan Harriz. Harriz sudah menggunakan kuasa veto nampaknya. Terkumat-kamit bibir merungut dengan arahan Harriz. Senakal-nakal dia, dia masih tahu tanggungjawab suami isteri. Itu pun nasib baik sudah belajar masa di sekolah semasa subjek Pendidikan Islam.

Tanggungjawab yang lain, sanggup lah dia buat. Yang lagi satu tu, minta simpang dulu sebelum tamat SPM. Lagipun, dia segan. Sudah lah kahwin tanpa ada sesi perkenalan dengan suaminya. Nasib baik Harriz boleh menerimanya dan dia juga sama sekali tidak kisah soal itu. Dia bukannya tahu malu. Sebab itu dia boleh berperangai selamba meskipun mereka baru saja berkahwin. Kalau orang lain? Sudah tentu masing-masing tidak bercakap. Membisu saja.

Zarra duduk di kerusi memerhati Puan Dayana yang sibuk mengemas dapur. Tak tahu untuk berbuat apa, terus dia bertanya, “Ada apa-apa yang boleh Zarra tolong?”

Spontan Puan Dayana menoleh ke belakang. Kus semangat. Tiba-tiba saja ada suara yang menyapa dari arah belakang, sesiapa pun akan terkejut. Sejak tadi lagi dia seorang diri di dapur. Mujur jantung masih kuat.

“Apa kena dengan Zarra ni? Mimpi apa semalam tiba-tiba nak tolong mama?” Puan Dayana menyambung mengelap kabinet yang kotor dengan sisa-sisa minyak yang melekat.

“Orang suruh Zarra turun tolong mama. Kalau tak, jangan harap lah. Sampai bila-bila pun Zarra takkan tolong.” Balasnya selamba. Balang biskut yang ada di atas meja diambil. Sekejap saja, sekeping biskut selamat masuk ke dalam perutnya.

Puan Dayana menyandar pada kabinet menghadap Zarra yang leka dengan biskut. Dia memeluk tubuh sebelum bersuara. “Patuh cakap suami? Cakap mama dengan papa dulu tak nak patuh pun.”

Zarra mengeluh perlahan. Dia memandang Puan Dayana dengan mata sengaja dikecilkan. “Menantu mama tu suka membebel tau. Dua puluh empat jam dia bercakap kecuali masa tidur. Naik bernanah telinga ni dengar dia bercakap. Suara tu kalau sedap tak apa lah jugak. Boleh dimaafkan. Ini suara macam katak panggil hujan. Macam mana Zarra tak ikut arahan dia.”

Harriz yang baru turun dari tingkat atas, memasang telinga apabila mendengar Zarra bercerita soalnya. Bibir diketap agak kuat. Pandai-pandai saja Zarra mereka-reka cerita mengenai suaranya yang tidak sedap. Kalau soal membebel, boleh lagi diabaikan. Rasanya, suara yang dianugerahkan untuk dirinya lemak merdu bagai buluh perindu.

Dia melangkah ke dapur dengan perlahan-lahan. Dia meletak jari telunjuk di bibir menyuruh Puan Dayana berpura-pura tidak melihatnya. Saja mahu mengenakan Zarra yang bersungguh-sungguh bercerita. Dia mengangguk saja mendengar cerita yang keluar dari mulut Zarra. Puan Dayana cuba menahan tawa melihat menantunya yang duduk membelakangi Zarra.

“Lagi satu kan, ma. Bukan nak burukkan suami kesayangan Zarra tu. Eh, kejap! Sayang ke?” Zarra diam sejenak sebelum menyambung kata-katanya. “Sayang lah sikit sebab suami kan.. Dia suka tuduh Zarra tidur lasak. Padahal bukannya salah Zarra dia jatuh katil. Zarra kan orang yang paling sopan kalau tidur. Sengaja je dia nak malukan Zarra. Ish tak patut betul lah.”

“Ye ke? Ish, ish, ish. Tak patut betul Harriz buat macam tu dekat anak mama kan. Dia buli Zarra lah ni?” Puan Dayana melayan saja cerita Zarra.

“Bukan dia yang buli Zarra. Zarra yang suka buli dia.” Zarra tersengih. Nah! Mengaku juga akhirnya.

“Ehem!” Harriz berdehem kuat sehingga membuatkan Zarra terlompat bangun dari kerusi. Terkebil-kebil dia memandang Harriz yang merenung tajam ke arahnya.

Wajah Puan Dayana pula dipandang. Kelihatan mama nya seolah-olah tidak mahu berkata apa-apa. Dia tersengih lagi. Kali ini lebih lebar sengihannya. Gugup memandang Harriz di hadapannya.

“Cerita lah lagi.” Ujar Harriz. Wajahnya sengaja diseriuskan padahal hendak pecah perutnya menahan tawa.

“Cerita dah tamat. Happy ending!” Zarra menepuk tangan dekat kuat. Serentak dengan itu juga, dia terus melarikan diri ke ruang tamu. Kebetulan pula Encik Zaril baru pulang dari surau. Terus dia menerkam dan menyorok di belakang papa nya.

Hairan Encik Zaril dengan tingkah Zarra. Sudah lah anaknya pulang mengejut. Tiba-tiba saja terus menyorok di belakang tubuhnya. Kemudian, terpacul pula Harriz di depan mata dengan nafas yang tidak teratur.

Puan Dayana ketawa besar melihat keadaan itu. Tambahan pula dengan wajah hairan suaminya. Makin galak dia ketawa.

“Kenapa kamu ni, Zarra?” tanya Encik Zaril. Dia cuba meloloskan diri dari pelukan Zarra. Akhirnya, dia berjaya.

“Tak ada apa-apa. Jom makan.” Zarra mengubah topik. Dia menarik papa nya terus ke ruang makan. Dengan sibuk dia menuang minuman ke dalam gelas dan menceduk nasi ke dalam pinggan.

“Anak abang ni lah. Mengadu macam-macam pasal dia dengan Harriz. Bukannya betul cerita dia tu. Saja ditokok tambah. Geram lah Harriz dengan anak kita ni. Mulut tak ada insurans.” Beritahu Puan Dayana sebaik melabuhkan punggung di kerusi.

Encik Zaril memandang Harriz yang tersengih. “Dia cerita apa dekat mama, Harriz?” tanya Encik Zaril.

“Tak ada apa sangat pun papa. Dia bocorkan rahsia dia sendiri. Dia sendiri yang tidur buas, dikatanya Harriz yang tuduh dia. Saja nak bermanja dengan mama lah tu. Dekat rumah pun tak habis-habis ajak balik sini.” Harriz ketawa sesudah selesai bersuara.

Zarra mencebik. “Apa-apa je lah. Masa makan tak boleh bercakap.” Celah Zarra.

“Sejak bila anak papa tahu waktu makan tak boleh bercakap? Selalunya Zarra yang berceloteh tak henti-henti.” Ujar Encik Zaril.

“Papa ni!” bentak Zarra. Nasi disuap ke dalam mulut sebanyak yang mungkin. Malu dia di hadapan Harriz.

“Sudah, sudah. Kejap lagi kita berborak panjang. Zarra, bagi ayam masak merah tu dekat Harriz.” Puan Dayana berjaya menenangkan keadaan. Seketika kemudian, suasana yang tadinya riuh-rendah menjadi sunyi sepi.

Cuma sesekali saja kedengaran suara Zarra yang meminta itu ini.

Pintu bilik dibuka perlahan supaya tidak menganggu konsentrasi Zarra yang sedang bertungkus lumus menyiapkan kerja rumah. Kalau bukan kerana umi dan babah yang bersungguh-sungguh ingin mereka disatukan pada minggu ini dengan alasan mertuanya ingin ke Jordan pada minggu depan, pasti Zarra tidak perlu bersengkang mata menyelesaikan kerjanya.

Harriz duduk di sofa dan mengambil sebuah majalah. Dibelek kulit hadapan majalah itu dengan teliti. Tiada langsung yang menarik minatnya setelah membaca isi kandungan. Dia beralih pula ke katil. Penuh di atas katil dengan patung-patung beruang milik Zarra. Ada pelbagai warna. Merah, coklat, peach… Paling banyak sudah tentu warna merah jambu.

Pusing kepalanya sebaik melangkah masuk ke bilik Zarra petang tadi. Serba-serbi merah jambu. Daripada tirai, cadar, sofa dan termasuklah warna cat dinding. Semuanya merah jambu.

Zarra yang mendengar derap tapak kaki pantas menoleh ke belakang. Harriz sedang memeluk salah satu patung beruang kesayangannya. Nampak comel pula lelaki itu memeluk patung beruang. Tawa kecil meletus akhirnya.

Harriz yang leka melayan perasaan terus memandang Zarra yang sudah duduk menghadapnya. Dia mengangkat kening bertanya.

“Tak nak tidur lagi? Dah pukul sebelas lebih.” Ucap Zarra seraya memandang jam dinding.

“Abang kena tunggu Zarra siapkan semua kerja tu. Baru abang boleh tidur dengan tenang. Baju dah gosok?”

Zarra menepuk dahi. Sungguh dia terlupa untuk menggosok baju. Perlahan dia menggeleng kepala sambil mencebik.

“Mana baju sekolah? Bagi abang gosokkan.” Harriz menawarkan diri untuk membantu. Kasihan kalau dibiarkan Zarra menggosok baju di tengah malam. Pukul berapa pula gadis itu hendak tidur. Sudah lah liat untuk bangun pagi.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Zarra terus membuka almari dan mengambil pakaian seragam sekolah lalu diberi kepada Harriz. “Terima kasih daun keladi.” Ucapnya ringkas sambil tersenyum manis.

No problem.” Harriz mengusap perlahan kepala Zarra lalu menghampiri papan seterika. Mujur dia pernah melihat umi nya menggosok baju kurung. Dapat juga dia berbakti kepada isteri.

Seronoknya Zarra bila dilayan sebegitu. Tiba-tiba dia tersengih. Bagus juga mama menyuruhnya berkahwin. Boleh minta tolong suami gosokkan baju, temankan dia menyiapkan kerja rumah… Kalau minta tolong mama, jangan harap. Berangan saja lah.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.