Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,659
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Shafiq mencuri pandang ke arah Zarra yang sedang menjamu selera di kantin. Tetapi bila terpandangkan Ikhwan yang duduk bersebelahan Zarra, hatinya dipagut rasa cemburu. Dia pun tidak pasti mengapa dia berperasaan begitu sedangkan dia tahu Ikhwan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Zarra. Cuma dia amat pasti dia cemburu kerana dia terlalu sukakan Zarra dan tidak suka jika Zarra dekat dengan pelajar lelaki yang lain.

Pinggan sudah licin dan tiada sisa makanan yang tinggal. “Burpp” Zarra sendawa. Dia menutup mulut. Sungguh dia terlepas dan tidak sengaja. Kalau mama tahu, pasti dia dikuliah satu hari satu malam gara-gara bersikap tidak sopan begitu.

Sorry… Terlepas.” Zarra tersengih. Nadia yang terbantut menyuap makanan ke dalam mulut dipandang. Ikhwan pula buat tidak kisah seakan-akan tiada apa yang berlaku.

“Sabar je lah..” Nadia mengurut dada. Nasib baik kawan. Lagi pun bukannya Zarra kerap sendawa sesuka hati. Rasanya baru dua kali Zarra tidak sengaja sepanjang mereka berkawan hampir dua tahun.

“Cepat sikit makan tuan puteri. Masa rehat tinggal lagi sepuluh minit. Aku nak pergi koperasi beli buku yang cikgu pesan tu.” Desak Zarra.

“Cikgu suruh beli buku apa?” tanya Ikhwan. Nugget di tangan disuap ke dalam mulut. Fuh! Sedap.

“Mesti kau berangan kan masa subjek Cikgu Ikmal kelmarin? Buku kulit tebal yang ada lambang sekolah. Dia nak suruh kita guna buku tu untuk buat latihan Biologi. Cerewet betul. Macam-macam buku dia nak kita guna.” Keluh Zarra.

“Haipp. Jangan merungut. Kita nak menuntut ilmu. Jadi apa salahnya kita berkorban. Bukan ke Cikgu Ikmal tu sayang sangat dekat kau?” Ikhwan ketawa kecil.

“Memang lah dia sayang aku sebab aku best student untuk subjek dia. Bukan macam kau.. Pemalas!” jawab Zarra dengan nada yang angkuh. Sengaja dia membuat begitu.

“Elleh… Berlagak kau sekarang ni kan. Weh Nadia. Kau kira nasi ke makan nasi?” sergah Ikhwan apabila melihat Nadia yang belum selesai makan.

Nadia menjeling. “Sabar lah.”

“Entah berapa lama aku nak sabar pun tak tahu.” Jawab Ikhwan.

Zarra yang malas mahu mendengar mereka bertekak, mengambil pinggan yang kosong dan diletak di dalam besen yang disediakan. Tangan dicuci sebersih-bersihnya untuk menghilangkan bau sambal belacan. Sabun yang dibawa khas dari rumah diguna sebanyak yang mungkin untuk menghilangkan bau yang tidak menyenangkan hidung. Waktu makan langsung dia tidak fikir soal bau. Bila dah selesai, bukan main cerewet lagi dia.




Harriz duduk berteleku di meja makan. Fikirannya menerawang jauh memikirkan ke mana dia akan dihantar untuk mengajar. Kalau dapat luar daripada Semenanjung Malaysia, susah lah dia. Dia panasaran ingin tahu di mana tempat Zarra belajar. Mana tahu dia boleh memohon untuk mengajar di situ. Lagi senang untuk memantau Zarra jika mereka sudah berkahwin.

Suara umi yang menyapanya dari arah belakang membuatkan dia tersedar dari lamunan. Wajah umi yang kelihatan manis dengan senyuman terukir di bibir dipandang. Kalau umi sudah duduk berhadapan dengan dia, lain tidak bukan sudah tentu ingin berbincang soal Zarra.

“Nak tanya pasal Zarra?” tanya Harriz terlebih dahulu. Senyuman tersungging di bibir.

Puan Sri Nazrah mengangguk laju sambil tersenyum. “Aunty Yana dah call umi. Dia cakap Zarra dah setuju.” Ucap nya dengan tenang.

Harriz mengerutkan dahi. Apa yang membuatkan Zarra bersetuju dengan pinangan umi dan baba? Hari tu bukan main lagi. Siap jatuh pengsan.

“Kenapa berkerut macam tu? Tak percaya?” tanya Puan Sri Nazrah apabila melihat Harriz yang diam membisu.

“Bukan tak percaya. Cuma Harriz pelik macam mana Zarra boleh terima pinangan tu. Dia tu macam tak kisah je Harriz tengok.” Jawabnya.

“Kalau Harriz nak tahu, keadaan di rumah Aunty Yana tu dah macam pasar malam sebab pujuk Zarra yang tak nak terima pinangan umi dan babah. Dia habis-habisan membantah. Aunty Yana dan Uncle Zaril pujuk Zarra sampai dia setuju. Lagi pun mereka akan ke Jordan hujung bulan ni sebab nak jaga ayah Aunty Yana.”

“Kalau aunty dengan uncle nak ke Jordan, anak dara kesayangan mereka tu nak duduk mana?” soal Harriz ingin tahu.

“Itu lah. Aunty Yana ada cerita dengan Umi. Mereka sepakat nak suruh Zarra duduk di asrama sepanjang mereka berada di sana. Tapi, bila dah umi dengan babah datang meminang Zarra, mereka ubah fikiran. Mereka cakap lagi senang kalau Zarra berkahwin dan duduk sekali dengan kita. Ada yang tengok-tengokkan dia. Zarra tu lain macam sikit. Tu yang Aunty Yana berat hati nak bagi Zarra duduk asrama.” Jawab Puan Sri Nazrah panjang lebar. Kiranya memang tepat pada masa mereka meminang Zarra untuk Harriz.

“Lain macam? Lain yang macam mana tu?”

“Zarra tu selalu buat benda ikut suka dia je. Tak dengar cakap orang lain dah. Sebab tu mereka berat hati nak suruh Zarra duduk asrama. Buatnya Zarra lari asrama macam mana? Anak manja macam Zarra nak duduk asrama? Hmm… Hujan turun setiap hari lah agaknya.” Puan Sri Nazrah ketawa.

“Oh… Anak manja lah ni?” Harriz mencapai balang biskut di atas meja dan dibuka penutupnya. Sekeping biskut dimasukkan ke dalam mulut sementara umi ralit berceloteh.

“Terlebih manja.” Jawab Puan Nazrah ringkas.

“Nasib Harriz lah dapat bakal isteri manja macam tu.” Balasnya lalu tersenyum.

“Kira setuju lah ni nak kahwin dengan budak SPM? Tak ada nak bantah apa-apa?” soal Puan Sri Nazrah untuk mendapatkan kepastian. Harriz memang anak yang baik. Apa saja keputusannya diikutkan saja. Jarang sekali untuk membantah.

“Budak SPM lagi senang, umi. Tak demand sangat nak itu ini.” Jawab Harriz selamba.

Puan Sri Nazrah menepuk lembut bahu Harriz tanda berterima kasih. “Hujung bulan ni kahwin.” Ucapnya.

Mata Harriz membulat. Biskut yang belum sempat ditelan dengan sempurna tersekat di kerongkong. Tersedak. Dia mencapai gelas yang berisi jus oren lalu diteguk air dengan laju. Setelah tekaknya hilang rasa perit, wajah umi dipandang tidak berkelip.

“Hujung bulan? Lagi dua minggu? Tak cepat sangat ke?”

Puan Sri Nazrah menggelengkan kepala. “Okey lah tu lagi dua minggu. Call je wedding planner. Mereka boleh uruskan semua. Dah.. Jangan nak termenung dekat sini sorang-sorang. Umi nak keluar pergi beli barang dapur. Nanti tolong Mak Siti tukarkan gas dekat dapur tu.” Pesannya.

Harriz menelan liur. Dengan perlahan dia mengangguk. Umi memang ekspres kalau soal begini. Tak sabar ingin mendapat menantu perempuan barangkali. Zarra Arissa. Nama itu disebut lalu senyuman manis terukir di bibir. Harriz sudah angau agaknya.




Zarra memeluk tubuh. Mama yang teruja memilih pakaian untuk dipakai sewaktu akad nikah dipandang. Mama nak kahwin ke.. Aku yang nak kahwin? Getus Zarra. Harriz yang duduk bertentangan dengannya langsung tidak dipandang. Segan sudah satu hal. Geram pun ada. Lelaki ini langsung tidak kisah disuruh berkahwin dengan budak yang belum habis SPM. Terdesak sangat nak berkahwin?

Jarinya laju menari di skrin iphone. Aplikasi Instagram dibuka dan tanpa berfikir panjang, dia terus menekan butang like pada semua gambar yang dimuat naik oleh rakan di Instagram. Tanpa menghiraukan sesiapa, Zarra pantas membuka aplikasi kamera. Sudah bosan tidak tahu berbuat apa, dia menghala telefon ke arahnya dan sekejap sahaja, gambar syok sendiri miliknya sudah mencecah sepuluh keping.

Harriz yang juga sibuk dengan telefon pintarnya, spontan memanggungkan kepala apabila tersedar bunyi kamera di menandakan ada foto yang diambil. Zarra yang sedang seronok mengambil gambar dipandang. Rasa ingin ketawa melihat gaya yang dilakukan Zarra. Gadis ini memang sempoi. Getusnya.

“Zarra, Harriz… Sini sekejap.” Panggil Puan Dayana.

“Kenapa mama?” Zarra bertanya. Dia malas mahu bangun dari kerusi.

“Tengok baju ni… Zarra suka ke tak. Kalau tak suka, boleh cari rekaan yang lain.” Jawab Puan Dayana.

Zarra mengeluh. Harriz yang masih duduk di sofa direnung tajam. “Tak dengar ke mama panggil?” tanya Zarra.

Harriz memanggung kepala. Wajah Zarra yang masam mencuka macam baru makan asam dipandang. “Bukan aunty panggil awak sorang je ke?” tanya Harriz pula.

“Mama ada sebut nama awak lah. Nak pilih design baju. Awak tak nak pilih baju nak pakai masa majlis nanti? Ke.. Nak pakai tshirt je?” Zarra mendengus.

“Amboi… Garang macam singa.” Sindir Harriz.

“Suka hati lah.” Jawab Zarra dengan kasar. Dia melangkah laju mendapatkan Puan Dayana dan Puan Sri Nazrah yang fokus mendengar setiap bait kata yang keluar dari perancang majlis yang bertanggungjawab menguruskan majlis mereka.

Gaun labuh berwarna putih yang berada di tangan Puan Sri Nazrah diambil. Zarra membelek baju itu dari atas hingga ke bawah dan dari hadapan hingga ke belakang gaun tersebut. Manik-manik yang menghiasi gaun itu tidak terlalu banyak dan sedang-sedang saja. Bunga-bunga kecil yang berbentuk 3D yang dijahit di bahagian lengan memang memukau mata Zarra. Cantik!

“Zarra suka gaun ni.” Ujar Zarra. Gaun itu diserahkan semula kepada Puan Sri Nazrah setelah berpuas hati.

Puan Dayana tersenyum senang mendengar kata-kata Zarra. Sehelai gaun labuh berwarna mint green diambil lalu diberi kepada Zarra. “Baju ni untuk majlis resepsi. Kita tak buat dua majlis sebab keluarga kita pun tak ramai. So.. mama dengan Aunty Naz dah bincang dengan papa dan Uncle Shakir, kita buat satu majlis je dekat Dewan Perdana Felda.”

“Kena buat majlis resepsi juga ke? Alaa mama. Zarra tak nak lah majlis ni meriah sangat. Buat majlis akad nikah sudah lah. Kalau kawan-kawan dan cikgu-cikgu dekat sekolah tahu macam mana? Apa Zarra nak jawab?” Zarra membantah. Gaun diletakkan di atas sofa.

Harriz yang sejak tadi menjadi pemerhati dan pendengar setia, mencelah. “Majlis tu penting sebab kahwin ni sekali seumur hidup je. Kita tak payah panggil ramai orang. Kawan-kawan family kita pun dah cukup. Takkan nak buat akad nikah je. Macam tak ikhlas langsung nak kahwin.”

“Yang penting tu akad nikah. Majlis resepsi tu tahun depan pun boleh buat. Tunggu lah saya habis SPM dulu. Macam mana saya nak bagitahu kawan-kawan yang saya dah kahwin kalau kita dah buat majlis tahun ni? Nanti orang ingat saya kahwin koboi. Kalau buat tahun depan, boleh ajak kawan-kawan sekali. Masa tu orang tak kisah dah sebab saya dah habis SPM.” Luah Zarra panjang lebar.

“Sudah! Sudah!” Puan Sri Nazrah menenangkan Zarra dan Harriz yang bertelagah.

“Okey… Macam ni. Majlis dekat dewan, kita kena buat juga. Tahun depan, kita buat lagi sekali majlis. Boleh Zarra jemput kawan-kawan. Boleh kan sayang?” Puan Sri Nazrah memaut bahu Zarra. Dia mengukirkan senyuman manis supaya Zarra berlembut hati.

“Mama setuju.” Sampuk Puan Dayana.

“Tak apa lah kalau macam tu. Harriz ikutkan je.” Dia duduk di sofa setelah lenguh berdiri. Sesekali mengalah apa salahnya. Lagi pun sudah tentu Zarra tidak mahu menjemput kawan-kawannya untuk majlis minggu hadapan. Boleh kecoh satu sekolah.

Zarra tersenyum lebar. Macam ni lah baru adil. Mana boleh kawan-kawan dia tak datang sewaktu majlis perkahwinannya meskipun dia berkahwin atas desakan mama dan papa. Dengan hati yang riang bagaikan kanak-kanak ribena, dia mengambil dua helai gaun tersebut dan melangkah ke bilik persalinan. Harriz turut bergerak ke bilik persalinan untuk mencuba pakaian yang dipilih.

Hantaran yang sudah siap digubah diperhati dengan teliti supaya tidak ada kesilapan dan kecacatan. Setelah berpuas hati, Puan Sri Nazrah meminta pertolongan pihak butik meletakkan hantaran di dalam kereta. Puan Dayana pula sibuk membelek katalog pelamin untuk majlis akad nikah dan resepi.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.