Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,653
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 28

Shafiq terinta-intai di belakang pintu sejak tadi. Saja mahu melihat Zarra yang dirasakan makin lama makin cantik pula. Ish! Dasar mamat skema gatal. Buku teks yang diambil dari bilik guru dipegang kemas. Sepatutnya, sekarang dia perlu berada di dalam kelas. Tup, tup, terbantut niat untuk ke kelas apabila terlihat Zarra yang berjalan laju masuk ke dalam makmal Sains.

“Awak tengok apa tu Shafiq?” tiba-tiba ada satu suara yang menegur dari arah belakang.

Spontan dia menoleh ke belakang. Sengihan lebar terukir apabila Cikgu Linda berdiri tegak memandangnya dengan wajah yang serius. Habis lah kantoi! Sudah lah sekarang giliran Cikgu Linda mengajar di dalam kelas.

“Tak ada apa-apa cikgu.” Kepala digeleng laju-laju.

Cikgu Linda menjungkit kening tanda tidak percaya. Dia turut sama mengintai dari belakang pintu. Dia pun nak tahu juga apa yang anak muridnya intai sejak tadi. Membulat matanya apabila terpandangkan Zarra yang duduk betul-betul menghadap ke pintu. Kelihatan gadis itu tersenyum riang berbual sambil melakukan eksperimen yang ditugaskan oleh guru yang mengajar.

Shafiq sudah tidak senang duduk. Kaca mata yang dipakai dibetulkan berulang kali. Sesekali rambutnya yang disisir rapi itu dipegang. Rasa nak menangis pun ada. Takut kalau terkantoi dengan Cikgu Linda.

“Awak intai anak murid saya?” tanya Cikgu Linda. Dia memeluk tubuh memandang Shafiq yang menunduk kepala. Segan barangkali.

“Awak intai Zarra kan? Sebab dia sorang je yang duduk betul-betul menghadap ke sini. Baik awak mengaku.” Soalnya lagi. Risau juga dia apabila ada pelajar lelaki yang berani mengintai pelajar perempuan sebegitu.

Shafiq menelan liur. Tergamam dengan apa yang dikatakan Cikgu Linda. Tepat mengena mukanya.

“Saya tengok dia aje cikgu. Bukannya mengintai.” Tergagap-gagap dia menjawab.

“Haih… Awak ni dikira mengintai Zarra tau sebab awak duduk menyorok belakang pintu ni. Kalau tengok, awak masuk terus dalam makmal untuk tengok dia. Awak ni ada apa-apa dengan Zarra ke?” tiba-tiba suara Cikgu Linda sedikit tinggi.

“Eh! Mana ada. Cikgu ni boleh pula tanya soalan macam tu.” Shafiq rasa ingin pitam sekarang juga. Dia cukup takut kalau berhadapan dengan Cikgu Linda. Guru cantik ini garang bukan main.

“Habis tu? Awak syok dekat Zarra?” Cikgu Linda bertanya lagi.

Shafiq tidak mampu lagi untuk menjawab. Dia menggeleng kepala berulang kali.

“Saya tak nak awak intai Zarra macam ni lagi. Ini kesalahan tau. Boleh dikategorikan menganggu pelajar walaupaun Zarra tak nampak awak intai dia. Balik kelas sekarang!” tegas Cikgu Linda.

Shafiq cuma mengangguk dan beredar dari situ. Cikgu Linda menghela nafas lega. Mujur Shafiq bukannya pelajar yang nakal seperti pelajar yang lain. Kalau tidak, jenuh dia ingin mengawal anak murid yang seorang ini. Ternyata Shafiq ni diam-diam ubi berisi. Nampak saja skema bukan main.

Cikgu Linda memandang Zarra lagi sekali. Dia mengangguk tanda puas hati. “Budak ni memang lawa pun. Patut lah Shafiq tu sanggup intai macam tu sekali.” Omelnya perlahan.




“Tolong kumpulkan buku latihan yang saya bagi semalam. Saya nak semak sama ada awak siapkan kerja yang saya beri atau pun tidak.” Lantang suara Cikgu Sharifah memberi arahan.

Zarra mencebik. Mengajuk semula kata-kata guru perempuan yang belum berkahwin dan garang macam singa. Nadia pula bukan main semangat lagi meletakkan buku di atas meja supaya ketua kelas yang berlagak diva tu senang nak ambil.

“Weh Zarra! Mana buku kau? Tak dengar arahan cikgu ke?” Fairuz bertanya dengan kasar. Wajahnya memang langsung tiada senyuman. Cemberut memanjang.

“Sabar lah! Tak nampak aku baru nak buka beg? Pakai spec pun rabun lagi ke?” Balas Zarra sedikit kasar.

“Cakap tu baik-baik sikit. Lembab!” jerkah Fairuz.

Suasana di dalam kelas yang tadinya sedikit bising terus sunyi-sepi. Kaget dengan suara Fairuz yang amat kuat. Sudah macam harimau mahu makan mangsa. Langsung tidak ada sikap sopan-santun sebagai perempuan.

Cikgu Sharifah terus melangkah ke tempat duduk Zarra.

“Ada apa ni Fairuz?” lembut dia bertanya. Maklum lah, Fairuz kan anak murid kesayangannya.

“Zarra ni lembab sangat. Minta buku macam kutip hutang. Entah-entah kerja yang cikgu bagi tu dia tak buat.” Jawab Fairuz.

Cikgu Sharifah memandang Zarra yang menunjukkan riak muka selamba. Geram sungguh dia melihat pelajarnya yang satu ni.

“Mana buku? Bagi dekat saya sekarang!” pinta Cikgu Sharifah. Mukanya sudah tidak manis seperti tadi.

Buku yang diletak dibawah laci meja diambil dan diletakkan di atas meja dengan kasar. Zarra memang tidak boleh bertolak ansur kalau ada orang yang membentaknya tidak tentu pasal. Dia masih boleh bertolak ansur kalau bukan Cikgu Sharifah yang ada di hadapan dia sekarang.

Fairuz tersenyum mengejek. Seronok apabila Zarra dimarahi oleh guru kesayangannya.

“Lain kali, dengar cakap aku.” Ujar Fairuz angkuh.

Zarra mencebik. Meluat sungguh dia melihat Fairuz yang berjalan lenggok-lenggok ke tempatnya.

“Kau pun Zarra. Lain kali jangan melawan si Fairuz tu. Tak pasal-pasal kau dah sakit hati.” Ucap Nadia. Dia mengerling Zarra sekilas.

“Kau kawan aku ke… kawan minah poyo tu? Kenapa aku tak boleh nak melawan? Nanti lagi dia pijak kepala aku.” Hambur Zarra. Geramnya dia mendengar nasihat yang tidak berasas daripada Nadia.

Nadia menelan liur. Terkebil-kebil dia memandang Zarra yang sudah duduk jauh sedikit daripadanya. Dia menoleh ke belakang melihat rakan-rakan yang lain. Mereka membuat isyarat menyuruhnya diam dan tidak berkata apa-apa. Khuatir percakapannya akan menimbulkan amukan daripada Zarra.

Zarra ni kecil-kecil cili padi. Garang bukan main. Cuma dengan Fairuz saja kadang-kadang dia mengalah. Penat barangkali selalu bertekak dengan ketua kelas mereka.

“Tahu pun nak diam. Takut la tu kena marah dengan cikgu.” Tiba-tiba Fairuz bersuara. Agak kuat suaranya. Ingatkan dia sudah berpuas hati dengan Zarra. Rupanya, tidak sama sekali.

Nafas Zarra turun naik. Kedua-dua jarinya digenggam erat menahan rasa amarah yang sangat kuat.

“Diam!” jerit Zarra. Dia sudah bangun dan berdiri tegak memandang ke depan kelas. Belum sempat dia meluru ke arah Fairuz, Nadia terlebih dahulu menangkap lengannya. Fairuz terpempan dan tergaman dengan jeritan Zarra, terus berpura-pura membaca buku. Haa. Baru tahu penangan Zarra. Jangan sesekali bagi gadis itu menjerit. Boleh pecah gegendang telinga.

“Baru kena buku dengan ruas.” Perlahan Ikhwan bersuara. Khairil pula hanya mengangguk bersetuju. Jangan main-main dengan Zarra kalau dia sudah mengamuk. Sepanjang lima tahun mereka berada di dalam kelas yang sama, ini kali ketiga mereka mendengar jeritan Zarra yang amat membingitkan telinga. Cair semua tahi telinga yang ada.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.