Home Novel Cinta Dia... Zarra Arissa
Dia... Zarra Arissa
Iman Zahri
14/1/2014 11:24:27
94,646
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Beg kertas yang berisi telefon pintar Iphone 5s dipegang dengan kemas. Kalau terjatuh, mahu menangis dia selama setahun! Bukan senang nak dapat telefon semahal begini. Bagus sungguh ada abang yang merangkap akaun bank bergerak. Apa sahaja yang dia mahu, pasti akan ditunaikan. Walaupun begitu, dia bukan lah kejam sangat mengikis duit abang kandung sendiri. Selalunya, dia cuma membeli barang-barang keperluan. Bukan membeli dan menukar gadjet setiap bulan seperti kawan-kawan di sekolah.

Zafran yang baru keluar dari restoran makanan segera, Pizza Hut menghampiri Zarra yang menunggu di satu butik pakaian. Beg plastik yang berisi makanan dibawa dengan berhati-hati. Puan Dayana awal-awal lagi sudah berpesan supaya membeli makanan untuk dibawa pulang kerana dia malas mahu memasak untuk makan tengah hari. Jujur sungguh Puan Dayana mengaku malas.

Zarra yang leka membelek gaun labuh yang tergantung dan disusun kemas di dalam butik tersentak bila ada tangan yang memegang bahunya. Pantas dia menoleh untuk melihat siapa gerangan yang sesuka hati menyentuh bahunya. Belum sempat dia menumbuk muka empunya gerangan, Zafran terlebih dahulu menahan buku lima daripada Zarra. Kalau tak, sahih lebam pipi kirinya.

“Tak reti nak bagi salam ke? Buat terkejut orang je Angah ni. Kalau beg kertas ni terlepas daripada tangan Zarra macam mana? Tumbuk baru tahu.” Bentak Zarra. Wajahnya sudah cemberut.

Zafran ketawa kecil. Kalau beg kertas itu jatuh, dia perlu bersedia untuk mengeluarkan RM2500 lagi untuk menggantikan telefon pintar Zarra yang pecah berderai. Kalau tidak pun, melayang beberapa ratus ringgit untuk membaiki telefon yang tidak sampai satu jam dibeli. Boleh bankrap terus dia.

“Jom balik. Zarra dah lapar ni. Kesian dekat mama dan papa tunggu kita lambat sangat. Lunch hour pun dah lepas tau.” Zarra menarik tangan Zafran supaya berjalan lebih laju. Kalau dibiarkan, mengalahkan kura-kura abangnya berjalan.

“Baik lah si pendek. Jangan nak mengomel kuat-kuat dekat sini. Ni bukannya rumah kita yang boleh Zarra terpekik terlolong sesuka hati.” Bebel Zafran.

“Hoih! Angah panggil Zarra si pendek? Tak kisah lah.. Asalkan dah dapat iphone 5s.” Zarra tersengih.

Zafran menjeling sekilas. Bukan main gembira sampaikan orang kutuk dia pun, dia tidak kisah. Dia melihat jam di tangan. Alamak! Sudah hampir pukul dua petang. Sahih perut mama dan papa di rumah sedang rancak berdondang sayang.

“Angah…” panggil Zarra.

Zafran yang berjalan laju meninggalkan Zarra di belakang terus menghentikan langkah. Dia menjongket kening bertanya.

“Tinggi 145 cm tu pendek sangat ke?” Zarra bertanya. Wajah Zafran yang kelat dipandang.

“Balik rumah nanti baru Angah jawab. Cepat jalan. Dah lewat ni.” Zafran menarik tangan Zarra. Nyaris Zarra terjatuh. Mujur Zafran sempat menahan tubuh Zarra.

Pedal minyak dipijak dengan lebih kuat supaya kelajuan bertambah. Zarra yang duduk di sebelah menelan liur melihat meter kelajuan yang mencecah ke angka 150km/j. Zafran yang kelihatan tenang dipandang sekilas. Kemudian, pandangannya dilempar ke hadapan. Punya lah laju Zafran memandu kereta. Tidak sampai dua puluh minit, kereta sudah masuk ke halaman rumah. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa empat puluh minit menjadi singkat gara-gara Zafran memandu dengan laju.

Zarra menghela nafas lega sewaktu kereta selamat diparkir di garaj. Zafran memandang Zarra. Apa kena dengan Zarra. Senyap sahaja. Kalau tidak, dia yang selalu memeriahkan suasana.

“Apa hal ni Zarra? Pucat semacam je muka tu Angah tengok. Tak nak turun ke?” Zafran menegur.

Zarra menoleh. Kemudian, dia tersengih. “Angah bawa kereta macam pelesit tahu tak? Nak terkeluar jantung Zarra ni tengok meter kelajuan tu. 150 kilometer sejam? Gila betul! Nasib baik masih panjang nyawa. Zarra tak nak mati katak disebabkan kemalangan.” Zarra menggeleng kepala laju-laju.

Zafran menolak perlahan kepala Zarra. Celupar sungguh mulut Zarra. Bukannya dia sengaja mahu memandu dengan laju. Dia terpaksa apabila teringat mama dan papa yang pasti menahan lapar di rumah.

“Mengarut! Cepat turun! Bawa semua plastik ni ke dapur. Tolong hidangkan sekali eh. Jangan nak mengelat kali ni.” Arah Zafran.

Zarra mendengus. “Huh! Nasib baik Zarra dah dapat iphone ni. Kalau tak jangan harap Zarra nak bawa semua barang-barang ni.”

“Cakap banyak pula budak pendek ni. Mama dah tunggu dekat pintu tu.” Puan Dayana yang berdiri di muka pintu dipandang. Zarra melambai ke arah mamanya. Puan Dayana membalas lambaian Zarra. Zafran memandang dengan hati yang mendongkol.

“Apa kena pulak nak lambai-lambai tangan dalam kereta ni. Ya Allah, Zarra!” suara Zafran sudah mula meninggi. Geram dengan tingkah Zarra yang tidak pernah serius. Sudah lah dia lapar tahap dewa.

“Tak payah lah jerit-jerit. Zarra nak turun lah ni.” Ucap Zarra. Dia keluar dari kereta dan menutup pintu dengan kasar. Dia sengaja ingin mengusik Zafran.

Zafran yang melihat pintu kereta sport kesayangannya, Audi R8 ditutup dengan kasar membulatkan mata. Zarra memang melampau. Nasib baik lah Zarra adik yang paling dia sayang. Ikutkan hati, sudah lama di ‘wrestling’ nya Zarra.

Zarra terkocoh-kocoh jalan ke muka pintu mendapatkan Puan Dayana. Beg plastik yang berisi barang-barang dapur dihulur kepada mamanya. Puan Dayana menyambut huluran Zarra. Zarra terus menonong ke dapur dan meletakkan plastik yang berisi Pizza di atas meja makan. Pinggan di dalam kabinet dapur diambil. Tidak sampai sepuluh minit, penuh makanan di atas meja makan.

Encik Zaril yang baru keluar dari bilik air tersenyum senang melihat Zarra di dapur. “Bagus anak papa.” Dia memuji.

“Anak papa memang sentiasa bagus. Papa je yang tak tahu.” Zarra menjawab selamba.

“Bagus sebab dah dapat habuan. Hakikatnya memang pemalas.” Zafran melabuhkan punggung di kerusi. Zarra di hadapannya dijeling. Puan Dayana ketawa melihat keadaan itu. Kedua-dua anaknya memang amat rapat. Ada kalanya bergaduh bagaikan di gelanggang gusti. Tapi, tidak lah terlalu teruk. Kadang-kadang sahaja mereka bertelagah. Itu pun cuma gurauan.

“Dengki!” hambur Zarra.

Zafran menjulingkan mata dan menjelir lidah kepada Zarra. Zarra menjuih bibir. Buruk sungguh wajah abangnya berbuat begitu. “Tuhan kerat lidah nanti baru Angah tahu.” Ucapnya selamba.

“Jangan bergaduh depan rezeki. Jom kita makan. Perut papa dah buat irama lagu klasik dah ni.” Encik Zaril mencelah menenangkan keadaan. Dia menghulur pinggan kepada Puan Dayana meminta dua potong pizza.

“Lagu klasik, papa? Tak best langsung. Sekarang ni lagu indie tengah hot. Baru terbaik…” Zarra membuat gaya seperti kartun boboiboy. Memang itu salah satu siri kartun kegemarannya. Bila hari Ahad saja, pasti dia akan melangut di kaca TV tepat jam tujuh malam.

“Apa-apa lah Zarra. Cepat makan.” tegur Puan Dayana.

Zarra mengangguk perlahan. Sepotong pizza disuap ke dalam mulut. Hmmm.. Memang sedap!




Harriz Afham menunggu pemandu peribadi keluarganya dengan penuh sabar. Hampir tiga puluh minit dia menunggu. Dia berasa amat letih. Penerbangan dari Dubai ke Malayisa yang panjang memang memenatkan.

Sebuah kereta Volkswagen Jetta berdiri betul-betul berhampiran tempat dia berdiri. Kelihatan seorang lelaki yang boleh dikatakan masih muda keluar dari kereta. Pemandu baru barangkali. Getusnya.

“Encik Harriz Afham? Anak Tan Sri Shakir?” tanya pemandu yang bernama Farid yang berpakaian kemas itu.

Harriz mengangguk. “ Awak pemandu peribadi baru keluarga saya?” soalnya.

“Dah dekat setahun saya bekerja dengan dengan Tan Sri.” Jawab Farid dengan sopan.

“Berapa gaji yang babah saya bayar dekat kamu? Eh, sebelum saya terlupa. Apa nama kamu?” Harriz bertanya lagi umpama seorang polis sedang menyoal siasat pesalah.

“Saya Farid. Tan Sri bayar gaji memang lumayan, Encik Harriz. RM4500 sebulan memang terlalu banyak bagi saya.” Farid menjawab dengan jujur. Gaji RM4500 mengalahkan pegawai kerajaan. Beruntung sungguh dia dapat bekerja dengan Tan Sri Shakir yang memang terkenal dengan sifat pemurahnya.

“Sikit sangat tu. Nanti saya suruh babah up kan gaji awak jadi RM5000. Jom kita bertolak sekarang. Saya dah tak sabar nak makan makanan Malaysia.” Harriz membuka pintu tempat duduk hadapan dan terus melabuhkan punggung. Lega rasanya.

Farid tergamam. RM5000 sebulan? Boleh kaya-raya dia dibuatnya. Apabila melihat Harriz duduk di tempat duduk hadapan, dia terus gelabah. Cermin tingkap diketuk. Harriz menurunkan cermin tingkap lalu mengerutkan dahi.

“Encik Harriz tak boleh duduk sini. Tempat Encik Harriz dekat belakang.” Ucap Farid dengan lurus.

“Tak apa. Saya tak suka duduk di belakang.”

Farid mengangguk. Dia terus masuk ke dalam kereta dan tidak lama kemudian, kereta sudah meninggalkan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan meluncur laju di lebuh raya.

Puan Sri Nazrah sudah sedia menunggu kepulangan satu-satunya anak bujang yang baru pulang dari Dubai setelah menamatkan pengajian ijazah sarjana dalam Sains dan Biologi. Tidak sabar ingin mendakap erat tubuh anaknya.

Kereta Volkswagen Jetta yang masuk ke halaman rumah membuatkan dia terus terus tersenyum lebar. Harriz keluar dari kereta dengan perasaan yang cukup tenang dan gembira. Gembira kerana dapat menjejakkan kaki lagi di rumah agam milik umi dan babah.

“Anak umi dah balik pun. Macam mana dalam flight tadi? Semua okey kan? Seronok umi bila anak bujang umi dah ada depan mata. Setahun umi tak tengok anak umi ni. Makinhandsome.” puji Puan Sri Nazrah Tangannya dihulur dan disambut mesra oleh Harriz. Tangan uminya dikucup dan kemudian dia mendakap tubuh umi.

“Semua okey, umi. Harriz tengok umi makin berseri-seri. Minum collagen ke?” usik Harriz.

“Ada-ada saja kamu ni. Jom masuk. Umi dah minta tolong Mak Siti masak ayam masak lemak cili padi untuk Harriz. Siap dengan sambal belacan sekali.”

“Wow! Dengar pun dah terliur. Perut memang dah buat orkestra sejak tadi.” Harriz memaut bahu umi dengan penuh rasa sayang yang tidak berbelah bagi.

“Farid, jom masuk. Makan sekali dengan kami.” Pelawa Puan Sri Nazrah.

“Tak payah susah-susah Puan Sri. Saya boleh makan dekat kedai depan sana tu.” Farid menolak pelawaan dengan lembut.

“Jangan tolak ajakan saya. Jom makan sekali.” Ucap Puan Sri Nazrah dengan tenang.

Harriz yang melihat Farid masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri terus merapati Farid dan menarik lelaki itu supaya turut serta. Mahu tidak mahu, Farid mengalah. Puan Sri Nazrah tersenyum senang. Sekali sekala mereka makan sekali, apa salahnya. Lagi pun, Farid bukannya orang luar. Pekerja suaminya. Dia sudah menganggap mereka yang bekerja dengan keluarganya seperti ahli keluarga sendiri.




“Kamu dah fikir nak minta sekolah mana untuk mengajar?” tanya Tan Sri Shakir. Anaknya yang seorang ni sahaja yang tersasar jauh dari dunia perniagaan. Anak sulungnya, Nadira mempunyai lima buah rangkaian butik di Kuala Lumpur. Hadif pula sedang sibuk menguruskan syarikat milik keluarga. Harriz? Beria-ia memujuknya dahulu untuk mengejar impian menjadi seorang guru.

Puas dia memujuk Harriz supaya menjadi ahli perniagaan namun tidak berhasil. Harriz berkeras untuk menjadi seorang guru. Baginya, pekerjaan guru merupakan pekerjaan paling mulia kerana telah banyak mendidik ramai pelajar sehingga berjaya. Akhirnya, Tan Sri Shakir mengalah. Datin Sri Nazrah pula tidak berkata apa-apa. Dia bersetuju saja semua keputusan Harriz.

Harriz yang baru duduk di sofa empuk di ruang tamu spontan menoleh. Dia tersenyum melihat babah yang berjalan perlahan ke sofa. “Tak tahu lagi, babah. Banyak sangat sekolah dekat Malaysia ni. Harriz tak kisah sekolah mana pun asalkan bukan Sabah atau Sarawak.”

“Kenapa tak mahu? Sabah dan Sarawak pun dalam Malaysia juga.” Ucap Tan Sri Shakir.

“Susah lah baba. Kalau Harriz dihantar ke sana, pasti susah nak sesuaikan keadaan. Lagi pun, ada pelajar dekat sana yang tak faham bahasa Melayu. Mereka lebih suka gunakan bahasa mereka sendiri. Bukan semua, tapi ada sesetengah pelajar.”

“Kalau macam tu, kahwin saja lah Harriz. Bila dah kahwin, kementerian mesti tak akan hantar kamu ke sana sebab ada isteri yang kena jaga dekat sini.” Tiba-tiba Puan Sri Nazrah mencelah. Dia menatang dulang dengan penuh hati-hati dan diletakkan di atas meja kopi.

“Betul cakap umi kamu tu. Kahwin je senang.” Tan Sri Shakir bersuara.

Harriz terus terdiam. Kahwin? Kalau guru perempuan memang lah boleh diterima alasan berkahwin supaya tidak dihantar ke Sabah dan Sarawak. Dia guru lelaki. Jarang dibuat orang.

“Calon pun tak ada. Macam mana nak kahwin?” dalih Harriz.

“Takkan masa dekat Dubai tak ada girlfriend? Jangan buat lawak tak jadi, Harriz.” Puan Sri Nazrah menghulur secawan kopi pada Harriz. Harriz menyambut dengan ucapan terima kasih. Memang sudah menjadi kebiasaan baginya.

“Tak ada masa nak cari girlfriend, umi. Sibuk dengan kelas.. assignment. Kadang-kadang tidur pun tak cukup. Kahwin tu nanti-nanti saja lah.”

“Mula lah tu nak mengelak. Papa ada calon yang sesuai untuk kamu.” Tiba-tiba Tan Sri Shakir mencelah. Harriz menelan liur. Papa sudah ada calon? Amboi, cepatnya.

Mata Puan Sri Nazrah terus bersinar sebaik mendengar kata-kata yang keluar dari mulut suaminya. Siapa pula calon bakal menantunya?

“Anak siapa nak jadi menantu kita nanti, bang?” tanya Puan Sri Nazrah tidak sabar.

Tan Sri Shakir tersenyum lebar. “Ingat lagi kawan abang yang duduk di Sri Hartamas tu? Zaril dengan Dayana.”

“Eh, mesti lah ingat. Tapi, anak dara sulung mereka kan dah kahwin. Nak kahwin kan Harriz ni dengan siapa?” soal Puan Sri Nazrah.

Harriz mencapai majalah di atas meja kopi lalu dibaca. Malas mahu melayan umi dan baba yang tiba-tiba berbual soal kahwin. Dia memang lah tidak muda lagi. Sudah 26 tahun. Tapi, biar lah dia bekerja dulu. Kemudian, baru fikirkan soal menamatkan zaman bujang.

“Ada lagi sorang anak dara mereka. Zarra Arissa, anak bongsu mereka tu. Cantik budaknya. Baik dan hormat orang tua. Yang paling penting, bertudung dan keluarga mereka pun ada latar belakang agama yang baik.” Ucap Tan Sri Shakir bersungguh-sungguh.

Puan Sri Nazrah membulatkan mata. Biar betul suaminya ni? Bergurau atau pun serius? “Zarra Arissa? Ya Allah, abang. Budak tu SPM pun belum. Takkan dah nak suruh kahwin dengan si Harriz ni. Masa depan budak tu panjang lagi. Mengarut abang ni.”

“Hah? Budak SPM?” sergah Harriz. Terkejut dia mendengar calon isteri yang dicari babah merupakan gadis yang berusia 17 tahun. Buat lawak antarabangsa agaknya babah malam ni.

“Kenapa kamu ni terjerit-jerit, Harriz? Apa salahnya, Naz. Kan bagus kalau kita jodohkan Harris dengan Zarra tu. Boleh Harriz ajar Zarra ulang kaji bila dah kahwin nanti. Silap hari bulan, Harriz boleh minta nak mengajar dekat sekolah tempat Zarra belajar tu.” Ujar Tan Sri Shakir selamba.

Puan Sri Nazrah perlahan-lahan mengangguk. Betul juga kata suaminya. Sekarang, memang ada pelajar yang berkahwin pada usia muda. Tapi, kalau pelajar universiti boleh masuk dek akal. Ini pelajar sekolah menengah. Tak apa. Cuba saja. “Okey lah kalau dah abang kata macam tu. Naz ikut aje. Bila kita nak pergi merisik?”

“Umi, babah. Biar betul? Budak SPM?” tanya Harriz.

“Yes… Memang betul.” Jawab Tan Sri Shakir.

Puan Sri Nazrah menepuk bahu Harriz menyuruhnya bertenang. Harriz terasa ingin pitam. Lelaki berusia 26 tahun akan dikahwinkan dengan gadis berusia 17 tahun. Beza sembilan tahun umur mereka.

‘Apa-apa saja lah umi, babah. Harriz tengok dulu budak tu macam mana. Kalau okey, on je lah.’ Getus Harriz.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.