Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 18

Satu persatu langkah diatur menuju masuk kedalam wad majikannya. Senyuman manis turut diukir lebar melihat majikannya yang telah sedar dari tidurnya sambil bermain dengan telefon pintarnya.

“Yurina?”

“Kakak apa khabar?” Yurina meletakkan buah tangan yang dibawanya diatas meja yang terletak di hujung katil.

“Saya okay Yurina. Terima kasih sebab datang melawat. Susahkan awak saja,” jawab Karyenna sambil tersenyum. Sesekali dia mengerang kesakitan.

“Kenapa ni kak? Sakit ke?”

“Biasalah Yurina. Inilah akibatnya kalau berani sangat tumbuk orang.”

Yurina hanya tersenyum nipis.  Dia tidak tahu samada harus ketawa atau menahan diri demi menjaga hati majikannya. Karyenna mula bergerak bangun. Dia ingin menyandarkan belakang badannya yang terasa lenguh akibat terlampau lama berbaring. 

“Terima kasih Yurina,” ujar Karyenna sebaik Yurina membantunya menyandar dengan lebih selesa. Yurina hanya mengangguk lalu kembali duduk pada kerusi yang ada ditepi katilnya.

“Kakak macamana? Maaflah sebab tak dapat nak bantu dan biarkan kakak kena pukul oleh lelaki tu,” ujar Yurina meminta maaf.

“Dahlah Yurina. Perkara tu pun dah berlaku nak buat macamana? Lagipun salah saya juga sebab nak sangat tunjuk terer depan mereka.”

“Tapi saya tetap rasa bersalah.”

“Nak rasa bersalah apa pula? Awak bukannya ada buat sesuatu yang salah. Lagipun awak dah buat apa yang saya suruh dan kira bernasib baik tau sebab Moza angkat call tu. Kalau tak, habis lunyai kita dikerjakan lelaki tu.”

Yurina hanya tersenyum. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakannya lagi. Mulutnya kembali membisu sambil memandang Karyenna yang mengalihkan pandangannya kearah lain.

“Oh ya, Yurina, kamu ada jumpa Moza tak?”

“Moza?” Yurina tersentak. Dipandangnya wajah majikannya yang menanti akan jawapannya. Dia kembali teringat akan seorang lelaki yang tidak jauh berbeza dengan Moza yang keluar dari bilik wad disebelahnya.

“Yurina, awak okay ke? Ada apa-apa yang berlaku ke?” tanya Karyenna lagi. Dia mula mencium sesuatu yang disembunyikan pekerjanya.

“Hah? Tak ada apa.”

“Yurina, kalau ada sesuatu beritahu dengan saya. Jangan nak sorokkan apa-apa dari saya sebab saya tak suka bila ada orang sembunyikan sesuatu dari saya apatah lagi itu berkaitan dengan rakan yang lain.”

Yurina menelan air liurnya. Dipandangnya wajah Karyenna yang fokus memandangnya menunggu kata-katanya. Entah kenapa dia tiba-tiba merasa harus memberitahu majikannya dengan apa yang dilihatnya.

“Erm, sebenarnya macam ni kak. Moza ada...”

“Ada apa? Dia ada disini ke? Mana dia? Kenapa tak masuk? Dia datang dengan kamu ke?” potong Karyenna. Kepalanya mula menjengah memandang kearah pintu wad yang masih tertutup rapat.

“Tak kak. Tadi masa saya datang kesini, saya macam ada nampak dia tapi saya tak yakin itu dia.”

“Apa yang kamu cakap ni sebenarnya Yurina? Dia ada disini tapi kamu tak yakin itu dia. Kamu nampak hantu ke?”

“Saya nampak dia keluar dari bilik sebelah.”

“Bilik sebelah? Apa yang dia buat dibilik sebelah? Kamu tak pergi tengok ke?”

“Tak. Saya takut saya salah orang. Mungkin saya salah tengok kot,” Yurina menggelengkan kepalanya perlahan lalu menunduk. Dia kini buntu tidak tahu samada matanya salah memandang ataupun itu memang Moza.

“Jangan-jangan kamu memang suka dengan dia sampaikan orang lain disangka dia.”

“Apa yang kakak mengarut ni? Mana ada saya suka dengan dia,” bantah Yurina. Karyenna hanya tersenyum nipis tidak percaya dengan apa yang disangkal Yurina.

“Yurina, jangan nak menipulah. Kakak tahu kamu sukakan Moza dan kakak tak larang kamu nak suka dengan dia. Itu hak kamu. Tapi...”

Yurina mengangkat kepalanya. Dipandangnya wajah majikannya yang berhenti berkata dan membuatkan dia tertanya-tanya. Hatinya mula berdebar tidak keruan. 

“Apa kata kamu tanya dengan jururawat yang bertugas di kaunter. Kamu boleh tanya mereka dan cari tahu siapa yang duduk diwad sebelah ataupun kamu boleh je jenguk sekejap tengok manatahu memang ada si Moza disebelah,” Karyenna memberi cadangan namun Yurina pantas menggeleng.

“Tak naklah.”

“Kalau tak nak, tak apalah. Oh ya, kalau tak pun cuba call dia.”

 Yurina menggeleng sambil tersenyum nipis. Dia benar-benar tidak mahu dikaitkan dengan lelaki tersebut walaupun jauh didalam hati hanya dia yang mengetahui akan perasaannya.

“Makanlah dulu buah ni. Nanti tak segar lagi,” Yurina menukar topik perbualan. Beg plastik yang berisi akan beberapa biji buah limau dicapainya lalu dikupas.

“Amboi, pandai betul tukar topik. Tak apalah. Suatu hari nanti semua ni akan jelas dan tak ada apa lagi yang akan berselindung.”

Yurina mengunjukkan seulas limau menghampiri mulut Karyenna. Karyenna yang terasa sakit pada batang hidungnya mula mengerutkan dahinya sebaik sahaja mencuba untuk mengunyah buah limau tersebut.

“Emm, manisnya limau ni. Beli dimana?” tanya Karyenna sebaik mulutnya mengunyah limau tersebut.

“Beli di kedai buah sekitar sini,” jawab Yurina. Dia memberi lebihan buah limau kepada Karyenna yang terlebih dahulu menghulurkan tangannya. 

Setelah hampir sejam berbual dengan Karyenna, akhirnya Yurina meminta diri untuk pergi ke kolej. Telefonnya mula berdering berkali-kali. Dia hampir lupa bahawa dirinya harus menghadiri kelasnya dan menghantar assignment yang dipinta oleh pensyarahnya.

“Hello Hawa,” Yurina menjawab panggilan telefonnya. 

“Kau dimana Yurina? Kelas dah nak mula ni tapi kau masih tak nampak batang hidung. Kau jangan nak buat hal ya sampai tak datang kelas,” ujar Hawa panjang lebar.

“Ya, aku tahu. Sekejap lagi aku datang.”

“Aku nak kau kesini sekarang juga. Dalam sepuluh minit kau tak sampai, siap kau.”

“Iyalah mak cik. Bising betullah mulut kau ni,” ujar Yurina sambil mencebik. Karyenna yang melihat hanya menggeleng perlahan.

Yurina mematikan panggilan telefonnya lalu kembali menyimpan telefonnya kedalam beg galasnya. Dipandangnya wajah majikannya yang hanya tersenyum.

“Pergilah Yurina nanti kena denda pula sebab tak masuk kelas,” ujar Karyenna.

“Saya pergi dulu ya? Nanti habis kelas saya datang balik.”

Karyenna hanya tersenyum. Dipandangnya Yurina yang melangkah keluar dari wad dan kembali meninggalkannya seorang diri. Telefon pintarnya yang diletaknya ditepi katil kembali dicapainya.

Yurina menghela nafas yang panjang sebaik keluar dari wad tersebut. Entah kenapa hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Wad yang tertutup rapat disebelahnya dipandangnya seketika. Dia kembali teringat akan kata-kata Karyenna yang mahu dirinya menjenguk dan melihat siapa yang ada didalam wad tersebut.

Kakinya mula melangkah perlahan. Dia kini dihimpit rasa ingin tahu namun baru sahaja dia melangkah beberapa tapak, dia dikejutkan dengan deringan telefonnya yang kembali menjerit. Yurina mendengus kasar dan tanpa berfikir panjang menjawab panggilan tersebut.

“Kau dimana? Kelas dah nak mula ni,” terdengar akan suara rakannya Hawa di hujung talian. 

“Sabarlah. Aku baru nak gerak ni,” jawab Yurina. Dia segera berpatah balik dan terus melupakan rasa ingin tahunya mengenai wad tersebut. Dengan langkah yang diatur pantas, dia mula berlari anak dan bergegas menuju ke kolejnya yang terletak hampir 7km dari hospital tersebut.


Lima belas minit berlalu dengan begitu pantas. Yurina akhirnya sampai di perkarangan kolejnya. Jauh didalam hati, dia merasa sedikit kesal kerana sikapnya yang agak suka menangguh sesuatu.

Anak tangga dipanjat satu persatu dengan pantas lalu berlari anak menuju ke kelasnya yang terletak ditingkat dua. Dia mula terasa gerun apabila mendengar suara pensyarah dari kelas yang lain yang memarahi anak muridnya.

“Yurina!”

Yurina yang berlari anak segera berhenti melangkah. Dengan pantas dia menoleh dan terkejut sebaik memandang rakannya Hawa yang sudah mencekak pinggang dan memandangnya dengan pandangan yang tajam.

“Hai Hawa,” ujar Yurina perlahan. Tangan kanannya turut naik dan melambai kearah Hawa yang menghampirinya.

“Kau dah lambat.”

Yurina hanya tersengih memperlihatkan gigi putihnya yang tersusun rapi. Dia mula mencari jawapan untuk membuat alasan atas kelewatannya.

“Alasan apa lagi yang kau nak bagi? Tak ada teksi ataupun tertinggal bas?”

“Hawa, mana lecturer? Dia tak masuk lagi ya?” Yurina mengubah topik perbualan. Hawa menjelingnya tajam.

“Dia minta assignment minggu lepas. Hantar sebelum pukul 10 pagi dan asal kau tahu kau dah lewat seminit,” beritahu Hawa. Yurina tersentak. Dipandangnya jam tangannya dimana jarum panjangnya sudah menghampiri angka dua.

Tanpa berfikir panjang, Yurina berpatah balik dan menuju ke pejabat pensyarahnya dengan langkah yang cukup pantas. Dia tidak lagi mahu melengahkan masa. Dia takut jika tugasannya itu tidak terima dan terpaksa mengulang subjek untuk satu lagi semestar.

Hawa menggelengkan kepalanya. Dia mula tertanya-tanya apakah yang terjadi pada rakannya itu sehingga sering melengahkan masa dan akhirnya memakan diri sendiri. Keluhan panjang turut dilepaskan perlahan-lahan sebelum kembali mengorak langkah menuju ke kelasnya yang kosong tanpa kehadiran pensyarahnya yang tiba-tiba mengambil cuti kecemasan.

Hawa menghidupkan komputer ribanya. Jari jemarinya pantas menari diatas papan kekunci menaip sesuatu. Matanya mula fokus membaca sesuatu yang tertera diskrin komputernya itu.

Laman sosial facebooknya mula dilayari. Dia tidak lagi menghiraukan pelajar lain yang turut membuat kerja sendiri tanpa mengendahkan satu sama lain. Mulutnya perlahan mengukir senyuman sebaik membaca status yang dipaparkan rakannya di laman sosialnya.

“Eh, mana lecturer? Tak nampak pun dia di pejabat tadi?” tanya Yurina sebaik masuk kedalam kelas. Dipandangnya seorang demi seorang rakan sekelasnya yang sibuk membuat kerja sendiri begitu juga dengan Hawa.

“Dia cuti kecemasan,” jawab Hawa tanpa memandang Yurina.

“Cuti? Kenapa kau tak beritahu aku awal-awal? Kau memang sengaja nak aku berlari ke sini ke tadi?” Yurina terkejut. Dia tidak menyangka pengajarnya mengambil cuti kecemasan. 

“Kenapa? Aku pun baru dapat tahu.”

Yurina mendengus kasar. Badannya turut disandarkan pada kerusi yang didudukinya. Matanya sekejap-sekejap ditutup.

“Kau kenapa? Ada hal yang kau nak buat ke?” tanya Hawa sekilas menoleh memandang Yurina sebelum kembali menatap skrin komputernya.

 “Tak adalah,” jawab Yurina pendek. Hawa hanya mengangguk.

“Jadi macamana dengan tawaran lelaki tu? Kau dah beritahu dengan dia tak?” tanya Hawa lagi setelah agak lama mendiamkan diri. Yurina diam.

“Kau dah jumpa dengan dia belum?”

“Belumlah. Lagipun aku tak tahu nak cari dia dimana.”

“Lah, kau telefonlah dia. Apa yang susahnya?”

“Aku tak tahu nombor dia,” jawab Yurina.

“Bertuahnya kau ni. Macamana kau nak beritahu dia kalau nombor dia pun kau tak minta? Ish, kau ni kekadang lembablah,” Hawa mula mengomel dan Yurina hanya tersenyum nipis.

“Hawa, aku nak minta tolong dengan kau boleh?”

“Tolong apa?”

Yurina diam. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan kata-katanya. Dia takut jika rakannya itu tidak mahu membantunya. Hawa yang menunggu akan kelanjutan kata-katanya mula berhenti dari terus menatap skrin komputernya dan memandang Yurina.

“Kau nak minta tolong apa? Kau nak bunuh orang ke?” Hawa mencuba untuk meneka.

“Kau ni. Apahal pula aku nak bunuh orang? Kau dah gila ke?” Yurina tersentak sebaik mendengar tekaan rakannya itu. Hawa hanya mencebik sambil mengangkat kedua bahunya.

“Habis tu apa? Dari tadi aku menunggu tapi sampai sekarang aku tak dengar lagi apa yang kau nak. Kau nak minta tolong apa sebenarnya?”

“Erm, aku harap kau tak fikir bukan-bukan.”

“Fikir yang bukan-bukan? Apa yang kau cakap ni hah? Dari tadi kau bercakap, sedikitpun aku tak faham apa yang kau nak.”

“Aku cuba nak kau tolong aku cari dimana pejabat Moza.”

“Itu je?”

Yurina mengangguk. Dia menarik nafas yang lega namun dalam pada masa yang sama, dia risau jika Hawa akan mengusiknya dan mengatakan hal yang bukan-bukan.

“Aku tak tahulah apa masalah kau sebenarnya. Berpuluh-puluh minit aku tertanya-tanya apa yang kau nak tapi bila dapat tahu ini je yang kau nak? Otak kau masih berfungsi ke? Ke dah jammed sebab berkarat?” ujar Hawa panjang lebar.

“Hawa, pleaselah tolong aku. Kau je satu-satunya rakan baik aku,” Yurina mula memujuk rakannya itu. Tangan Hawa ditariknya lalu dipegang erat berharap rakannya itu mahu membantunya. Senyuman lebar turut diukir mesra diwajahnya.

“Amboi, bila nak sesuatu baru bermulut manis. Kalau tak bukan main asyik nak marah saja.”

Yurina mengebilkan matanya. Dia yakin rakannya itu akan sudi untuk membantunya. Hawa menatap wajah rakannya itu. Tidak lama kemudian, dia menghela nafas yang panjang bagaikan bersetuju untuk membantu.

“Kau sudi nak tolong kan?” tanya Yurina meminta kepastian.

“Boleh. Tapi dengan satu syarat,” potong Hawa.

“Kau nak apa? Nak aiskrim? Burger? Atau makan ABC? Kau cakap saja apa yang kau nak, nanti aku belanja.”

“Yurina, aku sedar diri aku ni memang kuat makan tapi kalau boleh janganlah kau simpan bodoh kau tu. Aku pun manusia dan aku juga perlukan sesuatu yang lain.”

“Sesuatu yang lain? Apa tu? Baju? Kasut? Atau kau nak aku belikan kau accesories? Aku tahu kau suka dengan gelang. Tak apa, nanti aku belikan untuk kau.”

Hawa mendengus kasar. Tangannya yang dipegang Yurina ditarik kasar. Dia kembali memandang skrin komputernya dan membiarkan Yurina kehairanan seorang diri.  

“Kau pergilah cari sendiri. Malas aku nak tolong. Ditolong pun bukannya ada faedah,” ujar Hawa seolah merajuk. Yurina hanya tersenyum lalu kembali menarik tangan Hawa.

“Aku gurau je lah. Okaylah. Kau nak apa? Beritahu dengan aku. Aku akan cuba sedaya upaya untuk tunaikan syarat kau tu,” Yurina bersetuju.

“Tak apalah. Aku dah lupa aku nak apa tadi,” jawab Hawa tanpa memandang Yurina. 

“Janganlah macam ni Hawa. Aku memang perlukan bantuan kau dan aku tak tahu nak minta tolong dengan siapa lagi. Ataupun kau nak jumpa dengan dia, nanti aku kenalkan dengan dia.”

“Dia? Siapa pula ni? Kau jangan nak buat hal Yurina. Leher aku ni masih rasa sakit tau. Habis berbelang leher aku dikerjakan si Shua tu,” ujar Hawa. Kepalanya mula menggeleng.

“Kau jangan risau. Aku yakin untuk masa terdekat ni dia takkan datang ganggu kita. Lagipun aku nak kenalkan kau dengan Moza. Kau juga yang cakap yang kau nak jumpa depan-depan dengan dia kan?”

“Kau biar betul? Nanti tak pasal-pasal dia jatuh cinta dengan aku baru padan muka kau. Nak menangis pun tak guna lagi,” ujar Hawa. Dia kembali bersikap ceria.

“Apa yang kau merepek ni? Aku tak suka dengan dialah Hawa. Kalau kau nak, kau boleh ambil dia dan bawa lari jauh-jauh,” Yurina menyangkal dengan pantas.

“Amboi, kau fikir dia tu barang yang kau boleh ambil dan bawa pergi jauh-jauh? Dia tu manusia tau, ada kaki dan ada akal. Mestilah dia akan cari siapa yang dia suka.”

“Hawa, please. Aku tak tahu nak buat apa lagi. Sehari dua hari ni aku asyik teringat dengan tawaran dia tu. Kalau aku tolak, aku sendiri buntu tak tahu nak dapat duit dari mana memandangkan majikan aku kurang sihat sekarang,” Yurina kembali merayu.

Hawa menatap Yurina dengan mata tidak berkelip. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulutnya itu. Yurina mula kehairan melihat pandangan Hawa kearahnya.

“Kau kenapa?” tanya Yurina hairan.

“Macam aku tak percaya apa yang kau cakap tu? Betul ke kau asyik fikirkan tawaran tu atau kau sebenarnya memang fikirkan dia? Baik kau berterus terang sekarang,” ujar Hawa.

Yurina terdiam. Dia mula kehilangan kata-kata untuk menjawab. Dalam diam, dia mula sedar akan kata-kata yang keluar dari mulutnya. Entah kenapa dia mula merasa sesuatu yang aneh pada dirinya.

“Tengok, dah memang nyata kau memang suka dengan dia. Kau jangan nak mengelak atau menyangkal lagi Yurina,” sambung Hawa apabila melihat Yurina yang mula mengelamun.

“Erm, aku tak...”

“Stop Yurina. Apa kena dengan kau ni? Selama ni kau tak pernah bercinta ke?”

“Hah? Aku memang tak tahu...”

“Yurina, kalau aku dah tanya soalan dan kau jawab entah apa-apa, nampak sangat kalau kau memang dah jatuh cinta atau dalam kata yang lain kau suka dengan seseorang tu,” potong Hawa. Dia mula menggigit bibirnya geram melihat Yurina yang masih tidak faham akan kata-katanya.

“Okay. Biar aku berterus terang dengan kau.”

“Tengok? Kan senang kalau kau cakap macam ni dari awal lagi? Yurina, zaman sekarang kau tak perlu takut kalau kau nak luahkan perasaan kau dulu. Zaman sekarang adalah dimana zaman gayung yang mencari timba, bunga yang datang mencari kumbang.”

“Hawa, boleh tak kalau bagi aku peluang untuk bercakap?”

“Okay. Beritahulah sekarang. Aku nak dengar dari mulut kau sendiri dan aku nak tahu lelaki mana yang buat kawan aku ni jadi orang yang makin lembab sampai  tahap menyakitkan hati.”

“Amboi, mulut kau. Aku cili nanti,” ujar Yurina dan Hawa hanya tersenyum.

“Okay. Untuk pertama kalinya, biar aku jujur dengan kau. Dan aku tahu kau memang jenis manusia yang tak pandai nak sabar. Jadi apa kata kalau kita bincang tempat lain?” Yurina tiba-tiba menukar topik perbualan dan menyebabkan Hawa serentak mendengus kasar.

“Apa ni? Perlu ke pindah tempat lain? Tak boleh ke kalau disini saja? Malaslah aku nak kawan dengan kau ni. Banyak betul alasan.”

“Hawa, pleaselah. Takkanlah kau nak orang lain dengar pengakuan istimewa aku ni? Nanti malulah aku.”

Hawa menjeling. Dia benar-benar geram dengan sikap Yurina. Namun dalam pada masa yang sama, dia menutup komputer ribanya dan memasukkannya kedalam beg galasnya. Beberapa buah buku yang berada didalam laci mejanya turut dikeluarkan.

“Hawa, kau marah ke?” tanya Yurina apabila melihat rakannya mula mengemas semua bukunya.

“Apa masalah kau sebenarnya Yurina? Tadi kau kata kau nak cakap di tempat lain. Bila aku dah kemas barang kau kata pula aku marah? Kau nak aku tinggalkan semua ni disini ke? Biar dicuri orang lain?”

Hawa tidak dapat mengawal emosinya. Dipandang wajah rakannya dengan seribu satu kemarahan. Yurina mula tersengih. Dia mencuba untuk kembali menenangkan Hawa. Senyuman manisnya turut dilempar.






Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail