Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 35

Satu jambangan bunga ros diatas meja menjadi benda pertama yang dilihat Yurina sebaik tersedar dari tidurnya. Senyumannya spontan terukir. Dirinya seolah dapat meneka siapakah gerangan yang memberinya jambangan tersebut.

Jambangan bunga tersebut dicapai. Diciumnya bunga ros yang disusun cantik dan dibalut dengan plastik bercorak hati itu. Senyumannya semakin lebar.

“Yurina dah bangun?” 

Yurina terkejut. Ibu saudaranya yang masuk kedalam wad sama sekali tidak disedarinya. Perlahan jambangan tersebut diletakkan kembali ke tempatnya.

“Mak, tadi Moza ada datang sini ke?” tanya Yurina. Perlahan dia bangun dan menyandar pada katilnya.

“Siapa? Moza?” Puan Aishah mengerutkan dahinya. Seingatnya tidak ada seorang lelakipun yang masuk kedalam wad selain Darryl yang baru dikenalinya.

“Tak ada siapa,” jawab Puan Aishah.

“Habis tu siapa yang bagi bunga ni?” Yurina bertanya lagi.

“Manalah mak tahu. Tadi mak keluar sekejap ke tandas, bila mak masuk, mak dah tengok bunga ni ada pada kamu. Manalah mak nak tahu siapa yang bagi.”

Yurina diam. Dia kembali memandang jambangan tersebut. Sekeping kad kecil yang terselit di tepi jambangan mula terlihat olehnya. Dengan penuh rasa ingin tahu, dia kembali mencapai bunga tersebut dan menarik keluar kad kecil tersebut.

Kad kecil yang ada terselit dicelah bunga diambil. Dahinya spontan berkerut sebaik melihat isi kandungan kad tersebut. Yang tertulis bukanlah sesebuah ayat melainkan sebuah emoji yang sedang marah bersama sebilah pisau. 

Yurina buntu. Dia tertanya-tanya siapakah yang menghantar bunga tersebut. Kepalanya mula bekerja memikirkan siapakah pengirim misteri itu. Jika Moza, mengapa dia tidak nampak akan kelibat lelaki itu.Kad kecil tersebut dimasukkan kedalam poket bajunya.

“Mak, mana telefon Yurina?” tanya Yurina. Dia menyelak selimutnya ke tepi.

“Telefon? Sekejap,” Puan Aishah mendapatkan beg galas Yurina. Tangannya pantas menyeluk sehingga tangannya mencapai telefon tersebut.

Yurina turun dengan perlahan-lahan. Walaupun dia masih lemah akan gastrik yang dihidapinya, dia tetap mengagahkan dirinya

“Kenapa turun? Berehat saja,” ujar Puan Aishah. Dia kembali memegang Yurina yang berpegang pada pemegang di sisi katil.

“Tak apalah mak. Lagipun lenguh badan asyik baring saja,” jawab Yurina. Senyumannya cuba diukir.

“Mana telefon?” Yurina menadahkan tangannya. Puan Aishah segera memberi telefon pintar tersebut.

Yurina mengeluh kasar sebaik melihat telefonnya kehabisan bateri. Dengan langkah yang perlahan, dia menghampiri beg galasnya dengan bantuan ibu saudaranya. 

Beg galasnya diselongkar. Dia berharap ada wayar pengecas didalam begnya namun harapannya sia-sia. Dia tidak menjumpai sebarang wayar untuk mengecas telefonnya. Sekali lagi dia melepaskan keluhannya.

“Kamu nak call siapa? Pakailah telefon mak,”ujar Puan Aishah namun Yurina hanya tersenyum.

“Yurina nak call Moza,” beritahu Yurina.

“Siapa? Moza?” Yurina perlahan mengangguk.

Puan Aishah diam. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak membantu anak saudaranya itu. Lagipula dia tidak mempunyai nombor lelaki itu. Yang ada hanyalah nombor Yurina dan Hawa.

“Tak apalah mak. Biar Yurina keluar ke kaunter. Mana tahu mereka boleh tolong caskan telefon Yurina,” ujar Yurina perlahan. Puan Aishah hanya mengangguk.

“Nak mak temankan ke?”

“Tak apalah mak. Mak berehat saja. Lagipun Yurina ada tongkat,” jawab Yurina sambil menjuihkan mulutnya kearah tiang beroda yang mana sepaket air tergantung dan berhubung ke tangannya melalui hos kecil.

“Mak berehatlah. Dari tadi mak asyik berjalan. Nanti mak pula yang sakit,” sambung Yurina. Puan Aishah hanya tersenyum nipis.

“Yalah. Hati-hati,” pesan Puan Aishah. Yurina hanya mengangguk sebelum bangun dan menapak ke pintu wad.

Dengan perlahan Yurina menarik pintu wad. Kakinya yang masih lemah tidak mahu dimanjainya dan tetap dipaksa untuk melangkah. Dengan perlahan dia mengorak langkah. Wajahnya yang pucat membuatkan dia terlihat seperti hantu.

Sedang asyik matanya meliar memandang ke kiri dan kanan lorong, matanya tiba-tiba tertumpu pada seorang lelaki yang sedang tidur duduk pada sebuah bangku. Perlahan senyumannya terukir melihat lelaki itu. Entah mengapa dia merasa gembira.


Moza tersedar dari tidurnya sebaik menyedari ada seseorang sedang duduk disebelahnya. Dengan mata yang sedikit membengkak akibat menangis, dia menolah dan terkejut dengan kehadiran Yurina. Dengan pantas dia kembali berpaling membelakangkan Yurina dan mengusap matanya. Dia tidak mahu Yurina melihatnya dalam sedemikian rupa.

“Maaflah,” ujar Moza sebaik kembali memandang Yurina. Senyumannya diukir meleret cuba bersikap biasa.

“Awak buat apa dekat sini?” tanya Yurina. Dipandangnya wajah Moza yang sedikit membengkak dengan mata yang turut sembab.

“Tak ada apa. Cadang tadi nak jenguk awak tapi awak tidur, jadi saya tunggulah diluar,” jawab Moza mereka jawapan walaupun hakikatnya dia sedang menunggu keputusan doktor mengenai keadaan abangnya.

“Awak boleh tunggu didalam.”

“Tak apalah. Lagipun tak elok kalau saya masuk tanpa ada teman. Takut ada orang ketiga,” balas Moza. Yurina hanya tersenyum faham akan maksud lelaki itu.

“Awak dah okay ke?” tanya Moza pula. Jaket yang dipakainya ditarik semakin erat. Dia masih lagi merasa kesejukan. Maklumlah, sudah seharian dia duduk disitu.

“Ya, rasanya. Mungkin hari ni dah boleh balik,” jawab Yurina. 

“Baguslah. Tak perlulah awak tinggal dihospital.”

Yurina hanya mengangguk. Walaupun dia baru sehari tinggal dihospital, dia mula merindui rumahnya. 

“Oh ya, dah lama ke awak disini? Mata awak nampak sembab. Awak menangis ya?”

Moza terdiam. Matanya yang kini sedikit membengkak segera diusapnya. Dia mencuba untuk menutup kesan sembab tersebut.

“Tak payahlah tutup. Takkan ada yang ejek awak,” sambung Yurina. Moza hanya tersenyum.

“Maaflah kalau awak nampak saya macam ni. Sedikit serabai, tak macam selalu bila awak jumpa saya,” ujar Moza. 

“Tak apa. Macam ni pun masih kacak.”

Moza mula tersenyum malu. Dia tidak menyangka wanita tersebut memujinya. Begitu juga dengan Yurina yang juga tertunduk malu. Dia tidak sangka dia seberani itu untuk mengusik Moza, lelaki yang begitu digilai para wanita peminat fesyen.

Masing-masing mula mendiamkan diri. Tiada topik yang ingin diperkatakan. Keduanya kelu tidak bersuara. Yang ada hanyalah senyuman malu-malu.

“Awak masuklah dulu. Nanti saya masuk jenguk awak. Saya nak ke kafe dulu,” ujar Moza. Yurina hanya mengangguk dan menurut.

Moza membantu Yurina untuk bangun. Tangannya turut naik dan melambai Yurina. Yurina hanya tersenyum malu. Entah mengapa rasa cintanya pada lelaki itu semakin kuat. 

Moza melepaskan keluhannya. Senyumannya tetap diukir lebar sambil tangannya masih melambai kearah Yurina. Dalam diam dia semakin menyukai wanita itu. Wanita yang sering membuatkan dia merasa seperti berada disatu tempat yang nyaman.


Pak Ehsan menyeka air matanya yang jatuh menimpa pipinya. Hatinya seolah hancur berkecai sebaik melihat Dawson yang terbaring kaku dengan alat bantuan pernafasan yang dipakai diwajahnya. Apatah lagi dengan wayar yang berselirat. Branula yang tampak menyakitkan juga ada ditangan kanannya.

Moza turut masuk dengan perlahan. Air matanya kembali tidak tertahan melihat keadaan abangnya itu. Dia benar-benar takut akan kehilangan abangnya. Abang yang selama ini menjadi satu-satunya teman untuknya bersembang dan berborak.

Dawson dipandang dengan linangan air mata. Tangannya yang pucat seolah tidak berdarah terasa begitu sejuk. Dia bagaikan mayat hidup. Tidak ada sebarang pergerakan yang dilihat. Hanyalah helaan nafas yang kasar dapat didengar.

Moza tidak dapat menahan dirinya. Dia merebahkan badannya disisi abangnya. Badan abangnya yang sejuk dipeluknya. Pak Ehsan hanya mampu menenangkan Moza.

“Dawson, bangunlah. Jangan tinggalkan aku,” ujar Moza dalam esak tangisnya.

Pak Ehsan hanya mampu melihat. Dia tidak dapat menahan rasa sebaknya. 

“Dawson, please bangun. Kau kena bangun dan kuatkan semangat. Aku janji aku akan sentiasa bersama kau dan sama-sama harungi kehidupan. Aku takkan tinggalkan kau,” ujar Moza lagi. Air matanya kini membasahi bahu abangnya.

“Moza, dahlah. Biarkan abang kamu berehat. InsyaAllah, abang kamu akan sedar,” Pak Ehsan memberi nasihat. Dia menarik Moza dari terus menatap abangnya yang terkujur kaku.

“Kalau Dawson tak sedar macamana? Takkan pak cik nak saya menunggu lagi?” tanya Moza. Dia tidak sanggup melihat abangnya kembali menutup mata.

“Kita kena banyak berdoa pada Tuhan. Tak guna meratap macam ni. Abang kamu masih boleh mendengar, walaupun dia terbaring lemah macam ni,” jawab Pak Ehsan. Moza diam.

“Saya nak berdua dengan Dawson sekejap,” pinta Moza. Dia kembali berpusing dan memandang abangnya. Tangan Dawson kembali dipegang erat.

Pak Ehsan terpaksa menurut. Hanya anggukan yang diberikan sebelum keluar dari wad. Dia tidak mahu memaksa Moza. Baginya biarlah anak muda itu berfikir sendiri.

Moza menarik sebuah kerusi. Tangan abangnya mula digosok perlahan. Air matanya masih lagi bertakung dikelopak mata. Dia tidak rela meninggalkan abangnya seorang diri. Wajah abangnya yang nampak begitu pucat ditatapnya.

“Dawson, kalau diizinkan Tuhan, aku sanggup bertukar tempat dengan kau. Aku tak nak kau rasa sakit sepanjang masa. Aku tak nak kau sentiasa tidak tenang. Aku nak kau bahagia dengan rakan-rakan kau yang lain,”ujar Moza. Dia kembali terasa sebak.

“Kau nak tahu tak? Sepanjang tiga tahun, aku sentiasa rindukan kau. Bila aku tak ada kerja, aku akan datang dan temankan kau. Aku tak nak hilang kau. Bagi aku, kau adalah nyawa aku. Aku lebih rela jika aku yang pergi dulu.”

Moza tidak dapat menahan rasa sedihnya. Dia kembali menangis di tangan abangnya. Dia tidak dapat membayangkan jika dia harus berpisah dengan abangnya itu.

“Bangunlah Dawson. Aku tak nak tengok kau macam ni. Bangunlah, temankan aku. Aku nak kau bangun dan ganggu aku. Aku nak kau takutkan aku dengan cerita hantu kau,” sambung Moza sambil menangis.

Pak Ehsan yang berada diluar hanya mampu mengesat air matanya yang turun. Luahan hati Moza dirasakan begitu menyentuh hati. Dia tidak tahu harus berbuat apa. Lelaki tuanya menjadi lemah dengan esakan Moza.


Disatu sudut, Sandra memandang dengan senyuman. Hatinya berbunga bahagia sebaik mendapat tahu Dawson dan Yurina berada dihospital. Dalam fikirannya dia sudah tidak sabar untuk memberitahu Andy yang sudah meringkuk didalam penjara dan menunggu perbicaraan mahkamah.

Telefon pintarnya dikeluar dari dalam poket seluar jeansnya. Ibu jarinya pantas mendail nombor seseorang. Senyuman gembiranya semakin terukir lebar seolah puas dengan apa yang berlaku.

“Hello Jack, you inform dengan Andy kalau budak perempuan tu dengan Dawson masuk hospital. Dan beritahu dia supaya jangan risau. Dendam dia akan terbalas,” beritahu Sandra dengan tegas. Dia seolah merasa dirinya telah menang. Seraya dengan itu, panggilannya kembali dimatikan sebelum berlalu pergi.


Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail