Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 11


  Suara ketawa yang cukup kuat dari ruang tamu menarik perhatian Pak Ehsan yang sedang memetik beberapa biji buah tomato yang ditanamnya dilaman belakang. Sesekali dia menggelengkan kepalanya sambil menjenguk masuk melihat kedalam rumah mewah tersebut.

“Apalah yang lawak sangat sampai ketawa macam tu?” tanya Pak Ehsan pada dirinya sendiri. Dia melangkah masuk kedalam ruang dapurnya menerusi pintu belakang. Bakul kecil yang berisi dengan beberapa biji buah tomato diletakkan diatas meja sebelum melangkah menghampiri Dawson dan Moza yang berada diruang tamu.

Sebaik Pak Ehsan menjenguk keluar dari dapur, dia dikejutkan dengan kedua beradik tersebut yang begitu gembira dan tidak menyedari kehadirannya. Dengan langkah yang panjang, dia menghampiri kedua beradik tersebut.

“Astaghfirullahalazim. Apa yang kamu berdua ketawakan tu? Sampai keluar boleh dengar suara kamu ni,” tegur Pak Ehsan. Dia memandang filem yang ditonton kedua beradik tersebut.

Dawson mengesat air matanya yang keluar. Sesekali dia ketawa kecil. Dia mendongak memandang penjaganya yang sedang memandangnya.

“Cerita Thailand ni lawak sangatlah pak cik,” ujar Dawson sambil menunjuk kearah peti televisyen. Moza hanya tersengih sambil memeluk bantal kecil yang menjadi hiasan sofanya.

“Kalau lawak sekalipun, kawallah sikit. Nanti beri kesan pula dengan kamu. Jantung kamu tu bukannya kuat sangat,” nasihat Pak Ehsan.

“Pak cik jangan risau. Lagipun Dr, Illy kata ketawa boleh kuatkan jantung Dawson. Pak cik tengoklah dia ni, dah boleh ikut kereta dan tak takut macam dulu,” jawab Moza. Dawson hanya tersenyum dan mengangguk.

“Ya, pak cik tahu tapi bukannya ketawa begitu kuat sampai mengejutkan jiran sebelah. Nanti apa pula mereka kata.”

“Pak cik, tak ada siapa yang akan dengar. Pak cik tak ingat ke kalau jiran sebelah dah pindah beberapa bulan yang lalu?”

Pak Ehsan terdiam. Dia kehilangan kata-kata. Dia baru teringat akan jirannya yang telah berpindah dan tidak lagi menetap disitu.

“Dahlah, pak cik nak sambung kerja dulu dibelakang. Dengar ya Dawson, jangan ketawa lebih sangat. Dah macam pontianak pak cik dengar,” nasihat Pak Ehsan lagi. Dawson hanya mengangguk dan melihat penjaganya pergi.

“Pontianak tu apa?” tanya Dawson pada adiknya. Dia tertanya-tanya kenapa penjaganya menyamakannya dengan pontianak. Moza terkejut. Dia tidak menyangka abangnya menjadi sebegitu.

“Kau tak tahu dengan pontianak ke?” tanya Moza kembali. Dipandangnya wajah abangnya yang perlahan menggeleng.

“Pontianak tu hantu. Rambut dia panjang dan ada muka yang buruk,” sambung Moza sambil menerangkannya kepada abangnya. Dawson mengerutkan dahinya.

“Kau pernah tengok ke?”

“Kau dah gila ke? Memang taklah. Aku tak nak dan tak rela nak tengok hantu,” jawab Moza. Dawson mula tersenyum dan ianya menarik perhatian adiknya yang mula tertanya-tanya.

“Kau dah kenapa? Tersenyum-senyum.”

“Aku saja je tadi. Aku tahu pontianak tu apa dan aku rasa macam nak buat sesuatu malam ni.”

“Apa yang kau nak buat? Kau jangan buat hal ye Dawson? Aku paling pantang kalau orang buat benda tak baik.”

“Apa? Kau jangan risaulah. Aku yakin kau takkan menjerit macam perempuan,” ujar Dawson sambil melemparkan senyuman. Dia kembali menonton peti televisyen dan membiarkan adiknya mengigit bibir memandangnya.

Sedang asyik menonton televisyen, telinga mereka mula mendengar loceng yang dibunyikan dari luar rumah mereka. Masing-masing mula saling berpandangan.

“Kau pergi tengok siapa diluar,” ujar Moza. Dawson hanya mencebik namun tetap menurut. Dengan perlahan dia bangun dan menghampiri pintu rumahnya yang terbuka luas. 

“Moza, ada oranglah diluar,” beritahu Dawson sebaik kepalanya menjenguk keluar pintu.

“Siapa?”

“Entah,” jawab Dawson seraya mengangkat kedua bahunya. Dari pandangannya, dia dapat melihat seorang lelaki berpakaian segak sedang berdiri didepan pagar rumah. Dengan cermin mata hitam yang dipakainya, dirinya kelihatan seperti seorang detektif yang ingin menyiasat.

“Kau beritahu dengan dia, yang kau tak nak beli barang. Nanti dia pergilah,” ujar Moza. Matanya masih tertumpu pada peti televisyen. Sesekali dia turut tertawa kecil.

“Tapi tak nampak pun macam dia sedang jual barang,” ujar Dawson lagi dan kali ini Moza mendengus. Dengan penuh rasa malas, dia bangun dan menghampiri abangnya. Dan sebaik menjenguk keluar, dia terkejut sebaik memandang lelaki itu. Lelaki yang cukup dikenalinya selama ini yang juga rakan dirinya.


Dawson hanya diam memandang lelaki segak yang ada didepannya. Dengan fail yang dibawanya, dia mula tertanya-tanya akan tujuan kedatangan lelaki itu.

“Dah lama aku tak nampak kau Aliff,” ujar Moza sebaik keluar dari dapur. Ditangannya ada segelas air oren dan diberikan kepada rakannya itu.

“Biasalah Moza. Masing-masing sibuk,” jawab Aliff sebelum meneguk air tersebut. Rasa hausnya yang tadi muncul kini bertukar lega. Tekaknya kembali basah dan dia kini mampu bersuara dengan baik.

“Dawson, kau apa khabar sekarang?” tanya Aliff pada Dawson yang hanya duduk mendiam diri.

“Baik,” jawab Dawson pendek. Sesekali dia memandang adiknya yang duduk disebelahnya.

“Aku datang sini tak lain dan tak bukan nak melawat abang kau ni. Tapi maaflah sebab tak bawa buah tangan,” ujar Aliff.

“Tak apalah Liff. Kau datang sini pun dah cukup bagus,” ujar Moza pula.

“Jadi apa plan kau sekarang?” Aliff bertanya ingin tahu. Dia kembali meneguk air oren buatan rakannya itu.

“Plan? Entahlah Liff. Aku tak fikir lagi. Semua ni macam mimpi, jadi tak pernah aku nak fikirakan apa yang nak aku lakukan selepas ni,” jawab Moza. Senyumannya diukir menyerlahkan ketampanannya.

“Tapikan Moza, sepanjang aku berkawan dengan kau ni, inilah kali pertama aku tengok kau serabai macam ni. Selama ini bukan main kemas dan handsome, tapi sekarang aku yakin seratus peratus yang aku lagi handsome dari kau.”

Moza hanya tertawa kecil. Begitu juga dengan Aliff yang sendiri terhibur akan gurauannya. Dawson pula hanya tersengih tidak faham.

“Tapi jangan pula kau beritahu orang yang aku kusut macam ni dalam rumah. Nanti jatuh saham aku,” ujar Moza pula sebelum diikuti dengan tawanya. Aliff hanya mengangguk.

“Alah, setakat kusut macam ni, apalah sangat. Apa orang kata, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena.”

“Amboi, bukan main lagi ayat kau tu ya?”

“Well, biasalah. Aku kan dah nak jadi ayah, jadi fikiran tu mungkin ada terbuka sikit.”

“Nak jadi ayah? Wah, tahniah Liff.” Aliff hanya mengangguk.

“Hah, kau tu bila pula nak kahwin? Takkan nak tunggu bulan jatuh ke riba baru kau nak cari isteri?” usik Aliff. Matanya sesekali melirik Dawson yang sedikitpun tidak bersuara.

“Aku? Entahlah Liff. Tak ada yang nak, nak buat macamana?”

“Kau jangan Moza. Sepatutnya kau buka pintu hati untuk perempuan diluar sana. Jangan terlalu ditutup rapat. Takut membujang sampai ke tua, nanti tak ada siapa yang nak menjaga kita.”

Moza hanya tersenyum. Faham benar dia akan maksud rakannya itu namun apalah yang mampu dibuatnya. Dia hanyalah seorang insan biasa yang tidak mampu berbuat apa-apa tentang jodoh. Jika sekalipun dia sudah mempunyai calon, belum tentu wanita itu akan menjadi miliknya dan semua itu sudah pernah dirasainya sejak teman wanitanya ketahuan mempunyai lelaki lain.

“Dahlah Moza. Kau lupakanlah si Maya tu. Mungkin dia dah bahagia sekarang. Kita sebagai lelaki terkacak didunia tak boleh merasa rendah diri. Kita sepatutnya bangkit dan mencari sesuatu yang lebih baik,” nasihat Aliff.

“Dah berapa lama kau ubah profession ni?” usik Moza.

“Erm... Baru je. Ish, pandai ye kau ubah topik?”

Moza hanya ketawa kecil. Geli benar hatinya sebaik mengusik Aliff yang bersikap sedikit lurus bendul. Aliff hanya mencebik tidak berpuas hati. Matanya masih lagi tertumpu pada Dawson yang tidak bersuara.


Yurina mengelamun jauh. Gelas kosong yang ada didepannya sedikitpun tidak terusik untuk dibawa kedapur. Bunga lily yang ditanam diluar sesekali bergerak mengikut arah angin. Sejak akhir-akhir ini, hujan sering turun.

Karyenna menghampiri satu-satunya pekerjanya itu. Kerusi kayu yang tersusun rapi di meja panjang ditepi dindingnya ditarik dan didudukinya. Yurina yang mengelamun masih tidak sedar akan kehadiran majikannya yang kini ada disebelahnya.

“Fikirkan siapa? Boyfriend ke?” tegur Karyenna. Dia turut memandang keluar kafenya.

Yurina tersedar dari lamunannya. Pantas dia menundukkan wajah dan merapikan rambutnya. Karyenna yang memandang hanya tersenyum. 

“Ada apa-apa masalah ke sampai tak sedar saya ada dekat sini?” tanya Karyenna.

“Maafkan saya. Tak sedar pula kakak ada dekat sini.”

Karyenna hanya tersenyum nipis. Dia kembali melemparkan pandangannya keluar kafe yang sudah sedikit berangin. Beberapa helai daun kering sudah terbang ditiup angin yang mula memendungkan bumi.

“Kalau ada apa-apa masalah, kamu boleh cerita dengan saya,” ujar Karyenna.

Yurina hanya tersenyum nipis. Dia kembali menunduk. Wajahnya turut mendung sama persis dengan awan diluar sana.

“Tak sangka sekarang dah musim hujan,” Karyenna mencuba untuk menukar topik perbualan. Kini beberapa titik air sudah mula jatuh dan menimpa tanah. Pokok bunga lily yang ditanamnya diluar kafe mula basah ditimpa hujan.

“Akak ada adik beradik tak?” tanya Yurina perlahan. Dia ingin mengetahui latar belakang majikannya.

“Tak ada. Saya anak tunggal,” jawab Karyenna.

“Maaf,” Yurina tiba-tiba meminta maaf.

“Kenapa ni Yurina? Saya tengok awak ni macam ada masalah.”

“Tak ada apalah kak. Saya cuma teringat dengan arwah kakak saya. Hari ini hari jadi dia,” ujar Yurina perlahan. Entah kenapa dia mula sebak.

“Innalillahhiwainnahilaiirajiun... Saya tak tahu pula kakak awak dah meninggal,” Karyenna sedikit terkejut.

“Tak mengapa kak. Setiap yang bernyawa pasti akan mati,” jawab Yurina dan Karyenna pantas mengangguk bersetuju.

“Arwah kakak awak ada sakit ke?”

“Dia menghidap leukimia,” jawab Yurina. Senyuman nipis cuba diukir.

“Tapi bukan itu saya fikirkan,” sambung Yurina. Karyenna mengerutkan dahinya.

“Jadi apa?”

“Saya cuma terfikir apa yang sedang dilakukan teman lelaki arwah kakak saya sekarang. Adakah dia sedang bergembira dan berseronok dengan rakannya yang lain setelah tinggalkan kakak saya?”

“Apa maksud kamu sebenarnya Yurina? Saya tak fahamlah,” ujar Karyenna.

“Dulu, kakak saya ada teman lelaki. Lelaki tu dah berjanji dengan kakak saya yang dia akan segera melamar kakak saya. Tapi sejak kakak saya masuk ke hospital dan disahkan mengidap leukimia, dia tiba-tiba hilang. 

Kakak saya menangis setiap hari. Saya pula terpaksa kesana kemari mencari lelaki itu tapi sampai sekarang saya tak jumpa. Kadangkala saya terfikir, mengapa lelaki tu sanggup mempermainkan hati kakak saya? Kenapa dia tak bersemuka dengan baik kalau dia benar nak putuskan hubungan?”

Karyenna diam. Isi hati pekerjanya membuatkan dia turut dilanda tanya tanya. Dia turut buntu hendak bersuara.

“Kenapa lelaki sekarang suka mengambil jalan mudah? Mereka tak fikirkan perasaan orang yang selama ini sayangkan mereka dengan setulus hati. Kadangkala saya geram dengan lelaki, sering bersikap ego walaupun itu memang salah mereka.”

“Erm... Yurina masih mencari lelaki tu ke?” tanya Karyenna ingin tahu dan Yurina menjawab dengan anggukan.

“Saya akan mencari selagi saya masih bernyawa. Saya akan tanya dengan dia, mengapa dia sanggup tinggalkan kakak saya? Kakak saya tak minta semua itu. Dia tidak minta dirinya dihinggapi penyakit macam tu,” jawab Yurina. Air matanya yang turun segera diseka.

“Tapi macamana kalau lelaki tu sendiri ada masalah?”

“Entahlah kak. Saya buntu sekarang. Apa yang saya nak hanyalah penjelasan mereka dan saya harap penjelasan mereka berbaloi untuk menjawab semua pertanyaan kakak saya. Mereka tak tahu kakak saya menangis dan menunggu setiap hari.”

“Sabarlah Yurina. Allah pasti akan membantu,” Karyenna merapat kearah pekerjanya. Perlahan belakang Yurina digosok mencuba untuk menenangkannya. 


Hujan yang lebat membuatkan Dawson menguap. Badannya yang terasa sejuk pantas disarungkan baju sweater hadiah dari adiknya. Alat penghawa dingin turut dimatikan. Begitu juga dengan kipas yang tergantung disiling biliknya.

Selimut tebal yang terlipat kemas turut diselak dan membungkus tubuh. Biarpun bajunya sudah berlapis dua, dia masih dapat merasakan rasa sejuk. Dia membaringkan badannya diatas katilnya yang besar dan luas. Dengan lampu yang dipasang menerangi ruang bilik, dia mencuba untuk melelapkan mata namun entah kenapa, dia mula terfikir akan seseorang. 

“Kenapa jantung aku berdegup kencang? Macam ada orang yang panggil nama aku?” Dawson berkata seorang diri. Tangan kanannya turut naik memegang dada.

Dia dapat merasakan ada seseorang menyebut namanya. Matanya perlahan ditutup mencuba untuk menenangkan degupan jantungnya sebelum akhirnya dia tertidur.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail