Dawson semakin membaik. Dia juga sudah sedar dari komanya selama seminggu setengah. Dia perlahan mengingati apa yang berlaku padanya sebelum ini. Moza pula tidak henti mengucap rasa syukur. Air matanya kembali tumpah kegembiraan.
“Selamat pagi Dawson. Macamana hari ni? Dah rasa semakin sihat?” tanya Dr. Illy.
“Erm... Rasa baik cuma kadangkala masih sakit kepala,” jawab Dawson perlahan. Dr. Illy serentak mengangguk.
“Awak kena buat rawatan susulan ya? Awak tak boleh balik rumah selagi tak dapatkan rawatan.”
“Rawatan apa doktor?” Dawson mula tertanya-tanya mengapa dirinya dilarang untuk balik.
“Kau kena tinggal dulu disini. Buat rawatan dan kalau perlu buat pembedahan,” terang Moza. Kedua tangannya memegang tangan abangnya erat berharap abangnya bersedia.
“Apa? Buat pembedahan? Aku tak nak,” Dawson pantas membantah. Dia tidak mahu melakukan pembedahan untuk membuang sel kansernya. Dia tidak mahu rambutnya luruh dan dilihat sebagai mayat hidup.
“Dawson, please. Sekali ini saja. Buat untuk aku, boleh?”
“Aku tak nak Moza. Aku tak nak rambut aku gugur. Badan akan jadi kurus macam hantu. Aku tak nak.”
“Dawson, semua tu effect sampingan saja. Bila sel kanser tu dah tak ada, semuanya akan kembali membaik,” ujar Dr. Illy pula. Dia faham apa yang menjadi kerisauan Dawson.
“Aku tetap tak nak. Kenapa perlu buat pembedahan?”
“Tolonglah Dawson. Tak kasihan ke dengan aku? Hanya kau satu-satunya abang yang aku ada dan aku nak buat yang terbaik untuk bantu kau,” Moza berusaha untuk memujuk.
Dawson diam. Wajah adiknya dipandang meminta kepastian. Dia mula berfikir akan permintaan adiknya itu namun apa yang tidak sepatutnya telah berlaku. Kepalanya kembali sakit. Rasa mencengkam yang begitu buas membuatkan dia tidak dapat menahan diri. Dia kembali mencekak rambutnya.
“Dawson!”
Dr. Illy tetap tenang. Sebuah jarum suntikan pantas diisi dengan ubat tahan sakit dan disuntik masuk menerusi hos yang menghubungkan air di kantong plastik ke branula yang ada ditangannya.
Dawson yang kesakitan mula merasa tenang. Rasa sakitnya mula hilang secara beransur-ansur. Nafasnya turun naik.
“Apa yang berlaku?” tanya Moza panik.
“Seperti biasa. Sel kanser bekerja lebih aktif sekarang,” jawab Dr. Illy.
Moza memandang abangnya yang lemah dan mula berpeluh. Dia tidak tahu bagaimana hendak memujuk abangnya agar membuat pembedahan dan melakukan rawatan.
“Moza...”
“Ya Dawson?”
“Betul ke kalau buat pembedahan, aku takkan rasa sakit kepala lagi?” tanya Dawson. Air matanya perlahan mengalir turun. Dari riak wajahnya dia seolah tidak sanggup menahan rasa sakit yang melampau.
Moza hanya mengangguk. Mulutnya kelu untuk menjawab. Dia kembali menangis di lengan abangnya. Dawson yang lemah hanya mampu menghela nafas. Entah mengapa dia merasa sesak untuk bernafas.
Dr. Illy mengeluarkan lampu suluh kecilnya. Diarahkannya lampu tersebut keanak mata Dawson. Dari pengalamannya, dia mendapati bahawa Dawson terkena sawan. Ritma nafasnya turut bercelaru.
Dengan pantas Dr. Illy memakaikan topeng pernafasan. Sebuah suntikan berisi ubat sekali lagi disuntik masuk kedalam hos kecil. Moza hanya mampu memandang apa yang dilakukan Dr. Illy.
“Macamana dengan Dawson?” tanya Moza sebaik Dr. Illy selesai.
“Biarkan abang kamu berehat dulu. Dia tak boleh berfikir banyak. Jika tidak, dia akan jadi seperti tadi.”
“Jadi macamana dengan pembedahan tu?”
“Kau cakap perlahan-lahan. Jangan sampai abang kamu stress. Nanti ianya akan mempengaruhi sel kanser tu. Buat masa sekarang, biarkan dia berehat.”
“Tapi...”
“Tak ada tapi-tapi. Abang kamu yang buat keputusan. Dia harus merelakan dirinya dibedah.”
Moza diam. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dikatakannya. Abangnya yang kini memakai alat bantuan pernafasan ditatapnya. Fikirannya kusut.
Dawson tergamam. Dia kini berada didalam sebuah kenderaan yang sedang bergerak dalam kelajuan 80 kilometer sejam. Di kiri kanannya, dia melihat beberapa batang pokok yang sedang lebat berbunga.
“Dawson sayang, nanti sampai di Jepun, telefon adik kamu ya?” satu suara dari tempat duduk hadapan didengarnya. Pantas dia menoleh.
“Mak?” Hanya itu yang keluar dari mulutnya. Dia bagaikan bermimpi dengan kehadiran ibu dan ayahnya.
“Kenapa ni? Ada yang tertinggal ke?” tanya Puan Hanis, Senyumannya diukir diwajahnya yang tampak menyejukkan mata.
“Kita nak kemana ni?” tanya Dawson. Pertanyaan ibunya sebelum ini tidak dijawabnya.
“Dawson dah lupa ke? Kan kita nak ke Jepun,” jawab Encik Irias pula. Sesekali dia memandang Dawson menerusi cermin belakang.
“Ke Jepun?” Dawson mula ingat.
“Mak, ayah, kita baliklah.”
“Balik? Kenapa ni?”
Baru sahaja Dawson ingin membuka mulut, sebuah kenderaan pacuan empat roda tiba-tiba memotong kenderaan mereka. Dengan pemanduan yang tidak menentu, kenderaan Navara berwarna hitam itu tiba-tiba membelok masuk ke laluan mereka dan menekan brek secara tiba-tiba.
Encik Irias yang tidak mampu mengawal kenderaaan pantas memusing sterengnya ke kiri. Kenderaannya terbalik beberapa kali dan melanggar beberapa buah kenderaan lain sebelum akhirnya berhenti disebatang pokok.
Dawson yang berada ditempat duduk belakang mencuba untuk menggerakkan badannya namun kedua kakinya tercepit. Darah yang mengalir dari kepalanya yang terhantuk mula membuatkan pandangannya berpinar.
Walaupun pandangannya sudah samar, dia dapat melihat seorang lelaki dan wanita datang menghampirinya. Bantuan yang diharapkan dari kedua orang tersebut sama sekali tidak diterima. Yang diperolehi hanyalah kata-kata kesat dan sumpahan.
Dawson juga ingat jika lelaki itu menyebut nama adiknya. Dia tidak menyangka jika lelaki itu merupakan teman kepada adiknya dan mahu Moza mati demi memenuhkan rasa puasnya.
Darah yang mengalir keluar tidak dapat menahan dirinya dari terus sedar. Dia akhirnya menutup mata. Kepalanya terasa begitu menyakitkan namun tiada apa yang mampu dilakukan.
Dawson terjaga dari tidur. Peluhnya mengalir membasahkan badannya. Alat bantuan pernafasan yang dipakainya pantas dilepaskan. Walaupun suhu bilik rendah, dia merasakan haba yang panas. Nafasnya mula tercungap-cungap mencari oksigen.
Sebotol air mineral dicapai dan diteguknya beberapa kali. Tekaknya terasa begitu haus. Adiknya yang sedang tidur disisinya tidak terusik. Dari riak wajah, dia tahu kalau adiknya terasa penat.
Tiba-tiba dia batuk. Seraya dengan itu Moza terbangun dari tidurnya. Dia terkejut sebaik melihat abangnya telah duduk dengan tangan menutup mulutnya.
“Kau dah bangun?”
Dawson hanya diam. Rasa batuk mula membuatkan rasa sakit kepalanya datang. Walaupun tidak sebuas sebelumnya, dia tetap risau.
“Biar aku panggilkan doktor,” ujar Moza namun Dawson pantas menahan. Lengan adiknya ditahan. Kepalanya turut menggeleng.
“Tak perlu.”
Moza kembali duduk. Wajah pucat abangnya ditatap. Hatinya luluh melihat abangnya yang tidak seperti dahulu.
“Betul ke kalau buat pembedahan, aku takkan rasa sakit kepala lagi?” tanya Dawson. Suaranya mula terdengar mendatar.
“Ya. Doktor akan buang semua sel kanser tu dan kau akan kembali sihat seperti biasa,” jawab Moza.
“Tapi macamana dengan rambut? Ia akan tumbuh balik ke? Aku tak nak botak.”
Moza hanya tersenyum. Dia seolah dapat meneka jika abangnya kini bersetuju untuk membuat pembedahan membuang sel kanser tersebut.
“Kau janji dengan aku kan Moza?”
“Ya. Aku janji. Aku takkan kemana-mana,” balas Moza. Tangan abangnya digenggam.
“Kalau aku tak selamat, kau jangan sedih ya?”
“Apa yang kau mengarut ni? Kau akan selamat,” Moza kembali sebak. Dia tidak sanggup mendengar perkataan mati.
“Aku tak suruh kau nangis tau,” ujar Dawson.
“Janganlah cakap pasal tu. Aku tak nak hilang kau.”
“Tapi kalau aku tak dapat lawan, kau kuburkan aku sebelah kubur mak dengan ayah ya?”
Moza kini menangis. Permintaan abangnya itu baginya terlalu menakutkannya. Dawson hanya tersenyum nipis. Mimpi bertemu dengan kedua orangnya bagaikan tanda. Dan dia kini redha jika harus pergi dalam keadaan sedemikian rupa.