Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 44

Moza tergelak besar sebaik selesai mendengar cerita Aryan. Aryan pula hanya mencebik tidak berpuas hati. Badannya kembali disandar ke kerusi yang didudukinya. Sesekali dia mendengus dan melepaskan keluhan.

“Ketawalah Moza… Sementara kau masih ada niat nak ketawakan aku,” ujar Aryan. 

“Apalah kau ni Aryan. Benda kecil macam tu pun kau susah nak faham? Nama je lelaki paling kacak seasia tapi otak lembab.”

"Apa boleh buat Moza... Aku tak sepintar kau untuk faham apa yang dimaksudkan wanita,” Aryan merendahkan dirinya. 

Moza hanya tersenyum mendengar keluhan rakannya. Fail yang ada diatas meja dicapai lalu bangun dari kerusi. Kot yang dipakainya kembali dirapikan.

“Tak payah nak merendah diri sangat Aryan. Kau bukannya bodoh sangat sampai tak faham sindiran orang. Tapi sepatutnya kau janganlah bersikap macam tu lagi. Sekarang kau dah jadi tunang orang, lepas tu suami orang. Ubahlah perangai, mana yang baik simpan dan yang tak baik buang jauh-jauh,” nasihat Moza.

“Bukannya senang nak ubah perangai.”

“Tahu tapi bermulalah dari sekarang. Mana tahu kau akan jadi lebih baik dari aku. Silap haribulan kau boleh rampas gelaran lelaki terkacak sedunia dari aku,” ujar Moza separuh bergurau. Dia tidak mahu melihat wajah rakannya yang hilang dengan senyuman.

“Banyaklah kau punya kacak sedunia. Muka kau lebih kurang Oza,” jawab Aryan.

“Amboi, jangan nak samakan aku dengan Oza ye? Dia tu lain, limited edition tu.”

“Dahlah, aku nak sambung kerja dulu. Nanti masuk pejabat aku tau, ambil fail ni,” sambung Moza. Aryan hanya mengangguk dan memandang Moza keluar dari pejabatnya. Keluhan kasar perlahan dilepaskan. Laptopnya kembali ditatap.


Moza turun ke basement. Dia mahu singgah di butiknya. Beberapa orang pekerjanya yang melintas pantas dilemparkan senyuman. Begitu juga dengan beberapa orang awam yang keluar masuk ke butiknya yang kini sedang menjual pakaian rekaannya.

Senyumannya tidak lepas dari terus terukir sebaik masuk kedalam butiknya. Sesekali dia menyapa para pelanggannya yang asyik memilih baju. Dengan isyarat, dia memanggil Amy yang bertugas di kaunter penjualan. Dengan pantas Amy mendapatkan majikannya.

“Ambil ni,” Moza mengunjukkan fail yang dibawanya dari pejabat Aryan. Amy pantas mencapai dan kembali ke kaunter.

“Moza...”

Moza berpaling. Dia sedikit terkejut dengan kehadiran Datin Yusva. Apatah lagi dengan adanya seorang lelaki kacak dan berwajah muda seperti baru berumur 20an.

“Datin Yusva, lama tak nampak?” 

“Ya Moza. Saya sibuk sebab tu jarang memperlihatkan diri. Wah, dengar kata you ada launching pakaian baju. Tak sangka you cekap dalam bekerja,” puji Datin Yusva. Tangannya erat merangkul lengan lelaki muda itu.

“Terima kasih Datin. Biasalah, idea yang ada kenalah cepat kembangkan takut hilang pula,” jawab Moza. Dia masih lagi melirik pada lelaki muda yang ada disebelah Datin Yusva itu.

“Oh ya, lupa pula nak kenalkan. Ini boyfriend saya, nama dia Danish. Sayang, ini Moza, pereka fesyen yang sering menjadi pilihan baby untuk dapatkan baju yang terbaik,” Datin Yusva memperkenalkan pasangannya pada Moza dan begitu juga sebaliknya.

Moza pantas menghulurkan tangan dan Danish kembali menyambut. Senyuman lebar diukir.

Boyfriend? Biar betul budak ni? Dia tak tahu ke kalau girlfriend dia ni sebenarnya lelaki? Moza berkata didalam hati. Senyumannya masih diukir lebar.

“Satu lagi, ini kad kahwin saya. Ada masa datanglah. Tapi untuk majlis tu saya nak awak buatkan baju untuk saya. Baju yang spesial. Maklumlah, itu hari bahagia saya jadi saya perlukan yang terbaik,” ujar Datin Yusva. Danish mengangguk.

“Kahwin? Datin dah nak kahwin? Wah, tak sangka dalam diam Datin ada plan terbaik,” Moza sedikit terkejut namun riak wajahnya dikawal. Dia tidak mahu Datin Yusva terkecil hati.

“Well, ini sayalah Moza. Daripada tunggu lama-lama lebih baik dihalalkan bukan?”

Moza hanya tersengih. Dengan perlahan dia mengangguk terpaksa bersetuju walaupun didalam hati, dia menyumpah kegelian. Wajah Danish dipandangnya dengan penuh kasihan. Ingin saja dia memberitahu perkara yang sebenar tapi tidak pula mahu mengguris hati Datin Yusva. Silap haribulan dia boleh dicemuh dan dibenci orang.

“Moza, kau okay ke?” Datin Yusva menjentikkan jarinya didepan wajah Moza. Moza pantas tersedar.

“Datin jangan risau. Saya akan usahakan apa yang terbaik. Tapi bila hari perkahwinan Datin?”

“Erm... Dalam tiga bulan lagi.”

“Okay. Saya akan inform kalau baju Datin dah siap. Tapi kalau boleh esok atau lusa, datanglah lagi. Saya akan ambil ukuran,” ujar Moza.

“Kalau sekarang tak boleh ke?” pinta Danish.

“Hah? Sekarang? Erm... Bukan tak boleh tapi sekejap lagi saya ada urusan diluar. Nak suruh Oza, dia sendiri pun ada kursus diluar jadi kalau boleh datanglah esok atau lusa. Sekurang-kurangnya saya boleh uruskan jadual,” terang Moza. 

“Sayang, tenanglah. Kasihan pula dengan Moza. Dia kan banyak kerja,” ujar Datin Yusva pula. Danish mengangguk perlahan. Tangan teman wanitanya dibelai lembut. Moza yang melihat tingkah tersebut berusaha untuk menenangkan diri.

“Okaylah sayang. Kalau macam tu, esok atau lusa kami akan datang.”

Moza pantas mengangguk. Senyumannya masih tidak lekang melihat pasangan pengantin itu. Kad undangan berwarna biru muda dipegangnya erat. Dia kini mempunyai kerja yang bertambah. Pertama, dia harus menyiapkan baju pengantin untuk anak perempuan Tuan Brian dan yang kedua, dia harus menyiapkan baju pasangan pengantin untuk Datin Yusva dan kekasihnya. 


Shua mengetap bibirnya dengan kuat. Dia kini tahu siapakah yang menyebabkan abangnya terpaksa mengakhiri nyawanya ditali gantung. Dia tidak dapat menerima kenyatan bahawa dia kini tidak mempunyai abang. Amaran kakaknya tidak dapat melembutkan hatinya yang sudah keras dan berdendam.

“Dengar ya Shua, kalau kakak tahu kamu ada buat apa-apa, kakak takkan teragak-agak untuk heret kau ke penjara.”

“Shua tak peduli!”

Masih terngiang-ngiang akan amaran kakaknya yang berpangkat Koperal. Dia tidak kisah sekiranya dia harus masuk kedalam penjara dan mengikut jejak abangnya. Yang pasti dia mahu dendamnya terbalas. Dia mahu membalas apa yang dilakukan pada abangnya. Dia mahu orang tersebut merasai apa yang dirasainya.

“Shua...”

Puan Rachel memanggil dari dalam rumah. Shua mendengus kasar. 

“Makan dulu Shua,” panggil Puan Rachel lagi.

“Shua tak lapar,” jawab Shua. Seleranya untuk menjamah makanan hilang. 

“Makanlah sikit, nanti sakit pula,” ujar Feby pula. 

Shua diam. Dia masih tetap dengan egonya. Langkahnya sedikitpun tidak berganjak dari balkoni apartment milik abangnya. 

“Shua...”

Shua mendengus kasar. Dengan pantas, dia masuk kedalam rumah dan mencapai kunci kenderaan abangnya lalu keluar. Puan Rachel dan Feby hanya memandang hairan. Pintu yang dihempas kuat mengejutkan keduanya.

“Kenapa dengan adik kamu Feby?” tanya Puan Rachel.

“Entahlah ma. Mungkin dia masih tak dapat lupakan Andy. Dia kan rapat dengan Andy,” jawab Feby. Sesudu nasi mula dimasukkan kedalam mulutnya.

“Kamu tengok-tengokkanlah adik kamu tu ya Feby? Mama risau jika dia buat sesuatu yang tak baik.”

Feby hanya mengangguk. Dia sudah berjanji untuk sentiasa mengawasi adik lelakinya itu.

“Mama tak sangka Andy sanggup buat macam tu. Hanya kerana dendam sebab tak berpuas hati, dia sanggup korbankan orang yang tak bersalah.”

“Sebenarnya yang mati bukanlah korban utama. Andy tidak merancang untuk membunuh ibu bapa rakannya. Dia hanya mahu mengorbankan Moza tapi Tuhan berkehendak lain. Kenderaan yang dinaiki ibu bapa Moza sama sekali tidak membawa Moza,” terang Feby.

“Mama dengar ada seorang yang selamat dari kemalangan tu?”

“Ya, abang Moza. Namanya Dawson. Dia koma selama tiga tahun dan Andy sangka Dawson telah meninggal sehinggalah Dawson kembali sedar dalam lapan bulan yang lalu.”

“Andy, Andy. Mama tak sangka kamu sanggup buat macam tu. Kenapalah kamu harus buat macam tu?” Puan Rachel mula menangis. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku pada anak sulungnya. Dia tidak menyangka Andy sanggup merampas kebahagian orang lain demi kepentingan sendiri.

“Dahlah ma. Tak perlu fikirkan lagi. Semuanya dah selesai. Rakan subahat Andy pun dah tertangkap,” Feby bangun dari kerusinya dan menghampiri Puan Rachel. Perlahan dia menggosok belakang ibunya.


Kenderaan abangnya dipandu dengan laju. Dia tidak peduli akan lampu isyarat yang sudah bertukar merah. Beberapa buah kenderaan yang membunyikan hon sama sekali tidak membuatkan dia berjaga-jaga apatah lagi dengan kehadiran pegawai polis trafik yang sudah mengejarnya dari belakang menggunakan motor berkuasa besar.

Bunyi siren yang kuat memaksa Shua untuk memberhentikan kenderaan yang dipandunya ditepi jalan. Dua orang pegawai polis trafik dengan pantas menghampirinya.

“Encik, tolong keluar dari kereta sekarang,” pinta salah seorang pegawai polis trafik. Didada kirinya tertera namanya, Adnan.

“Boleh tunjukkan kad pengenalan dengan lesen memandu?” ujar Koperal Adnan lagi. Rakannya mula memeriksa kenderaan yang dipandu Shua.

Shua pantas mengeluarkan dompetnya dan mengeluarkan kad pengenalannya. Koperal Adnan mula menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya. Wajah Shua mula dibandingkan dengan gambar yang ada di kad pengenalannya.

“Lesen?”

“Tak ada,” jawab Shua kasar.

“Tak ada lesen? Wah, berani awak bawa kereta tanpa lesen? Siap langgar lampu merah lagi.”

Shua hanya mendengus kasar. Pandangannya dialih kearah lain.

“Awak tahu tak tindakan awak ni membahayakan pengguna yang lain? Awak ada ambil dadah ke?” tanya Koperal Adnan.

Shua sama sekali tidak menjawab pertanyaan Koperal Adnan. Sikap dingin Shua sudah mula membuatkan Koperal Adnan berang. Dia memanggil rakannya, Koperal Rio dan membisikkan sesuatu. Koperal Rio hanya mengangguk.

“Saya nak periksa kenderaan awak,” ujar Koperal Adnan dan Shua terkejut.

“Eh, kenapa pula nak periksa? Apa yang awak nak cari?” 

“Kenapa? Awak ada bawa barang terlarang ke?”

“Eh, awak tak boleh main suka hati periksa kenderaan saya tau,” marah Shua. Koperal Adnan mula ditariknya dengan kasar.

“Kawal diri awak. Kalau awak tak ada bawa sesuatu yang terlarang, awak tak perlu takut. Biarkan saya periksa sekejap,” ujar Koperal Adnan. Dia tetap tenang walaupun diherdik oleh Shua yang lebih muda darinya.

Shua mendengus dengan kasar. Dia terpaksa membiarkan kedua pegawai polis trafik itu memeriksa kenderaannya. Beberapa orang pengguna jalan raya yang melintas mula memandangnya dengan penuh tanda tanya. Tidak kurang juga dengan seorang dua yang mengangkat ibu jari seolah mengejeknya.

Koperal Rio yang sibuk memeriksa laci dashboard terkejut sebaik melihat sebungkus pil berlainan warna. Dengan pantas dia memanggil Koperal Adnan dan menunjukkan bungkusan tersebut.

“Apa ni?” Koperal Adnan menunjukkan bungkusan yang diterimanya dari rakannya pada Shua. Shua terkejut.

“Saya tak tahu,” jawab Shua. Dia sendiri terkejut dengan apa yang ditemukan pegawai polis trafik tersebut.

“Macamana pula awak tak tahu? Kan awak yang bawa kereta.”

“Hei, ini kereta abang saya. Saya cuma pakai hari ni saja,” jawab Shua.

“Jadi mana abang awak sekarang?”

“Abang saya dah mati!”

“Jangan nak bergurau. Maaf, tapi saya terpaksa tahan awak.”

Koperal Adnan mengeluarkan gari yang ada tergantung dipinggangnya. Shua mula panik. Dia benar-benar tidak tahu akan kewujudan sebungkus pil tersebut. Dia mencuba untuk meronta namun genggaman Koperal Adnan terlalu kemas.


Feby terkejut sebaik mendapat panggilan dari rakan sekerjanya mengenai penangkapan adiknya. Pantas dia mengangguk tanda faham.

“Ma... Feby terpaksa balik ke balai dulu,” ujar Feby meminta diri. Dia tidak mahu memberitahu apa yang telah berlaku pada Shua.

“Kamu ada kes lagi ke?”

“Ya ma tapi mama jangan risau, Feby akan pergi sekejap saja.”

Puan Rachel mengangguk perlahan. Dia terpaksa mengalah kerana dia tahu, kerja sebagai seorang anggota polis begitu membebankan.

“Jangan lupa kunci pintu ya ma?” Feby mencium dahi Puan Rachel. Sehelai jaket berwarna hitam dicapai. Begitu juga dengan kunci kenderaannya.

Puan Rachel dengan perlahan melepaskan keluhannya. Siaran televisyen kembali ditonton setelah anak perempuannya keluar. Dia lupa akan Shua yang masih tidak pulang.


Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail