Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 23

Sinar matahari yang masuk menembusi langsir membuatkan Moza tersedar dari tidurnya. Perlahan dia menggosok matanya yang membengkak dan sembab. Sebelah tangannya mula digerakkan dan meraba ke sebelahnya namun kosong.

Moza bingkas bangun. Dia terkejut apabila abangnya tiada disebelahnya. Dengan pantas, dia menyelak selimut yang membungkus dirinya dan berlari keluar dari bilik tersebut.

Satu persatu anak tangga dituruni dengan pantas. Dia bergegas menuju kearah bilik penjaganya. Dia mahu Pak Ehsan membantunya untuk mencari abangnya.

“Pak cik!”

Pak Ehsan yang terkejut dengan jeritan Moza segera bergegas keluar. Dia terkejut sebaik melihat Moza berlari kearahnya dengan tercungap-cungap.

“Kenapa ni Moza?” tanya Pak Ehsan. Dipandangnya wajah Moza dengan penuh kehairanan. Kain pelikat yang masih dipakainya segera dirapikan dan diikat ditepi pinggangnya.

“Pak cik, Dawson tak ada!” 

“Apa yang kamu mengarut ni? Kamu tak nampak ke abang kamu ada didapur tu?” ujar Pak Ehsan sambil menunjuk kearah dapur. Moza pantas menegakkan kepalanya seperti cerpelai.

“Didapur? Dia buat apa?”

“Katanya tadi dia nak masak,” jawab Pak Ehsan. Dia mula mengorak langkah dan menuju kearah dapur. Moza hanya menurut.

“Dawson nak makan? Dia dah okay ke?”

“Dari apa yang pak cik tengok, dia dah okay.”

Pak Ehsan dan Moza masuk kedalam dapur. Mereka dapat melihat Dawson sedang menyiang beberapa ekor ikan tongkol. Dawson berpaling dan segera mengukir senyuman sebaik melihat adiknya masuk kedalam dapur bersama penjaganya.

“Hai Moza,” ujar Dawson sambil tersenyum lebar. Moza hanya tercengang hairan.

“Kamu nak masak apa Dawson?” tanya Pak Ehsan. Dia menghampiri Dawson yang menyiang ikan.

“Pak cik nak makan apa? Hari ini biar saya yang masak,” ujar Dawson. Pak Ehsan hanya tersenyum.

“Kamu masaklah apa yang kamu nak masak. Janji kamu tak masak batu atau kayu,” jawab  Pak Ehsan separuh mengusik.

“Okay. Pak cik duduklah dulu. Saya ada buat air kopi tu. Pergilah minum.”

Pak Ehsan menghampiri meja makan. Sebuah kerusi ditarik keluar dari bawah meja sebelum didudukinya. Moza yang masih tercengang dipandangnya.

“Eh, Moza, takkan nak tercegat disitu? Pergilah minum. Masih panas lagi air kopi tu,” ujar Dawson apabila melihat adiknya yang hanya berdiri kaku memandangnya.

“Kau demam ke Dawson?” tanya Moza. Dihampirinya Dawson lalu disentuhnya dahi abangnya. Dawson mula kehairanan.

“Mana ada aku demam. Kau kot yang demam,” jawab Dawson kembali. Dia segera mengalihkan tangan adiknya yang memegang dahinya.

“Dahlah, kau pergi minum dulu,” sambung Dawson. Dia turut menolak lembut badan adiknya agar menghampiri penjaganya yang sudah menuang air kedalam dua gelas cawan kaca.

“Bila Dawson bangun? Dia ada cakap yang dia ada sakit kepala atau apa?” tanya Moza pada penjaganya. Pak Ehsan hanya menggeleng.

“Alhamdulillah. Tak ada pula abang kamu mengadu apa-apa. Cuma dia kata kepala dia pening sikit bila bangun tidur,” jawab Pak Ehsan. 

“Pening? Jadi dia dah makan ubat dah?”

“Katanya dah.”

“Jangan risaulah Moza. Aku okay. Setakat pening bila bangun tidur tu perkara biasa je,” sampuk Dawson sambil tersenyum.

“Kalau sakit beritahu, jangan diam saja,” ujar Moza. Dia menoleh memandang abangnya yang sudah mula membasuh ikan yang disiangnya.

“Ya, aku akan beritahu.”

“Hari ini kau pergi hospital ya?”

“Buat apa? Ubat aku masih banyak lagi,” Dawson mula tertanya-tanya kenapa adiknya meminta dirinya untuk pergi ke hospital.

“Kau kena dapatkan rawatan Dawson. Kau kena buat terapi,” beritahu Moza.

Dawson berhenti dari terus membasuh ikan yang telah disiangnya. Perlahan dia melepaskan keluhannya. Tangannya yang basah dilap pada apron yang dipakainya.

“Boleh tak kalau aku tak nak buat rawatan tu?” pinta Dawson sebaik berpusing memandang adik dan penjaganya.

“Kenapa pula? Kamu kena buat rawatan tau Dawson,” sampuk Pak Ehsan pula.

“Saya tahu pak cik tapi saya rasa belum bersedia lagi. Dan saya rasa saya tak perlukannya sekarang,” jawab Dawson.

“Sampai bila kau nak bersedia? Itu untuk kebaikan kau Dawson. Kau ada kanser dan kau tak boleh main-main. Takkan kau nak tunggu kanser kau sampai tahap empat?” ujar Moza pula.

“Kau tak faham Moza. Aku memang tak nak buat semua tu. Dari apa yang aku baca, semua tu menyakitkan. Rambut aku akan gugur, badan jadi kurus bagaikan mayat hidup. Aku tak nak semua itu terjadi pada aku. Aku tak nak,” Dawson berterus terang.

“Dawson, tak semua tu akan berlaku pada kamu kalau kamu buat rawatan. Kalau Allah berkehendak lain, kamu tak akan jadi seperti mana yang kamu kata tu. Kamu tetap takkan berubah malah semakin sihat,” ujar Pak Ehsan tenang. Dia berusaha untuk memujuk Dawson.

Dawson diam. Dia mula memikirkan kata-kata penjaganya itu. Dipandangnya wajah adiknya yang hanya diam menatapnya.

“Kau buat rawatan ya? Aku temankan kau nanti,” ujar Moza. Dia mahu abangnya kembali sembuh dari kanser yang dihidapinya.

“Nanti aku fikirkan,” jawab Dawson perlahan. Dia masih tidak mampu memberi jawapan. Walaupun hatinya sudah mula memberi kata setuju tetapi tubuhnya masih tetap enggan menerima rawatan tersebut.

“Dahlah tu Dawson. Tinggalkan dulu kerja kamu tu. Mari sini. Kita minum bersama,” panggil Pak Ehsan. 

Dawson hanya menurut. Apron berwarna biru muda yang dipakainya segera dilepaskan dan diletakkan diatas meja dapur. Langkahnya diatur perlahan menghampiri penjaganya dan duduk bersebelahan dengan adiknya.

Sebuah gelas yang tersusun diatas meja dicapai dan dengan penuh berhati-hati, Pak Ehsan menuang air kopi yang dibancuh oleh Dawson. Dawson hanya diam merenung air kopi yang masuk kedalam gelasnya.

“Dawson.”

Dawson tersentak. Dipandangnya wajah adik dan penjaganya silih berganti. Dengan perlahan dia melepaskan keluhan yang panjang.

“Marilah minum. Nanti biar adik kamu tolong kamu masak,” ujar Pak Ehsan. Dawson hanya diam.

Pak Ehsan mencapai gelasnya yang berisi dengan air kopi. Dengan perlahan, dia meniup lembut air kopi yang masih panas itu dan menghirupnya. Namun tanpa disangka, air kopi yang masuk kedalam mulut Pak Ehsan kembali terhambur keluar.

Dawson dan Moza terkejut. Dipandangnya wajah penjaganya dengan penuh tanda tanya. Pak Ehsan segera mengelap mulutnya yang penuh dengan sisa air kopi yang keluar dari mulutnya.

“Kamu letak apa ni Dawson?” tanya Pak Ehsan. Dawson diam sementara Moza mula mengalihkan pandangannya memandang abangnya.

“Kenapa?” tanya Moza ingin tahu. 

“Cuba kamu rasa air kopi kamu tu,” ujar Pak Ehsan. Moza hanya menurut. Air kopi yang dibancuh abangnya dihirup perlahan namun kembali keluar. Air yang dirasai terlalu masin membuatkan lidahnya terjulur keluar.

“Kau letak garam ke?” tanya Moza. 

“Mana ada. Aku letak gula tadi,” jawab Dawson. Dia turut mencapai gelas yang ada didepannya. Dihirupnya sedikit namun wajahnya turut berkerut tidak lama kemudian. Dengan pantas dia berlari menuju ke singki dan segera berkumur.

“Gula apanya yang masin?”

“Aku salah letak ke?” Dawson segera menghampiri beberapa buah botol kaca yang tersusun kemas pada sebuah almari. Tangannya pantas mencapai sebuah bekas dan membawanya kembali kearah Moza dan penjaganya.

“Ini ke yang kamu letak?” tanya Pak Ehsan dan Dawson hanya mengangguk.

“Ini garam Dawson,” ujar Moza lagi setelah membelek bekas tersebut.

“Garam?” Dawson meminta kepastian. Matanya mula digosok perlahan namun entah kenapa penglihatannya semakin kabur dan menyukarkannya untuk membezakan mana-mana bekas yang kelihatan sama.

“Kau kenapa?” tanya Moza lagi apabila melihat Dawson yang bagaikan orang kebingungan.

“Sorry, aku tak nampak dengan jelas sebenarnya. Aku sangka ini gula. Tak apalah, nanti aku buat yang baru,” ujar Dawson. 

“Tak apalah Dawson. Kamu berehatlah dulu. Biar pak cik yang buat,” potong Pak Ehsan pula. Dia tidak mahu Dawson memenatkan dirinya.

“Tak apa. Biar saya buat sekejap,” Dawson tetap berkeras. Jag yang masih penuh berisi dengan air kopi segera dibuang kedalam singki.

Pak Ehsan hanya menggeleng melihat kedegilan Dawson. Moza hanya mendengus kasar. Dia tidak tahu samada hendak membiarkan atau membantunya. 

“Kamu tak masuk pejabat hari ni Moza?” Pak Ehsan menukar topik perbualan.

“Masuk tapi saya cadang nak masuk lambat sikit. Nanti biar saya yang temankan Dawson pergi hospital. Pak cik duduk saja dirumah,” jawab Moza.

Pak Ehsan hanya mengangguk. Sekeping roti yang berada diatas meja dicapainya lalu disapu dengan kaya. Digigitnya roti tersebut dan dikunyah perlahan. Moza hanya mendengus melihat abangnya yang mula membelek beberapa bekas.


Dihospital, Dawson hanya mendiamkan diri dan membiarkan Dr. Illy memeriksanya. Sesekali matanya liar memandang adiknya yang ada disebelahnya.

“Dawson, awak okay hari ini?” tanya Dr. Illy sekaligus mematikan lamunan Dawson.

“Okay,” jawab Dawson pendek.

“Apa kata kalau kita buat CT Scan lagi sekali?” pinta Moza. Dr. Illy dan Dawson serentak menoleh.

“Kenapa nak buat lagi? Keputusan tetap sama,” ujar Dawson.

Dr. Illy hanya tersenyum nipis. Dia faham mengapa Moza meminta untuk abangnya kembali melakukan pemeriksaan.

“Saya cuma rasa tak percaya pula,” ujar Moza. Dia masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa abangnya kini mengidap tumor otak tahap kedua.

“Semua ni dah jadi ketentuan Allah, Moza. Kita sebagai manusia hanya mampu berdoa meminta kesembuhan dariNya. Dan setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya,” ujar Dr. Illy.

“Jadi rawatan apa yang terbaik untuk buang tumor otak ni?” tanya Moza setelah sekian lama mendiamkan diri.

“Ada banyak. Salah satunya adalah operation. Dan yang lain lebih kepada terapi seperti terapi radiasi, kemoterapi, radiosurgeri dan juga tomotherapi.”

Dawson menggaru kepalanya. Sedikitpun dia tidak faham apa yang dikatakan wanita itu. 

“Kita kena pantau dulu tumor tu. Kalau tumor tu tak merebak jauh, kita boleh buat terapi atau pembedahan.”

“Kalau buat pembedahan, risikonya tinggi?”

“Moza, aku tak nak dibedah tau. Kau tak tahu betapa sakitnya kena pisau,” sampuk Dawson seraya menggamitnya. Moza hanya tersenyum nipis.

“Kalau buat pembedahan, ianya hanya akan melibatkan pembukaan tengkorak. Kita akan potong tumor tu dari tisu yang normal supaya dia tidak merebak lebih jauh,” terang Dr. Illy.

“Erm... Maaflah ya, tapi biarlah saya keluar dulu. Saya tak nak dengar cerita pasal bedah-bedah ni. Bye,” Dawson bangun dan melangkah keluar dari pejabat. Hatinya gerun mendengar kata-kata Dr. Illy yang ingin membuka tengkoraknya. Seraya itu juga dia memegang kepalanya.

Moza hanya melepaskan keluhan kecil. Dia tidak tahu apakah jalan yang terbaik untuk membuang tumor yang ada dikepala abangnya. Dia buntu.



Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail