Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 24

Cuaca yang tadi cerah menyinari alam mula bertukar menjadi mendung dan gelap. Awan hitam sudah mula bergerak perlahan seolah ingin membuang semua air yang ada didalamnya. Burung-burung yang berterbangan riang turut mula mencari tempat untuk berteduh. Begitu juga dengan beberapa orang awam yang mula berlari anak dan mengelakkan diri daripada basah.

Air hujan yang tadi renyai kini bertukar lebat. Yurina hanya duduk diam dan membatukan diri di sebuah perhentian bas yang sering menjadi tempat untuknya menunggu bas. Beberapa orang awam turut berlari anak dan menumpang untuk berteduh.

Yurina merenung air hujan yang turun menimpa jalan raya. Beberapa buah kenderaan yang hanya lalu tidak dipedulikannya. Keadaan yang turut bertambah sejuk membuatkan dia semakin erat memeluk beg galasnya.

“Kenapa pula hujan ya? Seingat aku, ramalan kaji cuaca cakap hari ini cerah saja,” ujar salah seorang lelaki yang turut menumpang teduh pada rakannya.

“Entahlah Lan. Ini semua kuasa Tuhan. Kita sebagai manusia, apa yang kita tahu,” jawab rakan lelaki tersebut. Lelaki tersebut hanya mengangguk.

Yurina hanya diam. Sebuah bas mula menghampiri sebelum akhirnya berhenti betul-betul dihadapan perhentian bas tersebut. Dengan pantas, orang awam mula berduyun-duyun naik dan memenuhkan tempat duduk didalam bas tersebut sementara Yurina masih tidak berganjak.

“Cik tak nak ikut?” tanya pemandu bas tersebut yang sudah lama mengenali Yurina.

“Tak apalah pak cik. Nanti saya balik,” jawab Yurina. Entah mengapa dia tidak bersemangat.

“Kamu bawalah payung ni. Nanti demam pula kamu,” pemandu bas tersebut menghulurkan sekaki payung kepada Yurina menerusi tingkapnya. Yurina dengan pantas mencapai payung tersebut.

“Terima kasih pak cik. Nanti saya pulangkan,” ujar Yurina berterima kasih.

Pemandu bas itu hanya mengangguk dan kembali memandu basnya tidak lama kemudian. Yurina hanya tersenyum dan membiarkan bas tersebut dipandu pergi meninggalkannya. Senyumannya semakin lebar sebaik melihat payung yang berwajah animasi Pokemon ditambah lagi dengan sedikit telinga diatasnya.

“Pak cik ni macam budak-budak. Suka dengan Pikachu,” ujar Yurina seorang diri.

“Awak bercakap dengan siapa Yurina?” tegur seseorang dari belakang. Yurina yang terkejut segera berpaling.

Air liur tertelan dengan sendirinya. Dia kaku dengan seseorang yang berdiri didepannya. Perlahan dia mengukir senyuman nipis sebelum kembali duduk di kerusi yang ada.


Karyenna hanya tersenyum geli hati melihat betapa terkejutnya Yurina sebaik melihatnya. Secawan teh hijau dari Jepun perlahan dihirup. Rasa panas dari air teh membuatkan dirinya tidak lagi merasa sejuk.

“Minumlah Yurina. Nanti sejuk tak sedap pula,” ujar Karyenna.

“Err... Mana kakak tahu saya ada disana tadi?” tanya Yurina. Dia masih lagi tidak mengusik air teh hijau yang ada didepannya.

“Saya ternampak kamu tadi. Jadi saya tegurlah. Kamu ada tunggu sesiapa ke sebenarnya?”

“Tak ada,” jawab Yurina. Kepalanya turut digeleng.

“Dah tu kenapa tak ikut bas tu tadi? Dari yang saya tengok, bas tu masih ada ruang,” ujar Karyenna. Dia sedikit tertanya mengapa pekerjanya itu tidak naik kedalam bas seperti mana penumpang yang lain.

“Oh, saya cuma rasa belum nak balik.”

Karyenna melepaskan keluhan kecil. Air teh hijau kembali dihirup perlahan. Dia turut mengalihkan pandangannya ke luar kafe menerusi cermin tebal yang diperbuat daripada kaca. Diluar, hujan masih turun dengan lebat. Guruh turut kedengaran dari celah awan.

“Kak...”

Karyenna kembali memandang pekerjanya. Dahinya sedikit dikerutkan.

“Kenapa ni Yurina? Awak macam ada masalah je.”

“Akak pernah jadi model tak?” tanya Yurina perlahan.

“Model?” Karyenna terkejut.

“Rasanya tak pernah. Lagipun akak tak minat nak jadi model. Kenapa? Yurina nak jadi model ke? Akak boleh beritahu dengan Moza,” sambung Karyenna.

“Tak, bukan macam tu.”

“Jadi?”

Yurina menarik nafas yang panjang. Otaknya mula berfikir untuk memulakan kata-kata. 

“Apa sebenarnya yang berlaku?”

“Sebenarnya macam ni, kawan akak ada minta untuk saya jadi model dia. Maksud saya gantikan model utama dia... Tapi...”

“Tapi kenapa? Kamu tak nak ke?”

“Saya dah setuju nak bantu tapi masalahnya ialah saya tak tahu macamana nak jalan atas pentas. Saya malulah,” ujar Yurina. Karyenna hanya tersenyum.

“Itu je?” Yurina mengangguk.

“Kenapa tak beritahu  terus terang dengan Moza? Nanti dia boleh tolong,” ujar Karyenna namun Yurina pantas menggeleng.

“Tak naklah...”

“Kenapa pula? Awak jangan risaulah, Moza takkan marah kalau awak jujur dengan dia. Jangan nanti bila dah show, baru awak terhegeh-hegeh mencari dia,” nasihat Karyenna.

“Saya malulah kak. Nanti apa pula yang dia fikir.”

“Yurina, tak salah kalau bertanya. Dah memang kita tak tahu, takkan nak buat-buat tahu pula kan. Lagipun saya kenal Moza macamana, dia bukannya seorang yang kedekut ilmu. Dia akan ajar awak dengan baik.”

Yurina menghela nafas yang panjang. Dia masih lagi teragak-agak untuk memberitahu Moza. Dia risau jika dalam diam Moza akan mengetawakannya.

“Dah lama menunggu?”

Satu suara yang menegur membuatkan Yurina terkejut sebaik mengangkat kepalanya. Dia benar-benar tidak menyangka akan kehadiran lelaki itu. Dia sempat melirik kearah majikannya yang tersenyum gembira.


Aryan masuk dengan tergesa-gesa. Payung yang basah diletakkan ditepi pintu. Dengan badan separuh basah, dia menghampiri Moza yang sudah mengambil tempat duduk. 

“Eh, awak pun ada dekat sini?” Aryan menegur. Yurina hanya menganguk sekali sambil mengukir senyuman nipis.

“Kau dari mana basah macam ni?” tanya Moza yang duduk disebelah Yurina. Karyenna hanya tersenyum geli hati.

“Sebab kaulah aku basah macam ni,” ujar Aryan lalu duduk disebelah Karyenna. Dia sempat melemparkan senyuman pada Karyenna yang tidak dikenalinya.

“Kenapa pula sebab aku?” Moza mengerutkan dahinya. Teh hijau yang dipesannya perlahan dihirup membasahkan tekak.

“Dahlah bergaduh tu,” sampuk Karyenna. Aryan hanya tersengih malu.

“Dah lama menunggu ke tadi?” tanya Moza pula. Dipandangnya wajah Karyenna dan Yurina silih berganti.

“Taklah lama sangat. Dalam setengah jam,” jawab Karyenna. Dia sempat mengisyaratkan matanya kearah Yurina yang menunduk.

“Awak okay ke Yurina?” Moza mengalihkan pandangannya kearah Yurina. Senyuman turut diukir.

Yurina hanya diam. Entah kenapa dia terasa segan untuk bertentang mata dengan lelaki itu. Apatah lagi dengan pandangan mata majikannya dan Aryan yang juga memandangnya. Jantungnya turut berdegup kencang. Seolah dia dipertemukan dengan artis kesukaannya.

“Yurina, beritahulah. Dia takkan marah,” ujar Karyenna. Dia tidak mahu Yurina merasa beban dengan masalahnya itu.

“Tunggu? Marah apa ni? Siapa yang marah?” Aryan pula bertanya. Moza sudah mula menjuihkan mulutnya. Dia turut tertanya-tanya.

Yurina menarik nafas yang panjang. Dia mencuba untuk memberanikan diri. Namun entah mengapa lidahnya menjadi kelu sebaik memandang wajah Moza yang sedang menatapnya. Dia kembali menunduk.

Karyenna pula mendengus tidak berpuas hati. Tidak menunggu persetujuan Yurina, dia mula membuka mulut.

“Macam ni sebenarnya, Yurina ni ada beritahu saya yang dia tak pandai macamana nak memperagakan baju yang dia harus kenakan masa show nanti. Jadi...”

“Jadi dia nak minta tunjuk ajar?” potong Aryan. Dia dapat meneka apa yang ingin disampaikan Karyenna.

“Yup, itupun kalau kamu berdua tak ada kerja lain.”

“Itu je?” Moza mengerutkan dahinya. Dia tidak menyangka hanya itu yang menjadi permasalahan Yurina sehingga tidak mampu untuk bersuara dan menjelaskan sendiri kepadanya. Perlahan dia mengukir senyum.

“Kalau cuma itu, tak ada masalah. Lagipun memang saya nak ajar dulu sebelum show tu,” ujar Moza. Dia kembali memandang Yurina yang sudah mengangkat kepala.

“Maafkan saya,” ujar Yurina perlahan.

“Kenapa pula nak minta maaf?” Moza sedikit terkejut.

“Sebab susahkan awak...”

“Tak adalah. Bukan susah mana pun...”

Karyenna hanya tersenyum. Begitu juga dengan  Aryan. Sesekali mereka saling berpandangan sebelum kembali memandang Moza dan Yurina. 


Sejam berlalu dengan begitu pantas. Moza tidak sedar akan masa yang berlalu. Dia begitu asyik berbual dengan Karyenna dan Yurina. Begitu juga dengan Aryan. Mereka larut dengan perbualan yang dibuat sehinggalah telefon Moza berdering.

Moza menjawab panggilan tersebut sebaik melihat nama abangnya tertera diskrin telefonnya. 

“Hello.”

“Kau dimana? Tak balik lagi?” tanya Dawson. Disebelahnya berdiri Pak Ehsan yang turut mendengar.

“Sekejap lagi aku balik,” jawab Moza. Dia bangun dari tempat duduknya dan keluar dari kafe. Dia tidak mahu rakannya mencuri dengar perbualannya.

“Banyak sangat ke kerja tu?”

“Erm... Aku diluar ni sebenarnya. Berborak dengan kawan,” beritahu Moza jujur.

“Oh... Nak kirim boleh tak?”

“Kirim? Kau nak apa?”

“Belikan aku buah tembikai. Terasa mengidam pula,” ujar Dawson sambil tersengih. Pak Ehsan yang ada disebelahnya hanya menggelengkan kepala sebelum berlalu meninggalkannya.

“Hah? Buah tembikai? Mana aku nak cari? Hari dah malam tau, silap haribulan kedai buah pun dah tutup.”

“Alah, kau carilah dulu. Mana tahu ada di supermarket.”

Moza menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia mula buntu dimana dirinya hendak mencari buah tembikai yang diinginkan abangnya itu.

“Boleh kan Moza?” 

“Yalah. Aku cari tapi kalau tak ada, aku tak boleh buat apa tau,” Moza akhirnya menurut.

“Okay. Jangan balik lewat sangat tau. Nanti ada hantu,” Dawson sempat mengusik sebelum mematikan panggilan telefonnya. Moza pantas menelan air liurnya. Usikan abangnya mula mengganggunya. Matanya sudah mula meliar memandang ke kiri dan kanan kafe yang terlihat sunyi dan hanya dihiasi dengan lampu-lampu neon yang berwarna kuning.

Moza kembali melangkah masuk kedalam kafe. Wajah ketiga rakannya dipandang sambil mengukir senyuman.

“Ada masalah ke Moza?” tanya Aryan. 

“Erm... Aku rasa aku nak balik dulu,” jawab Moza. Karyenna tersentak.

“Nak balik? Masih awal lagi ni,” ujar Karyenna. Dia mengerling kearah jam tangannya yang ingin memasuki jam 7 malam.

“Ya. Memang masih awal tapi abang aku nak sesuatu jadi aku kena cari dulu.”

“Abang kau nak apa?” tanya Aryan lagi. Sesuap kek coklat dimasukkan kedalam mulutnya.

Tanpa menjawab, Moza hanya mengukir senyuman. Kot bajunya yang tadi diletakkan dibelakang kerusi dicapainya dan disarungkan kembali kebadannya. Aryan dan Karyenna semakin dihimpit tanda tanya. Begitu juga dengan Yurina yang masih diam membisu.

“Sorrylah tapi lain kali kita akan berkumpul lagi,” ujar Moza.

“Hei, tunggu. Aku nak balik macamana?” Aryan menahan Moza. Dia hampir terlupa kalau tadi dia menumpang Moza.

“Alah, kau mintalah dengan bakal isteri kau tu,” jawab Moza sambil memuncungkan mulutnya kearah Karyenna.

“Eh, apa pula aku? Sejak bila pula aku nak kahwin dengan dia?” Karyenna mencebik.

“Kau tak nak kahwin dengan aku?” Aryan tersentak. Karyenna pantas menggeleng.

“Okaylah. Aku balik dulu ya? Yurina, jom. Saya hantar balik,” ujar Moza. Kali ini Yurina pula tersentak.

“Tak apalah. Saya boleh balik ikut bas,” tolak Yurina perlahan.

“Yurina, pergilah. Dah ada orang nak hantar balik tu. Sekurang-kurangnya duit awak tak berkurang,” ujar Aryan pula. Karyenna mengangguk bersetuju.

“Jomlah. Nanti mak awak marah pula.”

Mahu tidak mahu, Yurina terpaksa menurut. Beg galasnya yang diletak dibawah kerusi dicapai. Dia sempat menunduk meminta diri.

“Bye Yurina. Jumpa esok ya?” Karyenna melambai dan Yurina hanya mengangguk sebelum mengorak langkah mengekori Moza yang sudah keluar.

“Aduhai. Bertuah sungguh jadi Yurina tu. Dahlah cantik, berbudi bahasa lepas tu ada pula orang sudi nak hantar balik. Tak macam saya, terpaksalah balik menumpang teksi,” ujar Aryan separuh menyindir. Karyenna hanya mencebik.

“Yalah. Saya hantar balik tapi tolong isikan minyak,” Karyenna akhirnya mengalah.

“Hah? Baik tak payah kalau macam tu. Saya lebih rela jalan kaki daripada keluar duit isikan minyak kereta orang.”

“Terpulanglah. Tak nak tak usah.”

Aryan mendengus kasar. Karyenna pula hanya tersenyum geli hati kerana mengenakan Aryan. Masing-masing kembali mendiamkan diri tidak bersuara.


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail