Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 29

Karyenna mengucap syukur. Pekerjanya itu dipeluk dengan erat. Hampir saja air matanya menitik turun. Dia benar-benar risau dengan keberadaan Yurina. Dia tidak mahu Yurina menjadi mangsa pembunuhan.

“Seorang lelaki dan seorang perempuan?” Moza mengerutkan dahinya. Cerita Aryan membuatkan dia sedikit bingung.

“Ya, Dari apa yang Karyenna lihat, keduanya macam sepasang kekasih. Yang perempuan cukup seksi dengan baju tak cukup kain sementara yang lelaki pula berlagak macam mafia,” terang Aryan.

“Jadi mereka berbincang dekat sini? Eh, mereka tak tahu ke ini tempat public?”

“Masa tu hanya mereka berdua. Pelanggan lain tak ada,” ujar Aryan lagi. Dia dapat melihat Karyenna yang sedang bercakap dengan Yurina.

“Aduh,” Moza melabuhkan punggungnya dengan kasar. Dia benar-benar buntu. Mana mungkin dia akan menuduh Andy sebagai pelakunya. Silap haribulan dia boleh disaman atas pencemaran nama baik.

“Takkan tak ada benda lain?” Moza bertanya lagi. Wajah Aryan dipandangnya.

“Entah. Kau tanyalah sendiri dengan Karyenna. Dari tadi aku tanya, begitu-begitu juga jawapan dia,” ujar Aryan.

Moza bangun dari tempat duduknya menghampiri Karyenna yang bersama Yurina. Sebotol air mineral dicapai dan diberikan kepada Yurina yang masih terkejut. Karyenna pantas memberi ruang untuk Moza.

“Yurina...”

Yurina hanya mengangkat kepalanya. Lidahnya terasa kelu untuk bersuara. Dia bagaikan masih bermimpi. Dia benar-benar tidak menyangka hidupnya akan menjadi sedemikian rupa. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana risaunya ibu saudaranya jika tahu akan hal itu.

“Karyenna, tadi masa mereka datang ke sini, ada tak mereka sebut nama sesama sendiri?” tanya Moza.

“Erm... Itu tak pula pasti tapi mereka lebih biasakan diri dengan panggilan I dan you,” jawab Karyenna.

“I dan you? Dah sah itu memang Andy dengan Sandra. Hanya mereka berdua yang ada panggilan macam tu,” potong Aryan dengan pantas. Dia semakin yakin bahawa keduanya adalah Andy dan Sandra.

“Tak boleh juga kata macam tu Aryan. Itu tak boleh dijadikan bukti. Kita mesti ada bukti yang kukuh,” balas Moza. Aryan kembali diam.

“Hah, macamana dengan tatoo? Andy ada tatoo di tengkuknya,” Aryan bersuara lagi. Dia teringat akan tatoo bermotifkan helang ditengkuknya.

“Tatoo?” Karyenna mencuba untuk mengingat namun perlahan kepalanya digeleng.

“Yang perempuan tu macamana pula? Dia pun ada tatoo di pergelangan tangan kanannya,” sambung Aryan tidak berputus asa.

“Pergelangan tangan?”

Karyenna akhirnya mengangguk. Dia sempat melihat tatoo yang ada dipergelangan tangan wanita itu. Tatoo yang lebih kepada tulisan dan juga simbol infinite membuatkan dia semakin yakin untuk mengakui.

“Ya, dia ada tatoo di situ,” ujar Karyenna dan Aryan pantas menjentik jarinya. Dia sudah menduga bahawa wanita itu adalah Sandra, si nenek lampir yang sentiasa mencari masalah. Moza pula terpaku tidak percaya.

“Kau biar betul Karyenna? Jangan main-main tau. Bagus kau ingat baik-baik. Salah orang susah kita nanti,” ujar Moza.

“Ya, aku yakin. Cuma yang lelaki aku tak perasan sangat,” jawab Karyenna.

Moza menunduk. Dia benar-benar tidak menyangka kalau Sandra sanggup melakukan pembunuhan untuk membunuh Yurina. 

“Jadi apa yang kita nak buat sekarang? Lapor polis?” tanya Aryan.

“Tak. Kita takkan lapor polis buat masa sekarang.”

“Eh, kau nak tunggu apa lagi? Tak kasihan ke dengan Yurina? Tak pasal-pasal dia pula yang menjadi sasaran kena bunuh,” Aryan mula berang.

“Tak. Yurina takkan apa-apa. Hal ini biar aku yang urus. Tugas kau sekarang ialah tunda show tu. Tunda selama yang boleh,” jawab Moza.

“Apa? Tunda? Hei, dah berapa ramai orang yang kau dah jemput Moza? Macamana dengan Louis? Kau rasa dia ada banyak masa lapang ke?”

“Aryan, please. Kalau dia tak nak datang sekalipun, itu hak dia. Aku takkan paksa orang untuk datang ke show aku walaupun ianya dah ditunda. Hal ni lebih penting dari semua tu.”

“Aku tak fahamlah Moza. Dah terang-terang Andy dengan Sandra bersubahat untuk membunuh orang, kau pula boleh kata “biar aku urus”. Eh, kau ada perasaan ke tak sebenarnya ni? Apa yang kau nak buat? Kau nak datang dan bunuh mereka pula?”

“Shut up Aryan! Benda ni tak perlu melibatkan banyak orang. Kau ada terfikir macamana psikologi keluarga Yurina nanti bila dapat tahu  ada orang nak bunuh Yurina?” balas Moza. 

Aryan diam. Dia kehilangan kata-kata. Perlahan kepalanya menunduk sebelum kembali memandang Moza.

“Jadi apa yang kau nak buat sekarang? Biarkan aku tahu Moza, supaya senang aku nak membantu,” suara Aryan kali ini mendatar.

“Tolong, belikan aku dadah.”

“Hah? Dadah? Kau nak buat apa? Kau pula yang nak mati?” Aryan terkejut. Kepalanya digeleng tidak bersetuju.

“Kau gila ke? Kenapa pula aku nak mati? Habis abang aku dirumah macamana kalau aku mati?” Moza kembali bersuara lantang. Sakit benar hatinya akan Aryan yang tidak faham.

“Dah tu yang kau nak dadah kenapa? Dah tak ada benda lain nak dipinta ke?”

“Aku cadang nak bawa Andy pergi kelab.”

Aryan bagaikan dapat meneka apa yang ingin dilakukan Moza. Kepalanya mula diangguk.

“Okay. Aku faham dengan apa yang kau nak buat tapi masalahnya sekarang, dimana aku nak dapatkan dadah tu? Seumur hidup aku, tak pernah aku beli dadah. Setakat panadol tu biasalah,” ujar Aryan.

Moza diam. Dia sendiri buntu dimana dia hendak mencari benda terlarang itu. Apa yang dia tahu, dia sudah mempunyai rancangan untuk menjerat Andy. Dia tidak mahu Andy merampas Yurina dari keluarganya. Yang pasti, dirinya juga tidak mahu melepaskan Yurina.


Puan Aishah terkejut sebaik melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda masuk keperkarangan rumahnya. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini banyak kenderaan mewah singgah dirumahnya dan menghantar Yurina balik. Ada kalanya dia tertanya-tanya apakah yang dilakukan Yurina sehingga berkawan dengan orang berstatus tinggi.

Karyenna turut keluar menemani Yurina. Begitu juga dengan Aryan yang dipinta Moza untuk menghantar Yurina balik kerumahnya.

“Assalamualaikum,” Karyenna memberi salam dan Puan Aishah pantas menjawab salam tersebut.

“Apa khabar mak cik?” tegur Aryan ramah. Senyuman lebarnya turut diukir menghias wajahnya.

“Khabar baik. Anak berdua ni siapa?” tanya Puan Aishah hairan. Dipandangnya Yurina yang hanya diam.

“Err... Kami berdua kawan Yurina. Sebenarnya saya majikan Yurina,” jawab Karyenna. Puan Aishah mengangguk.

“Awak pula?” Puan Aishah beralih pada Aryan.

“Oh, dia adik saya,” jawab Karyenna pantas. Sempat dia menjeling kearah Aryan dan mengisyaratkan untuk diam.

“Adik? Mak cik sangkakan suami kamu tadi,” ujar Puan Aishah.

Karyenna tergamam. Begitu juga dengan Aryan. Masing-masing mula berpandangan sebelum kembali mengalihkan wajah.

“Kamu tak sihat ke Yurina?”

“Sakit kepala je,” jawab Yurina perlahan. Wajahnya tampak pucat. Sehelai selimut milik Moza membungkus rapat tubuhnya yang terasa seram sejuk.

“Masuklah dalam berehat. Anak berdua pun masuklah. Nanti mak cik buatkan air kopi,” ajak Puan Aishah.

“Tak apalah mak cik. Lagipun kami nak balik. Takut mak dengan ayah mencari pula,” tolak Aryan. Karyenna hanya mengangguk terpaksa.

“Baiklah. Terima kasih sebab hantarkan anak mak cik balik. Lain kali singgahlah, boleh kita berborak lebih banyak,” ujar Puan Aishah lagi. Aryan dan Karyenna hanya mengangguk.

“Yurina, selimut siapa tu? Tak beri balik pada mereka ke?” Puan Aishah bertanya.

“Eh, tak apalah mak cik. Selimut tu memang untuk Yurina,” jawab Karyenna pantas.

“Oh ye ke? Terima kasih. Susahkan kamu berdua saja.”

“Kalau tak ada apa-apa lagi, kami balik dululah ya mak cik. Assalamualaikum.”

Aryan dan Karyenna pantas masuk kedalam kenderaan. Yurina juga sudah masuk kedalam rumah meninggalkan ibu saudaranya yang masih berada diluar.

Yurina merebahkan badannya yang berbungkus selimut. Lampu biliknya sengaja tidak dihidupkan. Dia mahu melelapkan mata dan mencuba untuk melupakan apa yang berlaku siang tadi. Selimut tebal milik Moza terasa begitu nyaman sehingga tidak sedar akan kehadiran ibu saudaranya.

“Yurina, kamu sakit ke?” tanya Puan Aishah. Belakang tangannya diletakkan di dahi Yurina.

“Tak adalah mak. Sakit kepala sikit je,” jawab Yurina perlahan.

“Kamu berehatlah. Nanti mak buatkan bubur.”

“Tak payahlah susah-susah mak. Tadi Yurina dah pun makan. Ubat pun Yurina dah makan.”

Puan Aishah terpaksa mengalah. Rambut anak saudaranya dibelai lembut. 

“Kamu berehatlah. Mak keluar dulu,” ujar Puan Aishah lalu keluar dari bilik Yurina. Pintu bilik turut ditutup rapat.

Yurina menghela nafas yang panjang. Dia kembali memejamkan matanya. Entah mengapa dia teringat akan Moza yang tadi memeluknya secara tiba-tiba. Spontan dia merasakan kebahagian walaupun dia tahu lelaki itu terpaksa berbuat demikian untuk menyelamatkannya. Sedar tak sedar, akhirnya dia tertidur membawa satu kenangan yang tidak disangka.  


Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail