Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 36

Semua yang berlaku adalah diluar kuasanya. Moza hanya mampu berendam air mata. Abangnya masih lagi tidak sedar. Dr. Illy mengesahkan bahawa abangnya kembali koma. Kanser yang ada didalam kepalanya merebak dan membesar dengan begitu cepat. Semua keputusan harus dilakukan secepat yang mungkin.

“Saya keluar dulu. Kamu berfikirlah Moza. Fikirkan mana yang terbaik. Saya hanya akan menurut tapi keputusannya hanya Allah yang tahu. Kita hanya mampu merancang,” ujar Dr. Illy. Dipandangnya Moza yang masih menangis.

“Terima kasih doktor. Nanti saya akan berikan jawapan,” Pak Ehsan menjawab mewakili Moza. Dr. Illy hanya mengangguk sebelum keluar dari dalam wad.

Moza semakin tidak keruan. Dia sama sekali tidak dapat membuat keputusan. Abangnya kini kembali koma dan dia kembali merasakan kerinduan pada abangnya. Dia sama sekali tidak mahu berpisah dengan abangnya. Baginya, dia lebih rela jika harus berganti nyawa dengan abangnya itu.

“Moza...” Pak Ehsan menggosok belakang anak muda itu. Dia sendiri menyeka air matanya yang tumpah. Hati tuanya luluh melihat kesetiaan seorang adik dalam menunggu abangnya. 

“Pak cik, tinggalkan saya sekejap,” pinta Moza. Tangisnya masih terdengar jelas.

Pak Ehsan hanya menurut. Dengan perlahan dia meninggalkan Moza berdua dengan abangnya. Pintu wad ditutup rapat dan dia melangkah ke kerusi yang ada diluar wad.

Moza tidak dapat membayangkan dirinya tanpa abangnya. Dia menangis dan meraung sambil memegang tangan abangnya yang pucat dan sejuk. Bibirnya bergetar tidak keruan. Wajahnya kini tidak terurus.

“Dawson, bangunlah. Jangan tinggalkan aku,” ujar Moza. Wajah abangnya yang pucat dipandang dengan penuh sayu. Hanya helaan nafas yang dapat dilihatnya menerusi topeng wajah. 

Moza meletakkan kepalanya disisi abangnya. Tangan abangnya yang masih ditampal dengan branula dipegang erat. Dia enggan melepaskan pegangan tersebut. Baginya, biarlah dia terus sedemikian rupa, sentiasa bersama dengan abangnya.


Yurina merenung seekor rama-rama yang hinggap pada sekuntum bunga diluar kafe. Fikirannya melayang memikirkan Moza yang sudah lama tidak dilihatnya. Dia masih ingat lagi akan kata-kata lelaki itu untuk menjenguknya di hospital tapi sehinggalah dia keluar, dia tidak nampak akan kelibat lelaki kacak itu.

“Fikirkan siapa?”

Teguran majikannya membuatkan Yurina kembali tersedar. Dengan pantas dia  berpaling dan melihat majikannya yang menghampirinya. Senyuman nipisnya diukir.

“Kak Karyenna rupanya.”

 “Ingatkan siapa? Teman lelaki ke?” usik Karyenna. Yurina tertunduk malu.

“Tak adalah kak. Saya cuma fikirkan Moza,” Yurina berterus terang. 

“Moza? Erm... Dah lama saya tak dengar khabar dia. Sejak awak masuk hospital, sejak itu jugalah dia tak ada khabar. Jangankan nak datang sini, telefon pun dah tak pernah,” balas Karyenna.

“Dia ada masalah kot,” ujar Yurina.

“Masalah? Entahlah, tak berani saya nak kata apa-apa,” Karyenna mengangkat bahunya.

“Nampak gaya ada yang rindu dengan dia,” sambung Karyenna mengusik pekerjanya. Yurina hanya tersenyum.

“Tak adalah kak. Saya cuma tertanya-tanya.”

“Samalah tu maksudnya. Tak apalah, nanti saya tanya dengan Aryan. Manatahu dia tahu dimana Moza, bolehlah suruh dia datang jumpa awak,” ujar Karyenna. Yurina hanya diam. Wajahnya perlahan memerah.


Aryan yang baru keluar dari pejabatnya mendengus kasar sebaik telefon pintarnya yang ada didalam poket seluarnya berbunyi. Tangannya yang penuh dengan fail mula menyukarkannya untuk menyeluk telefonnya.

“Oza!”

Oza, si jurumekap pantas menoleh tatkala mendengar seseorang memanggil namanya. Dengan jalan yang sedikit berlenggang, dia menghampiri Aryan yang tersengih bagaikan kucing gatal.

“Oza, tolong aku,” pinta Aryan sebelum Oza sempat membuka mulut.

“Amboi, part minta tolong baru nak panggil aku ya?” sindir Oza. 

“Alah, dah kebetulan kau ada, aku panggillah. Takkan aku nak panggil security dibawah,” balas Aryan. Oza hanya mencebik.

“Kau nak aku tolong apa? Kalau tolong bawakan fail ni aku tak nak.”

“Bukanlah. Aku nak ambil telefon dalam poket tapi tangan aku penuh. Takkan aku nak letak dilantai pula.”

“Habis kenapalah kalau kau letak dilantai? Bukan apa pun kau letak disana.”

Aryan mengigit bibirnya. Dia mula geram dan sakit hati dengan jawapan jurumekap itu. 

“Yalah, mari sini,” Oza akhirnya mengalah.

Fail tersebut kini beralih tangan. Aryan pantas mengucapkan terima kasih sambil menguntum senyuman lebar namun Oza hanya mencebik.

“Hello sayang,” Aryan menjawab dengan ceria. 

“Lambat angkat phone? Meeting ke?” tanya Karyenna dihujung talian.

“Tak adalah. Cuba ada hal sikit tadi. Kenapa ni sayang? Ada masalah ke?”

Oza mula merasa meluat. Apatah lagi melihat perangai Aryan yang begitu mengada-ngada.

“Moza ada disana tak?”

“Siapa? Moza? Tak ada. Dia ambil cuti emergency,” jawab Aryan.

“Cuti emergency? Siapa yang sakit?” Karyenna sedikit terkejut. Yurina yang ada disebelahnya semakin merasa ingin tahu.

“Eh, bukan Yurina masuk hospital ke?”

“Dia dah keluar Aryan. Dah seminggu dah dia keluar. Sekarang dia ada disebelah aku,” jawab Karyenna.

“Habis tu siapa yang sakit?” Aryan kembali menyoal.

“Sepatutnya aku yang tanya soalan tu,” balas Karyenna.

“Hello, aku tak larat tau nak pegang fail ni lama-lama. Kalau kau nak sambung cerita kau, bereskan ini dulu,” potong Oza. Dia mula melemparkan jelingan.

“Nantilah aku call balik. Aku cuba call Moza dulu,” ujar Aryan.

“Okay. Ada apa-apa inform cepat tau.”

“Iyalah sayang. Bye...”

Karyenna pantas mematikan panggilan telefonnya. Hatinya meluat mendengar Aryan yang gatal memanggilnya dengan gelaran sayang. Yurina yang ada disebelahnya mula memandangnya dengan penuh tanda tanya. Hanya keluhan yang mampu dilepaskan.

“Siapa call? Awek ke?” tanya Oza ingin tahu. Fail yang dipegangnya dikembalikan pada Aryan.

“Bukanlah. Bakal isteri,” jawab Aryan. Oza kembali mencebik.

“Eh, Oza. Tahu tak Moza kemana?”

“Moza? Kembar aku tu?”

“Boleh tak kau jangan buat cerita? Sejak bila lagi Moza jadi kembar kau? Muka pun tak sama, macam langit dengan bumi.”

“Amboi mulut. Macam nak merasa makan kasut.”

“Kau dah cuba?”

“Belumlah pula,” jawab Oza. 

“Eh, aku tanya ni. Tahu tak Moza kemana? Dah seminggu tak nampak muka dia. Biasanya dia cuti tak lama sangat,” Aryan kembali ke topik utama.

“Entahlah Aryan. Mungkin dia sedang bertapa menenangkan jiwa. Maklumlah, dia terkejut dengan apa yang dilakukan Andy dan Sandra. Siapa sangka kan? Manusia yang selama ini dianggap rakan baik rupanya musuh dalam selimut.”

“Tapi Sandra masih belum ditemui kan?”

“Sandra belum. Entah dimana nenek lampir tu bersembunyi,” jawab Oza.

“Entah-entah dia menyorok di belakang rumah kau.”

“Eh, kenapa pula dia nak menyorok belakang rumah aku?”

“Yalah. Belakang rumah kau kan hutan. Dia pula nenek lampir. Jadi tempat tinggal nenek lampir mestilah di hutan,” terang Aryan sebelum ketawa kecil.

“Mulut tu aku cilikan juga nanti.”

Aryan kembali melangkah. Ketawanya masih dapat didengar Oza. Oza hanya mencebik tidak berpuas hati.


Telefon berbunyi minta dijawab. Moza yang masih didalam wad hanya diam merenung nama yang tertera di skrin telefonnya itu. Yurina, sebuah nama yang secantik orangnya. Dengan perlahan dia menjawab.

“Hello,” ujar Moza perlahan. 

Yurina menarik nafas lega. Lelaki yang sudah lama tidak dilihatnya kini menjawab panggilan telefonnya. Ikutkan hati mahu saja dia melompat gembira namun memandangkan didalam kafe ada beberapa orang pelanggan, dia terpaksa menahannya.

“Awak dimana? Sihat tak?” tanya Yurina.

Moza hanya tersenyum. Pertanyaan Yurina bagaikan melucukan hatinya.

“Saya sihat je. Awak pula?”

“Saya okay. Dah pun kembali bekerja,” jawab Yurina. Senyumannya semakin lebar.

“Dah lama saya tak nampak awak?”

Moza diam. Dia tidak tahu samada harus memberitahu Yurina atau tidak mengenai keadaan abangnya.

“Awak janganlah risau. Saya tak jauh pun,” ujar Moza tidak menjawab pertanyaan Yurina.

“Saya tak risau. Cuma...”

“Cuma apa?”

“Tak ada apa-apalah,” Yurina menunduk. Dia benar-benar malu. Wajahnya kembali memerah bagaikan delima. 

“Awak rindukan saya ke?”

Yurina kembali terbungkam. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Ikutkan hati, mahu saja dia berlari masuk kedalam bilik persalinan dan menekupkan wajahnya dengan beg galasnya. 

“Yurina...”

Yurina berdehem. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakannya. Dia yakin bahawa wajahnya benar-benar bertukar merah.

“Saya kena pergi sekarang. Nanti saya datang jumpa awak okay?”

Yurina mengangguk. Senyumannya kembali meleret gembira. Panggilan tersebut diputuskan dengan teragak-agak. Entah kenapa dia semakin merindui lelaki itu.

“Wah, lebar betul senyuman? Moza ke yang call?” tegur Karyenna. Yurina hanya tersenyum.

“Saya cuba call tadi dan tak sangka dia jawab,” beritahu Yurina.

“Jadi dia ada dimana?”

“Erm... Itu tak pula dia beritahu tapi katanya dia tak jauh.”

“Baguslah. Sekurang-kurangnya kita tahu.”

Yurina hanya mengangguk. Dia kembali bersemangat untuk bekerja. Senyumannya kini terukir menghiasi wajahnya. Sebuah pelanggan yang memanggil pantas dihampiri. Karyenna hanya tersenyum puas. Dia yakin bahawa pekerjanya itu menyukai Moza yang turut mempunyai perasaan yang sama.


Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail