Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 21

Suasana yang begitu sunyi membuatkan Dawson terasa begitu sepi. Perlahan dia menghela nafasnya sambil menatap siling biliknya yang berwarna putih bersih. Dia menggerakkan badannya ke kiri dan menatap jam dindingnya.

“Bosannya,” ujar Dawson seorang diri. Dia bangun dari pembaringannya dan duduk. Rambutnya yang kusut dan kering digarunya. Tekaknya turut terasa kering.

Dengan perlahan dia menggerakkan badannya dan mencapai sebotol air mineral yang tinggal sedikit. Dengan rakus, dia meneguk sisa air tersebut sehingga habis namun tekaknya masih terasa kering.

Dawson mendengus kasar. Dia bangun dari katilnya dan melangkah menuju ke pintu biliknya. Dari tingkat atas, dia menjenguk ke bawah dan dia dapat melihat penjaganya sedang berbual dengan seseorang yang tidak dikenalinya diruang tamu rumahnya.

Pandangannya yang kabur membuatkan Dawson mengecilkan matanya cuba mengenal pasti siapakah lelaki yang bersama dengan penjaganya itu. Langkahnya mula diatur menuruni anak tangga dengan penuh berhati-hati.

  Dihampirinya lelaki tersebut yang asyik berbual dengan penjaganya. Dia dapat melihat dimana lelaki itu sesekali mengangguk dan tertawa kecil sambil memandang penjaganya yang turut tertawa kecil.

“Dawson, mari sini.”

Dawson tersentak. Langkahnya tiba-tiba mati. Dipandangnya wajah penjaganya dan lelaki tersebut silih berganti.

“Hai Dawson.”

Sekali lagi Dawson terkejut. Dengan pantas dia berpaling ke sisi kanannya dan terkejut apabila Aliff turut berada disitu. Aliff hanya tersenyum.

“Siapa mereka ni pak cik?” tanya Dawson sambil menunjuk kearah Tuan Brian dan Aliff yang tidak diingatinya.

“Kau masih lupa dengan aku Dawson?” Aliff menghampiri Dawson yang berdiri kaku. Dawson mula memandangnya hairan.

“Dawson, itu kawan kamu dan ini Tuan Brian. Dulu kecil-kecil kamu sering main di rumah Tuan Brian,” beritahu Pak Ehsan.

“Main? Main apa?”

Pak Ehsan mengukir senyuman nipis. Dipandangnya wajah Tuan Brian yang mula tertanya-tanya. Begitu juga dengan Aliff yang turut terdiam.

“Dawson, mari duduk disini,” pinta Pak Ehsan dan Dawson hanya menurut. 

“Saya simpati dengan apa yang berlaku. Tak sangka pula ini yang terjadi,” ujar Tuan Brian sebaik Dawson duduk disebelah penjaganya. Pak Ehsan hanya mengangguk perlahan.

“Inilah semua kehendak Allah, Tuan. Kita sebagai manusia biasa kenalah terima dan pasrah dengan apa yang berlaku. Selagi hayat dikandung badan, selagi itulah saya akan tetap setia pada keluarga ni,” ujar Pak Ehsan.

Tuan Brian mengangguk. Dia sendiri bagaikan kehilangan kata-kata sebaik mendapat tahu bahawa anak rakan baiknya itu mengidap kanser otak. Seluruh perasaannya kini bercampur aduk. Dia masih tidak percaya dengan apa yang berlaku.

“Pak cik, saya ke dapur dulu,” ujar Dawson dan Pak Ehsan hanya mengangguk. Dawson bangkit dari tempat duduknya dan melangkah menuju ke dapur.

“Dah lama ke Dawson dapat kanser ni?” tanya Aliff. Dia sendiri terkejut sebaik mendengar berita tersebut. Dia tidak menyangka rakan baiknya itu mempunyai kanser yang sama sekali tidak diduganya.

“Doktor syak Dawson dapat kanser ni masa dia masih koma lagi dan sekarang doktor beritahu kansernya pada tahap kedua,” beritahu Pak Ehsan. Dia mula menunduk bagaikan sebak dengan apa yang berlaku. Air matanya yang mula turun segera disekanya.

 “Ya Allah. Tak sangka betul,” Aliff menutup mulutnya dengan sebelah tangannya. Dia benar-benar tidak mampu untuk mempercayainya. 

“Saya tak dapat bayangkan kalau dia yang pergi dulu dari saya. Dan saya tak dapat bayangkan apa yang akan berlaku pada Moza lepas ni,” ujar Pak Ehsan lagi. Air mata yang cuba ditahannya mula menitik turun menimpa pahanya.

“Macamana dengan keadaan Moza sebelum ni? Saya betul-betul nak jumpa dengan dia,” ujar Tuan Brian.

Baru sahaja Pak Ehsan ingin membuka mulut, sebuah kereta Audi masuk ke perkarangan rumah. Pak Ehsan dengan pantas mengesat matanya yang merah. Dia tidak mahu Moza melihat dirinya menangis mengenangkan penyakit yang dihidapi abangnya.

“Assalamualaikum,” Moza memberi salam. Dia turut menguntumkan senyuman sebaik memandang Tuan Brian dan Aliff yang sedang menunggunya di ruang tamu rumahnya.

“Waalaikumsalam,” salam Moza disahut serentak. 

“Mana Dawson?” tanya Moza sebaik masuk kedalam rumahnya. Dia mula melilau mencari kelibat abangnya yang tidak kelihatan.

“Erm, abang kamu ada didapur. Duduklah dulu. Biar pak cik panggilkan,” jawab Pak Ehsan lalu berlalu menuju kedapur. Moza hanya mengangguk dan perlahan menghampiri Tuan Brian dan Aliff.

“Maafkan saya sebab lewat sikit,” ujar Moza meminta maaf. Beg galas yang dibawanya segera diletakkan di tepi kakinya dan dibiarkan menyandar pada sofa yang didudukinya.

“Tak apa Moza. Saya yang sepatutnya minta maaf sebab dah ganggu masa kerja awak.”

“Tak. Saya okay. Ada apa sebenarnya Tuan datang kesini?”

Baru sahaja Tuan Brian ingin bersuara, Pak Ehsan datang bersama dengan Dawson. Moza kembali berdiri dan meminta abangnya untuk duduk disebelahnya. Tuan Brian menarik nafas yang panjang sebelum menyambung kata-katanya.

“Aliff, mana surat wasiat tu?” tanya Tuan Brian pada peguam keluarga tersebut. Aliff segera menyerahkan sebuah fail berwarna biru kepada Tuan Brian.

“Macam yang kamu tahu, saya dengan arwah ayah kamu memang berkawan baik. Saya dah anggap arwah ayah kamu bagaikan keluarga sendiri. Dan sebelum dia pergi, dia sempat berpesan saya supaya menjaga syarikat yang selama ini dibangunkannya bersama-sama dengan arwah ibu kamu.”

“Arwah ayah kamu tahu bahawa Dawson koma pada waktu itu dan dia minta pada saya untuk kembalikan syarikat dibawah jagaan saya itu kembali kepada Dawson sekiranya Dawson kembali sedar dari koma,” sambung Tuan Brian. Aliff hanya mengangguk perlahan.

“Dan sekarang Dawson dah sedar dari koma, oleh itu saya nak kembalikan syarikat tersebut kepada individu yang sepatutnya menjaganya,” ujar Aliff pula menyampuk.

“Maaf tapi saya tak boleh lepaskan Dawson untuk kembali bekerja disyarikat itu. Saya tak nak apa-apa terjadi dengan Dawson,” Moza berterus terang. Faham benar dia akan maksud Aliff dan Tuan Brian itu.

“Saya faham tapi apa yang boleh saya buat Moza? Saya bukannya empunya syarikat. Saya hanyalah seorang manusia biasa yang telah diamanahkan oleh arwah ayah kamu untuk menjaga syarikat tersebut dan segera mengembalikannya kepada keturunannya.”

“Habis tu macamana? Takkan Tuan nak saya yang ketuai syarikat tu? Saya bukannya tahu apa-apa dalam bidang perniagaan. Itu semua diluar kemampuan saya,” jawab Moza. 

“Dan takkan Tuan nak Dawson yang ambil alih?” sambung Moza lagi. Dipandangnya wajah abangnya yang duduk disebelahnya sebelum kembali memandang Tuan Brian dan Aliff.

“Saya masuk pejabat balik ke?” sampuk Dawson. Entah kenapa dia mula mengingati bahawa dirinya sebelum ini pernah bekerja disyarikat arwah ayahnya.

“Tak. Kau akan tetap dirumah,” jawab Moza. Dia tidak mahu abangnya tertekan apatah lagi dengan sakit kepala yang dialaminya.

“Itu permintaan arwah ayah awak Moza. Dia nak Dawson menyambung perniagaan tu,” ujar Aliff pula.

“Okay, tapi sekarang Dawson tak sihat. Takkanlah nak biarkan saja?” 

“Macam inilah Moza. Kamu berbincanglah dulu dengan abang dan penjaga kamu. Saya tak boleh nak buat apa. Saya hanya melakukan apa yang telah diwasiatkan arwah ayah kamu. Dan saya yakin kamu akan ada jawapan yang terbaik nanti,” akhirnya Tuan Brian memberi kata putus.

“Maafkan saya. Saya kalau boleh tak nak Dawson bekerja lagi. Saya tak nak apa-apa perkara buruk berlaku dengan dia,” Moza melahirkan rasa takutnya. Tuan Brian hanya mengangguk tanda faham.

“Saya faham Moza. Sebab itulah saya nak awak berbincang dahulu. Tenangkan diri dan fikirkan dengan masak-masak. Apapun keputusan awak, saya akan tetap terima keputusan awak.”

Moza diam. Begitu juga dengan Dawson dan Pak Ehsan. Masing-masing diam membisu. Tuan Brian memandang Aliff lalu mengangguk.

“Dan seperkara lagi, rumah ini akan menjadi milik Dawson sementara rumah yang ada di Jepun akan menjadi milik Moza,” ujar Aliff sambil memandang wasiat yang tertulis. Moza perlahan mengangguk.

“Hanya itu?” tanya Dawson.

“Ya, hanya itu. Dan semua wang simpanan akan diberi sama rata pada kamu berdua,” jawab Aliff.

“Arwah ayah ada berhutang tak?” tanya Moza pula.

“Alhamdulillah tak ada,” jawab Aliff. Pak Ehsan dalam diam menarik nafas lega.

Moza mengangguk. Dipandangnya wajah abangnya sekilas sebelum kembali menunduk. Bayangan wajah ayahnya perlahan menerpa masuk keruang fikirannya.

Dia mula mengingati kejadian menyayat hati yang menimpa keluarganya tiga tahun yang lepas. Sebuah kemalangan jalan raya yang telah membunuh beberapa orang pemandu lain termasuklah ibunya yang turut maut ditempat kejadian. 

Dia juga masih ingat tatkala dia melihat ayah dan abangnya yang dimasukkan kedalam ruang ICU dan membiarkan dia meraung dan menjerit semahunya sambil ditenangkan oleh penjaganya.

Hatinya bertambah luruh dan hancur berkecai sebaik mendapat tahu ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir beberapa hari kemudian akibat pendarahan dalaman yang telah merosakkan otaknya.

Abangnya yang turut koma turut membuatkan dia hilang arah tujuan. Apa yang telah berlaku pada keluarganya mula dipersoalkan satu persatu. Namun pujukan dan nasihat penjaganya membuatkan dia perlahan bangkit dan meneruskan kehidupannya.

“Moza?”

Moza tersentak. Segera dia mengangkat kepalanya dan memandang abangnya yang memanggil namanya. Matanya yang berkaca segera disekanya dengan tangannya.

“Kenapa ni?” tanya Dawson namun Moza hanya menggeleng. Mulutnya hanya diam tidak menjawab pertanyaan abangnya itu.

Melihat Moza yang kelihatan lemah, Tuan Brian melepaskan keluhannya perlahan. Dia turut memandang Aliff dan mengangguk.

“Moza, kami balik dulu. Kalau ada apa-apa yang berlaku, hubungi kami.”

“Terima kasih tuan,” Pak Ehsan menjawab. Moza hanya berdiri dan mengangguk.

Tuan Brian melangkah keluar dari kediaman mewah tersebut bersama-sama dengan Alif. Perlahan Moza melepaskan keluhannya sebaik melihat tetamunya pergi.

“Moza, kamu tak apa-apa?” tanya Pak Ehsan. Dipandangnya Moza yang hanya menunduk.

“Ya. Saya naik ke bilik dulu,” ujar Moza. Dia mengorak langkah menuju ke bilik tidurnya yang terletak ditingkat atas bersebelahan dengan bilik abangnya. Satu persatu anak tangga didakinya sebelum menghilang didalam bilik tidurnya. Pak Ehsan hanya menggeleng.

“Saya nak tengok Moza dulu,” Dawson turut melangkah. Dengan pantas dia memanjat naik dan menuju kearah bilik adiknya.

Pak Ehsan hanya mampu melepaskan keluhannya. Dia tahu anak muda itu mula merindui arwah ayah dan ibunya. 

“Moza?” Dawson masuk kedalam bilik tidur adiknya. Dia dapat melihat adiknya sedang duduk ditepi katil dan mengadap kearah tingkap yang terbuka luas.

Moza dengan pantas mengesat air matanya yang turun dan berpaling memandang abangnya. Satu senyuman nipis diukir menghiasi wajahnya. Dia mencuba untuk bersikap seperti biasa dan mencuba untuk menahan perasaan sedihnya.

“Boleh tak tinggalkan aku sendiri?” pinta Moza. Dipandangnya abangnya yang berdiri memandangnya.

“Kau yang kau tak apa-apa?” tanya Dawson lagi meminta kepastian dan Moza hanya mengangguk. Dia benar-benar ingin bersendirian menenangkan fikirannya yang berserabut.

Dawson mengeluh halus. Kepalanya turut diangguk perlahan. Perlahan dia berpusing dan melangkah keluar.

“Kalau ada apa-apa, beritahu ya? Aku ada disebelah,” ujar Dawson lagi.

“Ya,” jawab Moza pendek. Dia turut mengukir senyuman nipis.

Dawson kembali mengorak langkah menuju ke biliknya yang berada bersebelahan. Moza melepaskan keluhannya. Dia kembali menunduk. Dengan perasaan yang bercampur aduk, dia merebahkan badannya diatas katil bujangnya. 

Matanya ditutup rapat. Dia mencuba untuk melupakan apa yang sedang bermain difikirannya namun bayangan wajah arwah ayah dan ibunya tetap berada didalam kotak fikirannya.

Dan entah bagaimana, Moza kembali menangis. Rasa rindunya pada arwah ayah dan ibunya tidak dapat lagi ditahan. Sebuah bantal kecil yang ada ditepi katilnya ditarik dan dipeluknya. Dia benar-benar merindui keluarga. 

Dawson yang masih berada diluar bilik adiknya hanya diam. Tangisan adiknya dapat didengarnya dengan jelas. Dia mula mengingati satu persatu apa yang telah berlaku. 

Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu laju melawan arus membuatkan kenderaan yang dipandu arwah ayahnya terbalik beberapa kali ke tepi jalan. Arwah ayahnya yang tidak mampu mengawal kenderaannya hanya mampu menjerit.

Dia juga masih ingat bagaimana arwah ibunya terhentak ke hadapan cermin sehingga menyebabkan ibunya maut ditempat kejadian. Perlahan air matanya mengalir turun. Dan pada masa itu juga kepalanya kembali terasa sakit.

Dawson memegang kepalanya. Rasa sakit yang tadi dapat ditahan kini semakin mengganas. Dia mengigit bibirnya dengan kuat. Seluruh kepalanya kembali berdenyut dan sakit bagaikan ada beribu jarum yang menusuk masuk dan ingin menembusi otaknya.

Rasa sakit yang tidak dapat ditahan membuatkan Dawson tiba-tiba rebah. Dia tidak lagi mampu untuk bergerak. Seluruh tubuhnya bagaikan membeku seolah lumpuh. Mulutnya cuba untuk digerakkan namun gagal. 

Matanya yang semakin lama semakin kuyu membuatkan dia hanya mampu memandang siling rumahnya. Darah merah mula mengalir keluar dari hidungnya. Namun tiada satupun yang mampu untuk dilakukannya.



Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail