Satu dengusan kasar kedengaran dengan begitu jelas. Seluruh perasaan marah kini semakin menguasai diri. Andy mengetap bibirnya dengan kuat. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan Moza yang sudah mempunyai pengganti Sandra.
“So, apa yang kita kena buat sekarang?”
Andy berpusing. Dipandangnya wajah Sandra dengan tajam. Fikirannya benar-benar berserabut. Mahu saja dia memecahkan pasu bunga yang menghiasi meja ruang tamu itu.
“Ikutkan hati, mati budak tu aku kerjakan. Dia fikir dia boleh ambil mana-mana perempuan murah untuk gantikan you. Dasar budak tak ada otak!”
“I tak percayalah kalau si Moza sanggup ambil mana-mana perempuan untuk jadi pengganti I. Mungkin you salah dengar Andy,” ujar Sandra. Dia masih tidak percaya dengan apa yang diberitahu Andy mengenai pengganti dirinya.
“Hei, you ingat I ni pekak? Dia sendiri yang kata macam tu.”
Sandra mendengus kasar. Dia benar-benar tidak dapat menerima seandainya apa yang dikatakan Andy adalah benar. Dipandangnya Andy yang mencekak pinggang.
Aku kena buat sesuatu. Ya, sesuatu yang buat dia tak mampu untuk menolak. Sandra berkata didalam hati.
“You jangan risau. Esok I akan datang dan jumpa dia. I akan kembali dan beritahu yang dia tak perlukan model tu,” ujar Sandra sambil tersenyum sinis.
“You fikir dia akan lepaskan perempuan murah tu macam tu saja? You tak tahu macamana Moza membela perempuan tu. Entah apa yang dia bagi pada Moza sampaikan Moza sanggup jadikan dia model.”
“Eh, cantik sangat ke perempuan tu? Apa yang hebatnya dia sampaikan Moza sanggup pertahankan dia?”
“You jangan risau. Esok I akan jumpa dia dan beritahu I akan kembali jadi model dia pada show tu nanti,” sambung Sandra. Andy memandangnya tidak berkelip.
“Then?”
“Then? Lepas tu masa show nanti tak payahlah I datang. Biar dia jadi gila sebab tak dapat cari I,” jawab Sandra.
“You fikir dia bodoh? Dah sah-sah dia akan cari perempuan tu.”
“Andy, boleh tak jangan disimpan bodoh tu? Kita culiklah dia, letak dimana-mana. Mesti Moza akan risau dan merayu-rayu.”
Andy diam. Perlahan dia mengukirkan senyuman. Dia sama sekali tidak terfikir akan idea itu. Sandra mula tersengih gembira. Gelas berisi wain diminumnya sedikit.
“Dan I rasa kita kena tambah sedikit perisa,” ujar Andy lagi.
“Maksud you?”
“Apa kata kalau kita biarkan perempuan tu dengan Dawson? Dan kita boleh buat cerita kalau Dawson bawa lari perempuan tu,” terang Andy. Senyumannya semakin lama semakin lebar.
“You rasa Moza akan percaya ke? I rasa susah kita nak bawa lari Dawson sebab I yakin Moza takkan berjauhan dengan abang dia tu,” ujar Sandra.
“Apa gunanya I kalau I tak mampu nak pisahkan mereka. Kalau selama ini I boleh pisahkan dia dengan keluarga dia, tak mustahil I tak boleh pisahkan dia dengan abang dia tu. Its a small matter Sandra. Just wait and see,” jawab Andy panjang lebar.
“I hope so.”
Andy mengukir senyuman lebar. Dia dapat membayangkan betapa gembiranya hatinya apabila melihat Moza kehulu kehilir mencari abang dan wanita tersebut. Dan dia juga yakin yang Moza akan merayu meminta bantuan darinya.
Gelas berisi wain yang ada diatas meja diruang tamu dicapainya lalu diteguknya sehingga habis. Dia benar-benar yakin rancangannya itu akan berjaya dan dia yakin dia akan memperolehi apa yang diinginkannya selama ini.
Malam yang semakin larut membuatkan Yurina asyik menguap. Matanya yang tadi terang kini hampir tertutup rapat. Komputer riba yang dihidupkannya sudah tidak diusik. Begitu juga dengan beberapa keping kertas yang ada diatas keyboard komputer ribanya.
“Astaghfirullahalazim Yurina. Kalau mengantuk, pergilah tidur. Jangan paksa diri tu,” tegur Puan Aishah sebaik melihat Yurina berada diruang tamu dengan peti televisyen yang turut terpasang namun tidak ditonton.
“Tinggal sikit je lagi mak.”
“Dah, jangan nak paksa diri. Esok kamu boleh sambung lagi.”
Yurina menggeleng. Rambutnya yang kusut dan tidak teratur diikatnya dengan ala kadar. Dipandangnya wajah ibu saudaranya yang berdiri disebelahnya.
“Mak,” panggil Yurina.
“Apa?”
“Yurina nak cakap sikit boleh tak?”
“Yurina, hari dah jauh malam ni. Kalau kamu nak cakap, esok pun boleh.”
“Mak, Yurina takut esok Yurina lupa nak beritahu mak. Lagipun tak salah rasanya kalau Yurina nak beritahu mak malam ni.”
Puan Aishah diam. Dipandangnya wajah anak saudaranya itu seketika sebelum melepaskan keluhannya.
“Cakaplah apa yang nak dicakap tu,” Puan Aishah akhirnya mengalah. Sebuah kerusi kayu diduduki dengan perlahan menunggu kata-kata anak saudaranya.
Yurina mengukir senyuman lebar. Nafas yang panjang ditarik sebelum menghembusnya dengan perlahan.
“Benda apa yang penting sangat kamu nak beritahu ni? Kamu dah nak kahwin ke?” Aisha meneka.
“Mak, Yurina belum cakap lagilah. Mana ada Yurina nak kahwin. Lagipun Yurina nak habiskan sekolah dulu, barulah Yurina fikir tentang hal tu.”
“Habis tu apa? Ada orang ganggu kamu ke?”
“Tak adalah mak. Tak ada siapapun yang ganggu Yurina.”
“Dah tu?”
“Yurina akan jadi model,” beritahu Yurina. Dipandangnya wajah ibu saudaranya itu.
“Model? Model apa? Kamu jangan macam-macam Yurina. Mak tak suka kalau kamu nak jadi model dan tunjuk sana sini.”
“Mak, bukan model yang itu. Kalau yang itu, Yurina memang tak nak.”
“Habis itu model apa? Model tudung?”
“Mak, dengarlah dulu. Yurina nak cerita ni,” potong Yurina. Aisha perlahan mencebik.
“Mak masih ingat tak dengan lelaki yang hantar Yurina balik rumah dulu?” sambung Yurina sebaik melihat ibu saudaranya diam.
“Kenapa dengan lelaki tu? Dia nak minta apa-apa dengan kamu ke?”
“Tak. Sebenarnya ya. Dia minta Yurina untuk jadi model pakaiannya menggantikan salah seorang modelnya yang cuti,” beritahu Yurina.
“Kenapa pula dia nak kamu yang jadi model dia?” tanya Puan Aishah ingin tahu namun Yurina hanya mengangkat bahunya.
“Entahlah mak tapi itulah alasan yang dia bagi. Katanya dia memang perlukan bantuan dan Yurina tak sampai hati pula nak tengok je sebab selama ini pun dia yang bantu Yurina.”
“Oh, jadi ini kira nak balas budilah ni?”
“Boleh dikira macam itu lah. Tapikan mak, Yurina kadangkala tertanya juga. Kenapa dia nak Yurina yang jadi pengganti modelnya? Bukannya pereka fesyen ni ada stok model ke?” Yurina melahirkan rasa ingin tahunya.
“Kalau kau tanya mak, memang mak tak tahu jawapannya. Apa kata kamu tanya sendiri dengan tuan punya badan. Mesti dia ada jawapan yang kamu sendiri takkan faham,” jawab Aisha.
“Malulah mak nak tanya banyak-banyak. Nanti dia kata Yurina penyibuk pula.”
“Erm, kalau dah fikir macam tu lebih baik diam saja.”
Yurina mencebik. Dia kembali mengingat apa yang berlaku pagi tadi ketika dirinya berada dibangunan milik Moza. Senyumannya mula diatur dan membuatkan ibu saudaranya tertanya-tanya.
“Ni dah kenapa pula senyum-senyum?” tegur Puan Aishah.
“Mana ada Yurina senyum?”
“Habis tu kenapa mulut melebar macam burung unta? Ada apa-apa yang berlaku ke?”
“Mak ni, sampai hati samakan mulut Yurina dengan mulut burung unta,” Yurina kembali mencebik.
“Habis tu kau nak sama macam apa? Macam Angelina Jolie memang jauh sekali,” usik Puan Aishah.
“Mak...”
“Erm, dahlah. Mak nak masuk bilik dulu. Kemas semua ni, lepas tu masuk tidur. Esok kamu nak sekolah, nanti mengantuk pula.”
Aisha bangun dari kerusi yang didudukinya lalu melangkah menuju kearah biliknya yang terletak berhampiran dengan dapur. Yurina hanya memandang sehinggalah ibu saudaranya itu hilang dibalik dinding.
Satu keluhan panjang dilepaskannya. Dia kembali mengingati apa yang telah berlaku padanya hari ini. Dia kembali terbayang akan wajah Moza yang sedang memarahi pekerjanya. Satu senyuman lebar mula diukir.
“Yurina, Yurina.”
Yurina mula mengemas komputer ribanya. Beberapa buah buku dan helaian kertas yang bertaburan mula dikutip dan disusun dengan kemas dan dibawa masuk kedalam bilik tidurnya. Komputer ribanya kembali dicas.
Yurina memandang jam dinding yang melekat didinding biliknya. Jarum jam yang hampir menunjukkan pukul 12 tengah malam membuatkan Yurina segera mengemas buku yang ingin dibawanya untuk keesokan harinya.
Tidak sampai lima minit, semua kelengkapannya kini tersedia didalam beg galasnya. Dengan mulut yang menguap, Yurina mematikan suis lampu dan melangkah kearah katilnya. Dengan mata yang mula mengantuk, dia merebahkan badannya.
Siling biliknya yang dihiasi dengan hiasan bulan dan bintang dipandangnya seketika. Dan secara tidak langsung, dia teringat akan arwah kakaknya yang telah melekat semua itu untuknya.
“Yurina rindu dengan kakak,” ujar Yurina seorang diri. Dia dapat membayangkan wajah kakaknya yang tersenyum memandangnya.
“Kakak jangan risau, Yurina tetap akan cari teman lelaki kakak dan minta penjelasan dari dia. Itu janji Yurina pada kakak,” sambung Yurina lagi. Sebuah bantal guling dipeluknya dengan erat.
Malam yang semakin larut akhirnya membuatkan Yurina terlena sambil memeluk bantal gulingnya. Suara cengkerik dan katak kembali bersahutan.
Moza terbangun dari tidurnya. Matanya terbuntang luas memandang siling bliknya. Dia bingkas bangun dan mengucap panjang. Mimpi ngeri yang dialaminya membuatkan seluruh kepala dan badannya berpeluh.
“Astaghfirullahalazim,” Moza mengucap panjang. Wajahnya yang berpeluh diraupnya dengan kedua tangannya. Dia benar-benar tidak menyukai mimpinya.
Jarum jam yang menghampiri jam satu pagi membuatkan Moza mendengus halus. Rasa melekit akibat peluh membuatkan seluruh badannya terasa begitu panas. Telefon pintarnya yang berada diatas katilnya dicapai.
“Mesej?”
Moza membaca mesej WhatsApp yang dihantar oleh Aryan. Satu senyuman lebar terukir sebaik melihat akan beberapa keping gambar dirinya dan Yurina pagi tadi.
“Buruknya muka aku,” ujar Moza seorang diri. Tangannya dengan pantas kembali menaip dan menghantarnya kembali ke arah Aryan.
Sebaik membalas mesej tersebut, Moza kembali meletakkan telefonnya diatas meja kecil yang terletak ditepi katilnya. Dan seraya itu juga, dia bangun dan mencapai akan sehelai tuala mandi yang tergantung dihadapan almari pakaiannya.
Tuala tersebut ditarik dan diletakkan diatas bahunya. Dengan mulut yang menguap, dia melangkah masuk kedalam bilik mandi dan membersihkan dirinya.
Sebaik selesai membersihkan diri, Moza keluar dengan pakaian barunya. Tuala mandi yang digunakan dililit kemas diatas kepalanya. Badannya yang tadi melekit dan berpeluh kini kembali sedar.
Namun sebaik Moza melangkah keluar dari bilik mandi, dia terpandang akan sepasang kaki yang melunjur diluar bilik tidurnya. Perasaannya mula berdegup kencang. Satu persatu persoalan mula timbul difikirannya.
Tanpa menunggu lama, Moza meluru keluar. Dia benar-benar terperanjat akan apa yang dilihatnya. Dia tidak menyangka abangnya terkujur lemah dan kaku diluar biliknya dengan darah yang sudah mengering keluar dari hidungnya.
“Dawson!”
Moza dengan pantas memangku kepala abangnya. Pipinya mula ditepu berharap Dawson akan kembali sedar namun apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Dawson tetap tidak sedarkan diri dan semakin merisaukan Moza.
“Pak cik!”
Moza melaung memanggil penjaganya dengan kuat. Dia benar-benar risau melihat abangnya terkujur sedemikian rupa.
“Bangun Dawson! Bangun!”
Moza mula menggerakkan abangnya namun Dawson tetap tidak sedar. Apa yang dilakukan Moza tetap tidak dapat menyedarkan abangnya.
“Pak cik!”
Laungan Moza yang begitu kuat membuatkan Pak Ehsan terjaga dari tidurnya. Dengan berkain pelikat dan baju nipis yang dipakainya, dia bergegas keluar kearah ruang tamu dan mendongak naik memandang ketingkat atas.
“Pak cik! Dawson, pak cik!”
“Apa yang bising sangat ni?” tanya Pak Ehsan pada dirinya sendiri. Dengan pantas, dia mendaki satu persatu anak tangga dan alangkah terkejutnya dirinya apabila melihat Dawson yang terbaring lemah dengan darah yang sudah kering keluar dari hidungnya.
“Apa yang berlaku ni Moza? Kenapa boleh jadi macam ni?” tanya Pak Ehsan. Dia segera mendapatkan Dawson yang masih tidak sedarkan diri.
“Saya tak tahu pak cik. Bila saya keluar, saya nampak Dawson terbaring disini.”
Pak Ehsan mendekatkan jari telunjuknya kearah hidung Dawson. Moza hanya diam memerhati. Satu anggukan dari Pak Ehsan membuatkan Moza tertanya-tanya.
“Kenapa dengan Dawson pak cik? Dawson masih hidup kan?” tanya Moza.
“Astaghfirullah kamu ni. Kenapa tanya soalan macam tu? Abang kamu masih hidup. Dah, tolong angkat abang kamu ni masuk ke biliknya. Lepas tu tolong ambil air dengan tuala basah,” ujar Pak Ehsan dan Moza dengan pantas menurut.
Dengan penuh berhati-hati, Moza mengangkat abangnya menuju masuk kedalam biliknya. Sebuah bantal sederhana besar segera diletakkan dibawah kepala menyokong kepalanya.
Sebaik meletakkan Dawson di tempat tidurnya, Moza kembali keluar dan menuju kearah almari pakaian milik abangnya. Sehelai tuala kecil ditarik keluar dan segera dibasahkan lalu menyerahkannya kepada penjaganya.
Tuala lembab tersebut kini bertukar tangan. Dengan penuh berhati-hati, Pak Ehsan mula mengelap darah kering yang mengalir keluar dari hidung Dawson. Moza duduk ditepi katil. Tangan Dawson yang pucat dan sejuk dipegangnya.
“Urut sikit-sikit tangan abang kamu tu, biarkan darah tetap mengalir.”
Moza mengangguk. Kata-kata penjaganya diturut tanpa banyak soal. Nasihat dan panduan dari Dr. Illy kembali diingati satu persatu.
“Tak nak bawa Dawson ke hospital ke?” tanya Moza. Dipandangnya Pak Ehsan yang masih mengelap dan membersihkan darah yang telah kering.
“InsyaAllah, abang kamu takkan apa-apa. Pak cik masih ingat lagi dengan kata-kata Dr. Illy. Kalau abang kamu masih bernafas dengan baik, itu tandanya dia masih ada peluang untuk kembali sedar.”
“Tapi saya risaulah pak cik. Saya tak tahu sejak bila Dawson terbaring diluar tu. Bila saya keluar dari bilik mandi, saya dah nampak Dawson terbaring di luar.”
“Berdoalah banyak-banyak Moza. Pak cik tahu abang kamu seorang lelaki yang kuat. Dia tak akan biarkan kanser membunuh dia.”
Moza diam. Dia memandang wajah abangnya yang pucat dan lesu. Satu keluhan panjang dilepaskan. Dia benar-benar tidak menyangka dengan apa yang terjadi.
“Pak cik turun dulu. Nanti ada apa-apa, panggil pak cik,” ujar Pak Ehsan sebaik selesai membersihkan darah yang melekat dihidung Dawson. Moza hanya mengangguk.
Moza hanya melihat penjaganya pergi meninggalkannya. Tangan abangnya yang sejuk kembali perlahan diurut. Rasa sejuk mula mencengkam badannya. Moza menggosok badannya. Selimut abangnya yang terlipat kemas dihujung katil segera ditarik dan dibiarkan membungkus badan abangnya.
“Aku minta maaf Dawson,” ujar Moza sebaik menyelimutkan abangnya. Rambut Dawson yang tebal dibelainya perlahan. Anak matanya kembali berkaca. Entah kenapa hatinya terasa luluh apabila melihat abangnya yang sering pengsan dan mengadu sakit kepala.
Dia kembali teringat akan pertama kali dirinya mengetahui akan kanser otak yang dihidapi abangnya. Seluruh jiwa dan raganya terasa terhenti dan terbang ketempat lain. Seluruh tubuhnya turut menggigil tidak percaya dengan apa yang dikatakan Dr. Illy.
Moza memegang kepalanya. Dia benar-benar tidak menyangka sesuatu yang buruk akan menimpa keluarganya. Air matanya yang selama ini ditahannya kembali menitik turun dan menimpa lantai.
Satu persatu dia menangisi nasibnya. Dia benar-benar kehilangan kekuatan. Abangnya yang selama ini menjadi sumber kekuatan kini membuatkan dia hilang keyakinan untuk meneruskan kehidupan.
Moza kembali menangis. Dia benar-benar tidak kuat untuk menghadapi kehidupan. Matanya yang asyik basah dengan air mata perlahan membengkak. Tidak ada satupun yang mampu difikirkannya selain abangnya.