Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 17

Suasana yang asing membuatkan Dawson sekejap-sekejap menutup matanya. Tangan kanannya turut naik memegang kepalanya yang kembali terasa sakit. Sesekali dia mengerutkan dahinya. Tekaknya turut terasa loya ditambah lagi dengan mulutnya yang terasa begitu kering.

Branula yang ada ditangannya dipandangnya seketika. Dia mencuba untuk mengingati kembali apa yang berlaku pada dirinya malam tadi. Namun semakin dia mencuba untuk mengingati, kepalanya bertambah sakit sehingga dia kembali meraung.

Dr. Illy yang baru sahaja masuk kedalam wad terkejut apabila melihat Dawson yang telah sedar namun bertindak agresif dengan memegang kepalanya. Dengan pantas dia mendapatkan Dawson dan mencuba untuk menenangkannya.

“Dawson, berhenti. Jangan sakitkan diri sendiri,” ujar Dr. Illy mencuba untuk menenangkan Dawson.

Namun Dawson tidak mengendahkan kata-kata Dr. Illy. Dia tetap memegang kepalanya yang semakin terasa sakit. Malah dia merasakan rasa sakit yang begitu menyiksanya. Wajahnya mula memerah dan urat turut timbul pada leher dan kepalanya.

Melihat Dawson yang semakin kesakitan, Dr Illy mengambil keputusan untuk memberi ubat penenang pada Dawson dengan kuantiti yang sedikit. Jarum suntikan yang dibawanya segera digunakan dan dengan pantas menyuntik masuk melalui saluran hos kecil yang menghubungkan antara beg air dan branula yang tertanam ditangannya.

Sebaik sahaja ubat penenang tersebut masuk melalui hos, Dawson mula tenang. Nafasnya mula turun naik dengan teratur tidak seperti tadi dimana dirinya meraung kesakitan. Dr. Illy kembali mendapatkan Dawson. Dia dapat melihat peluh mula keluar dari dahi Dawson.

“Dawson, tengok saya,” pinta Dr. Illy perlahan. Dawson hanya menurut sebaik sahaja Dr. Illy membaringkan dia kembali ke katilnya.

“Mana Moza?” tanya Dawson perlahan dengan suara yang terketar-ketar.

“Moza? Sekejap lagi dia datang,” jawab Dr. Illy. Dia dengan pantas mencapai sehelai tuala nipis dan mengesat peluh yang keluar dari dahi Dawson dengan lembut dan perlahan.

“Dawson, nanti saya nak scan kepala awak okay?”

“Untuk apa?” tanya Dawson. Bibirnya benar-benar kering.

“Supaya senang kita dapat tahu apa yang menyebabkan awak sakit kepala,” jawab Dr. Illy sambil mengukir senyuman.


“Okay, minum air ni dulu.”

Dr. Illy mencapai sebotol air mineral yang dibawanya dari pejabatnya. Sebuah cawan kaca turut digunakan dan menuangkan air kedalamnya. Dawson yang terbaring lemah mula dibantu untuk duduk.

“Okay, duduk perlahan-lahan.”

Cawan berisi air minuman disuakan ke mulut Dawson dengan perlahan. Dawson yang terasa haus meneguk air tersebut sehingga habis. Bibirnya yang tadi kering kini kembali basah.

“Saya nak jumpa Moza,” ujar Dawson sebaik habis meneguk air minuman tersebut. Dipandangnya Dr. Illy yang ada didepannya.

“Nanti saya call adik awak. Sekarang awak berehat dulu dan dalam lima minit lagi kita buat scan. Boleh?”

Dawson hanya mengangguk. Seluruh tubuhnya terasa begitu lesu ditambah lagi dengan keadaannya yang begitu kusut.

“Makin cepat awak diperiksa , makin cepat jugalah kita boleh tahu apa sakit awak. Dan saya harap awak akan cepat sembuh dan tak tinggal di hospital ni. Awak boleh balik ke rumah dan bersama dengan adik awak lagi.”

“Saya nak minta satu boleh tak?”

“Apa tu?”

“Kalau keputusan scan tak baik, boleh tak jangan beritahu Moza? Biar saya saja yang tahu,” pinta Dawson. Dr. Illy tersentak. Dipandangnya Dawson meminta kepastian.

“Kenapa pula? Adik awak berhak untuk tahu tau.”

“Tak. Saya tak nak dia tahu. Dan kalau boleh jangan tunjukkan apa-apa pada Moza.”

“Dawson, tak baik macam ni. Kalau ada apa-apa yang berlaku pada awak, Moza takkan maafkan diri dia sendiri. Selama dia datang kesini sejak beberapa tahun yang lalu, dia asyik menangis.”

“Menangis? Kenapa dia nak menangis? Dia bukannya budak kecil yang hilang mainan,” ujar Dawson. Suaranya masih terdengar perlahan.

“Memanglah adik awak bukannya kecil lagi tapi untuk pengetahuan awak, dia sayangkan awak. Adik awak tu satu dalam sejuta.”

Dawson hanya tersenyum nipis. Dia bagaikan tidak percaya akan kata-kata Dr. Illy tersebut. Dr. Illy hanya menggeleng.

“Macam sebelum ni masa awak baru bangun dari tidur panjang. Awak nak tahu dia dimana? Masa tu dia bukan di sini tau. Dia jauh beribu batu dari awak tapi bila dia dapat tahu abang dia dah bangun, terus dia datang kesini dan tinggalkan semua kerja.”

“Jangan nak buat ceritalah doktor,” Dawson masih tidak percaya dengan apa yang diberitahu wanita tersebut.

“Awak tanyalah dengan adik awak sendiri nanti. Awak tanya dia mana satu yang lebih dia utamakan. Antara awak dan kerja, awak rasa mana yang dia akan pilih?” sambung Dr. Illy.

Dawson melepaskan keluhannya. Dia sendiri tidak tahu apa yang akan menjadi pilihan adiknya.

“Rehatlah dulu. Jangan fikir sangat nanti kepala tu rasa sakit lagi,” ujar Dr. Illy. Dawson hanya mengangguk perlahan.

“Okay. Sekejap lagi kita ke ruang pemeriksaan. Bawa bertenang dan jangan fikirkan apa pun. Kosongkan fikiran dan kalau boleh fikir sesuatu yang elok.”

Dawson memandang Dr. Illy. Dia tidak faham dengan apa yang dikatakan wanita tersebut. Dr. Illy perlahan mengukir senyuman.

“Maksud saya, jangan fikir sesuatu yang boleh buat kepala awak sakit. Tenangkan diri dan bayangkan diri ada disebuah taman atau air terjun dan ditemani oleh seseorang yang istimewa,” terang Dr Illy.

“Nampak sangat pandai berangan,” usik Dawson.

Dr. Illy tersengih. Dipandangnya jam tangannya yang sudah hampir menunjukkan pukul 12 tengah hari. Satu keluhan perlahan dilepaskan sebelum kembali memandang Dawson sambil tersenyum lebar.

Telefon pintarnya yang ada didalam kocek baju putihnya dikeluarkan. Dihubungi seorang jururawat meminta bantuannya untuk membawa Dawson ke ruangan pemeriksaan.

“Shah, datang ke wad Melati sekarang. Saya nak minta tolong sikit,” ujar Dr. Illy sebaik Shah mengangkat panggilan telefonnya.

Dr. Illy kembali meletakkan telefonnya kedalam kocek baju putihnya sebaik selesai menghubungi pembantunya. Dawson yang hanya duduk ditepi katil mula perlahan bangun. 

“Nak kemana?” tanya Dr. Illy apabila melihat Dawson turun dari katilnya. Dengan pantas dia memegang Dawson, khuatir seandainya lelaki tersebut tidak mampu mengimbangi badannya.

Dawson tidak menjawab. Kedua kakinya yang terasa lemah perlahan dilangkah satu persatu. Entah kenapa kakinya perlahan terasa kebas.

Tidak lama kemudian, seorang jururawat masuk sambil membawa sebuah kerusi roda. Dawson mula mendengus halus. Hatinya perlahan berdebar. Buat seumur hidupnya dia akan membuat pemeriksaan dibahagian kepalanya yang sering terasa sakit pada waktu yang tidak menentu.

“Okay. Mari duduk di kerusi roda ni. Perlahan-lahan,” ujar Dr. Illy. Dawson hanya menurut tetapi entah kenapa kakinya enggan melangkah. Dia mula terasa kesemutan pada kedua kakinya.

“Kenapa Dawson?” tanya Dr. Illy. Dawson perlahan menggeleng dan membuatkan Dr. Illy kehairanan. Jururawat yang menunggu turut kehairanan.

“Kaki saya lemah,” ujar Dawson perlahan. Dia mula hilang keseimbangan. Kedua kakinya mula menggigil secara tiba-tiba. Jururawat yang membantu dengan pantas menerpa kearah Dawson dan memegangnya.

“Duduk dulu,” arah Dr. Illy dan Dawson perlahan duduk di tepi katilnya. Dia mula merasa satu perasaan yang aneh pada dirinya. Entah kenapa penglihatannya sekejap berpinar dan sesekali berganda. Peluh kasar turut keluar dari dahinya.

“Dawson?”

Dr. Illy semakin risau. Dipandangnya jururawat lelaki yang membantunya. Dia bagaikan sudah mengetahui apa yang menyebabkan Dawson sedemikian rupa.

“Dawson, awak berehat dulu. Nanti saya call adik awak,” ujar Dr. Illy. Dia kembali memegang Dawson dan menyuruhnya untuk kembali berbaring di katilnya. Dawson hanya menurut. Matanya yang layu mula ditutup rapat. Rasa sakit kepalanya mula muncul namun tidak mengganas.

“Shah, tunggu disini sekejap,” arah Dr. Illy pada pembantunya dan Shah dengan pantas mengangguk. Dia menarik selimut dan membungkus separuh badan Dawson.

Dr. Illy dengan pantas keluar dari wad tersebut. Langkahnya yang pada mulanya perlahan semakin lama semakin pantas sehingga akhirnya dia berlari anak menuju ke pejabat rakannya, Dr. Fikri. Dia mahu menemui rakannya itu dan meminta bantuannya.

“Dr. Fikri!”

Dr. Fikri yang baru sahaja hendak keluar dari pejabatnya terkejut lalu serentak menoleh. Dia terkejut apabila melihat Dr. Illy. Fail pesakit yang dibacanya segera diturunkan.

“Kenapa ni?” tanya Dr. Fikri sebaik Dr. Illy berdiri didepannya. Dipandangnya Dr. Illy, rakan sekerjanya yang termengah-mengah.

“Awak kena tolong saya,” ujar Dr. Illy dengan nafas yang tidak teratur. Peluh yang keluar segera dilap dengan hujung bajunya.

“Tolong apa?”

Baru sahaja Dr. Illy ingin membuka mulut, dia dikejutkan dengan deringan telefonnya yang tiba-tiba berbunyi minta dijawab. Dengan pantas dia mengeluarkan telefon pintarnya dan sekali lagi dia terkejut sebaik melihat nama jururawat Shah tertera di skrin telefonnya.

“Hello Shah,” jawab Dr. Illy.

Terbuntang mata Dr. Illy sebaik mendengar kata-kata pembantunya yang meminta akan bantuannya dan memohon untuk kembali ke wad yang menempatkan Dawson.  Dari corong telefon, dia dapat mendengar suara Dawson yang menjerit dan meraung.

“Doktor, ikut saya sekarang,” pinta Dr. Illy. Dia kembali berlari menuju ke wad yang menempat pesakitnya. Dan tanpa berfikir panjang, Dr. Fikri turut mengejar dari belakang.

Tidak sampai seminit, Dr. Illy dan Dr. Fikri sampai di wad Dawson. Mereka sekali lagi terkejut apabila melihat Dawson yang duduk memegang kepalanya di penjuru wad. Darah yang keluar dari hidung membuatkan Dawson bagaikan hilang akal. Dia menjerit dan meraung kesakitan.

“Dawson, bertenang,” ujar Dr. Illy. Dengan perlahan dia menghampiri Dawson yang bagaikan dirasuk oleh sesuatu yang tidak terlihat. Dr. Fikri turut membantu. Fail pesakit yang dibawanya diletakkan diatas meja kecil yang terletak dihujung katil.

“Tolong saya. Kepala saya sakit,” beritahu Dawson. Dia mula memukul-mukul kepalanya. Rasa sakit dikepalanya membuatkan dia tidak mampu untuk bertenang. Air matanya turut keluar membasahi wajahnya.

“Dawson, bawa bersabar. Saya akan bantu awak untuk hilangkan sakit kepala awak tu,” ujar Dr. Fikri pula.

Dawson menggeleng. Dia semakin kesakitan. Darah yang keluar dari hidungnya tidak lagi dipedulikannya dan dibiarkan jatuh mengotorkan bajunya. Akibat kesakitan yang melampau, dia mula menghantukkan kepalanya di dinding wad tersebut.

Dr. Illy dengan pantas meluru mendapatkan Dawson. Dia tidak mahu lelaki tersebut mencederakan dirinya. Ditariknya kepala Dawson agar menjauh dari dinding. Dr. Fikri turut pantas membantu.

“Beri saya sedatif,” pinta Dr. Fikri.

“Baik,” jawab Shah. Tangannya mula pantas menyediakan apa yang dipinta Dr. Fikri.

Tanpa disangka, Dawson tiba-tiba rebah ke lantai. Seluruh tubuhnya terasa lembik. Dr. Illy dan Dr. Fikri terkejut. Mereka memukul pipi Dawson berkali-kali namun lelaki tersebut tetap tidak sedarkan diri. Masing-masing mula berpandangannya dan menimbulkan tanda tanya bagi Shah.


Satu panggilan mengejutkan Moza yang baru sahaja hendak membersihkan badannya. Tuala mandi yang telah disangkut pada bahu kanannya dengan pantas dibaling. Dengan larian yang pantas, dia berlari keluar dari biliknya dan mendapatkan penjaganya.

“Pak cik!”

Laungan Moza tidak berbalas. Dia mula meliar memandang ruang tamunya mencari kelibat penjaganya namun penjaganya tetap tidak kelihatan. Rambutnya yang serabai tidak lagi dipedulikannya.

“Pak cik! Pak cik dimana?” 

Moza melaung sekali lagi dengan suara yang lebih kuat. Dia benar-benar risau. Berita Dr. Illy mengenai abangnya membuatkan dia ketakutan. Dia sma sekali tidak menyangka akan perkara tersebut. Perkara dimana abangnya bersikap bagai pesakit mental.

“Pak cik!”

“Apa hal dengan kamu ni? Menjerit tak tentu pasal?”

Moza segera menoleh. Dia melihat penjaganya menghampirinya dengan tergesa-gesa. Dipandangnya wajah penjaganya itu dengan mata tidak berkedip.

“Kita ke hospital sekarang!”

“Kenapa? Ada apa-apa berlaku dengan abang kamu ke?” tanya Pak Ehsan risau. Tuala kecil yang melingkari disepanjang bahunya segera dilapkan kearah peluhnya yang keluar dari dahinya.

“Dr. Illy kata Dawson pendarahan.”

“Pendarahan? Astaghfirullahalazim. Kamu tunggu sekejap. Biar pak cik tukar pakaian dulu.”

Pak Ehsan dengan pantas berlalu menuju ke biliknya yang terletak dihujung berhampiran dengan dapur. Moza mula bingung. Dia masih risau dengan apa yang didengarnya. Seluruh tubuhnya terasa menggigil.

“Cepat pak cik!” laung Moza lagi. Dia menghampiri meja kecil yang terletak di tepi dinding dan pantas mencapai kunci keretanya. Pakaiannya yang ingin ditukarnya tidak lagi difikirkannya. Apa yang dia tahu, dia ingin cepat sampai ke hospital menemui abangnya.

“Pak cik!” 

Sekali lagi Moza melaung memanggil penjaganya. Pak Ehsan mula bergumam seorang diri didalam biliknya sebaik mendengar suara kuat Moza memanggilnya. Baju yang dipakainya tidak lagi teratur. Begitu juga dengan pakaian kerjanya yang dibaling masuk kedalam bakul yang tersedia ditepi almari pakaiannya.

“Bertuah punya budak,” gumam Pak Ehsan. Dengan pantas dia mencapai minyak wangi dan menyemburkannya pada seluruh tubuhnya yang berpeluh. Telinganya mula mendengar suara hon kereta Moza yang sudah menunggu.

Sebaik selesai menukar pakaian, Pak Ehsan bergegas keluar dari biliknya. Dengan langkah satu persatu diatur namun pantas, dia segera menutup pintu rumah dan berlari anak mendapatkan Moza yang sudah menunggu didalam keretanya.

“Cepatlah pak cik,” gesa Moza. Dia masuk kedalam kereta Moza setelah mengunci pintu rumahnya.

Sebaik penjaganya masuk kedalam kereta dan memakai tali pinggang keselamatan, Moza mula memandu kenderaannya dengan laju. Pedal minyak ditekannya dan sesekali dilepaskan. Walaupun laju, dia tetap memandu dengan peuh berhati-hati. Bayangan wajah abangnya semakin lama semakin memenuhi ruangnya.

“Apa doktor cakap tadi? Ada tak dia beritahu kenapa abang kamu pendarahan?” tanya Pak Ehsan. Dipandangnya Moza yang memandu dengan fokus disebelahnya.

“Dia kata tadi Dawson meracau. Dia hentak-hentak kepala di dinding lepas tu darah keluar dari hidung.”

“Astaghfirullahalazim. Kasihannya abang kamu tu. Doktor ada beritahu apa sakit abang kamu tu?”

“Entahlah pak cik. Saya tak tanya pula.”

“Pak cik sangka pendarahan apa tadi. Kalau setakat hidung berdarah, itu bukannya pendarahan. Tapi apapun kita kena banyak bersabar dan berdoa untuk abang kamu.”

“Pak cik, dah namanya darah keluar dari hidung namanya pendarahan juga.”

 “Pak cik tahu tapi kadangkala sebutan kamu menakutkan pak cik.”

Moza diam. Dia malas hendak membantah kata-kata penjaganya. Dia memandu kenderaannya laju menuju ke hospital. Perasaannya semakin tidak tenteram.

Dengan kenderaan dipandu laju meyelusuri jalan raya, akhirnya Moza dan Pak Ehsan sampai di perkarangan hospital dalam masa kurang dari lima belas minit. Dan sebaik Moza meletakkan kenderaannya dikawasan tempat letak kenderaan, dia segera keluar dari keretanya diikuti dengan penjaganya.

Langkah yang pantas mula diatur satu persatu menuju ke wad sebilik yang menempatkan abangnya. Hatinya semakin tidak keruan selagi tidak memandang wajah abangnya. Dia benar-benar dihimpit kerisauannya. Beberapa orang pelawat yang menunggu di tepi laluan tidak diendahkannya.

Pak Ehsan hanya mengejar dari belakang. Tenaganya yang tidak lagi sekuat dulu membuatkan dia jauh ketinggalan dibelakang. Moza semakin lama semakin merasa berdebar. Entah kenapa fikirannya mula memikirkan perkara yang negatif.

Pintu wad sebilik yang menempatkan abangnya ditolak. Dia tergamam seketika apabila melihat abangnya yang terbaring kaku dengan topeng oksigen dipasang pada wajahnya. Dia bagaikan tidak percaya apabila melihat wajah abangnya yang kelihatan pucat dibalik topeng tersebut.

“Dawson? Kau dengar tak? Ini aku,” ujar Moza. Dipegangnya tangan abangnya yang turut pucat dan tidak bermaya. Dia benar-benar hilang akal. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya sebaik melihat keadaan abangnya itu.

Pak Ehsan yang baru sahaja masuk turut terkejut sebaik melihat keadaan Dawson yang cukup jauh berbeza. Perlahan dia menghampiri anak asuhnya itu. Dia dapat melihat Moza yang sudah mula menitikkan air mata.

 Satu persatu kalimat suci Allah disebutnya. Dia turut sebak. Dia sama sekali tidak menduga anak asuhnya itu akan berkeadaan sedemikian rupa.

“Dawson, bangunlah.”

Moza mula menggerakkan tangan abangnya. Dia sama sekali tidak mahu melihat abangnya dalam keadaan sedemikian rupa, terbaring lemah dan kaku tanpa sedikitpun reaksi.

“Bangunlah Dawson. Aku ada ni temankan kau. Bangunlah. Jangan tidur lagi,” ujar Moza dalam esak tangisnya. Dia kembali mengoyangkan tangan Dawson.

“Moza, bawa bertenang. Jangan ikut perasaan,” ujar Pak Ehsan sambil mengesat air matanya yang turut turun. Dia juga tidak mampu mengawal perasaan sedihnya.

“Pak cik, apa yang kita nak buat sekarang? Saya tak nak Dawson tinggalkan saya. Cuma dia satu-satunya abang saya. Tolonglah pak cik,” Moza mula merayu peada penjaganya.

Pak Ehsan menggosok belakang Moza yang menangis. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukannya selain menyerahkannya kepada Allah dan kepakaran para doktor yang akan menjaga dan merawat Dawson. Moza tidak lagi peduli akan dirinya. Dia mula memeluk penjaganya dan menangis sekuat hati di bahu Pak Ehsan.

“Sabarlah Moza. Bawa bertenang. Pak cik yakin abang kamu akan kembali sihat seperti biasa. Kamu kena banyak berdoa demi kesembuhan abang kamu,” nasihat Pak Ehsan. Tangannya tetap menggosok belakang Moza menenangkannya.

“Saya tak nak Dawson tinggalkan saya. Saya sanggup ganti tempat Dawson,” ujar Moza dalam esak tangisnya. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa abangnya akan kembali menutup mata dan meninggalkannya.

“Jangan cakap macam tu Moza. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang baik sedang menanti dikemudian hari. Kamu tetap harus berfikiran positif dan bertenang. Dan pak cik yakin abang kamu tak suka bila tengok kamu menangis macam ni.”

“Habis tu saya nak buat apa pak cik? Takkan saya hanya nak duduk diam dan tengok Dawson macam ni?”

“Moza, banyak perkara yang kamu boleh buat. Berhenti menangis dan meratap abang kamu. Dia takkan suka bila tengok kamu begini,” jawab Pak Ehsan.

Moza menyeka air matanya. Dia kembali memandang abangnya. Rasa sedihnya masih tidak dapat dibuangnya. Entah kenapa hatinya begitu lemah melihat keadaan abangnya yang semakin memburuk.

“Dawson, bangunlah. Aku janji lepas ni aku akan ikut apa yang kau nak. Aku janji,” ujar Moza lemah. Air matanya yang tadi disekanya kembali turun dan menimpa tangan abangnya.

Dawson tiba-tiba menggerakkan jari tangannya. Dia bagaikan dapat mendengar suara adiknya yang merayu meminta agar dirinya kembali sedar. Moza turut tersentak.

“Dawson?”

Dawson membuka kedua matanya perlahan-lahan. Dia dapat melihat kehadiran adik dan penjaganya walaupun pandangannya kabur. Seluruh tubuhnya terasa kebas dan tidak mampu untuk digerakkan.

“Moza?” Dawson menyebut nama adiknya namun tidak kedengaran. Sesekali dia mengerutkan wajahnya seolah menahan rasa sakit yang kembali menyerang kepalanya.

“Dawson, kau okay?” tanya Moza. Pak Ehsan turut tersentak.  Dalam diam, dia mengucap rasa syukur.

Dawson kembali mengerutkan dahinya. Secara tiba-tiba Dawsonn menggeletar. Kedua anak matanya mula naik memandang keatas. Moza mula panik. Dia tidak tahu apa yang berlaku pada abangnya itu. Dipandangnya wajah penjaganya yang turut terperanjat.

“Pak cik, apa yang kita kena buat sekarang? Kenapa dengan Dawson ni?” tanya Moza. Dipegangnya tangan abangnya yang menggeletar dan menggigil.

“Tunggu. Biar pak cik panggil doktor,” ujar Pak Ehsan lalu berlari keluar. Moza kembali memandang abangnya yang semakin tidak terkawal. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

“Dawson?” Moza memanggil nama abangnya namun tanpa disangka, Dawson tiba-tiba tersedak. Topeng wajah yang dipakainya kini dipenuhi dengan darah merah yang keluar dari hidung dan mulutnya.

Moza terkejut dan dengan pantas dia membuka topeng tersebut. Namun sebaik sahaja dia membuka topeng tersebut, Dawson mula terasa sesak untuk bernafas ditambah lagi dengan darah yang menutup lubang hidungnya.

Dawson semakin lama semakin tidak terkawal. Darah yang keluar semakin banyak dari mulut dan hidungnya membuatkan pakaian turut berdarah. Moza semakin panik. Dia mencuba untuk membantu namun abangnya semakin kritikal.

Kedua tangannya kini berdarah. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia dapat melihat abangnya yang bagaikan sedang bertarung dengan nyawanya sendiri apatah lagi dengan kedua anak matanya yang memandang keatas bagaikan orang sawan.

Pintu wad yang ditolak seseorang dari luar membuatkan Moza segera berpaling. Hatinya merasa sedikit lega apabila melihat Dr. Illy masuk dan diikuti dengan seorang doktor lain yang datang membantu.

“Moza, beri kami ruang,” ujar Dr. Illy dan Moza pantas menurut. Dia berundur beberapa tapak kebelakang.

Moza dapat melihat abangnya yang semakin tidak keruan. Dawson mula menggelepar bagaikan seekor ayam yang disembelih. Moza tidak dapat menahan dirinya. Dia tidak sanggup melihat abangnya dalam keadaan sedemikian rupa.

Pak Ehsan yang baru masuk terkejut apabila melihat Moza yang dipenuhi dengan darah. Dia turut menoleh dan memandang Dawson yang sedang diselamatkan oleh dua orang doktor lalu kembali memandang Moza.

“Moza,” Pak Ehsan menghampiri Moza yang turut menggigil ketakutan.

Namun tanpa disangka, Moza keluar dari wad tersebut. Dia tidak mempunyai kekuatan untuk melihat keadaan abangnya. Kedua tangannya yang berlumuran darah dilapnya pada bajunya yang berwarna putih.

Baru sahaja dia ingin keluar, dia terlanggar akan seseorang. Tidak sedikitpun dia mengangkat kepalanya. Wajahnya yang basah dengan air matanya membuatkan dia tidak mahu ada sesiapapun yang memandangnya. Dia kembali mengorak langkah dan membuatkan orang yang dilanggarnya kebingungan.

“Moza?”

Yurina yang berada tidak jauh dari situ bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia mula tertanya-tanya apa yang telah berlaku. Satu persatu persoalan timbul di fikirannya.

Langkahnya semakin lama semakin pantas menghampiri wad majikannya yang berada bersebelahan dengan wad dimana Moza keluar. Dia yang ingin melawat majikannya mula menunda hasratnya. Dia benar-benar dilanda seribu satu persoalan. Dia bagaikan tidak percaya bahawa lelaki yang dilihatnya itu adalah Moza.

“Betul ke itu Moza? Ke aku salah orang?” tanya Yurina seorang diri. 

“Tapi kenapa dia keluar dari bilik tu? Setahu aku wad kawan dia disini,” sambung Yurina. Dia mula menggaru kepalanya tidak gatal. 

Yurina masuk kedalam wad majikannya dan meninggalkan semua persoalannya diluar wad. Namun jauh didalam hati, dia yakin lelaki yang dilihatnya itu adalah Moza dan dia berhasrat untuk mencari tahu apa yang telah berlaku.






Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail