Dengusan kasar dilepaskan Moza. Wajah abangnya dipandang dengan mata yang tajam. Dawson pula tidak mempedulikan pandangan adiknya. Dia lebih asyik menikmati buah tembikai yang begitu diinginkannya.
“Apahal kau tengok aku macam tu?” tanya Dawson. Mulutnya penuh dengan isi tembikai yang begitu manis.
“Kau dah lama tak makan ke?” Moza tidak menjawab pertanyaan abangnya.
“Makan apa?”
Moza mengeluh. Kot yang dipakainya mula dibuka sebelum diletakkan dibelakang kerusinya. Segelas air mineral turut diteguk sehingga habis.
“Kau nak?” Dawson mengunjukkan sepotong buah tembikai namun Moza hanya menggeleng.
“Kau makanlah. Aku nak mandi dulu,” Moza bangun dari kerusinya. Kot yang tadi diletakkan dibelakang kerusi kembali dicapai dan mengorak langkah keluar dari dapur menuju ke biliknya di tingkat atas.
Yurina menunduk. Tidak sedikitpun dia mengangkat wajahnya untuk memandang ibu saudaranya yang sedang memandangnya dengan tajam. Entahapa yang difikirkan ibu saudaranya, dia sendiri tidak tahu. Yang pasti dirinya akan mendengar bebelan panjang dari penjaganya itu.
“Kenapa tak ajak dia masuk tadi?” tanya Puan Aishah.
“Dia sibuk,” jawab Yurina mereka alasan.
“Sibuk? Dia kerja apa sampai sibuk ke tengah malam? Dia bodyguard menteri ke?”
“Mak...”
“Yurina, mak tak larang kalau kamu nak berkawan dengan mana-mana lelaki tapi pastikan mak tahu siapa lelaki tu. Dah dua kali lelaki tu hantar kamu balik rumah tapi kenapa kamu tak kenalkan dia dengan mak?”
Yurina menutup matanya sekejap. Fikirannya mula dikerah mencari jawapan untuk setiap pertanyaan ibu saudaranya itu. Bukanlah niatnya untuk tidak memperkenalkan Moza kepada ibunya tapi dia tidak mahu ibunya bersikap terlalu baik dan sudah menganggap lelaki itu sebagai bakal menantunya.
“Kamu beritahu dengan dia, mak nak jumpa dengan dia,” ujar Puan Aishah.
“Mak... Tolonglah, kami cuma berkawan saja.”
“Jadi kenapa? Tak boleh ke kalau mak nak kenal dengan dia? Mak tahu dia cuma kawan kamu dan rasanya tak salah kalau mak nak kenal dengan kawan kamu yang lain. Takkanlah mak cuma boleh kenal dengan Hawa?”
Yurina mendengus perlahan. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dikatakannya. Fikirannya bercelaru. Bibir bawahnya kini digigit perlahan. Geram benar hatinya akan permintaan ibunya itu.
“Kamu jangan nak risaulah Yurina. Mak takkan jatuh cinta dengan lelaki tu. Mak sedar diri mak ni macamana,” ujar Puan Aishah lalu bangun dari kerusinya dan berlalu masuk kedalam biliknya meninggalkan anak saudaranya.
“Jatuh cinta? Mengarut!” Getus Yurina. Dia turut bangun dan masuk kedalam biliknya. Beg galas yang dibawanya diletakkan dengan kasar diatas katilnya. Badannya yang lenguh turut sama direbahkan.
Andy menggaru kepalanya yang tidak gatal. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini dia asyik terbayang akan wajah Yurina yang pertama kali dilihatnya berada dibutik Moza dan sedang mengenakan pakaian yang akan diperagakannya.
“You fikir apa Andy?” Sandra menegur. Dia menghampiri Andy yang nampak tidak bersemangat. Semangkuk salad buatannya diletakkan diatas meja.
“I tak tahu macamana nak beritahu tapi I rasa kita dah kalah,” ujar Andy. Sandra memandang hairan.
“Kalah? Apa yang kalah?”
“I dah jumpa siapa pengganti you nanti.”
“Pengganti? Maksud you perempuan yang akan gantikan I masa show tu nanti?”
“Jadi macamana rupa dia? Mesti lebih buruk dari I kan?” sambung Sandra.
“Well, dari apa yang I tengok, dia okay,” jawab Andy. Kepalanya turut diangguk beberapa kali.
“What do you mean? Dia lebih okay dari I ke?” Sandra mula berang. Seleranya untuk makan mula hilang.
“Mulanya I marah dan cuba beritahu dengan Moza yang dia tak boleh ambil sebarang perempuan untuk jadikan model utama tapi as you know, Moza seorang yang degil. Sedikitpun dia tak peduli dengan apa yang I kata.”
“No, you kena buat sesuatu. You tak boleh biarkan lelaki tu dengan senang dapat pengganti I. Ataupun...”
Andy mengangkat kepalanya. Dia mula hairan dengan senyuman Sandra.
“Apa kata you bunuh je perempuan tu? Habis cerita,” Sandra memberi cadangannya namun Andy pantas menggeleng tidak bersetuju.
“No, itu bukan jalan yang terbaik.”
“So, apa lagi jalan yang kita ada?”
“Andy, ini bukannya teruk sangat. You tinggal culik perempuan tak guna tu lepas tu bunuh dia. Mayat dia nanti kita boleh campak atau tanam dimana-mana. Senang kan?”
“Cakap memanglah senang Sandra tapi yang buat adalah I, bukannya you. You cuma akan duduk diam tengok I,” ujar Andy.
“You jangan risaulah Andy. I akan tolong dan I akan pastikan perempuan tu akan lesap dan hilang tanpa jejak,” Sandra mengukir senyuman jahat.
Andy hanya tersenyum nipis. Dia masih tidak yakin dengan rancangan teman wanitanya itu. Lagipula, dia tidak mengetahui dimanakah wanita itu tinggal atau bekerja. Sandra hanya tersenyum puas. Selera makannya yang tadi hilang kini kembali muncul. Salad buatannya disumbat masuk kedalam mulutnya dengan rakus.
Telefon pintar Andy tiba-tiba berdering. Nama Moza yang tertera di skrin telefonnya membuatkan Andy dilanda tanda tanya. Sandra yang duduk dihadapan dipandangnya.
“Siapa?” tanya Sandra.
“Moza.”
“Jawablah,” arah Sandra. Andy hanya diam. Dia masih teragak-agak untuk menjawab.
“Mari sini, biar I yang jawab,” Sandra mencapai telefon pintar Andy yang masih berdering. Andy hanya membiarkan. Dia malas hendak menjawab panggilan tersebut.
“Hello.”
Moza mengerutkan dahinya. Skrin telefon yang merapat ke telinganya kembali dijauhkan. Seingatnya dia menghubungi Andy, bukannya Sandra. Satu pertanyaan mula timbul mengenai hubungan keduanya.
“Ini nombor Andy kan?” tanya Moza.
“Yup.,” Sandra menjawab pendek.
“Jadi kenapa kau yang jawab? Andy mana?”
“Dia tak nak bercakap dengan you.”
“Dia yang tak nak bercakap atau kau yang tak nak dia cakap?” Moza mengembalikan soalannya.
Sandra terdiam. Dia kehilangan ayat untuk menjawab. Telefon Andy yang diunjuk kepada Andy.
“Nah, dia nak cakap dengan you,” ujar Sandra berang. Andy hanya mendengus kasar namun tetap mengambil telefon tersebut dan mendekatkan ke telinganya.
“Nak apa?” tanya Andy terus.
“Kau dimana? Kenapa Sandra yang jawab?” Moza bertanya ingin tahu namun Andy hanya diam tidak menjawab.
“Kenapa kau call?”
Melihat Andy yang enggan menjawab pertanyaannya, Moza sudah mula menghidu satu muslihat yang dimainkan Andy dan Sandra. Dia semakin yakin bahawa keduanya telah bersepakat untuk melakukan sesuatu yang tidak disukainya.
“Hei, aku tahulah kau kaya, tapi kalau kau call hanya karena nak buang kredit, baik tak payah,” ujar Andy dihujung talian. Moza kembali tersedar dari lamunannya.
“Aku dah lupa nak beritahu apa. Tak apalah, nanti aku call kau lagi,” Moza segera mematikan panggilannya.
Andy mendengus dengan kasar. Telefon pintarnya dilepaskan diatas meja. Sandra memandang Andy dengan penuh tanda tanya.
“Dia nak apa?” tanya Sandra. Dia meneguk air oren yang ada diatas meja.
“Entah. Dia tak cakap pun,” jawab Andy.
Sandra diam. Dia mula tertanya-tanya mengapa lelaki itu menghubungi Andy diwaktu sedemikian rupa. Seingatnya, hubungan mereka tidak lagi serapat dahulu. Kini yang rapat dengan Moza hanyalah Aryan. Satu-satunya lelaki yang juga tidak disukainya kerana sering menyindirnya.
“You tak rasa ke yang dia tahu apa-apa?”
“Apa maksud you?” Andy meneguk air mineral didepannya. Tekaknya terasa begitu haus.
“Yalah. Tiba-tiba dia call, sedangkan sebelum ni susah dia nak call you.”
“Adalah yang nak dimaunya tu.”
“I risaulah Andy,” Sandra melahirkan kebimbangannya. Entah mengapa hatinya mula berdegup kencang bagaikan ada sesuatu yang buruk akan berlaku.
“Dahlah Sandra. I malas nak fikir. Yang penting, esok kita buat rancangan kita. Kita akan culik perempuan tak guna tu dan hapuskan dia. Kalau boleh kita bunuh Moza sekali,” ujar Andy. Dia tidak lagi peduli akan risiko yang bakal diperolehinya. Baginya, dendamnya harus berbalas supaya hatinya tenang dan tenteram.