Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 4

BAB 4

D

awson membuka matanya perlahan-lahan. Tekaknya terasa begitu haus. Perlahan dia menggerakkan badannya dan bangun menyandar. Moza yang tidur disofa dipandangnya seketika.

Matanya meliar memandang ke kiri dan kanan sebelum akhirnya terhenti pada sebotol air mineral yang diletakkan atas meja agak jauh darinya. Tidak mahu membangunkan Moza yang baginya aneh, dia menggerakkan kakinya perlahan. 

Pemegang yang ada disisi katil menjadi pautannya untuk berdiri. Dengan kedua kaki yang masih lagi kaku seolah lumpuh, dia tetap turun dengan perlahan. Dia mahu bergerak tanpa sebarang bantuan.

Rasa sakit akibat melangkah membuatkan dirinya terpaksa menggigit bibir. Dia tidak mahu Moza bangun. Dan langkah secara automatik terhenti sebaik Moza bergerak menyelesakan dirinya.

Namun baru sahaja dia ingin mengorak langkah setapak kehadapan, dia terjatuh. Dia tidak mampu menyimbangi badannya. Serentak dengan itu juga Moza tersedar dari tidur sebaik telinganya menangkap suara erangan abangnya.

“Dawson!”

Moza pantas mendapatkan abangnya yang sudah terbaring diatas lantai. Kepala abangnya segera dipangku.

“Macamana kau boleh jatuh macam ni?”

“Aku cuma nak minum tapi aku tak nak ganggu kau,” jawab Dawson sambil menunjuk kearah botol mineral yang ada diatas meja.

“Lain kali beritahu saja. Tak ada mengganggu pun.”

Moza membantu abangnya untuk bangun. Dawson sesekali mengerang apabila kakinya digerakkan.

“Aku kasihan tengok kau,” ujar Dawson sebaik dirinya kembali diatas katil.

“Dawson, please. Tak perlu kasihan dengan aku,” Moza pantas mencapai botol mineral yang ada diatas meja. Sebuah gelas kaca turut dikeluarkan dari dalam laci meja.

Moza menuang air mineral kedalam gelas tersebut sebelum mengunjukkannya kepada abangnya. Dengan rakus, Dawson meneguk dengan cepat. Rasa haus ditekaknya perlahan menghilang.

“Nak lagi?” pinta Dawson dan Moza hanya menurut. 

“Lepas ni kalau nak apa-apa, beritahu saja,” ujar Moza dan Dawson hanya mengangguk perlahan.

Setelah membasahkan tekak, Dawson kembali berbaring. Moza pantas menarik selimut membungkus abangnya sehingga keparas dada.

“Terima kasih,” ucap Dawson dan Moza hanya tersenyum sambil mengangguk. Kerusi yang ada ditepi katil ditarik dan diduduki. 


Yurina berjalan dengan perlahan didepan deretan kedai yang baru dibuka. Fikirannya terasa begitu kusut. Dia buntu untuk mencari pekerjaan yang baru setelah berhenti bekerja di sebuah kafe. Helaian surat khabar yang dibelinya dibaca satu persatu mencari kekosongan jawatan namun tiada satupun yang menepati kriterianya yang hanyalah penuntut kolej.

“Mana aku nak kerja ni? Takkanlah aku nak kembali merayu dengan lelaki gatal tu?” ujar Yurina seorang diri. Dia masih ingat bagaimana pemilik tempat kerjanya dahulu mengambil  kesempatannya padanya. Dia seringkali diperlakukan bagai seorang GRO yang rela disentuh sesuka hati hanya karena duit.

Yurina menggeleng dengan pantas. Dia mencuba untuk membuang jauh-jauh bayangannya mengenai lelaki miang itu. Beberapa orang awam yang berjalan melintasinya mula memandangnya dengan hairan.Tapi semua itu tidak dipedulikannya. Apa yang dia tahu, dia harus mencari pekerjaan secepat yang mungkin untuk memenuhi keperluannya dan ibu saudaranya. Jika tidak, terpaksalah dia mengikat perut sehari dua.

“Yurina!”

Yurina segera menoleh apabila mendengar seseorang memanggil namanya dengan kuat dari arah belakang. Dia terkejut apabila melihat rakan baiknya Hawa sedang berlari anak membawa sehelai kertas yang tidak diketahui isi kandungannya.

“Kenapa ni Hawa? Kau kena kejar dengan hantu ke?” tanya Yurina sebaik Hawa sampai didepannya. Hawa dengan pantas menggeleng. Nafasnya mula turun naik dan termengah-mengah. Kertas yang dipegangnya segera diunjuk pada Yurina.

“Kertas apa yang kau bawa?” sambung Yurina. Dicapainya kertas yang dipegang rakannya. Dibacanya satu persatu apa yang tertulis dikertas tersebut.

“Kau cari kerja kan? Ini ada kerja kosong yang aku dapat dari rakan aku,” ujar Hawa dengan nafas yang masih putus-putus. Dia mula mengipas dirinya dengan sebelah tangannya.

“Dimana ni? Kau kena bawa aku sekarang. Aku memang perlukan kerja sekarang,” pinta Yurina sambil mengoyangkan badan rakannya. Dia tidak sabar untuk memohon kerja tersebut.

“Betul ke kau nak kerja ni? Kerja ni jadi pelayan di kafe tau. Bukan macam kerja kau dulu, jadi cashier.”

“Tak apa Hawa. Ini dah lebih dari cukup. Bukannya aku tak pernah jadi pelayan kafe,” jawab Yurina.

“Jadi kau memang nak kerja ni?” Hawa meminta kepastian dan Yurina mengangguk.

“Kalau macam tu, jomlah. Nanti kena ambil orang pula.” 

Yurina mengangguk Walaupun Hawa masih termengah-mengah, dia tetap melangkah dengan teratur. Sesekali dia memandang Yurina yang sudah tersenyum gembira. 

“Macamana kau tahu di kafe tu sedang cari pekerja?” tanya Yurina ingin tahu.

“Well, kawan aku yang beritahu. Katanya dia ada nampak vacancy di kafe tu jadi dia beritahulah dengan aku.”

“Nanti kau beritahu dengan kawan kau, aku berterima kasih tau. Dan untuk kau juga. Kalau tak ada kau, entah macamanalah nasib aku. Terpaksakah aku ikat perut sementara aku cari kerja.”

“Alah. Perkara kecil je. Hari ini hari kau, entah esok atau lusa hari aku pula. Kau janganlah fikirkan sangat perkara ni. Anggap saja ini dah memang takdir kau.”

Yurina mengukirkan senyuman yang lebar. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dikatakan pada rakannya itu selain ucapan terima kasih. Setelah hampir lima belas minit berjalan, akhirnya mereka sampai di kafe yang dikatakan Hawa.

“Ini ke?” tanya Yurina. Walaupun kafe tersebut terlihat mewah, namun suasana yang cukup sunyi membuatkan dia mula berfikir dua kali. Kafe yang dimaksudkan tidak ubah seperti rumah hantu. Dengan lampu yang berwarna oren kekuningan, kafe tersebut nampak menyeramkan. Apatah lagi dihiasi dengan mawar putih diluar balkoni. Tidak ubah seperti pemakaman para hantu.

“Inilah kafenya. Kafe ni memang sunyi sebab baru dibuka dua minggu yang lalu. Tapi kau janganlah takut, owner kafe ni baik. Aku dah pernah makan di kafe ni dan makanannya memang sedap,” jawab Hawa. Dia tahu apa yang sedang difikirkan rakannya itu.

Yurina menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tidak yakin untuk melamar kerja disitu. Kafe yang terlalu sunyi tanpa seorang pun pelanggan membuatkan dia tidak betah untuk bekerja lama. Apatah lagi dengan keadaannya yang cukup menakutkan sesiapa yang memandang. Silap haribulan, hantu pun takut hendak singgah di kafe tersebut.

“Jomlah.”

Hawa menarik tangan Yurina. Bagaikan dipaksa, dia mengikuti Hawa menghampiri kafe tersebut. Matanya liar memandang ruang kafe tersebut. Seribu satu persoalan mula timbul difikirannya.

“Kau masuklah. Aku tunggu kau diluar,” Hawa menolak Yurina masuk kedalam kafe. Yurina cuba untuk berpatah balik namun langkahnya terhenti apabila melihat seorang wanita cantik yang berada di dalam kafe tersebut dan sedang memandangnya dengan hairan.


Yurina hanya menunduk. Wanita cantik yang ada dihadapannya sama  sekali tidak berani dipandang untuk bertentang mata.

“Siapa nama awak?” tanya wanita cantik itu. Dengan rambut yang dicurly hanya dibahagian hujung, dirinya tidak ubah bagaikan seorang ratu cantik.

“Yurina,” pendek Yurina menjawab. 

“Yurina? Sedap nama tu. Macam orangnya,” puji wanita itu lagi.

Sedap? Dia nak makan aku ke sampai kata aku sedap? Ke dia ni sebenarnya drakula? Yurina mula tertanya-tanya didalam hati. Entah mengapa dia mula gerun dengan wanita yang ada dihadapannya.

“Tak, maksud saya nama awak cantik. Secantik orangnya,” wanita itu pantas membetulkan kesalahannya. Risau juga dirinya sekiranya Yurina tersalah sangka.

Yurina hanya mengukir senyuman nipis. Perlahan dia menggerakkan anak matanya memandang ruang dalam kafe tersebut.

“Jadi, awak nak bekerja disini?” 

Yurina tersentak. Hatinya mula bertengkar memberi pendapat masing-masing. Separuh dirinya menolak sementara separuh lagi bersetuju demi menampung kehidupan yang tidak menentu. Ditambah lagi kemerosotan ekonomi yang sering menjadikan dirinya dan orang yang berkemampuan sederhana untuk meneruskan hidup.

“Erm... Saya sebenarnya...”

“Saya tahu apa yang awak fikirkan Yurina. Mesti awak rasa tempat ni macam tempat berkumpulnya para hantu kan?”

Yurina hanya tersenyum nipis. Takut juga dirinya untuk mengangguk. Dia khuatir jika wanita yang ada didepannya bertukar wajah dan mengigit lehernya.

“Saya ni tak pandai apa-apa sebenarnya. Saya buka kafe ni pun sebab nak cabar diri sendiri. Lagipun saya nak juga tukar angin,” ujar wanita itu. Yurina hanya diam.

“Jadi kalau awak sudi bekerja, saya harap awak dapat bantu untuk memberi idea tentang kafe saya ni,” sambungnya.

“Maksudnya apa ya?” Yurina memberanikan dirinya untuk bertanya.

“Saya ni bukannya tahu sangat selok belok perniagaan ni. Terus terang saya katakan, saya buka kafe ni pun hanya suka-suka. Saya tak kisah jika kafe ni didatangi pelanggan atau tidak. Yang saya mahukan hanyalah pengalaman.”

“Tapi macamana cik boleh terfikir nak buka kafe? Setahu saya, orang buka kafe bukan saja nakkan pengalaman tapi mereka juga nakkan penghasilan,” ujar Yurina. Dia sudah berani bertentang mata dengan pemilik kafe itu.

“Oh ya, saya lupa nak kenalkan diri. Saya Karyenna. Boleh panggil saya dengan nama atau panggilan kakak. Jadi tak perlulah awak bercik-cik dengan saya,” wanita itu mula memperkenalkan diri. Senyumannya turut diukir mesra.

“Okay...”

“Jadi berbalik pada hal tadi, saya harap awak sudi bekerja dengan saya. Tentang gaji awak jangan risau, saya akan beri RM1800 setiap bulan. Tak kisahlah samada ada pelanggan atau tidak.”

Yurina tergamam. Mulutnya mula terlopong tidak menyangka dengan apa yang keluar dari mulut Karyenna. Seumur hidupnya, itulah kali pertama dia mendapat gaji sebesar itu. Selama ini, dia hanya memegang gaji sebanyak RM1000, itupun tidak pada tarikh yang ditetapkan.

“Macamana? Awak sudi tak bekerja dengan saya?”

“Erm... Tapi sebelum tu saya nak beritahu satu benda.”

“Apa tu Yurina?”

“Saya pelajar kolej dan saya tak mungkin bekerja sepenuh masa dekat sini,” beritahu Yurina perlahan.

“Oh, jadi awak masih sekolah? Tak ada masalah, janji awak datang tepat waktu tapi dalam pada masa yang sama, awak tak mengabaikan sekolah awak.”

Yurina mengangguk seraya menghela nafas lega. 

“Kalau macam tu, saya akan bekerja disini,” Yurina memberi persetujuan. Karyenna mengangguk gembira.

“Terima kasih Yurina. Saya harap awak boleh tolong saya,” Karyenna mencapai tangan Yurina dan menggenggamnya. Yurina hanya mengangguk turut bergembira. Kini dia boleh menarik nafas lega dan mengucap rasa syukur kerana diberi pintu rezeki yang lain.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail