BAB 8
S
edar tak sedar, setengah bulan sudah berlalu. Dawson yang selama ini dibimbing dengan teliti akhirnya sudah boleh melangkah walaupun masih perlahan. Sesi terapi dan kaunseling yang dihadirinya benar-benar mengubah hidupnya menjadi lebih baik. Jika dulu, dia memerlukan bantuan untuk bangun namun kini dia sudah mampu untuk bergerak tanpa sebarang bantuan.
Jam yang melekat di dinding wadnya dipandangnya seketika. Nafas yang panjang turut dilepaskan secara perlahan-lahan. Perlahan dia bangun dari katilnya. Belakangnya terasa begitu lenguh akibat terlalu lama berbaring. Seketika dia meregangkan badannya.
Kedua kakinya diturunkan perlahan memijak lantai. Selipar yang disediakan khas untuknya segera disarung pada kedua kakinya. Dia mencapai cardigan panjang yang ditinggalkan adiknya dan turut menyarungkannya pada badannya. Entah kenapa, dia terasa sejuk.
Rasa bosan membuatkan Dawson mengambil keputusan untuk keluar berjalan-jalan di taman hospital. Pintu wadnya segera ditolak dan melangkah keluar dengan perlahan. Beberapa orang yang melintas dihadapannya hanya dilemparkan senyuman.
Dawson melepaskan keluhannya. Satu persatu langkahnya diatur menuju ke taman hospital yang terletak tidak jauh dari bahagian tepi hospital. Sesekali dia mengukir senyuman pada beberapa orang jururawat yang memandangnya.
Walaupun cahaya matahari memancar panas, dia masih terasa sejuk. Cardigan yang dipakainya semakin ditarik membalut tubuhnya. Rambutnya yang kini pendek dan bergelombang dengan bahagian depan dibiarkan berponi bagaikan jejaka Korea perlahan ditiup angin yang menghembus perlahan. Dia hanya berdiri di tepi dan tidak mahu memiijak lantai tanah.
“Disini rupanya kau.”
Dawson berpaling. Sekilas dia berpaling sebelum kembali melemparkan pandangan ketengah laman.
“Buat apa disini? Kan panas ni,” ujar Moza lagi.
“Bosanlah aku duduk didalam wad saja. Baik aku keluar ambil udara segar,” jawab Dawson tanpa memandang adiknya.
“Oh ya, aku ada berita gembira untuk kau.”
“Apa?”
“Cubalah teka.”
Dawson diam. Wajah adiknya dipandang seketika.
“Entahlah Moza. Aku tak tahu,” ujar Dawson. Moza segera melepaskan keluhannya.
“Alah. Petang ni kau dah boleh balik ke rumah.”
Dawson tersentak. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Senyumannya mula terukir lebar. Itulah apa yang dinantinya selama ini. Balik kerumah dan tidak lagi tinggal di hospital yang bagaikan sudah menjadi rumah keduanya.
“Tapi dengan satu syarat.”
“Syarat? Apa?”
“Kau kena beranikan diri untuk ikut kereta,” jawab Moza. Dia tahu abangnya akan menolak namun hanya itulah satu-satunya cara untuk membawa balik abangnya ke rumah.
“Ikut kereta? Aku tak nak,” Dawson pantas menggeleng. Dia masih tidak mempunyai keberanian untuk menaiki kenderaan.
“Macamana kau nak balik ke rumah kalau kau tak ikut kereta? Takkan kau nak jalan kaki? Jauh tau.”
“Atau kau nak aku pengsankan kau?”
Dawson memandang adiknya dengan tajam sambil mendengus kasar. Otaknya mula dikerahkan untuk berfikir mencari jalan lain. Traumanya masih ada, biarpun hanya memandang deretan kereta yang diparkir di tempat letak kenderaan. Untuk menghampiri kenderaan saja dia sudah takut, apatah lagi harus naik mengikutinya.
“Dawson, kita tak ada pilihan lain. Kau tetap akan naik kereta bila nak balik kerumah. Kalau nak sewa helikopter, boleh nipis duit aku dalam poket.”
Dawson diam. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakannya. Otaknya bagaikan jammed.
“Macamana? Setuju tak? Kalau tak nak, terpaksalah tinggal disini selamanya.”
Moza terpaksa berkata sedemikian rupa. Walaupun dia tidak berniat untuk mendera psikologi abangnya, namun dia yakin itu merupakan salah satu cara untuk membantu abangnya untuk mengatasi rasa traumanya.
“Fikirkanlah dulu. Tapi jangan lama-lama,” sambung Moza.
“Bila nak mula?” tanya Dawson tiba-tiba. Dia turut berpaling memandang adiknya. Moza terkaku seketika. Dia tidak menyangka abangnya secepat itu. Perlahan senyumnya terukir.
Pak Ehsan terkejut. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dibisikkan Moza padanya. Dipandangnya Dawson yang sedang merapikan diri. Sesekali dia mengerutkan dahinya.
“Biar betul Moza? Tak kasihan ke dengan abang kamu?” tanya Pak Ehsan perlahan. Moza hanya tersenyum.
“Pak cik janganlah risau. Dawson takkan apa-apa. Lagipun hanya ini satu-satunya cara agar dia berani naik kereta. Takkanlah nak balik ikut helikopter? Duit saya mana cukup nak sewa helikopter,” jawab Moza.
“Kamu ni. Jangan buat hal tau. Kalau ada apa-apa terjadi dengan abang kamu, siap kamu. Pak cik akan rendam kau dalam dram seminggu. Ingat tu Moza,” ugut Pak Ehsan. Dia tidak yakin untuk membiarkan Dawson melawan rasa takutnya dengan cara demikian rupa.
Moza mengangguk. Dia yakin rancangannya itu akan berjaya. Dia memandang abangnya yang sudah bertukar pakaian. Sweater berwarna putih dan dipadankan dengan seluar jeans membuatkan dia kelihatan begitu kacak dan bergaya ditambah lagi dengan gaya rambut yang sengaja mengikuti trend yang begitu diminati ramai.
“Dah siap Dawson?” tanya Moza.
“Dah,” Dawson menelan air liurnya sambil mengangguk perlahan. Dia tidak menyangka dirinya akan kembali menaiki kereta. Jantungnya turut berdegup dengan kencang. Peluhnya mula memercik keluar walaupun alat penghawa dingin dipasang.
“Moza, ingat ya pesanan pak cik tadi. Jangan paksa abang kamu,” pesan Pak Ehsan mengingati Moza. Dia masih tidak yakin untuk melepaskan Dawson keluar dari hospital.
“Pak cik janganlah risau. Tak akan ada yang berlaku. Kami cuma jalan-jalan sekejap lepas tu baliklah. Nanti kalau Dr. Illy cari, beritahu dia yang saya bawa Dawson jalan-jalan.”
“Kita nak kemana Moza?” tanya Dawson pula. Dipandangnya adiknya yang hanya tersenyum.
“Jalan-jalan cari makan,” jawab Moza. Dia segera menarik tangan abangnya dan keluar dari wad meninggalkan penjaganya. Dia tidak sabar untuk membawa keluar abangnya.
Pak Ehsan melepaskan keluhannya. Kepalanya turut digelengkan. Dia benar-benar takut untuk membiarkan Dawson menaiki kenderaan. Dia takut Dawson akan bertindak diluar dugaan. Apatah lagi dengan keadaan Dawson yang masih dalam sesi terapi.
Dawson melangkah perlahan-lahan menuju ke tempat letak kenderaan. Kereta yang banyak bersusun membuatkan bulu romanya berdiri tegak. Air liurnya turut berkali-kali ditelan. Langkah yang tadi perlahan kini berhenti. Dia tidak sanggup untuk menghampiri kereta yang banyak tersusun kira-kira 100 meter dari tempatnya berdiri.
“Buat apa disana tu? Cepatlah ke sini,” panggil Moza yang sudah berdiri disebelah kenderaannya. Tangannya turut dilambaikan kearah Dawson yang sudah keras.
“Tak naklah,” jawab Dawson sambil menggeleng. Dia masih tidak mempunyai keberanian yang cukup untuk menghampiri kereta.
Moza mengetap bibirnya geram. Dia kembali mendapatkan abangnya yang sudah enggan bergerak.
“Cepatlah Dawson. Malu tau kalau orang tengok,” ujar Moza. Dia menarik tangan abangnya dan menariknya menuju ke keretanya.
“Tak nak. Aku tak nak Moza,” Dawson terkejut. Dia mencuba untuk melepaskan diri. Rasa takutnya mula menyelubungi diri namun Moza enggan melepaskan pegangan tangannya malah semakin kuat menarik abangnya menghampiri keretanya.
“Dawson, janganlah macam ni. Apa yang kau takutkan sangat? Bukannya ada hantu.”
“Aku tak nak Moza. Aku tak sedia lagi.”
“Bila masanya kau nak sedia? Tunggu aku dah tua baru kau nak naik kereta?”
“Kau memang dah tua Moza,” jawab Dawson spontan. Mendengar jawapan Dawson, Moza melepaskan tangannya. Dawson yang terkejut segera jatuh terduduk. Dia tidak menyangka adiknya akan melepaskan tangannya sebegitu rupa.
Moza turut terkejut dengan apa yang telah dibuatya. Dia kembali menerpa mendapatkan abangnya yang kini terduduk diatas lantai. Beberapa orang awam yang berada dihospital mula hairan melihat mereka berdua.
“Sorry Dawson. Tak sengaja,” ujar Moza. Dia segera membantu abangnya untuk bangun namun Dawson tiba-tiba menolaknya menyebabkan dia turut terduduk.
“Hei, janganlah tolak.”
“Kita batalkan saja. Aku tak nak naik dan tak bersedia lagi,” ujar Dawson. Dia memandang adiknya berharap adiknya tidak akan memaksanya untuk naik dan masuk kedalam kereta.
“Sampai bila kau nak jadi macam ni? Jangan jadi penakut boleh tak?”
Dawson menggeleng. Dia benar-benar tidak mempunyai keberanian. Dia lebih rela dipandang rendah oleh adiknya daripada memaksa dirinya.
“Tak ada alasan ya? Jom, kita pergi sekarang.”
Moza bangun lalu menepuk-nepuk punggungnya yang agak kotor. Dia kembali menarik abangnya agar mengikutinya namun Dawson tetap enggan. Dia kembali bagaikan anak kecil yang enggan menaiki kenderaan. Beberapa orang yang lalu lalang hanya tersenyum geli hati melihat telatah mereka berdua.
“Janganlah paksa Moza. Aku masih tak berani,” ujar Dawson meminta simpati namun Moza enggan mendengarnya. Dia tetap menarik tangan abangnya agar mengikutinya.
Dengan tenaga yang semakin berkurang, akhirnya Moza melepaskan pegangannya pada abangnya. Dia melepaskan keluhan. Kedua tangannya mula naik mencengkak pinggang. Dipandangnya Dawson yang kembali berundur ke lobi dengan pandangan yang tajam. Dia benar-benar buntu.
Dawson yang memandang adiknya mula dihimpit tanda tanya. Sehelai kain yang dipotong panjang dipandangnya. Dia tidak tahu mengapa adiknya kembali bersama kain tersebut.
“Kain tu untuk apa?” tanya Dawson sambil menunjuk kearah kain yang dipegang adiknya.
“Aku ada cara lain agar kau berani naik kereta,” jawab Moza. Dawson semakin tertanya-tanya.
Moza menarik abangnya agar menghampirinya. Helaian kain ingin digunakannya untuk menutup mata abangnya. Dia yakin rancangannya itu akan berhasil.
“Moza, apa yang kau buat ni?” tanya Dawson. Tangannya mula naik menyentuh kain yang menutup matanya namun Moza pantas melarang. Dia tidak lagi dapat melihat apa-apa kecuali kegelapan.
“Okay. Sekarang melangkah perlahan-lahan. Satu persatu. Jangan laju sangat.”
“Nak buat apa ni Moza?”
“Janganlah banyak tanya. Ikut saja. Melangkah perlahan-lahan.”
Dawson hanya menurut. Dengan memegang tangan adiknya, dia melangkah perlahan-lahan. Sesekali dia berhenti dan meraba dihadapan. Setelah agak lama melangkah, akhirnya dia sampai di belakang kereta adiknya. Moza tersenyum puas hati.
“Mari sini,” Moza memimpin tangan abangnya. Dia mahu abangnya masuk kedalam kereta.
“Tunduk kepala tu sikit. Kaki tu bengkokkan.”
“Kau nak aku buat apa?” tanya Dawson. Dia tidak faham mengapa Moza memintanya untuk menundukkan kepala dan membengkokkan kaki.
“Aku nak kau masuk dalam kereta,” jawab Moza dan Dawson terkejut. Dia mula meronta meminta dirinya dilepaskan namun Moza terlebih dahulu memegangnya dengan kuat.
“Dawson, janganlah macam ni. Takkan dengan kereta pun kau takut?”
“Aku tak nak tengok semua ni,” ujar Dawson. Tangannya mula liar dan mencuba untuk melarikan diri. Hampir saja tangannya hinggap diwajah Moza.
“Kau memang tak tengok pun. Kan mata kau kena tutup. Kau masuk dan duduk diam-diam.”
“Aku tak nak!”
“Dawson, tolonglah. Bukannya teruk sangat pun,” Moza mencuba untuk menenangkan abangnya yang bertindak ingin melarikan diri.
“Tapi aku tak nak naik,” Dawson masih enggan menurut. Kepalanya ditunduk bagaikan tidak mahu memandang sesuatu. Moza mula mengeluh.
Selang beberapa ketika, Dawson mula menarik nafas yang panjang. Dia mencuba untuk mengumpul keberaniannya yang masih bersepah. Setelah agak lama menunggu, akhirnya dia mengangguk bersetuju untuk masuk kedalam kereta.
Moza tersenyum lebar. Dia tahu abangnya mampu melawan rasa takutnya itu. Dengan perlahan, dia memimpin abangnya untuk masuk dan duduk didalam keretanya. Sebaik abangnya masuk dan duduk, dia segera melepaskan pegangan tangannya dan menutup pintu kereta.
“Moza, kau dimana?” Dawson kembali gelabah.Bau minyak wangi kenderaan sudah mula membuatkan hidungnya kembang kempis
“Moza?”
“Apa lagi Dawson? Aku ada ni,” ujar Moza sebaik dirinya masuk kedalam kereta.
“Kita balik sajalah. Aku rasa tak sedap hatilah,” Dawson mula mereka alasan. Hatinya berdegup kencang. Kedua tangannya mula mengigil. Walaupun matanya tidak melihat, derianya yang lain masih tetap berfungsi dengan baik.
“Memang nak baliklah ni. Sabarlah sekejap. Pakai seatbelt ni dulu,” Moza segera menarik seatbelt dan memakaikannya pada abangnya. Dawson kembali diam.
“Dah sedia?” tanya Moza. Dipandangnya abangnya yang duduk tenang disebelahnya. Dia mahu abangnya bersedia sebaik dia menghidupkan enjin kenderaannya.
“Sedia apa? Aku nak baliklah Moza.”
“Tenanglah Dawson. Sekejap lagi kita balik.”
Moza mula menghidupkan enjin keretanya namun seraya itu juga Dawson mula menjerit bagaikan histeria. Kedua tangannya erat memegang tali seatbelt. Kedua kakinya turut naik keatas kerusi.
“Kita nak kemana?” tanya Dawson. Dia mula tidak senang duduk. Telinganya dapat mendengar bunyi gear yang ditukar.
“Kita pusing-pusing hospital saja,” jawab Moza.
“Duduk diam-diam.”
Dawson hanya menurut. Tali seatbelt yang dipakainya dipegangnya dengan semakin erat. Dengupan jantungnya semakin lama semakin berdegup kencang. Dia mula terbayang akan kemalangan yang dialaminya tiga tahun yang lalu. Entah berapa kali dia menelan air liurnya.
Moza mula memandu keretanya perlahan-lahan. Sesekali dia menoleh memandang abangnya yang kini mendiamkan diri sambil menunduk. Dia tahu abangnya itu ketakutan tapi dia tidak mahu ketakutan menguasai diri abangnya.
“Dawson, okay ke?” tanya Moza apabila melihat abangnya masih tetap menunduk dan membisu. Dia dapat melihat peluh yang mula keluar didahi abangnya.
“Dawson?”
“Okay,” jawab Dawson perlahan sambil mengangguk. Dia tetap keras memeluk tali seatbelt.
Setelah tiga kali mengelilingi kawasan hospital, akhirnya Moza memberhentikan keretanya. Dia segera menarik beberapa helai tisu dan menyeka peluh abangnya yang keluar. Dia juga mengurangkan suhu penghawa dingin didalam keretanya.
“Macamana? Okay?” tanya Moza. Dawson hanya mengangguk. Tali seatbelt yang sedari tadi dipegang kini dilepas perlahan. Begitu juga dengan kedua kakinya.
“Macamana kalau aku lepaskan penutup mata tu?”
“Tak nak,” jawab Dawson pantas. Dia menggeleng. Moza melepaskan keluhannya.
“Kalau kau buka penutup mata tu, aku janji hanya sekali pusingan dan lepas tu kita balik. Kalau tak nak lepaskan, kita tetap disini dan pusing-pusing sampai kereta ni habis minyak. Macamana?”
“Kau gila ke Moza?” marah Dawson. Moza hanya tersenyum sebelum akhirnya tertawa kecil.
“Terpulanglah. Kalau tak nak, aku tak kisah.”
Dawson mengetap bibirnya. Dia benar-benar geram dengan permainan adiknya. Sesekali dia merungut namun tidak jelas.
“Macamana?” tanya Moza. Dipandangnya abangnya yang masih merungut.
“Yalah. Tapi jangan lebih okay? Cukup satu pusingan lepas tu balik,” akhirnya Dawson bersetuju dengan terpaksa. Dia tidak lagi mahu berlama-lama disitu. Dia mahu menyelesaikannya semua dan kembali kedalam wad.
Moza tersenyum dengan lebar. Dengan pantas dia membuka balutan kain tersebut. Dawson yang masih enggan melihat segera menutup matanya dengan tangannya sebaik sahaja kain tersebut dilepaskan.
“Apa ni? Janganlah tutup mata tu,” ujar Moza apabila melihat abangnya yang masih menutup mata dengan tangan kanannya.
“Aku tak nak tengok.”
“Geramnya aku. Jangan tutup mata. Lepaskan tangan tu.”
Moza segera memegang tangan abangnya namun tangan kirinya yang masih lepas kembali naik menutup mata. Moza menggigit bibirnya. Dia benar-benar geram melihat abangnya yang masih mahu menutup matanya.
“Dawson, kau buka mata kau sekarang.”
Dawson tidak mempedulikan akan kata-kata adiknya. Dia tetap menutup mata dan enggan melihat. Moza segera menarik kedua tangan abangnya. Dia tidak lagi peduli jika abangnya ingin marah akannya.
“Jangan tunduk. Buka mata tu,” arah Moza. Dipegangnya dengan erat kedua belah tangan abangnya. Dawson hanya diam. Matanya tetap enggan dibuka dan semakin dipejam.
“Astaghfirullahalazim. Geramnya aku tengok kau ni. Susah sangat ke nak buka mata? Nak aku cungkil dengan kayu ke?” marah Moza.
“Kan aku dah cakap jangan paksa. Aku tetap tak nak tengok,” jawab Dawson.
“Apa yang susahnya? Kau buka mata kau dan duduk diam-diam. Bukannya aku nak pergi melanggar tiang.”
“Aku tak berani. Aku tak nak tengok semua tu.”
“Baik kau buka mata kau sekarang. Kalau tak, aku bawa kau keluar dari hospital ni dan pandu kereta ni laju-laju. Kau nak yang itu kan?”
“Kau nak apa sebenarnya?” tanya Dawson kembali.
Moza diam. Dia kehilangan kata-kata. Entah kenapa pertanyaan abangnya itu membuatkan dia terdiam membisu. Dia mendengus kasar. Kedua belah tangan abangnya yang selama ini dipegang erat kini dilepas dengan kasar. Dia turut melemparkan pandangannya keluar.
“Kau tanya aku nak apa? Aku nak kau berani hadapi kenyataan. Berani melawan rasa takut kau tu. Bukannya jadi lelaki yang penakut!”
Mendengar bentakan Moza, Dawson perlahan-lahan membuka matanya. Dipandangnya wajah adiknya yang kini merah menahan marah. Entah kenapa jawapan kasar adiknya menyedarkannya agar berani melawan rasa trauma yang dialaminya.
“Okay. Aku buka mata dan hanya satu pusingan,” Dawson akhirnya bersetuju namun Moza hanya diam. Dia masih berang dengan sikap abangnya.
“Kau marah ke?” tanya Dawson. Dia mula mengusik adiknya dengan mencuit pinggangnya. Moza yang masih berang terkejut dengan cuitan abangnya pada pinggangnya.
Moza berpaling. Dia benar-benar geram. Dipandangnya abangnya yang hanya tersengih bagaikan kerang busuk. Semua rasa marahnya perlahan hilang.
“Jangan main-main ya? Kalau kau tutup mata, kau akan dapat akibatnya.”
“Jangan bawa kereta laju sangat,” pesan Dawson. Tali seatbelt kembali dipegang dengan erat. Sesekali dia memejamkan matanya.
Moza tidak mempedulikan kata-kata abangnya. Dia mula memandu kenderaanya. Jarum meter yang tadi hanya berada pada kelajuan 20km perjam kini naik sehingga mencapai 50km perjam.
Dawson memejamkan matanya beberapa kali. Tali seatbelt bagaikan menjadi tempatnya untuk berpaut sepanjang pusingan. Dia mencuba untuk memandang kehadapan namun rasa takutnya masih ada didalam dirinya. Ada kalanya kakinya turut naik.
“Aku masih dapat tengok kau tutup mata tadi,” ujar Moza. Dipandangnya abangnya seketika sebelum kembali fokus akan pemanduannya.
“Dan disebabkan itu, aku akan membuat satu pusingan sekali lagi,” sambung Moza. Dawson tersentak.
“Tadi cakap satu pusingan saja?”
“Memanglah tapi itupun kalau kau tak tutup mata. Tapi tadi aku nak kau masih pejamkan mata,” jawab Moza.
Dawson menarik nafas yang panjang. Mahu tidak mahu dia terpaksa menurut kehendak adiknya. Mulutnya kembali merungut namun Moza tidak mengendahkan rungutannya dan kembali memandu.
Dawson berusaha untuk melawan rasa takutnya. Beberapa selekoh membuatkan dia hampir menutup mata namun dia berusaha untuk menahannya. Peluhnya kembali mengalir keluar.
Melihat Dawson yang akhirnya berani memandang kehadapan tanpa rasa takut, akhirnya Moza memberhentikan kenderaannya. Dia kembali meletakkan kenderaannya ditempat parkingnya sebelum ini.
Dawson menarik nafas yang panjang berulang kali. Dengupan jantungnya semakin lama semakin tidak menentu. Seluruh tubuhnya kini dibasahi dengan peluh.
“Kau okay tak?” tanya Moza sambil memandang abangnya yang pucat. Dawson hanya diam dengan nafas yang mula tercungap-cungap.
Moza mula risau melihat abangnya. Dengan pantas dia mematikan enjin keretanya dan keluar. Dia mula berlari anak dan membuka pintu untuk abangnya. Tali seatbelt yang dipakai abangnya segera dilepaskan.
Dawson keluar dengan perlahan-lahan namun terjatuh. Namun entah kenapa kakinya terasa lemah untuk berdiri. Moza yang terkejut dengan pantas memapah abangnya.
“Kau kenapa?” tanya Moza. Disekanya peluh yang mengalir keluar dari dahi abangnya. Dia mula menyesal telah memaksa abangnya untuk menaiki kenderaannya. Bibir abangnya yang perlahan memucat benar-benar menakutkan Moza.
“Jom bangun. Kita balik ke wad,” sambung Moza. Dipapahnya abangnya dengan perlahan dan mula melangkah menuju masuk kedalam hospital.