Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 45

Feby menatap adiknya dengan pandangan yang tajam. Kedua tangannya disilang memeluk tubuh. Dipinggangnya ada sepucuk pistol yang sering menjadi penemannya dikala bekerja. Kerusi ditarik kasar lalu duduk. Matanya tidak lari dari memandang adiknya yang hanya menunduk. Sebungkus pil yang ditemui turut ada diatas meja.

“Kamu memang nak malukan kakak ke?” tanya Feby.

Shua tidak menjawab. Dia hanya menunduk seolah tidak mendengar pertanyaan kakaknya. Feby mula mendengus kasar. Pistol yang tadi ada dipinggangnya diletakkan diatas meja dan diberikan kepada Shua.

“Bagus kamu bunuh je kakak sekali,” ujar Feby. Dia semakin berang dengan kebisuan yang diberikan adik lelakinya.

“Shua tak ambil benda macam tu,” Shua mempertahankan diri. Dia sendiri tidak tahu bagaimana pil itu boleh ada didalam laci dashboardnya.

“Habis tu siapa? Takkan kamu nak kata pil tu milik abang kamu Andy?”

“Yalah. Takkan Shua pula yang punya. Lagipun pil tu ada dalam kereta abang,” jawab Shua.

“Shua, Shua... Lain kali boleh tak jangan bertindak melulu. Kamu ada otak kan? Fikirlah pakai otak, jangan ikutkan hati. Tengok apa yang jadi sekarang? Apa kakak nak beritahu jika mama tanya?”

Shua kembali membisu. Dia sendiri tidak mempunyai idea atau jawapan.

“Untuk pastikan yang kamu memang tak ambil benda ni, kakak nak kamu buat saringan air kencing.”

“Shua dah kata, Shua memang tak ambil. Kenapa kakak susah sangat nak faham? Tak macam abang Andy, dia akan bela Shua. Dia takkan marah Shua macam ni,” Shua mula membanding keduanya. Feby melepaskan keluhannya.

“Shua, kakak takkan buat macam ni kalau Shua tak berperangai macam ni. Buat masa sekarang, jaga kelakuan. Kakak akan cuba lepaskan kamu dengan ikat jamin tapi ingat, ini peluang yang terakhir. Kalau kamu cuba untuk berbuat sesuatu yang lebih buruk, kakak tak akan berkompromi dengan kamu.”

Feby bangun dari kerusinya. Pistol yang ada didepan adiknya kembali diambil dan diselitkan di pinggangnya. Shua hanya diam memandang kakaknya yang keluar meninggalkannya. Keluhan nafasnya terdengar. Dia kembali menunduk.


Yurina hanya tersenyum sebaik membaca mesej yang diberikan Moza padanya. Walaupun dia sudah agak lama tidak bertemu langsung dengan lelaki itu, tapi dia tidak mahu berfikiran negatif. Lagipula, Moza sentiasa memberitahu setiap kegiatannya di pejabat mahupun dirumah.

“Untunglah orang tu. Dapat teman lelaki yang sweet,” usik Karyenna. Yurina hanya tersenyum dan kembali menyimpan telefonnya kedalam poket seluar jeansnya.

“Mana abang Aryan?” tanya Yurina. Dia juga sudah jarang melihat tunang majikannya itu.

“Erm... Apa lagi? Kena tahan dengan si Mozalah. Yalah, kan dia banyak kerja,” jawab Karyenna. Yurina mengangguk faham.

“Susah juga kerja jadi pereka fesyen ni kan?”

“Nak kata susah tak juga tapi dari apa yang akak tahu, mereka sentiasa ada idea untuk reka sesuatu pakaian. Kalau tak ada idea, kerja tak jalan,” jawab Karyenna. 

“Jangan risaulah Yurina. Si Moza takkan berubah hati. Akak kenal dia dengan baik,” sambung Karyenna.

“Apa yang akak mengarut ni? Saya dengan Moza cuma kawan je,” ujar Yurina malu-malu.

“Yalah tu. Diluar kata lain, sedangkan dalam hati berbunga-bunga.”

Yurina hanya mengukir senyuman. Matanya mula beralih tatkala melihat seorang pelanggan masuk kedalam kafe. Pantas dirinya meminta diri dan menghampiri pelanggan tersebut. 

Karyenna hanya tersenyum lebar. Dia tahu Moza mampu untuk menjaga cinta pekerjanya dan dia berharap keduanya boleh bersatu dalam satu ikatan yang sah. Dia juga dapat membayangkan betapa gembiranya hatinya tatkala melihat pekerjanya menjadi isteri Moza. 

Telefon pintar yang tiba-tiba berdering membuatkan dia tersedar dari lamunannya. Nama tunangnya yang tertera diskrin lantas dijawabnya.

“Hello.”

“Hai sayang, tengah buat apa tu?” tanya Aryan.

“Tengah buat tahi mata,” jawab Karyenna. Langkahnya diatur masuk kedapur.

“Buat tahi mata? Tak ada makanan lain ke yang nak dibuat?”

“Saya ada pelanggan ni, nanti sambung boleh?”

“Lahh... Baru nak dengar suara. Tak boleh bagi pembesar suara ke?”

“Boleh tak jangan nak mengada?”

“Alah, mengada pun dengan you je,” jawab Aryan. Moza yang sedang melakar rekaan baju pengantin hanya tersenyum.

“Dahlah, banyak kerja ni.” Karyenna mematikan panggilan telefonnya. Dia tidak mahu melayan karenah tunangnya yang kadangkala menyakitkan hatinya.

Aryan memuncungkan mulutnya. Dia kembali menghubungi tunangnya namun Karyenna enggan menjawab. Satu keluhan panjang dilepaskan dan Moza hanya tersenyum geli hati.

“Janganlah ganggu kalau orang sibuk,” ujar Moza.

“Takkan tak boleh tahu?”

“Positiflah sikit. Dia sibuk urus kafe, bukannya sibuk mengurus orang lain.”

“Amboi ayat. Mentang-mentang si Yurina tak banyak mulut macam Karyenna, sukahati je nasihat orang. Ceh...”

“Bukan macam tu tapi takkan setiap masa nak tanya itu ini? Kau sendiri pun tak suka kalau ada orang yang asyik call dan tanya itu ini.”

Aryan mencebik tidak berpuas hati. Moza hanya menggeleng dan kembali menyambung kerjanya. Secawan air kopi yang dibuatnya turut diteguk sedikit. 


Dawson memicit kepalanya. Entah mengapa kepalanya perlahan terasa sakit. Dia sedikit pening sebaik sahaja selesai membaca beberapa muka surat diari yang ditemuinya dikenderaan adiknya. Fikirannya seolah mula mengingat sesuatu. Sesekali dia mengerang bila saja rasa sakit menyucuk kepalanya seperti jarum.

Diari tersebut kembali diletakkan diatas meja di tepi katilnya. Sebotol ubat tahan sakit pantas dicapai. Beberapa biji pil ditelan bersama air. Dengan lemah, dia merebahkan badannya diatas tilam. Peluh sudah mula keluar dari dahi walaupun alat penghawa dingin dihidupkan.

Dawson menutup matanya. Dia mencuba untuk bertenang namun rasa sakit yang menganggunya tidak mampu menenangkannya. Setelah beberapa detik melawan, akhirnya rasa sakit itu perlahan hilang. Namun Dawson masih lagi lemah. Nafasnya termengah-mengah.

Membaca diari itu mula membuatkan dirinya teringat akan seseorang. Apatah lagi dengan gaya tulisan yang digunakan. Sekeping gambar yang ada didalam diari tersebut kembali ditarik keluar. Seorang wanita yang ada disebelah Yurina ditatapnya. Dia seolah mengenali wanita itu.

Dawson menghela nafas yang panjang. Gambar tersebut diletakkan diatas dadanya seraya menutup mata. Dia mencuba untuk mengingat namun fikirannya seolah enggan bekerja. Dia kembali buntu.

Telefon pintar yang sedang dicas berdering minta dijawab. Dawson yang masih lemah perlahan bangun dan tidak sedar gambar yang tadi diatas dadanya jatuh ke bawah katil.

“Hello Moza,” Dawson menjawab panggilan tersebut.

“Kau okay Dawson?” tanya Moza. Entah mengapa hatinya terpanggil untuk menghubungi abangnya.

“Okay, Aku baru nak tidur,” jawab Dawson. Dia kembali berbaring diatas katilnya.

“Makan dah?”

“Dah.”

“Jangan lupa makan ubat ya? Dalam sejam lagi aku balik.”

“Ya, kau jangan risaulah. Aku okay, Lagipun pak cik ada,” balas Dawson. Dahinya dipicit perlahan.

“Kalau ada apa-apa call aku ya?” pesan Moza dan Dawson hanya berdehem.

“Kau berehatlah. Nanti aku belikan buah-buahan,” sambung Moza lalu memutuskan panggilannya. Dawson mendengus kasar. Dia menggerakkan badannya ke kanan. Matanya kembali ditutup. Dia mahu merehatkan kepalanya.

Moza menarik nafas yang lega. Sejak beberapa minit yang lalu, hatinya berkecamuk tidak tenang. Dia asyik teringatkan abangnya. Dia risau jika abangnya kembali merasakan sakit dikepalanya. 

Moza mengambil keputusan untuk menghubungi Dr. Illy. Jari jemarinya rancak menari diatas skrin telefonnya sebelum mendekatkan telefon tersebut ke telinganya. Sambil itu sebelah tangannya masuk kedalam poket seluarnya. Namun panggilannya sama sekali tidak dijawab Dr. Illy. Tidak berputus asa, dia kembali menghubungi namun hasilnya tetap sama. Dr. Illy masih tidak menjawab panggilan telefonnya.




Darryl bermain dengan telefon pintarnya. Laman sosial Instagramnya dilayari satu persatu namun tiada yang dapat menarik perhatiannya. Semuanya hanya memaparkan gambar selfie.

“Darryl okay ke? Mommy tengok macam tak ada semangat je?” Datin Maria menegur anak lelakinya. Segelas air oren  buatan diunjukkan pada Darryl.

“Entahlah mommy. Tak ada mood. Semuanya rasa boring,” jawab Darryl. 

“Kenapa tak keluar jalan-jalan dengan kawan?”

“Tak naklah.”

“Darryl ada masalah ke sebenarnya? Ke Darryl ada masalah cinta?”

Darryl diam. Perlahan dia mengangkat wajah memandang ibunya. Datin Maria hanya diam menunggu.

“Entahlah mommy. Darryl pun tak tahu nak cerita macamana dengan mommy.”

“Sayang, ini mommy. Mana yang baik, mommy akan setuju dan yang tak baik mommy akan tegur,” ujar Datin Maria.

Darryl kembali mendiamkan diri. Gelas berisi air oren ditenungnya. Dia mula mencari ayat yang sesuai. Dia buntu bagaimana hendak menjelaskan perasaannya. Dia takut ibunya akan marah.

“Darryl berehatlah dulu. Mommy nak masuk dalam bilik dulu. Nanti bila Darryl dah ada idea, baru cerita dengan mommy. Mommy akan sentiasa tunggu,” ujar Datin Maria. Dia bangun dan meninggalkan anak lelakinya seorang diri diruang tamu. Darryl hanya melepaskan keluhannya.

Darryl merebahkan dirinya diatas sofa kulit. Siling ruang tamu yang dihiasi dengan lampu kristal dipandangnya. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini dia sering mengingatkan Yurina dan kata-kata Hawa. 

Hatinya mula tergerak untuk mencari Instagram milik Yurina. Dengan pantas dia melayari laman sosialnya. Nama Yurina ditaip diruang carian. Dia mahu tahu perkara yang sebenar. Dia mahu tahu adakah benar wanita idamannya itu menjalin hubungan dengan pereka fesyen terkenal.

“Yurina... Mana satu ya? Banyak pula nama Yurina ni,” Darryl sudah mula menggaru kepalanya. Dia mula buntu.

“Apa nama belakang ya? Ish.”

Darryl mula membuka satu persatu namun tiada yang kena dihatinya. Yurina yang dicari tidak ditemui. Dia kembali frust. Ingin saja dia menjerit sekuat hatinya.


Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail