Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 12


Moza memandang dua orang yang ada dihadapannya. Andy dan Sandra, itulah dua orang yang mendadak datang ke pejabatnya. Dengan penuh tanda tanya, dia mengerutkan dahinya. Andy hanya tersengih sementara Sandra pula menunduk memandang lantai pejabatnya.

“Apa sebenarnya ni Andy?” tanya Moza ingin tahu.

“Well, macam yang aku beritahu tadi, Sandra bersedia untuk menebus dosanya,” jawab Andy. Dia sempat menggamit Sandra agar mengangkat wajah dan bersikap baik.

“Menebus dosa? Apa yang kau mengarut ni?” Moza mengerling kearah Sandra. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulut Andy. Baginya, Sandra bukanlah seorang wanita yang senang meminta maaf.

“Macam ni Moza. Kelmarin dia datang jumpa aku dan dia kata dia sanggup buat apa saja untuk tebus kesalahan dia.”

“I sanggup bayar ganti rugi,” Sandra mencelah. 

“Ganti rugi untuk apa?” tanya Moza.

“Well, I selama ni suka menyusahkan you dan I datang untuk membantu. I janji yang I akan berubah sikap dan be professional,” jawab Sandra. Andy yang duduk disebelahnya mengangguk.

“Thank you Sandra but sorry, saya tetap tak boleh terima awak untuk jadi model saya kembali.”

Jawapan Moza mengejutkan Sandra. Rasa berangnya kembali meluap namun Andy pantas menahan. Dalam diam, dia mengepalkan penumbuknya dibawah meja, bersiap untuk menumbung wajah kacak Moza yang sering menaikkan rasa marahnya.

“Tak ada peluang lain ke?” tanya Andy.

“No Andy. Ini keputusannya. Lagipun aku dah ada pengganti Sandra masa show tu nanti,” jawab Moza yakin.

“Siapa?” Serentak Andy dan Sandra bertanya.

“Rahsia.”

Andy diam. Sandra pula mengetap bibirnya kuat. Wajah Moza dipandangnya dengan penuh rasa marah. Ikutkan hati, mahu saja dia naik keatas meja dan bertukar menjadi Incredible Hulk. Ingin saja kukunya yang panjang dan tajam mencakap wajah Moza bagaikan seekor kucing.

“Jangan risaulah Andy. Model baru tu boleh diharap,” Moza menyambung kata-katanya. 

Jauh didalam hati, Moza ketawa sekuat yang boleh. Hatinya gembira kerana berjaya menipu Andy dan Sandra. Walhal, dia tidak mempunyai pengganti Sandra dan masih lagi mencari para model yang sanggup bekerja dengannya.


Dirumah, Dawson hanya berlegar-legar dilaman depan rumahnya. Beberapa ekor rama-rama yang hinggap di kelopak bunga dan menghisap madu sedikitpun tidak menarik perhatiannya. Sejak akhir-akhir ini, jantungnya sering berdegup kencang tanpa sebab. Ada kalanya pandangannya menjadi kabur dan berganda sebelumdia terasa loya dan ingin muntah.

“Dawson.”

Mendengar namanya dipanggil Pak Ehsan, Dawson pantas melakukan regangan badan. Dia melenturkan badannya ke kiri dan kanan. Nafas yang pendek turut dihirup dan dilepas secara perlahan-lahan.

“Kamu buat apa diluar ni?” tanya Pak Ehsan sebaik dia melangkah keluar dari rumahnya.

“Hah? Tengah exercise,” jawab Dawson. Senyumannya diukir meleret.

“Dahlah tu. Mari masuk. Hari nampak macam nak hujan,” Pak Ehsan memintanya untuk masuk dan Dawson hanya mengangguk.

“Pak cik masuklah dulu. Nanti saya ikut,” ujar Dawson dan Pak Ehsan hanya menurut.

Dawson menghela nafas lega. Telefonnya yang diletakkan diatas meja di kaki lima rumahnya kembali dicapai namun baru sahaja dia melangkah, dia berhenti. Pandangannya kembali berganda. Lututnya tiba-tiba terasa lemah. 

Pantas Dawson berpaut pada kerusi yang tersusun di tepi meja. Peluh sebesar biji kacang mula keluar dari dahinya dan kini dia mula merasakan rasa sakit dibahagian kepalanya. Rasa sakit yang selama ini tidak pernah dirasainya.

Tidak tahan menanggung rasa sakit, akhirnya Dawson rebah ke lantai. Telefonnya turut terlepas dari pegangannya. Dia kini pengsan tidak sedarkan diri. Seluruh tubuhnya kembali terbaring kaku.


Yurina hampir tersedak sebaik meminum air mineral yang diambilnya dari dapur. Perasaannya mula tidak tenang seolah-olah ada sesuatu sedang berlaku. Jam yang melekat di dinding kafe dipandang. Entah mengapa dia mula memikirkan ibu saudaranya yang berada dirumah.

“Yurina, awak okay? Kenapa muka awak pucat semacam? Awak sakit ke?” tanya Karyenna bertalu-talu. Dirinya yang duduk bermain dengan telefon di meja kaunter mula memandangnya dengan penuh kerisauan.

“Erm... Saya nak call mak saya sekejap,” pinta Yurina tanpa menjawab pertanyaan majikannya. Karyenna hanya mengangguk membenarkan.

Yurina melangkah keluar dari kafe. Jari jemarinya pantas menari diatas skrin menghubungi ibu saudaranya.

“Hello mak,” ujar Yurina sebaik Puan Aishah mengangkat panggilan telefonnya.

“Kenapa ni Yurina? Tak pernah kamu call mak diwaktu macam ni?” Puan Aishah bertanya.

“Mak tak apa-apa ke?”

“Mak okay saja dirumah ni. Kenapa?”

Yurina menarik nafas lega. Perlahan dadanya diurut senang hati. 

“Tak ada apa-apalah. Saja je Yurina call mak. Lagipun Yurina rindu dengan mak, sebab tu Yurina call,” ujar Yurina mereka alasan.

“Erm... Takkan sebab tu?”

“Okaylah mak. Yurina nak sambung kerja balik. Oh ya, mak nak kirim apa-apa tak?”

“Tak payahlah Yurina. Simpan duit kamu tu.”

Yurina hanya tersenyum. Setelah beberapa detik berlalu, dia mematikan panggilan tersebut dan masuk kembali kedalam kafe. Karyenna yang masih duduk dimeja kaunter hanya diam memandang pekerjanya yang kembali tersenyum seperti sedia kala. Seketika kepalanya digeleng sebelum kembali fokus pada telefon pintarnya.


Satu panggilan kecemasan mengejutkan Moza. Dengan pantas dia menutup komputer ribanya dan mencapai kunci keretanya. Dengan berlari anak, dia berlari mendapatkan kenderaannya yang diparkir di tempat letak kenderaan. Beberapa orang pekerjanya hanya berbisik sesama sendiri hairan melihat betapa cemasnya Moza.

Aryan yang baru keluar dari dalam butik turut terkejut sebaik memandang rakannya berlari keluar dari bangunan tersebut. Dengan penuh tanda tanya dia menghampiri pekerja yang bekerja dibahagian kaunter.

“Kenapa dengan Moza tu?” tanya Aryan. Fail yang dibawanya diletakkan diatas kaunter.

“Entahlah Encik Aryan. Kami sendiri pun terkejut tengok kawan encik tu,” jawab Hani,  pekerja bahagian kaunter itu. Aryan mencebik. Matanya memandang keluar dimana Moza mula memandu kenderaannya.

“Dia ada masalah ke Encik Aryan?” tanya Hani pula ingin tahu.

“Entahlah Hani. Mungkin ada, mungkin juga tidak.” Aryan menjawab seraya mengangkat bahunya.

“Eh, tengahari nanti lunch sama-sama nak tak?” Aryan menukar topik perbualan.

“Alah, saya dah ada temu janjilah Encik Aryan. Lain kali sajalah,” Hani menolak lembut.

“Banyaklah alasan kamu.”

Hani hanya tersenyum kambing. Aryan hanya mencebik tidak puas hati sebelum berlalu pergi membawa fail naik kepejabatnya. Langkahnya diatur kemas meninggalkan teka tekinya pada Moza.


Moza menarik nafas lega sebaik mendengar kata-kata Dr. Illy mengenai abangnya. Pak Ehsan yang duduk disebelahnya hanya mengangguk tanda faham. Dia sendiri terkejut apabila melihat Dawson terbaring tidak sedarkan diri diluar rumah. 

“Jadi Dawson kena tahan lagilah?” tanya Moza.

“Dia boleh balik kalau dia dah sedar,” jawab Dr. Illy dan sekali lagi Moza menarik nafas lega. Jadi tak perlulah dia bergegas kesana kemari dari tempat kerja dan rumah kedua abangnya itu.

“Sebenarnya apa yang berlaku doktor? Kenapa Dawson boleh pengsan? Setahu saya, dia tak bekerja berat. Hanya berjalan sekitar rumah dan sesekali bersenam,” Pak Ehsan kini dihimpit rasa ingin tahu.

“Dawson ada beritahu yang dia ada sakit dimana-mana tak?”

“Sakit? Rasanya tak ada,” jawab Pak Ehsan.

“Mungkin dia cepat merasa letih. Maklumlah, dia belum sembuh sepenuhnya dan masih dalam proses terapi dan pemulihan. Tapi dari apa yang saya lihat, dia dah sesembuh orang normal. Mungkin organ dalamannya yang masih lemah dan perlukan penjagaan rapi,” ujar Dr. Illy panjang lebar.

“Tapi dia tak ada sakit lain kan?” Moza pula menyampuk dan Dr. Illy hanya mengangguk.

“Syukur alhamdulillah. Abang kamu tak ada sakit yang lain dan sama-samalah kita berdoa yang abang kamu akan kembali sihat,” ujar Dr. Illy.

“Kalau macam tu boleh saya melawat Dawson sekejap?” Moza meminta izin.

“Boleh, tapi jangan kejutkan dia dulu. Biarkan dia berehat.”

Moza mengangguk seraya mengucapkan terima kasih. Dengan perlahan, dia bangun dan keluar dari dalam pejabat meninggalkan penjaganya bersama doktor wanita itu.


Pintu wad ditolak perlahan. Moza dapat melihat abangnya terbaring kaku dengan branula kembali dicucuk ditangannya. Hos kecil yang menghubungkan beg air yang digantung tinggi dengan branula dipandangnya. Hatinya kembali menjadi luluh. Dia bagaikan tidak sanggup melihat abangnya kembali terlantar sedemikian rupa.

“Dawson,” Moza memanggil nama abangnya namun suaranya tidak keluar.

Tangan abangnya yang nampak pucat dipegangnya. Dia dapat merasakan betapa sejuknya tangan abangnya itu. Selimut yang membungkus abangnya dirapikan.

Air mata mula bertakung dikelopak matanya. Pantas dikesatnya dengan tisu yang disediakan diatas meja ditepi katil abangnya. 

“Apahal kau nangis Moza?” Dawson bertanya dengan suara yang cukup perlahan namun masih dapat didengar Moza. 

“Kau tak tidur ke?” tanya Moza. Dia sedikit terkejut sebaik menyedari abangnya itu rupanya masih terjaga.

“Macamana aku nak tidur kalau kau menangis macam budak ni?”

Moza hanya tersengih. Kerusi yang ada ditepi katil ditarik dan diduduki. Dawson yang sedari tadi memejam mata perlahan memandang adiknya.

“Kau tak kerja ke?” tanya Dawson. Dia mencuba menyelesakan badannya yang sudah mula terasa lenguh.

“Kerja,” jawab Moza pendek.

“Dah tu apa kau buat dekat sini?”

“Temankan kaulah.”

“Untuk apa kau nak temankan aku? Bukannya ada hantu dekat sini?” Walaupun sakit, Dawson tetap ingin mengusik.

Moza hanya mencebik. Dawson pula menghela nafas yang panjang. Dia mencuba untuk tidur namun matanya enggan terpejam.

“Hei, Moza.”

“Apa?”

“Baik kau balik office,” arah Dawson.

“Tak nak.”

Dawson mendengus kasar. Dia menyelak selimutnya yang membungkus badannya. Rasa panas dirasainya walaupun penghawa dingin dipasang pada suhu yang agak minimum.

“Panaslah,” ujar Dawson. 

“Panas? Kau demam ke?” Moza meletakkan belakang tangannya didahi abangnya.

“Ambilkan air tu. Rasa haus pula,” Dawson menunjuk kearah sebotol air yang ada diatas meja. Moza hanya menurut. Dicapainya botol air tersebut sebelum diberikan kepada abangnya. 

Tekak yang terasa begitu haus membuatkan Dawson meneguk dengan rakus. Moza hanya melihat. Sesekali dia turut meneguk air liurnya.

“Nak aku panggilkan doktor ke?”

“Tak payahlah. Bukannya ada sakit apa pun. Cuma rasa panas,” jawab Dawson seraya menggeleng.

Moza memuncungkan mulutnya. Wajah pucat abangnya ditenung. Dia juga dapat mendengar helaan nafas yang kasar dari abangnya.




Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail