Dawson menatap adiknya dengan tajam. Dia begitu tertanya-tanya mengapa adiknya hanya menguis makanan yang ada didepannya sambil tersenyum tanpa menjamahnya sedikitpun. Pak Ehsan yang duduk bersebelahan turut tertanya-tanya.
“Moza, ada masalah ke ditempat kerja?” tegur Pak Ehsan. Moza tersentak dan kembali tersedar dari lamunan. Satu persatu wajah abang dan penjaganya dipandangnya. Senyumannya tetap terukir diwajahnya.
“Mee ni sedap. Siapa yang masak?” tanya Moza.
“Aku rasa pak cik tanya soalan lain tadi,” potong Dawson.
“Moza, kalau ada apa-apa masalah, beritahu pak cik. Walaupun pak cik mungkin tak dapat tolong tapi sekurang-kurangnya pak cik boleh beri nasihat dan idea untuk kamu selesaikan masalah kamu.”
“Tak ada apa-apalah pak cik. Saya okay saja,” Moza masih enggan menceritakan permasalahannya. Dia tidak mahu menceritakan apa yang telah berlaku pada dirinya siang tadi. Dia kembali menunduk dan menguis makanannya.
“Saya rasa budak ni dah angau. Dia dah termakan sihir cinta ni,” ujar Dawson. Moza tersentak. Begitu juga dengan Pak Ehsan.
“Sihir? Astaghfirullahalazim. Berdosa tau menyihirkan orang ni.”
“Pak cik, maksud saya bukan sihir yang membomohkan orang tu. Ini penyakit cinta. Biasanya orang kalau dah senyum sendiri macam ni memang dah angau. Entah perempuan manalah yang buat dia jadi macam ni,” ujar Dawson.
“Kau jangan nak buat ceritalah Dawson. Baik kau makan mee kau tu,” jawab Moza. Dawson hanya mencebik.
“Kamu berdua ni. Bila dah berjumpa asyik nak bergaduh. Nanti kalau dah tak berjumpa, dah macam orang gila mencari sesama sendiri. Cuba kamu cerita dengan pak cik, kenapa kamu senyum-senyum macam ni dari tadi?” tegur Pak Ehsan.
“Tak ada apalah pak cik. Saya okay saja. Saya cuma teringat akan lawak yang kawan ceritakan dipejabat tadi,” dalih Moza. Dia masih segan dan malu untuk menceritakan tentang gadis yang tanpa sengaja disukainya.
“Lawak sangat ke? Cuba cerita sikit,” pinta Dawson. Pak Ehsan spontan mengangguk. Moza pula terdiam tidak menyangka dengan permintaan abangnya itu. Dia mula buntu memikirkan cara untuk membuat alasan yang lain.
“Jangan kau nak kata yang kau dah lupa dengan lawak tu,” sambung Dawson.
Moza mula gelabah. Gelas berisi air mineral didepannya segera diteguknya sehingga habis. Dia benar-benar kehilangan akal. Dia mula memandang sekeliling dapurnya mencari idea. Dawson dan Pak Ehsan hanya diam menatapnya menunggu jawapannya.
“Pak cik, pak cik rasa perempuan mana yang suka dengan Moza? Pak cik dapat bayangkan tak?” tanya Dawson pada penjaganya setelah adiknya agak lama mendiamkan diri.
“Baguslah kalau ada perempuan yang suka dengan adik kamu. Itu bermakna adik kamu dah mampu membuat hidup baru bersama dengan perempuan tu. Sepatutnya kita bersyukur, Allah sudah bukakan pintu hati adik kamu untuk mencintai perempuan lain.”
Dawson terdiam. Dia tidak menyangka penjaganya akan berkata sedemikian rupa membela adiknya yang ingin diusiknya. Moza hanya tersenyum sambil menyuap makanan masuk kedalam mulutnya.
“Dan pak cik harap kamu boleh ikut jejak adik kamu. Keluar dan cari cinta hati kamu. Bina kehidupan berkeluarga dengan redha Allah,” sambung Pak Ehsan. Dawson mendengus. Dia memandang adiknya yang hanya tersenyum seolah mengejeknya.
“Suka kau kan Moza?”
“Apa?”
“Dah, jangan nak bergaduh lagi. Habiskan makanan tu dan lepas ni tolong pak cik kemas semua ni. Pak cik nak sembahyang sekejap,” potong Pak Ehsan sebaik melihat kedua beradik tersebut yang kembali bergaduh. Dawson dan Moza serentak mengangguk.
“Hei, lepas ni kita pergi tengok wayang nak? Ada cerita baru keluar di pawagam,” ujar Moza. Dawson menggaru kepalanya.
“Cerita apa? Cerita hantu ke?” tanya Dawson kembali dan Moza segera menggeleng.
“Tak naklah kalau bukan cerita hantu,” sambung Dawson.
“Tak habis-habis dengan cerita hantu kau tu. Kau tak tahu ke kalau aku tak suka tengok benda macam tu? Aku susah nak tidur tau setiap kali aku tengok cerita hantu. Lainlah kalau kau, dah sama dengan hantu.”
“Amboi mulut tu Moza. Nak merasa telan sudu ke?”
“Look Dawson, aku tak nak tengok cerita hantu okay. Aku nak bawa kau tengok wayang tapi please bukan cerita hantu.”
“Habis tu kau nak tengok cerita apa?” tanya Dawson.
“The Avengers,” jawab Moza pendek dan yakin.
“The Avengers? Kau nak tengok The Avengers? Sekumpulan manusia yang masing-masing ada kuasa istimewa?”
“Ya, dan aku rasa itu lebih baik dari tengok cerita hantu yang sering takutkan orang sampai orang susah nak tidur,” jawab Moza.
Dawson melepaskan keluhannya. Dia tidak mampu membantah kata-kata adiknya itu. Dipandangnya adiknya yang kembali menyuap makanan masuk kedalam mulutnya.
“Kau diam jadi aku akan anggap kau setuju ikut aku tengok wayang dan malam ni kita akan tengok cerita The Avengers. Okay?”
“Terpulang tapi lain kali kau kena ikut aku pula tengok cerita hantu. Sebarang alasan tidak dibenarkan sama sekali,” jawab Dawson. Moza menelan air liur. Mahu tidak mahu dia terpaksa bersetuju.
“Okay, deal. Tapi aku akan pastikan setiap cerita hantu akan tayang waktu siang,” jawab Moza sambil ketawa kecil. Dawson mengetap bibirnya geram dengan kata-kata adiknya.
“Tapi setahu aku, semua cerita hantu tayang waktu malam dan yang siang tu semuanya ulangan.”
Moza menatap abangnya dengan pandangan yang tajam. Dia tidak lagi mampu melawan kata-kata abangnya. Dawson hanya tersenyum gembira kerana berjaya mengenakan adiknya. Suasana yang tadi riuh kini kembali senyap.
Dawson mencapai telefonnya yang diletakkan diatas meja makan. Jari telunjuknya mula bermain diatas skrin telefonnya. Dia mahu mengenakan adiknya yang terlalu penakut. Moza yang sedang asyik mengunyah tidak sedar bahawa abangnya sedang melirik kearahnya dengan senyuman sumbing.
“Nak tengok satu video tak?” tanya Dawson.
“Video apa? Kalau video hantu, aku tak nak.” jawab Moza.
“Bukan video hantu, video lawak je.”
“Tentang apa?”
“Ada seorang perempuan ni. Dia cuba nak menyanyi tapi sampai chorus, suara sebenar keluar. Rupanya dia lelaki,” cerita Dawson.
“Mana? Tengok?” Moza mula merapat kearah Dawson.
“Kau peganglah. Aku nak sambung makan,” ujar Dawson sambil menyerahkan telefon tersebut. Moza hanya mencebik namun tetap menurut.
“Mana suaranya? Tak dengar pun,” ujar Moza. Dipandangnya abangnya.
“Takkan tak dengar? Cuba kau dekatkan sikit, speaker tak bagus kot,” arah Dawson. Dia mencuba untuk menahan tawanya kerana dia tahu video tersebut bukanlah seperti apa yang dikatakannya.
Moza hanya menurut kata-kata abangnya. Skrin telefon abangnya didekatkan agar dia mampu mendengar nyanyian yang dimaksudkan abangnya dengan mata yang masih terarah pada wanita didalam video tersebut.
Sedang Moza fokus pada wanita itu, secara tiba-tiba wanita yang dimaksudkan berubah wajah menjadi makhluk yang menakutkan. Moza yang terkejut besar segera melempar telefon milik abangnya dan jatuh terduduk.
Dawson tidak lagi mampu menahan tawanya. Hatinya begitu tercuit melihat riak wajah adiknya yang terkejut dengan apa yang dilihatnya. Tawanya kini memenuhi ruang dapur. Perutnya yang terasa senak mula dipegang.
“Astaghfirullahalazim. Apa yang berlaku ni?” Pak Ehsan muncul tidak lama kemudian. Dia dapat melihat Moza terbaring dilantai sambil menekup wajah. Dawson pula masih ketawa.
“Dawson, apa lagi yang kamu dah buat?” tanya Pak Ehsan. Dihampirinya Moza yang masih keras diatas lantai.
“Saya cuma nak usik Moza,” jawab Dawson. Air matanya yang turun disekanya dengan hujung bajunya.
“Moza, bangun...”
Moza membuka matanya perlahan-lahan sebelum bangun dan duduk dilantai. Tangan kanannya diletakkan didadanya. Dia dapat merasakan jantungnya beralih arah dari kedudukan asalnya. Dia juga merasa bahawa rohnya sempat terbang menjauh dari badannya.
“Tak elok tau takutkan orang,” tegur Pak Ehsan memandang Dawson yang hanya tersengih.
Moza hanya menjeling tidak berpuas hati. Rasa geramnya bertambah namun mana mungkin dia akan membalasnya pada Dawson.
“Dah, kemas semua ni. Lepas tu ikut pak cik sembahyang,” arah Pak Ehsan. Dia turut membantu Moza untuk bangun. Dawson hanya mengangguk.
“Mana telefon?” Dawson bertanya.
“Tu,” Moza memuncungkan mulutnya kearah lantai dimana dia membaling telefon tersebut. Dawson tergamam.
“Kau buang telefon aku?”
“Padan muka. Siapa suruh takutkan aku?”
Dawson melepaskan keluhannya. Dengan penuh penyesalan, dia mendapatkan telefonnya yang sudah tidak hidup. Skrinnya juga retak akibat rempuhan yang kuat pada dinding dapur. Moza hanya tersenyum gembira seolah berjaya membalas perbuatan abangnya. Pak Ehsan pula hanya menggelengkan kepala. Dia tidak menyangka kedua beradik itu masih bersikap kebudak-budakan walaupun masing-masing sudah berusia awal 30 an.
Suasana kelam kabut membuatkan Dr. Illy dilanda rasa panik. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa pesakitnya kini kembali untuk kali yang kedua. Dengan segala pengetahuan yang ada, dia menolak masuk katil beroda masuk kedalam ruang ICU.
“Tunggu disini!”
Arahan Dr. Illy dipatuhi. Mereka tidak dibenarkan masuk dan menganggu tugas doktor wanita itu. Apa yang mampu dilakukan hanyalah berdoa dan berharap keselamatan dan kesembuhan.