Home Novel Seram/Misteri SEDAR (Sesat Dari Radar)
Bab 32
Mimi


Dunia yang kejam 

Akan membawa kepada 

Masa depan yang bahagia


Sedar sahaja, aku berada di suatu tempat yang sangat cerah dan gelap. Aku berada di antara kawasan yang cerah dan gelap. Apa yang telah berlaku kepadaku. Kali terakhir aku ingat ialah aku selamatkan Han daripada letupan bom di dalam penjara kemudian aku tak ingat apa yang berlaku. Sekarang aku tak rasa yang aku masih di dunia yang nyata. Melihat cahaya yang gelap dan putih ini mengingatkan aku balik kepada kisah 9 tahun yang lalu bagaimana aku boleh jumpa dia. Sungguh nostalgia bila teringat lagi.




2010, semasa di sekolah rendah lagi aku ialah seorang budak yang aktif. Tidak kiralah lelaki ataupun perempuan, aku hanya berkawan sahaja. Aku tak kisah tentang jantina sebab aku dididik yang semua manusia adalah sama. Pemikiran begitulah yang menyebabkan aku rasa tak kisah dengan pelbagai jenis orang. Tak kira budak-budak, remaja mahupun dewasa. 

Sehinggalah ada suatu keluarga yang baru berpindah ke taman ini. Kebetulan rumah baru mereka pula berada di sebelah rumah keluarga ku. Keluarga ku sangat suka dalam aktiviti kemasyarakatan. Mereka pun menolong jiran kami yang baru sahaja berpindah di sebelah rumah. Aku juga membantu mereka. Sewaktu itu jugalah aku ada berjumpa dengan seorang budak lelaki yang kelihatan sebaya denganku. 

Aku agak tertarik dengan kawan baharu, jadi akupun menyapa dia daripada belakang. Malang sekali, budak tersebut tidak melayanku seolah-olah mengalami suatu masalah. Keluarga budak tersebut mengenalkanku kepada anak mereka. Namun budak tersebut seperti sudah mati dari sudut pandangan ku. Aku tak tahu kenapa tetapi aku sangat takut. Macam ada sesuatu yang mengerikan tersembunyi di dalam dirinya.

Budak tersebut masuk di Sekolah Kebangsaan Taman Aman ini pada pertengahan bulan. Kebetulan pula kami berada dalam kelas yang sama. Aku tahu yang aku sudah terbiasa dengan semua orang tetapi budak ini sangat berbeza daripada budak yang lain. Aku dapat rasakan yang dia bukannya seperti manusia yang lain. Bukannya kenapa, pertama kali aku berjumpa dengannya seperti merasakan kematian dekat denganku. Tambahan pula matanya yang kelihatan mati, lagi menambahkan keraguanku kepadanya.

Aku tak tahu kenapa tetapi untuk masa yang sekarang ini aku hanya tidak bercakap dengannya di dalam kelas. Bukan itu sahaja, kawan-kawan yang lainpun takut untuk mendekati budak tersebut. Ada suatu hari, cikgu menyuruh budak tersebut menjawab soalan matematik. Budak tersebut hanya memberikan jawapan tanpa membuat jalan kira.

 Namun demikian jawapan yang dia beri adalah betul. Aku tak tahu kenapa dia dimarahi oleh guru matematik tersebut. Selalunya budak-budak kalau dimarahi oleh guru semestinya mereka akan menangis ataupun meminta maaf tetapi budak ini menunjukkan reaksi kosong sahaja kepada guru tersebut. Kasihan sekali budak baru itu, hari pertama di sekolah sahaja kena teruk dengan guru tersebut. Aku tak boleh nak berbuat apa selain melihat sahaja. Kalau aku tolong mesti aku kena marah juga. Kemudian, guru tersebut menyuruh budak tersebut untuk menunggu di luar. 

Budak tersebut berada di luar kelas setiap kali waktu pelajaran berlangsung. Apa masalah guru di sekolah ini, aku tahu dia menakutkan dan tidak bercakap tetapi bukan ini balasan yang patut budak ini rasai. Jikalau hari ini sahaja dia terkena hukuman ini tidak apa. Bahkan, hari keesokannya dan seterusnya budak ini asyik disuruh berada di luar kelas.

Disebabkan itu, dia menjadi bahan buli di dalam kelas dan sering menjadi bahan tawaan. Aku tak sanggup lagi tengok budak ini kena seperti ini. Aku harus menolongnya. Keesokannya apabila guru hendak menyuruh budak tersebut untuk menjawab soalan di hadapan kelas. Aku sukarela untuk menjawab soalan di hadapan kelas. Aku taklah genius seperti budak itu tetapi bolehlah dalam menjawab soalan mudah ini.

 Namun begitu, guru di sekolah ini yang mengajar kelas kami masih menyuruh budak tersebut untuk menjawab soalan di hadapan kelas. Kelas matematik dia berikan jawapan yang betul dia kena hukum. Kelas sejarah dia menulis fakta yang betul juga kena hukum. Kelas bahasa melayu juga sama sebab dia tidak bercakap. Bahkan, kelas pendidikan agama islam lagilah dia kena teruk dengan ustazah yang mengajar. 

Aku bertekad untuk membantu budak ini walaupun ianya akan menyebabkan aku merana di sekolah ini suatu hari nanti. Lebih baik aku bantu dia sebab aku tak nak jadi seperti nasi telah menjadi bubur kerana tidak lakukan sesuatu kepada budak ini.

Pada suatu hari, aku bercakap dengan guru kaunseling mengenai budak tersebut. Aku berharap guru tersebut dapat membantunya untuk menjadi baik. Setiap hari budak tersebut diminta untuk berjumpa dengan guru kaunseling tersebut. Aku harap yang terbaik untuk budak ini. Pada keesokannya dan hari seterusnya juga tidak ada apa-apa yang berlaku kepadanya.

Aku memutuskan untuk menyiasat apa yang guru kaunseling itu buat pada budak ini. Aku hanya melihat daripada celah-celah pintu bilik kaunseling tersebut. Melihat sahaja dari sebalik celahan pintu tersebut seperti lagi tidak menyangka yang perkara sebegini akan berlaku. Dia dipukul oleh guru kaunseling itu di bahagian kaki sehingga lebam. Aku dapat tahu lebam pada kakinya sebab guru tersebut menyuruhnya membuka seluar dan merotan pada bahagian yang lebam tersebut. Aku terasa sangat ngilu melihat ini. Apa lagi yang dia buat nak dibandingkan dengan budak nakal yang lain. 

Sehinggalah aku ada terdengar sedikit kisah budak ini yang tersebar di bilik guru. Kedengaran seperti budak ini telah menyebabkan dua orang kawannya sudah mati di suatu hutan. Aku tak percaya mendengarkan perkara tersebut. Terlalu banyak penyeksaan yang budak ini kena di sekolah. Kalau polis tahu mengenai hal ini mesti guru di sini kena tangkap sebab kes penderaan. Keluarga budak ini pula tak risau dengan anak mereka sendiri.

Aku segera pulang ke kelas untuk berjumpa dengan budak tersebut. Sekali lagi budak tersebut dibaling sampah oleh kawan-kawan dalam kelas ini. Kalau aku memberitahu guru mengenai hal ini sudah pasti mereka tidak akan membantu budak ini. Aku menyuruh semua orang yang membulinya untuk berhenti membuli. Malah tempiasnya pula yang datang kepadaku apabila budak-budak ini datang mengepungku. Aku bersyukur kerana budak tersebut selamat. Mungkin di dalam dunia ini perlukan pengorbanan untuk selamatkan seseorang. Aku disepak oleh budak lelaki dan perempuan yang ada di sekelilingku. Sakitnya itu memang tak boleh katalah. Sekurang-kurangnya dia selamat, itulah yang penting.

Semasa disepak, aku dapat melihat budak tersebut memandang ke arahku. Dia bangun daripada tempat duduknya dan melalui dari arah belakang mereka ini untuk keluar. Entah kenapa semasa dia menghampiri jalan keluar, mereka yang berada di sekelilingku berada dalam keadaan kaku dan ketakutan. Seolah-olah melihat hantu di hadapan mata mereka.

Aku sudah membiasakan diri dengan ini. Jangan kata yang dia akan ke bilik kaunseling lagi. Aku patut menyuruhnya untuk berhenti. Aku keluar daripada kepungan ini dan terus mengekorinya walaupun dalam keadaan sakit. Aku berjalan sambil menghenjut kakiku.

Aku tak sempat untuk menghalang budak tersebut daripada masuk ke dalam bilik kaunseling. Sekarang bukannya masa untuk mengalah, aku pasti yang aku akan melakukan yang terbaik kali ini. Aku akan menghalanginya daripada dirotan. Hampir sahaja aku di luar kawasan bilik kaunseling yang terkunci daripada dalam, aku ternampak seorang guru kaunseling perempuan merotan budak tersebut manakala seorang lagi memegang budak tersebut dari celahan pintu. Namun reaksi budak tersebut hanyalah kosong. 

Aku tahu yang aku tak nak lagi kawan aku jadi macam ini. Dia bukan setakat kawan kelas tetapi jiranku dan orang yang aku nak pertahankan. Aku takkan biarkan sesiapa mengapa-apakan dia lagi. Aku trauma mengingati balik apa yang sekolah ini lakukan pada budak ini. Disebabkan itulah aku nak budak ini untuk hidup dalam keadaan yang senang dan tenang. Gosip bukannya sentiasa benar, hanya dipenuhi dengan kata-kata fitnah. Aku mengetuk pintu bilik ini. Pintu dibuka oleh seorang guru kaunseling lelaki. Dia meyuruhku untuk balik kelas tetapi aku tak dengar cakapnya. Aku terus masuk ke dalam bilik tersebut. Kemudiannya, guru tersebut terus menutup pintu dan menguncinya. Dia bertanyakan kepadaku mahu apa. Aku hanya menjawab untuk menemui kawanku yang dia dera. Dia datang mendekatiku, semakin dekat dan mendekat. Dia menggenggam tanganku dan mula mencekikku. Aku hanya meronta-ronta untuk melepaskan diri sehinggalah aku pengsan.

Selepas itu, aku ada bermimpi yang aku mengganas di dalam bilik kaunseling tersebut dengan memukul kedua-dua guru yang ada dalam bilik tersebut. Aku rasa puas melihat mimpi tersebut. Kemudian, aku pergi ke tempat budak itu berada dan bercakap kepadanya. Aku tak sangka dalam mimpi tersebut aku menumbuknya sambil berkata sehinggakan membuatkannya menangis teresak-esak.

Apabila aku sedar sahaja aku berada di pangkuan budak tersebut. Dia berkata kepadaku yang dia baru sahaja sedar berada di dunia ini. Matanya tidak lagi mati macam sebelumnya. Dia juga bercakap seperti orang biasa. Aku menangis melihatnya dapat menunjukkan reaksi seperti manusia normal. Namun, pada hari berikutnya keluargaku dan budak tersebut dipanggil oleh guru besar sekolah ini yang baru balik daripada mesyuaratnya yang telah berlangsung selama 3 bulan. Pengetua tersebut menyuruh keluarga kami untuk menukarkan kami ke sekolah lain kerana terlalu banyak kes buli. Kami dipindahkan ke sekolah lain sejak daripada kes itu yang menyebabkan dua guru koma. Polis tidak menahan budak tersebut kerana terdapat CCTV yang merakam semua yang dilakukan oleh guru kaunseling tersebut.

Sejak daripada peristiwa yang aku tak sedarkan diri semasa di bilik kaunseling, aku dan budak tersebut menjadi kawan baik. Kami sering melakukan pelbagai perkara bersama-sama. Disebabkan kami baru tukar sekolah, aku sentiasa mempertahankannya daripada bahaya yang datang. Kami masih lagi rapat sehingga sekolah menengah. Keluarga kami mempercayai antara satu sama lain. Keluarga dia percaya kepadaku manakala keluargaku percayakan dia. Aku juga banyak berlatih seni bela diri sejak daripada itu.



Baru aku ingat macam itulah macam mana Imi boleh jadi. Sekarang macam mana aku nak keluar daripada dunia ini. Tiba-tiba, dunia ini mula runtuh pula dan aku terdengar seperti terdapat kekacauan di dunia luar. Aku dapat mendengar suara Luna dan seorang perempuan yang tak ku kenali.

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaz Awan