Home Novel Cinta CINTA KAU DAN AKU
Bab 16

"Abang nak ajak adik pergi mana sebenarnya ni? Abang nak cari rumah siapa?"

Bertalu-talu soalan dari Harraz. Hariz diam seketika, segan pula untuk bercerita. Tapi kalau tak cerita camana Harraz nak tahu.

"Rumah kawan abang.."

"Kawan? Lelaki ke perempuan? Lelaki kan? Rajin pulak nak pergi rumah kawan. Adik baru ingat nak bawak abang jalan-jalan di Kota Bharu."

Harraz seolah-olah tidak percaya abangnya Hariz yang selalu sibuk itu tiba-tiba menghubunginya malam semalam dan mengatakan ingin datang melawatnya sambil berjalan-jalan. Selama ni tak pernah pun abangnya itu berjalan-jalan sebab itu dia berasa pelik.

"Sebenarnya kau tahu ke tak jalan nak pergi kampung tu? Ke dah sesat kita ni?"

Hariz sengaja mengubah topik perbualan. Selain berasa berdebar, dia juga segan dengan pandangan mata adik bongsunya yang kelihatan mencurigainya.

"Adik pernah pergi kampung sebelah tu. Tak apa, kita boleh tanya orang-orang situ. Ni maksudnya kawan abang tu tak tahulah kita nak pergi rumah dia?"

"Pandai betul budak ni main serkap jarang," omel Hariz di dalam hati.

"Tak tahu, pakai redah je ni. Kawan tu, kawan masa abang kat U dulu lagi. Dah tu kebetulan abang dah datang Kelantan, nak juga kenal kampung dan keluarga dia."

"Bunyi macam kawan perempuan je..ke kita nak pergi merisik ni?" Duga Harraz lagi sambil ketawa kecil.

"OK lah, disebabkan kau nak tolong abang, abang terus-terang jelah dengan kau. Ya, perempuan. Dia kerja kat Johor..."

"Aik, kerja kat negeri kita rupanya. Dah jumpa dia lah kat sana?"

Hariz menggelengkan kepala. Tidak pasti Harraz nampak atau tidak kerana pandangannya di hala ke hadapan.

"Kenyataan sebenarnya, abang memang selalu skodeng dia. Dia je masih tak perasan."

"Complicated bunyinya ni. Sekarang ni nak pergi buat surprise ke apa ni?"

"Lebih kuranglah.."

Perjalanan dari Pengkalan Chepa ke kampung Irdina mengambil masa kira-kira 1 jam, termasuk proses bertanyakan orang. Ketika kereta Persona Harraz membelok masuk ke halaman rumah yang bercat kuning cair itu, Hariz perasan kereta Myvi biru kepunyaan Irdina tiada di garaj.

"Betul ke rumah ni ek sebab tak ada pula nampak kereta Myvi dia." 

Hariz menggaru kepala yang tidak gatal.

"Tak apa, kita turun dan bagi salam dulu. Pastu abang tanyalah nama kawan abang tu. Kalau salah, kita try tanya kat mana rumahnya."

Harraz cuba menenangkan gemuruh yang hadir dalam diri Hariz. Hariz mengangguk kepalanya tanda bersetuju.

"Assalamualaikum..assalamualaikum.."

Hariz memberi salam. Pintu kelihatan tertutup. Mungkinkah tiada orang? Tiba-tiba pintu rumah dibuka dari dalam. Berdiri di muka pintu ialah seorang lelaki yang dianggarkan berusia antara 55 hingga 60 tahun. Mungkinkah bapa Irdina?

"Waalaikumussalam..ya, nak cari siapa nak?"

"Betul ke ni rumah Encik Razlan? Ayah kepada Irdina Zahra.."

Hariz menyedari Harraz menjelingnya dengan ekor matanya. Hariz buat-buat tidak peduli sahaja.

"Ya, betul la tu. Irdina tu anak pakcik lah. Ni siapa ya?"

"Saya kawan dia pakcik. Dia ada kat rumah tak pakcik?"

"Dia tak ada. Katanya nak pergi ke pekan Bachok kejab. Pakcik rasa sekejab lagi dia balik lah sebab macam dah lama je dia keluar. Naiklah dulu ke rumah pakcik yang tak seberapa ni."

Hariz toleh Harraz di sebelahnya. Harraz memberi isyarat.

"Boleh juga pakcik. Sekejab ya pakcik."

Hariz membuka pintu kereta dan mengambil plastik berisi buah mempelam dan sebiji tembikai yang dibelinya tengah jalan tadi. Mahu pikat anak, mestilah beli jiwa bapanya dulu, fikir Hariz.

"Ni ada sedikit buah untuk pakcik sekeluarga."

Hariz menghulurkan buah-buahan tersebut kepada bapa Irdina. Kemudian mereka bersalaman. Harraz juga berbuat perkara yang sama.

"Susah-susah je. Naiklah, silakan duduk ya. Pakcik pergi dapur kejab bagitahu isteri pakcik suruh buat air."

"Terima kasih pakcik, tak payah susah-susah la."

Hariz menolak dengan lembut walhal tekaknya dah terasa kering. Bapa Irdina tetap juga berlalu ke dapur. Hariz dan adiknya melabuhkan punggung di sofa. Mata mereka memerhati seluruh rumah. Mata Hariz terhenti saat terpandang gambar konvokesyen yang tersusun di dinding. Ada 5 bingkai yang berbeza bentuk dan orang-orang di dalamnya. Hariz tersenyum tatkala melihat gambar Irdina sedang menerima scroll.

"Jemput minum nak. Siapa namanya ni? Kawan anak makcik Dina ya."

Bapa Irdina muncul semula dari dapur bersama emak Irdina dengan membawa dulang berisi teko air dan beberapa biji cawan.

"Saya Hariz makcik, pakcik. Ni adik saya, Harraz. Kami ni sebenarnya orang Johor. Saya kerja kat Johor, adik saya ni kerja polis kat Pengkalan Chepa."

Bapa Irdina mengangguk-angguk mendengar penerangan dari Hariz. Cuma dia masih tertanya-tanya hajat dua orang anak muda ini. Kalau selalu orang datang ke rumah biasanya untuk merisik. Hanya 2 orang anak perempuannya yang belum berkahwin iaitu Irdina dan juga Inara.

"Boleh pakcik tahu apa hajat anak berdua ni? Katanya tadi kawan si Dina, datang dari jauh, mesti ada hajat kan...atau pun memang saja-saja datang nak kenal keluarga Dina?"

Bapa Irdina yang jenis straight to the point tidak suka berteka teki. Kalau dilihat dari luaran nampak seperti orang baik-baik, kerja bagus-bagus, elok untuk dibuat suami, fikirnya. Hariz diam seketika sambil cuba menyusun ayat-ayat yang terbaik agar bapa Irdina memahami hajatnya.

"Pakcik, kedatangan kami berdua ni memang ada hajat. Di samping saya nak kenal kampung dan keluarga Dina, saya juga ingin...minta izin untuk berkawan dengan anak pakcik."

"Berkawan je? Pakcik ingat nak merisik tadi.."

"Boleh ke terus datang merisik? Tapi saya tak bawa rombongan, sebab sebenarnya hajat saya nak minta izin nak berkawan dulu."

"Kalau nak merisik pun boleh. Ni dah bawa adik sekali. Lagipun merisik maksudnya datang bertanya Dina tu dah ada yang punya ke belum. Itu yang pakcik faham. Tadi kamu kata nak minta izin berkawan..dia kenal ke tak kamu? Mula-mula tadi kamu kata kamu kawan dia...."




Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Melissa Lee